Categories
GLOBAL

Rakyat Malaysia berjaya di luar negara disaran bantu bina Malaysia Baharu

HANOI, 25 OKT: Timbalan Perdana Menteri,, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru rakyat Malaysia yang mencipta kejayaan di luar negara supaya membantu menyumbang ke arah pembinaan Malaysia Baharu.

Beliau berkata seperti disebut firma pengurusan pelaburan global, Schroders, dalam laporannya bagi Jun, antara masalah yang terus melanda ekonomi Malaysia sejak beberapa dekad lepas ialah penghijrahan cerdik pandai.

Kata beliau, penghijrahan rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi menyebabkan negara itu kehilangan modal insan terbaiknya, sekali gus menjejaskan pertumbuhan ekonomi serta mengurangkan hasil cukai, di samping menambah bebanan di bahu mereka yang terus kekal di Malaysia.

Dr Wan Azizah berkata menurut laporan berita, seorang daripada setiap 10 pekerja mahir Malaysia sedang merancang untuk meninggalkan negara itu, sekali ganda jumlahnya daripada kadar purata global, bagi mencari kehidupan lebih baik dan bersaing di arena antarabangsa.

“Walaupun bercita-cita tinggi patut dipuji, negara masih memerlukan anda untuk sama-sama membantu negara kita. Memanglah kita tinggal di negara global, tetapi Malaysia adalah tanah air kita,” katanya semasa berucap pada majlis makan malam bersama-sama diaspora Malaysia di Vietnam di sini malam ini.

Turut hadir bersama-sama 100 anggota diaspora Malaysia itu ialah Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya dan Duta Besar Malaysia di Vietnam Datuk Mohd Zamruni Khalid.

Dr Wan Azizah berkata kerajaan baharu Malaysia berwawasan untuk mengembalikan kedudukan negara itu sebagai ‘Harimau Asia’ dalam ekonomi.

Bagaimanapun, kata beliau, cita-cita itu memerlukan usaha keras, terutama dalam mengurangkan hutang negara.

“Negara yang mampu berdikari adalah sebuah negara merdeka, negara bebas daripada dibelenggu oleh hutang dengan sesiapa.

“Kita mahu membina sebuah negara yang masyarakatnya tidak perlu bergantung pada pemberian orang lain, sebuah negara yang memupuk kewujudan sebuah masyarakat mampan,” katanya.

Dr Wan Azizah sedang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Vietnam bermula hari ini dan dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc, esok.

Jadual lawatan beliau termasuk menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN mengenai Wanita (AMMW) ketiga pada Khamis.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Dr Wan Azizah ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEM-12

BRUSSELS, 17 OKT: Timbalan Perdana Malaysia Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijadual tiba di sini pada Rabu untuk mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) ke-12 yang berlangsung dari 18-19 Oktober.

Sidang Kemuncak ASEM yang bertemakan “Eropah dan Asia: Rakan Global bagi Cabaran Global” itu akan disertai ketua-ketua negara atau kerajaan 51 negara Eropah dan Asia, wakil daripada Kesatuan Eropah (EU) dan Setiausaha Agung ASEAN.

Para pemimpin akan berusaha untuk mempertingkatkan dialog dan kerjasama antara kedua-dua benua itu dalam pelbagai bidang termasuklah perdagangan dan pelaburan, saling hubungan, pembangunan mampan dan iklim, serta cabaran keselamatan seperti keganasan, pengawalan senjata nuklear, keselamatan siber dan penghijarahan yang tidak teratur.

Presiden Majlis Eropah Donald Tusk akan mempengerusikan sidang kemuncak itu manakala Presiden Suruhanjaya Eropah Jean-Claude Juncker akan mewakili EU.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata Dr Wan Azizah dijadual menyampaikan Kenyataan Negara pada sesi pleno kedua sidang kemuncak itu mengenai topik “Mengukuhkan Sistem Multilateral: Menggerakkan Perkongsian ASEM bagi Cabaran Global”, yang mana beliau dijangka menyentuh mengenai pelbagai perkara seperti perubahan iklim, pendidikan, kesaksamaan jantina dan pemerkasaan wanita.

