Categories
AGENSI SELANGOR

PKNS jalin kerjasama IPT tempatan, perkukuh usahawan bidang perkhidmatan

SHAH ALAM, 13 JAN: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) meneruskan jalinan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan bagi memperkukuhkan usahawan dalam bidang perkhidmatan.

Pengurus pembangunan usahawannya berkata kolaborasi melibatkan penuntut atau graduan lepasan institut kemahiran mara, GiatMARA, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Putra Malaysia.

Yuzawati Yusof menjelaskan kepakaran dimiliki mereka dalam aspek pembersihan, pencucian, pengubahsuaian ruang dalaman bangunan dan pemotongan rumput diterapkan ke bidang perniagaan.

“Dua pendekatan diguna pakai sama ada mereka yang masih belajar di tahun akhir atau sudah tamat pengajian dan belum mendapat sebarang tawaran pekerjaan.

“Kita akan kumpul dan dekati kesemua mereka bagi menjayakan pelaksanaan program ini. Mahasiswa mahupun graduan kemahiran serta perniagaan boleh kerjasama untuk membentuk sebuah perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diketuai EXCO pembangunan usahawan Rodziah Ismail di Hotel De’Palma di sini semalam.

Yuzawati berkata pihaknya menyahut cabaran Kerajaan Negeri melahirkan lebih ramai usahawan dalam sektor perkhidmatan malah percaya mampu direalisasikan jika diberi sokongan berterusan.

Sementara itu, Rodziah berkata Kerajaan Negeri meletak sepenuh kepercayaan terhadap perbadanan tersebut menggalas tanggungjawab untuk menerajui gig atau perkhidmatan khusus.

“Selain daripada aspek pendigitalan yang sebenarnya menjadi tonggak penting, ekonomi gig dalam industri pembinaan turut diberi perhatian kerana ini merupakan permulaan perjalanan kita di era norma baharu,” kata wakil rakyat Batu Tiga.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Liga Usahawan tonjol potensi peniaga, tembusi pasaran

SHAH ALAM, 13 JAN: Liga Usahawan antara program baharu bakal diperkenal tahun ini sebagai usaha melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing dalam pasaran tempatan.

EXCO pembangunan usahawan berkata program bimbingan menyasarkan beberapa kelompok meliputi orang kelainan upaya (OKU), murid sekolah menengah, mahasiswa dan usahawan bernaung di bawah Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah).

Menurut Rodziah Ismail usahawan dalam industri internet segalanya (IoT) juga dilibatkan dalam program tersebut bagi melonjakkan perusahaan mereka ke peringkat lebih tinggi.

“Kita akan mulakan program ini secara sistematik. Ia bukan (program) berbentuk anugerah sebaliknya membimbing usahawan, mencungkil kebolehan seterusnya mewujudkan persaingan sihat sesama mereka.

“Proses pemilihan dibuat berdasarkan beberapa kriteria misalnya perniagaan yang baharu bermula dan berpotensi untuk dikembangkan,” katanya pada sidang media di Hotel De’ Palma di sini semalam.

Wakil rakyat Batu Tiga menambah pihaknya berhasrat memastikan produk usahawan yang dicungkil melalui program julung kali itu mampu menembusi pasaran tahun hadapan.

“Kita mahu liga ini muncul liga paling premier di Malaysia selain menjadi pilihan kepada pemain industri untuk mengambil produk mereka dan diguna pakai oleh pengguna,” katanya.

Sementara itu, Rodziah berkata pihaknya merancang melaksanakan tiga program lain bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran berkaitan keusahawanan.

Program tersebut meliputi:

1. Gerbang Usahawan Selangor – Menyalurkan semua informasi kepada rakyat berkaitan keusahawanan melalui aplikasi WhatsApp

2. Social Business City – Mewujudkan bandar yang menyokong dan melahirkan keusahawanan sosial

3. Tanyalah CEO – Menampilkan individu yang berjaya dalam perniagaan untuk sesi perkongsian kepada usahawan dan masyarakat

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Bantu niaga, dapatkan khidmat nasihat di Klinik Usahawan Selangor

SHAH ALAM, 16 SEPT: Usahawan yang berdepan cabaran dan kesukaran menguruskan perniagaan boleh mendapatkan nasihat di Klinik Usahawan Selangor bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

EXCO pembangunan keusahawanan berkata agensi berkenaan turut diiktiraf Bank Negara dan usahawan perlu faham semua masalah perniagaan tidak semestinya membabitkan wang.

