Categories
AGENDA NASIONAL

Pelancong ke Langkawi wajib jalani ujian saringan Covid-19

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Setiap pelancong yang akan bercuti di Pulau Langkawi, Kedah bermula esok diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19, sebelum memulakan perjalanan mereka, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Ujian pengesanan itu perlu dilakukan ke atas individu dewasa (18 tahun ke atas) serta remaja dan kanak-kanak berusia tujuh hingga 17 tahun. Bagi kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah, hanya saringan gejala perlu dilakukan mengambil kira keupayaan mereka untuk mengeluarkan saliva.

“Kumpulan kanak-kanak ini mesti bersama ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap vaksinasi, bukan kes positif atau kontak rapat kepada kes positif, dan hendaklah mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mereka yang terlibat boleh menjalani ujian saringan sama ada menggunakan RT-PCR atau RTK-Antigent di mana-mana fasiliti kesihatan dan makmal swasta, atau menggunakan kit ujian kendiri saliva yang dibeli sendiri.

Khairy berkata untuk RT-PCR dan RTK-Antigent, individu perlu melakukannya dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas dan keputusan ujian hendaklah dibawa bersama untuk pemeriksaan di pintu masuk iaitu lapangan terbang atau terminal feri, sebelum berlepas.

“Selain itu, pelancong boleh membeli kit ujian kendiri saliva dan membawanya ke lapangan terbang atau terminal feri untuk menjalani ujian pengesanan Covid-19, di tempat saringan yang disediakan.

“Atau pun pelancong boleh membeli kit ujian kendiri saliva melalui perkhidmatan yang akan disediakan oleh pihak swasta di tempat saringan di lapangan terbang atau terminal feri, dan menjalani ujian pengesanan di situ,” katanya.

Khairy berkata ujian yang dijalankan di lapangan terbang dan terminal feri terlibat akan dipantau dan disahkan oleh anggota kesihatan yang bertugas.

“Bagi mereka yang didapati negatif Covid-19, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan, manakala individu yang didapati positif Covid-19, mereka tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan dan akan diuruskan sebagaimana SOP pengurusan kes positif Covid-19 dan kontak rapat sedia ada,” katanya.

Beliau berkata projek rintis gelembung pelancongan domestik itu perlu dilaksanakan dengan berhati-hati bagi memastikan ia berjalan lancar dan tidak menyebabkan berlakunya peningkatan kes serta kluster baharu.

“Saya ingin memberi penekanan bahawa pelaksanaan gelembung pelancongan ini tidak bermakna, kerajaan memberi kelonggaran kepada masyarakat untuk tidak mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan mencuci tangan dengan kerap,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pakai pelitup muka atau denda RM1,000

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Bermula semalam, 1 Ogos 2020, masyarakat mula memakai pelitup muka khususnya semasa berada di dalam pengangkutan awam dan kawasan sesak berikutan langkah kerajaan mewajibkan pemakaiannya untuk membendung wabak Covid-19.

Rata-rata rakyat boleh dikatakan akur dengan peraturan terbaharu itu daripada membayar denda RM1,000 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), sekiranya gagal mematuhinya.

Tinjauan Bernama di sekitar ibu kota pada hari pertama penguatkuasaan arahan itu turut mendapati masyarakat mula mendisplinkan diri dengan memakai pelitup muka khususnya di kawasan tumpuan sebaik sahaja keluar daripada kenderaan.

Pelitup muka kini boleh dikategorikan sebagai ‘perisai’ paling penting dalam menghadapi musuh tidak kelihatan Covid-19, selain memastikan penjarakan fizikal yang wajib dipatuhi rakyat.

Selain sentiasa menyediakan bekalan lebihan pelitup muka di dalam kenderaan, membawa cecair pembasmi kuman bersama serta mengamalkan penjarakan fizikal turut menjadi amalan baharu masyarakat ketika berada di tempat awam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah juga dilaporkan berkata penggunaan pelitup muka perlu diamalkan bersama penjagaan kebersihan tangan dengan kerap dan penjarakan fizikal yang selamat iaitu sekurang-kurangnya satu meter daripada orang lain.

Kata Dr Noor Hisham, terdapat dua jenis pelitup muka yang boleh digunakan bagi tujuan pencegahan jangkitan Covid-19 iaitu pelitup muka perubatan dan pelitup muka bukan perubatan.

-BERNAMA