Jadual padat Dr Wan Azizah akan bermula pada Khamis yang mana beliau akan mengunjungi rakan sejawatnya dari Belgium, Timbalan Perdana Menteri Jan Jambon, yang juga merupakan Menteri Keselamatan dan Hal Ehwal Dalam Negeri Belgium, di pejabat beliau di Westraat, Brussels, untuk membincangkan isu-isu kepentingan bersama.

Kemudiannya, Dr Wan Azizah akan menyertai para pemimpin lain pada acara pembukaan sidang kemuncak itu, sesi bersama pemegang kepentingan dan pertemuan dengan Ketua-Ketua Delegasi buka EU, dan menghadiri Majlis Makan Malam Gala yang dihoskan oleh Official Motorcade di Royal Museums of Art and History.

Manakala pada Jumaat, Dr Wan Azizah akan menghadiri dua sesi pleno sidang kemuncak itu yang bertajuk “Membangunkan Masa Depan Bersama: Menggalakkan Pertumbuhan Inklusif dan Saling Hubungan Mampan” dan “Mengukuhkan Sistem Multilateral: Menggerakkan Perkongsian ASEM bagi Cabaran Global” yang mana beliau akan menyampaikan ucapan semasa sesi tersebut.

Timbalan Perdana Menteri juga dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Belanda Mark Rutte, dan Perdana Menteri Norway Erna Solberg.

Selain itu beliau dijangka menerima kunjungan daripada para peserta Malaysia yang menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Muda ASEF Ke-3 yang diadakan di sini dari 15-19 Okt, bertemakan “Kepimpinan Beretika”.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mengakhiri kunjungannya ke Brussels selepas mengadakan majlis makan malam bagi diaspora Malaysia di sidang kemuncak itu.

Sepanjang sidang kemuncak itu beliau akan diiringi Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah, Duta Malaysia ke Belgium dan Ketua Misi Malaysia ke EU Datuk Hasnudin Hamzah, Timbalan Ketua Setiausaha bagi Hal Ehwal Multilateral Kementerian Luar Negeri Datuk Kennedy Jawan, Penasihat kepada Timbalan Perdana Menteri Prof. Rozhan Othman dan para pegawai kanan kerajaan.

Negara-negara anggota ASEM mewakili 60 peratus daripada jumlah penduduk dunia, menyumbang 55 peratus daripada perdagangan global, 65 peratus keluaran dalam negara kasar dan 75 peratus pelancongan global.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rangka pendidikan dakwah baharu atasi gejala sosial

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Kerajaan Persekutuan akan merangka kaedah penyampaian dakwah baharu dan program pendidikan dalam usaha menangani gejala sosial di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia membabitkan termasuk kebajikan dan pendekatan sosial yang boleh dijadikan rujukan atau panduan kepada ibu bapa dan orang ramai.

“Perkara ini merupakan cabaran fundamental yang dihadapi ulama, pemimpin politik dan aktivis sosial,” katanya.

Beliau berkata pada Persidangan Antarabangsa dan Muzakarah Fikh, di Institusi Sosial Malaysia (ISM), di sini.

Pada masa sama, Dr Wan Azizah menegaskan komuniti Islam kini terancam dengan masalah sosial antaranya dadah, hamil luar nikah dan taraf pendidikan rendah.

Katanya, ia berlaku kerana mengabaikan konsep pendidikan dalam Islam dan sikap ‘lepas tangan’ tanggungjawab sosial masyarakat.

“Komuniti Islam hari ini tidak menunjukkan contoh yang baik seperti dalam al-Quran, ‘khairatun ummah’, iaitu umat yang terbaik.

“Ini antara penyebab masalah sosial dalam komuniti,” katanya.

Categories
NASIONAL

Wan Azizah kunjungi Joko Widodo

BOGOR 9 OKT: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memulakan lawatan kerja sehari beliau ke Indonesia pada Selasa dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Dalam pertemuan 30 minit , Wan Azizah dan Presiden Jokowi membincangkan pelbagai perkara membabitkan hubungan dua hala.

Wan Azizah diiringi Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Menteri Luar Indonesia, Retno LP Marsudi dan Menteri Sekretaris Negara, Muhadjir Effendy.

Lawatan Wan Azizah ke Indonesia adalah kunjungan pertama beliau ke negara berjiran sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 21 Mei susulan kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum Mei lepas.