“Kadang-kadang kita rasa perlu duit, tetapi sebenarnya perasaan kita sahaja. Kita perlu berjumpa pakar untuk tanya apa yang sebenarnya perlu buat. Macam kita sakit, berjumpa doktor untuk dapatkan nasihat dan diberikan ubat,” kata Rodziah Ismail ketika Majlis Dialog Grow 2020 di Dewan Jubli Perak, malam tadi.

Beliau berkata menerusi nasihat yang diberikan usahawan juga boleh mendapatkan bimbingan dan latihan melalui agensi sesuai dengan keperluan mereka.

Selain itu, usahawan juga boleh mendapatkan modal bantuan bagi mengembangkan perniagaan menerusi pinjaman melalui Yayasan Hijrah Selangor.

“Yayasan Hijah Selangor boleh memberikan bantuan pinjaman sehingga RM50,000 dengan syarat ia perlu dibayar semula. Jika memberikan geran semata-mata, kita bimbang usahawan tidak akan bersungguh-sungguh memajukan semula perniagaan mereka,” katanya.

Rodziah berkata pihaknya turut berhasrat untuk mencari ikon usahawan India Selangor bagi merangsang golongan berkenaan menceburi bidang perniagaan di masa hadapan.

Categories
RENCANA WAWANCARA

Dari bawah pokok ke e-dapur, bangkit selepas rugi RM70,000

Oleh Nazli Ibrahim

Foto Fikri Yusof

TIADA pilihan. Kontrak setahun telahpun ditandatangani. Mahu tidak mahu Al Amin Mustapha harus terus berniaga di sebuah wisma di Bandar Sunway, Petaling Jaya sekalipun kadar untung tidak sampai pun separuh daripada kos bulanan.

Malah, kedai nasi kerabu yang dibuka sepanjang waktu pejabat seakan-akan beroperasi hanya dua jam – antara 12 tengah hari hingga 2 petang. Waktu lain lengang. Sedangkan beliau terpaksa membayar sewa bulanan RM6,000 dan melunaskan gaji pekerja.

Ternyata, sangkaan menyewa lot kafe untuk memajukan perniagaan meleset sama sekali. Sebaliknya, beliau terpaksa ‘pecah’ tabung simpanan. Selepas dicongak, beliau menghabiskan hampir RM70,000 demi kelangsungan perniagaan.

Kembali ke bawah pokok

Justeru, sebaik sahaja tempoh tamat, pengusaha berusia 43 tahun tidak berfikir panjang untuk menolak lanjutan kontrak, biarpun ditawar kadar lebih murah. Al-Amin tidak sabar-sabar mahu kembali ke tapak asal, lokasi beliau memulakan perniagaan pada 13 tahun lalu.

Di bawah pokok di depan Mentari Court, Bandar Sunway, perniagaannya kembali rancak. Dengan jolokan Warung Nasi Kerabu Bawah Pokok, beliau mampu menjual sehingga 200 bungkus nasi kerabu dan nasi ayam geprek sehari.

Namun, baru dua minggu berniaga, sekali lagi Al-Amin dihimpit masalah. Kalau operasi di kafe tidak memuaskan, kali ini beliau langsung tidak boleh berniaga, semuanya gara-gara penularan Covid-19. Dua bulan lamanya beliau ‘bercuti’.

Al Amin buntu. Wang simpanan hampir habis ketika menampung kerugian semasa berniaga di lot kafe. Tambah memeningkan, lagi sebulan Ramadan tiba sebelum Syawal menyingsing. Rancangan untuk berniaga di bazar Ramadan juga terasa kelam. Beliau betul-betul rasa terduduk.

Mujur tuah datang menggolek. Kurang dua minggu menjelang Ramadan, beliau ditawar menyertai program e-dapur, landasan perniagaan bazar dalam talian anjuran Kerajaan Negeri bagi membantu peniaga yang terjejas akibat wabak.

