Categories
NASIONAL

SAMM Anjur Forum, Tampilkan Sharifah Zohra, Bawani Sebagai Panelis

logo SAMM

SHAH ALAM, 16 JAN: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah menjemput Presiden Suara Wanita Satu Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen dan mahasiswi Universiti Utara Malaysia (UUM), KS Bawani ke satu forum bertajuk ‘Kebebasan Akedemik dan Hak Asasi.’

Forum yang akan diadakan pada jam 22 Januari, 8.30 malam itu akan dilangsungkan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Kuala Lumpur.

Selain itu, turut dijemput sebagai panelis forum tersebut, Pensyarah Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik.

Menurut pengarah segmentasi mahasiswa SAMM Wan Noor Farel Azli Wan Haron jemputan kepada ketiga-tiga panelis terbabit telah pun dihantar.

“Walaupun tidak setuju dengan pemikiran Zohra yang menghalau orang yang tidak setuju dengan regim penguasa BN agar keluar dari negara ini, namun SAMM merasakan perlunya Zohra diberi ruang untuk muncul secara waras dan teratur.

?(Ini) bagi menyatakan apa sebenarnya yang berlaku dan memberi ruang beliau menyatakan pendapat.

“Situasi negatif ini harus diambil kesempatan oleh anak muda untuk menjadikannya pertembungan pendapat yang positif berasaskan fakta dan ilmu,” menurut Wan Noor Farel Azli dalam satu kenyataan hari ini.

Sharifah Zohra dikritik hebat apabila beliau cuba menghalang Bawani daripada bercakap di dalam satu forum UUM bertajuk “Seiringkah Mahasiswa dan Politik?”

Dalam forum itu Sharifah Zohra cuba memaksa Bawani untuk berhenti berhujah apabila Bawani menyebut tentang gerakan BERSIH 2.0 dan isu pendidikan percuma.

Apabila Bawani tidak menendahkannya, Sharifah Zohra mengarahkan Bawani supaya berhenti berhujah dengan berkata “listen.., listen.., listen…” hampir sepuluh kali.

Sharifah Zohra turut mencapai pembesar suara dan menjauhkan dari Bawani yang tidak sempat menghabiskan hujahnya.

Sharifah Zohra juga dikatakan berkata dalam forum sama, bahawa binatang juga sama seperti manusia, turut mempunyai masalah.

Insiden tersebut menarik perhatian pelayar internet dalam dan luar negara dan mengundang pelbagai kecaman terhadap Sharifah Zohra.

Dilaporkan bahawa laman facebook milik Sharifah Zohra dihujani dengan pelbagai kritikan yang mengata beliau tidak berani berdebat secara terbuka dan sihat.