Aturcara lawatan beliau yang padat termasuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla dan pertemuan dengan Menteri Pemberdayaan Perempuan dan Perlindungan Anak, Yohana Susana Yembise.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Wan Azizah lakukan kunjungan istisyari, minta pandangan mufti

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini mengadakan kunjungan istisyari (konsultasi) buat kali pertama kepada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Wan Azizah menerusi satu hantaran dalam laman Facebook berkata kunjungan yang berlangsung di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di Kompleks Islam Putrajaya itu bertujuan untuk mendapatkan beberapa pandangan hukum serta nasihat berhubung beberapa isu mutakhir di bawah portfolionya.

“Kerajaan di bawah pimpinan Pakatan Harapan sentiasa mengutamakan pandangan Islam dalam isu-isu pentadbiran negara dan menyanjung tinggi institusi Mufti dan ulama.

“Semoga siri pertama Kunjungan Istisyari ini akan disusuli dengan kunjungan-kunjungan seterusnya,” katanya, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di samping memuat naik beberapa keping gambar bersempena kunjungannya itu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Dr Wan Azizah, KSN ucap takziah pemergian Agamawan Negara

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Tan Sri Hassan Azhari yang meninggal dunia akibat kanser limfoma petang semalam.

Dr Wan Azizah berkata dunia Islam kehilangan seorang tokoh besar yang banyak berjasa terutama dalam bidang al-Quran.

“Takziah buat keluarga Tan Sri Hassan Azhari. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang beriman. Dunia Islam kehilangan seorang tokoh besar yang banyak berjasa terutama dalam bidang al-Quran. Salam takziah @TSMusaHassan,” kata Dr Wan Azizah dalam tweetnya.

Turut menzahirkan ucapan takziah, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Ismail Bakar yang senada menyifatkan dunia Islam kehilangan seorang tokoh terbilang.

“Innalillahi wainnailaihi rajiuun. Salam takziah buat keluarga TS Hassan Azhari. Dunia Islam kehilangan seorang tokoh terbilang. Semoga Arwah ditempatkan di kalangan orang beriman & soleh,” katanya menerusi Twitter.

Hassan, 90, meninggal dunia akibat kanser limfoma kira-kira 5 petang semalam di Hospital Kuala Lumpur.

Hassan adalah seorang tokoh yang terkenal dalam bidang tilawah al-Quran di negara ini, dan sering menganggotai panel hakim musabaqah al-Quran peringkat antarabangsa.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam di Persiaran Kayangan, Seksyen 5, Shah Alam, Selangor, atas titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
NASIONAL WANITA & KEBAJIKAN

24,405 suri rumah mendaftar i-Suri dan i-saraan setakat 20 September

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Program insentif i-Suri yang diperkenalkan Kerajaan Persekutuan dalam tempoh 100 hari pertama kerajaan baharu Pakatan Harapan (PAKATAN) semakin mendapat sambutan luar biasa golongan wanita.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sehingga 20 September, seramai 11,562 wanita telah berdaftar dengan program i-Suri dan 12,843 orang lagi medaftar dengan i-saraan.

“Pelancaran i-Suri pada 8 Ogos 2018 adalah untuk mewujudkan jaringan keselamatan sosial yang asas kepada golongan suri rumah yang memikul tanggungjawab untuk mendidik dan membesarkan anak yang terdedah kepada risiko apabila berlaku musibah dalam keluarga.

“Pelaksanaan i-Suri adalah contoh kepada perancangan yang lebih inklusif dan proaktif kepada kumpulan sasar iaitu para suri rumah untuk mempunyai simpanan persaraan dan perlindungan sekiranya berlaku musibah dalam rumah tangga,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Masyarakat itu berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Santuni Rakyat di Kompleks Membeli Belah Midpoint, Pandan Indah di sini, hari ini.

Sementara itu i-Sara pula direka khusus bagi membolehkan individu yang bekerja sendiri atau golongan yang menerima pendapatan bulanan tidak tetap seperti pemandu teksi, petani dan pekerja bebas dapat menikmati manfaat seperti ahli KWSP.

Sementara itu, ketika menyentuh program Santuni Rakyat, Wan Azizah berkata, ianya merupakan satu insentif dilaksanakan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Masyarakat (JPWKM) bagi mempromosikan perkhidmatan kementerian dan agensi di bawahnya.