Al Amin yang terputus sumber pendapaaan tidak teragak-agak menerima tawaran itu. Biarpun tidak pasti bagaimana sambutannya, entah-entah mengulangi nasib malang sebelum ini, namun, beliau tiada pilihan. Lalu Al-Amin memulakan perniagaan di Dewan Sri Manja, Bandar Sunway dengan penuh debar.

Tempahan luar biasa

Melalui e-dapur yang diperkenal pada 8 April, beliau mampu menghabiskan lebih 50 ekor ayam untuk nasi kerabu dan nasi ayam geprek sehari. Selain juadah itu, Al Amin turut menjual 300 hingga 400 bekas kuih buah Melaka dan 200 bekas kuih akok dalam sehari.

“Tidak sangka sambutannya luar biasa hingga setiap hari saya tutup tempahan nasi kerabu dan nasi ayam geprek seawal jam 4.30 petang dan biasanya 5 petang sudah habis kerana terlalu banyak tempahan.

“Selepas rugi hampir setahun ditambah pula tak boleh berniaga semasa PKP, e-dapur membantu memulihkan semula perniagaan saya,” katanya kepada SelangorKini baru-baru ini.

Selepas tamat tempoh berniaga melalui e-dapur, Al Amin kembali berniaga di bawah pokok tetapi beliau menaruh harapan untuk meneruskan perniagaan dalam talian.

“Saya harap program seperti ini diteruskan kerana memberi pulangan sangat memuaskan kepada peniaga yang menyertai e-dapur,” katanya.

Harapan beliau termakbul berikutan pengumuman Kerajaan Negeri pada Julai lalu yang mahu meneruskan program e-dapur dengan menyasarkan 1,000 usahawan, malah inisiatif itu diperluaskan kepada sektor lain, antaranya barangan runcit, restoran, farmasi dan produk usahawan negeri ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor-Pulau Pinang kongsi pandangan, kukuh program usahawan

GEORGETOWN, 11 SEPT: Selangor dan Pulau Pinang berkongsi pengalaman serta pandangan ke arah menjadikan kedua-dua negeri sebagai peneraju dalam program pembangunan usahawan.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata arus digital masa kini memudahkan usaha tersebut bagi meningkatkan potensi peniaga di negeri masing-masing.

“Kita lihat persamaan dan kelebihan dimiliki kedua-dua negeri ini yang boleh ditambah nilai. Kita (Selangor) mempunyai pengalaman daripada sudut polisi dan boleh dilaksanakan di Pulau Pinang.

“Pada masa sama, kita juga boleh belajar beberapa perkara yang tiada di Selangor dan perlu diusahakan melalui kerjasama ini demi memberi kepuasan serta memenuhi keperluan rakyat khususnya usahawan,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Exco Perdagangan Antarabangsa, Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna & Pembangunan Usahawan Pulau Pinang Dato’ Abdul Halim Hussain di Bangunan Kompleks Tun Abdul Razak di sini hari ini.

Rodziah mengetuai delegasi Kerajaan Negeri ke Pulau Pinang bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri dalam siri lawatan kerja sempena Pameran dan Persidangan Dunia, Hospitaliti, Gaya Hidup serta Hiburan pada 11 dan 12 September.

Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Negeri berhasrat memperluas inisiatif Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec) ke Pulau Pinang bagi menggalakkan kaedah penjualan secara dalam talian.

“Walaupun fokus kita lebih kepada usahawan di Selangor namun kemungkinan besar (inisiatif) ini boleh ditawar dan dimanfaatkan (usahawan) di Pulau Pinang.

“Usahawan di Selangor misalnya boleh mengeksport produk mereka ke Pulau Pinang dan Pulau Pinang pula membawa keluar produk mereka ke Selangor dan sebaliknya,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA

Selangor cadang wujud pusat kraftangan

BAYAN LEPAS, 11 SEPT: Kerajaan Negeri bercadang mewujudkan pusat kraftangan sebagai strategi mengetengah dan memasarkan pelbagai produk usahawan.

EXCO Usahawan Rodziah Ismail berkata pihaknya akan mengadakan sesi pendengaran awam dengan semua usahawan perusahaan tersebut sebelum memutuskan tindakan lanjut.

