Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Pelajar tingkatan tiga antara 56 peserta ADN Muda Selangor

SHAH ALAM, 18 SEPT: Seorang pelajar berumur 15 tahun antara 56 peserta terpilih menyertai Program Ahli Dewan Negeri Muda Selangor Virtual 2020, kata speaker Dewan Negeri Selangor (DNS).

Ng Suee Lim berkata peserta terdiri daripada 39 lelaki dan 17 wanita berumur antara 15 hingga 31 tahun itu bakal menyertai program yang dijadual berlangsung pada 3 Oktober.

“Selaras dengan dengan kelulusan had umur mengundi kepada 18 tahun, adalah wajar kita membuka peluang kepada pelajar sekolah menengah menyertai program ini bagi memberi pendedahan awal kepada mereka terutama memahami sistem pentadbiran negeri.

“Bakat anak muda perlu digilap kerana mereka pelapis masa depan negara, jadi program ini menjadi saluran mereka menyuarakan pendapat dan menyatakan perspektif berhubung sesuatu perkara, ini hasrat kita,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Selangor menjadi negeri pertama menganjur sidang DNS secara maya khusus untuk golongan muda termasuk pelajar sekolah seawal umur 15 hingga 35 tahun.

Categories
ADN SELANGOR

Kerajaan Negeri disaran lantik wanita isi kerusi timbalan speaker

SHAH ALAM, 7 JULAI: Kerajaan Negeri disaran melantik Ahli Dewan Negeri (ADN) wanita bagi mengisi kerusi timbalan speaker Dewan Negeri Selangor (DNS).

Speaker Ng Suee Lim berkata cadangan tersebut selaras usaha Kerajaan Selangor untuk mencapai sasaran 30 peratus wanita dalam semua peringkat pembuat dasar dan keputusan.

“Jika tanya pandangan saya, saya mahu wanita dipilih mengisi kekosongan kerusi timbalan speaker kerana Selangor sebuah negeri yang mengiktiraf kebolehan wanita,” katanya kepada pemberita selepas menjalani saringan di pekarangan Bangunan Annex, SUK hari ini.

Sejak Pakatan Harapan (PAKATAN) mentadbir Selangor pada 2008, ADN wanita diberi kepercayaan mengisi kerusi speaker dan timbalan speaker.

Pada 2013 Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh yang ketika itu menyandang kerusi DUN Subang Jaya dilantik sebagai speaker wanita pertama DNS.

Categories
SELANGOR

Calon EXCO baharu akan dikemukakan kepada Sultan Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 DIS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari memaklumkan nama calon EXCO Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan akan dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dalam masa terdekat.

Tanpa memberikan bayangan nama Ahli Dewan Negeri (ADN), perkara itu akan selesai selewat-lewatnya hujung bulan ini.

“Saya harus mengemukakan nama kepada (DYMM) Sultan (Selangor) dalam tempoh tidak lama. Ya, akhir bulan ini,” katanya ketika ditemui media pada Dewan Negeri Selangor (DNS).

Kekosongan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan berlaku selepas ADN Seri Setia sebelum ini, Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia pada 2 Ogos 2018 pada usia 56 tahun akibat kanser.

Categories
SELANGOR

Beri kad kuasa kepada pegawai masjid berupaya

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 28 MAC: Pemberian kad kuasa kepada jawatankuasa masjid yang dilantik akan diberikan kepada golongan berupaya dan tidak uzur bagi memikul tanggungjawab seperti diamanahkan.

Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa & Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, keutamaan diberikan kepada golongan itu supaya mereka dapat melaksanakan sesuatu tindakan tanpa mengira waktu.

“Kami akan meletakkan syarat yang mana pemilihan jawatankuasa masjid yang dilakukan Majlis Agama Islam Selangor pada tahun ini hanya akan disediakan kad kepada pegawai berupaya sahaja dan harus melaksanakan tanggungjawab diamanahkan.

“Ia sebagai langkah pencegahan ekoran terdapat segelintir pegawai masjid yang menyalahgunakan kad kuasa, tidak menjalankan kuasa diberikan serta tidak memberi kerjasama untuk menjadi saksi tangkapan menyebabkan perkara itu tidak boleh dilaksanakan proses perundangan sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Meru, Dr Abdul Rani Osman berkenaan penarikan semula kad penguasa amal maaruf nahi mungkar kepada pengurusan masjid sejak 2016.

Ahmad Yunus berkata, peratusan pegawai masjid yang menyalahgunakan kad kuasa adalah kecil namun memberikan impak besar kepada institusi agama.

“Sebenarnya, tiada istilah pegawai masjid memerlukan kad kuasa kerana mereka telah diberikan kuasa dan tuga-tugas yang perlu dijalankan sebagai pegawai masjid.

“Bagaimanapun, pegawai masjid juga bertangggungjawab atas tingkah laku anak kariah dan perlu melakukan tangkapan tanpa waran dengan membawa pesalah kepada pihak berkuasa atau polis.

“Sekiranya mereka tidak menjalankan tanggungjawab berkenaan maka kita akan menarik semula dan membekukan kad kuasa berkenaan,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Van Mobile Selangor BEST semarak budaya ilmu

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 9 NOV: Sebanyak empat unit Van Mobile Selangor BEST (Bringing Excellence Into Society) bakal menjelajah ke pangsapuri kos rendah seluruh Selangor dengan peruntukan RM1 juta.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebanyak 1,346 skim pemajuan pangsapuri kos rendah melibatkan 220,086 unit dengan 1.1 juta penduduk bakal memperoleh manfaat daripada program perpustakaan bergerak itu.

Katanya, van berkenaan akan turun ke pangsapuri yang mempunyai Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau ejen pengurusan yang dilantik Pesuruhjaya Bangunan (COB).

“Cetusan idea ini selaras gagasan Selangor menuju ‘Smart State’ untuk sentiasa lebih responsif kepada tuntutan moden bagi kemudahan rakyat khususnya komuniti pangsapuri kos rendah.

“Diharap ia dapat mewujudkan komuniti pangsapuri berilmu dan bertanggungjawab ke arah pembudayaan ‘bersih, ceria dan harmoni, seterusnya membentuk model pangsapuri bistari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perasmian Van Mobile Selangor BEST di perkarangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad dan Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Mohamed Azmin berkata, Van Mobile Selangor BEST merupakan sinergi berkonsepkan Strategi Laut Biru di antara agensi kerajaan.

“Sekiranya kita mendapat impak positif, Kerajaan Negeri bersedia menimbangkan tambahan perkhidmatan itu untuk kemudahan rakyat pada masa akan datang,” katanya.

Perkhidmatan Perpustakaan Bergerak Komuniti Pangsapuri itu dilengkapi kemudahan WIFI percuma, komputer riba (laptop) dan multimedia, televisyen, koleksi bahan bacaan dan rujukan terkini, pinjaman dan pemulangan percuma.

Kemudahan lain termasuk penyaman udara, ‘air bed’, meja dan kerusi serta ‘motorized awning’ untuk keselesaan pengunjung.

Dalam perkembangan lain, Kerajaan Negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 turut memperuntukkan RM750,000 bagi tiga van khusus untuk perkhidmatan perpustakaan bergerak SMART Selangor ke seluruh daerah.

EZY

Ahli Dewan Negeri Selangor beriadah ke Sekinchan,bantu promosi

Adun dan kakitangan dewan negeri Selangor berpeluang melihat produk pelancongan yang terdapat di Selangor dalam program riadah dan rekreasi ke Sekinchan.