Antara agensi terbabit, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Institut Sosial Malaysia (ISM) dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) kepada rakyat khususnya masyarakat di Pandan.

Selain agensi Kerajaan Persekutuan, agensi Kerajaan Negeri seperti Institut Wanita Berdaya turut terlibat menjayakannya.

Katanya, antara objektif utama program itu adalah meraikan sesi keterlibatan pemimpin setempat dan agensi kerajaan bersama rakyat, menyebar luaskan perkhidmatan, peranan, fungsi inisiatif dilaksanakan JPWKM dan lain-lain.

Categories
NASIONAL

Dr Wan Azizah lakar sejarah, wanita pertama pengerusikan mesyuarat kabinet

PUTRAJAYA, 26 SEPT: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sekali lagi melakar sejarah apabila menjadi wanita pertama mempengerusikan mesyuarat kabinet di Bagnunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Dr Wan Azizah, menggantikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kini berada di New York untuk lawatan kerja dan menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-73.

Mesyuarat kabinet, kebiasaanya diadakan pada setiap Rabu kecuali sekiranya berlangsung persidangan Dewan Rakyat, berlangsung selama dua jam bermula jam 9.30 pagi.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkongsi detik bersejarah itu dalam satu entri dimuat naik di akaun Twitter rasminya, @drwanazizah mencatat “Sejarah tercipta, pertama kali dalam sejarah Malaysia wanita mempengerusikan mesyuarat kabinet’ dengan hastag #WomenPower.

Beliau juga memuat naik sekeping gambar bersama Jemaah Menteri yang hadir pada mesyuarat kabinet termasuk Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Dr Wan Azizah mencipta sejarah apabila dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas Pakatan Harapan mencatatkan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet, Dr Wan Azizah mewakili kerajaan Malaysia berangkat ke Vietnam untuk memberi penghormatan terakhir kepada Presiden Vietnam Tran Dai Quang.

Upacara pengebumian berkenaan akan berlangsung pada jam 3.30 petang esok di tanah perkuburan Kim Son di wilayah Ninh Bin, tempat kelahiran Presiden Quang.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL WANITA & KEBAJIKAN

Kerajaan sasar persekitaran lebih kondusif wanita bekerja

PERAI, 24 SEPT: Kerajaan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menambah baik dasar dalam menyediakan persekitaran lebih kondusif bagi wanita, terutamanya yang mempunyai anak kecil, untuk menceburi industri pekerjaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau mengambil maklum bahawa terdapat pelbagai halangan yang dihadapi wanita dengan anak kecil untuk menumpukan perhatian kepada kerja mereka.

“Kita nak lihat bagaimana nak perbaiki masalah keadaan itu, saya tahu memang mempunyai masalah menghadapi polisi untuk memperbaiki keadaan bagi wanita yang ada anak kecil.

“Kita mesti buat usaha bersama, antara tiga sektor iaitu swasta, kerajaan dan bukan kerajaan…wujudkan persekitaran yang kondusif yang boleh memperkasakan wanita,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Wanita dalam Ekonomi di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan telah meletakkan keutamaan untuk memastikan semua agensi mempunyai pusat jagaan harian (TASKA) di premis masing-masing bagi membolehkan wanita menumpukan perhatian kepada kerja mereka.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL SUKANKINI

TPM: Semoga Chong Wei cepat sembuh

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 22 SEPT: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meminta rakyat mendoakan kesembuhan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang kini dirawat di Taiwan, akibat barah hidung.

Wan Azizah yang juga Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melahirkan rasa dukacita dengan perkhabaran itu melalui laman media twitternya, @drwanaziah

“Berduka mendengar perkhabaran Datuk Lee Chong Wei menghidap barah hidung peringkat awal.

“DCLW sedang menerima rawatan di Taiwan. Sama-sama kita mendoakan DLCW diberi kesembuhan sempurna,” katanya.

Dalam satu kenyataan, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan Chong Wei menghidap barah hidung peringkat awal dan sedang menjalani rawatan di Taiwan.

Katanya, proses rawatan berjalan lancar dan ketika ini jaguh perseorangan negara itu sedang berehat bersama keluarga dan teman rapatnya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mengambil berat dan berdoa untuk dirinya.