“Melalui sesi pendengaran ini, semua usahawan kraftangan akan dikumpulkan dan mendengar sendiri masalah mengapa selama ini produk mereka tidak boleh diketengahkan.

“Sekiranya ada isu berbangkit, kita akan lihat dan teliti satu per satu kerana akhirnya kita mahu Selangor ada produk sendiri yang boleh dibanggakan seperti negeri-negeri lain,” katanya pada Pameran dan Persidangan Dunia, Hospitaliti, Gaya Hidup serta Hiburan di Pulau Pinang semalam.

Beliau menambah pihaknya juga akan membawa 20 usahawan terbabit ke Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu pada 20 September ini bagi melihat pengusaha makanan dan kraftangan negeri itu.

“Terengganu adalah lokasi terbaik untuk kita mempelajari bagaimana usahawan di sana memelihara kraftangan, lebih-lebih lagi Selangor ketika ini ke arah mengangkat produk usahawan kraftangan.

“Ini kerana bidang perniagaan bukan semata-mata pada makanan, perkhidmatan mahupun bahan mentah. Apabila kita segmenkan usahawan kraftangan ini maka ia akan jadi lebih tersusun seterusnya memudahkan promosi produk.”

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI EXCO SELANGOR

Sitec latih 575 usahawan, nilai dagangan RM41 juta – EXCO

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (Sitec) berjaya melatih kira-kira 575 usahawan mikro serta Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bagi menjalankan perniagaan dalam talian untuk tempoh lima tahun.

EXCO industri kecil dan sederhana berkata ia melibatkan jumlah dagangan kasar RM41 juta dengan menyediakan banyak peluang pekerjaan.

“Perkembangan ini sekali gus menyaksikan sebanyak 60 syarikat baharu ditubuhkan selain menyediakan lebih 6,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor.

“Ini juga membuktikan industri e-dagang semakin berkembang bukan hanya di dalam negara malah ke peringkat antarabangsa hasil daripada jumlah dagangan ini,” kata Dato’ Teng Chang Khim selepas melancarkan Selangor Accelerator Program (SAP) Demo Day 2020 di Pullman Bangsar di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) Dato’ Hasan Azhari Idris dan Ketua Eksekutif Sitec Yong Kai Ping.

Chang Khim berkata beliau yakin dengan keupayaan usahawan mikro dan IKS baharu khususnya yang dilatih menerusi program SAP untuk mengembangkan perniagaan ke tahap lebih tinggi.

Ini kerana, katanya usahawan berkenaan mempunyai kreativiti dalam penciptaan produk dengan menggunakan sistem kecerdasan buatan (AI).

“Produk (dihasilkan) bukan yang dikilangkan sebaliknya melalui kreativiti mereka mencipta perisian menggunakan sistem AI dan tahap (penghasilan produk) sepenuhnya bergantung pada teknologi,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Fama galak lebih ramai usahawan sertai Agropreneur Muda

SHAH ALAM, 31 OGOS: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor menggalakkan lebih ramai usahawan muda di negeri ini menyertai program Geran Agropreneur Muda.

Pengarahnya Abdul Rashid Bahri berkata ia bagi melahirkan lebih ramai golongan muda untuk terus membangunkan industri makanan yang menjadi sektor penting negara.

“Setakat ini, sambutan (permohonan) masih tinggi daripada usahawan muda dan permohonan masih dibuka melalui agensi di negeri sebelum dihantar ke kerajaan pusat menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

“Justeru, kita mengalu-alukan lebih ramai usahawan dapat sertai program ini demi manfaat jangka panjang dalam sektor tersebut,” katanya selepas melancarkan Kempen Kibaran Jalur Gemilang Sempena Hari Kebangsaan Ke-63@Pasar Tani di tapak Pasar Tani Stadium Shah Alam, semalam.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee memaklumkan permohonan Geran Agropreneur Muda kini dibuka sepanjang tahun dan tidak tertakluk kepada tempoh masa tertentu seperti sebelum ini yang dibuka hanya pada Januari, Mei dan September.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dewan perniagaan Melayu, BNM mahu bantu usahawan terjejas Covid-19

KEPALA BATAS, 20 OGOS: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) akan mengadakan perbincangan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung program Penjadualan Semula/Penstrukturan Semula (R&R) yang telah dibuat sebelum ini bagi membantu usahawan yang terjejas susulan pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini.