“Sokongan anda memberi kekuatan kepada Chong Wei,” katanya.

Categories
NASIONAL WANITA & KEBAJIKAN

TPM: Tak sokong perkahwinan bawah umur

PUTRAJAYA, 21 SEPT: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kenyataannya berhubung perkahwinan kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun baru-baru ini tidak bermakna menyokong perkahwinan bawah umur.

Beliau berkata, perkahwinan tidak harus digunakan sebagai jalan keluar daripada kepompong kemiskinan, bahkan kepentingan kanak-kanak perlu menjadi keutamaan, setiap masa.

Dr Wan Azizah berkata, kenyataannya berkaitan isu perkahwinan kanak-kanak dengan duda berusia 44 tahun di Kelantan itu dibuat berdasarkan laporan oleh Pegawai Kebajikan Masyarakat bahawa sudah mendapat kebenaran daripada Mahkamah Rendah Syariah Tumpat dan sah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), saya menegaskan kembali bahawa kita akan menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

“Saya juga sudah mempengerusikan mesyuarat bagi membincangkan isu itu bersama pihak berkepentingan yang berkaitan, pada 13 September lalu. Antara lain memutuskan KPWKM akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia untuk menyediakan kertas kerja bagi menaikkan had umur perkahwinan orang Islam sebelum dibentangkan dalam mesyuarat menteri besar dan ketua menteri untuk mendapatkan sokongan,” katanya dalam satu kenyataan lapor BERNAMA, di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata, satu kertas Kabinet juga bakal disediakan untuk menaikkan had umur minimum perkahwinan bagi bukan Islam kepada 18 tahun.

Katanya, ketua adat juga akan diberikan maklumat berhubung kesan negatif perkahwinan bawah umur terhadap kesihatan dan keselamatan kanak-kanak selain pendedahan mengapa had umur minimum dititikberatkan.

Beliau berkata, KPWKM dan Jabatan Kehakiman Syariah akan bekerjasama menggubal garis panduan lebih ketat juga menyeluruh bagi proses meluluskan perkahwinan kanak-kanak oleh Mahkamah Syariah dan antara perkara yang diberi tumpuan ialah faktor risiko kehamilan serta kelahiran, di usia muda.

Dr Wan Azizah berkata, beliau juga sudah berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Datuk Liew Vui Keong, untuk menyemak kelompongan dan ketidakseragaman antara undang-undang syariah serta sivil membabitkan perkahwinan kanak-kanak.

Selain itu, beliau sudah mengarahkan pegawainya untuk menyemak undang-undang sedia ada bagi memastikan kebajikan dan kepentingan kanak-kanak terpelihara dalam apa juga keadaan.

Katanya, pindaan undang-undang hanya sebahagian daripada usaha yang akan dilaksanakan, namun pendekatan menyeluruh harus diambil merangkumi soal pendidikan, jaringan sosial, pembasmian kemiskinan dan sistem sokongan bagi kanak-kanak.

“Perlindungan dan hak kanak-kanak adalah kepentingan utama bagi saya dan tidak akan sesekali berkompromi berkaitan hal ini,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

TPM: Kerajaan Persekutuan dukung prinsip MA63 dalam Batu Sumpah Keningau

KENINGAU, 17 SEPT: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan akan mendukung prinsip Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sebahagiannya tercatat di dalam Batu Sumpah Keningau.

Katanya kerajaan persekutuan berpendirian asas-asas utama 20 perkara MA63 yang tercatat pada Batu Sumpah Keningau harus dihormati.

“Batu sumpah ini merupakan satu artifak sejarah yang terkandung (di dalamnya) ringkasan perjanjian dan tanggungjawab kerajaan Malaysia kepada rakyat Sabah,” katanya semasa berucap merasmikan Program Memperkasa Komuniti Pengguna bersempena Sambutan Hari Malaysia 2018, di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Christina Liew dan Ketua Setiausaha KPDHEP Datuk Seri Jamil Salleh.

Baru-baru ini, batu sumpah berkenaan dipindahkan dari perkarangan Pejabat Urusetia Daerah Keningau ke Muzium Warisan Keningau dengan kos kira-kira RM1.025 juta.

Semalam, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menghadiri sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka Kota Kinabalu bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

SUMBER: BERNAMA