Timbalan Presidennya, Norsyahrin Hamidon berkata selain itu pihaknya juga akan berbincang bagi memastikan semua rekod peminjam bermasalah akibat kesan pandemik Covid-19 untuk tidak wajar dimasukkan ke dalam sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dan CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS).

“BNM secara umumnya telah bersetuju untuk membantu selepas 30 Sept ini (tarikh moratorium tamat secara umum) dan bersetuju moratorium itu dilanjutkan, namun secara bersasar iaitu bukan semua akan mendapatnya tapi kami berharap peluang sama dapat diberikan kepada usahawan bagi meringankan beban mereka yang terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

“Tempoh lanjutan moratorium berkenaan penting untuk mereka memulihkan kehidupan, pekerjaan dan perniagaan mereka, pada masa yang sama DPMM juga berharap agar Bank Negara tidak mengambil kira rekod laporan CCRIS dan CTOS kerana ia berlaku bukanlah disebabkan kecuaian manusia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Penubuhan DPMM Pulau Pinang hari ini.

Norsyahrin turut menyarankan supaya peminjam dalam kalangan usahawan yang berurusan dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) diberi ‘bantuan’ sama iaitu tidak disenaraihitamkan.

Menurutnya, beliau khuatir peminjam akan menghadapi masalah membuat pinjaman pemulihan perniagaan mereka di masa hadapan terutama membabitkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) jika mereka disenarai hitam.

“Sebenarnya lanjutan moratorium ini secara tidak langsung dapat memberi nafas baharu dalam membantu golongan usahawan yang terjejas teruk semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Norsyahrin berkata DPMM menganggarkan lebih 53 peratus atau kira-kira 450,000 usahawan Melayu daripada keseluruhan 960,000 usahawan yang berdaftar dengan SME Corp terjejas susulan wabak Covid-19.

Beliau berkata daripada jumlah 450,000 itu pula, 70 peratus usahawan yang terlibat boleh dikategorikan sebagai usahawan Melayu yang menjalankan perusahaan secara kecil-kecilan.

“Daripada statistik yang kami ada, majoriti daripada usahawan SME ini tidak boleh bertahan melebihi dua bulan (sejak PKP bermula) dan sekarang sudah masuk bulan kelima namun dengan pelbagai bantuan oleh kerajaan mereka dapat meneruskan perniagaan.

“DPMM sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana telah memperkenalkan pelbagai pakej rangsangan bagi membantu usahawan ini untuk terus bertahan termasuk pelan-pelan pemulihan yang dirangka khusus untuk mereka,” katanya.

-BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Program Selangor Restart bangkit semangat usahawan terus maju

SHAH ALAM, 12 OGOS: Program Keusahawanan Selangor Restart mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai 250 usahawan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Anjuran Yayasan Hijrah Selangor dan EXCO Pembangunan Usahawan, program ini bertujuan menaikkan semangat usahawan di negeri ini untuk meneruskan perniagaan.

“Pelaksanaan program ini bukan sakadar dapat mengoptimumkan impak dalam memajukan usahawan di Selangor secara menyeluruh malah ia memberikan motivasi kepada mereka untuk bangkit walaupun penularan pandemik belum berakhir,” kata Rodziah Ismail ketika ditemui di Pusat Membeli Belah Plaza Alam Sentral.

Selain menampilkan pakar motivasi keusahawanan Prof Adjung Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, Rodziah turut menjadi ahli panel forum bersama selebriti Farah Fauzana, Dr Shasa Aziz dan Datuk Abdul Rahim Abdullah yang mewakili Klinik Usahawan Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari turut hadir bagi menyempurnakan majlis perasmian penutup dan menyampaikan cek cura berjumlah RM11.8 juta kepada Yayasan Hijrah Selangor bagi membantu 1,036 usahawan sebagai tambahan modal perniagaan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pandemik jejas lebih 5,000 usahawan khidmat sentuhan fizikal

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Seramai 5,265 orang usahawan yang menjalankan bidang perkhidmatan secara sentuhan fizikal antara yang terjejas teruk semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19, Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Menurut Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, perkhidmatan melibatkan sentuhan fizikal merupakan sektor yang berisiko untuk meluaskan penyebaran wabak sekiranya tidak mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

Berikutan pelaksanaan PKP bermula 18 Mac lepas, kebanyakan perniagaan terpaksa ditutup kecuali hanya sektor-sektor tertentu yang dibenarkan beroperasi secara berperingkat.

“Situasi ini memberi kesan kepada para usahawan yang mana ada antara mereka yang tidak mampu membayar sewa premis, membayar gaji pekerja serta membayar pinjaman sedia ada dengan pihak penyedia kewangan,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat.

Ia bagi menjawab soalan Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh) mengenai statistik penglibatan dan impak pasca Covid-19 ke atas usahawan dalam bidang perkhidmatan secara sentuhan fizikal seperti pusat rehabilitasi, spa, perkhidmatan latihan kecergasan peribadi dan perkhidmatan dandanan.

“Oleh yang demikian, operasi perniagaan melibatkan sentuhan fizikal baru sahaja dibenarkan beroperasi pada 10 Jun 2020 setelah hampir tiga bulan terpaksa menutup premis,” kata kementerian tersebut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA

Penjaja, peniaga kecil boleh mohon bantuan RM500 bermula 8 April

SHAH ALAM, 3 APRIL: Penjaja dan peniaga kecil di negeri ini boleh memohon bantuan RM500 Pakej Selangor Prihatin Covid-19 secara dalam talian di www.selangorprihatin.com bermula 8 April hingga 7 Mei depan.

Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Unit Perancang Ekonomi Selangor dalam kenyataan berkata hanya mereka yang memiliki lesen atau permit sah diluluskan PBT Selangor sebelum 20 Mac 2020 sahaja layak memohon.

“Pemohon hanya layak membuat satu permohonan sahaja walaupun mempunyai lebih dari satu lesen atau permit dari PBT berbeza.

“Semua keterangan dikemukakan perlu tepat, benar dan sahih, ini kerana Kerajaan Negeri dan PBT berhak membatalkan semua lesen atau permit dimiliki sekiranya didapati melanggar syarat permohonan ditetapkan,” kata kenyataan itu, hari ini.

Pada masa sama, pemohon perlu memastikan maklumat akaun bank sama dengan maklumat pemilik lesen atau permit.

Jelasnya, maklumat berbeza atau tidak tepat menyebabkan bantuan tidak dapat disalurkan.

“Orang ramai boleh membuat pertanyaan berhubung bantuan ini bermula 8 April di talian 1-800-22-6600 (24 jam) atau emel kepada [email protected],” katanya.

Orang ramai boleh hubungi talian PBT bermula 9 pagi hingga 4 petang:

1. Jabatan Pelesenan Majlis Bandaraya Shah Alam (03-55105133/1-800-88-4477)

2. Jabatan Pelesenan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (03-79563544/03-79542020)

3. Jabatan Pelesenan Majlis Perbandaran Subang Jaya (03-80247700)

4. Jabatan Pelesenan Majlis Perbandaran Klang (03-33701095/1-800-88-23826)

5. Jabatan Pelesenan Majlis Perbandaran Ampang Jaya  (03-42968000)

6. Jabatan Pelesenan Majlis Perbandaran Kajang (1-800-88-6755)

7. Jabatan Pelesenan Majlis Perbandaran Selayang (03-61265800/1-800-222-677)

8. Jabatan Pelesenan Majlis Perbandaran Sepang (03-83190200)

9. Jabatan Pelesenan Majlis Perbandaran Kuala Langat (03-31872825)

10. Jabatan Pelesenan Majlis Daerah Kuala Selangor (03-32891439/1549/9331/2903 ext 163)

11. Jabatan Pelesenan Majlis Daerah Hulu Selangor (03-60641331)

12. Jabatan Pelesenan Majlis Daerah Sabak Bernam (603-3224655)

Pada 20 Mac lalu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan seramai 80,000 penjaja dan peniaga berlesan dikecualikan sewa selama sebulan serta mendapat bantuan RM500.

Pengumuman menerusi Pakej Selangor Prihatin Covid-19 itu diberi kepada pelbagai golongan yang terkesan dengan Covid-19.