Categories
NASIONAL

Mahasiswa Malaysia Bersatu Bersama Bawani

Mahasiswa Malaysia Bersatu Bersama Bawani 01

KUALA LUMPUR 18 JAN : Kumpulan mahasiswa daripada seluruh tanah air hari ini menyatakan sokongan terhadap KS Bawani yang semakin dikenali ekoran satu rakaman video petikan forum ‘Seiringkah Mahasiswa dan Politik?’ di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di sini pagi tadi, pelbagai wakil kumpulan mahasiswa memenuhi ruang sidang media ‘Solidariti Mahasiswa Bersama Bawani’ anjuran Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) bagi menzahirkan sokongan padu terhadap pelajar tahun kedua jurusan Undang-undang UUM itu.

“Kami mengucap tahniah kepada saudari Bawani atas semangat sosialismenya yang tinggi dalam menentang budaya pembodohan yang dibentuk rejim kerajaan di pusat-pusat pengajian tinggi sejak sekian lama.

“Semangat beliau juga kita anggap sebagai salah satu pencetus kebangkitan rakyat secara seluruhnya untuk melawan kezaliman dan penindasan rejim,” ujar seorang aktivis mahasiswa, Khalid Ismath dalam ucapan solidaritinya pagi tadi.

Sementara itu, wakil Malaysia Youth and Student Democratic Movement (DEMA), Lee Kok Wai menuntut Presiden Suara Wanita 1 Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin memohon maaf secara terbuka kepada Bawani atas tindakannya merampas hak bersuara Bawani sebagai seorang mahasiswa.

“Kami menuntut beliau memohon maaf atas sikap sombong dan angkuhnya itu.

“Kami juga berharap agar mahasiswa seluruh negara mempunyai semangat yang sama seperti Bawani untuk menentang budaya ‘dengar’ ini,” jelas Kok Wai.

Bagaimanapun, Bawani dalam ucapannya berkata, secara peribadi beliau tidak pernah berniat menuntut sebarang permohonan maaf daripada Sharifah, malah beliau meminta agar komen-komen negatif terhadap Sharifah dihentikan.

“Ini bukan isu Bawani, bukan isu Sharifah dan saya minta tolong jangan kaitkan dengan isu perkauman pula.

“Sebaliknya, kita perlu bersatu untuk memperjuangkan isu yang lebih penting iaitu isu pendidikan percuma dan hak mahasiswa dalam bersuara,” tegas gadis yang turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Psikologi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini.

Baru-baru ini, warga maya khususnya dihidangkan dengan rakaman forum tersebut yang jelas menunjukkan Bawani dinafikan hak untuk bersuara serta menyatakan pandangannya ekoran tindakan kurang matang diperlihatkan Sharifah Zohra yang bertindak selaku moderator forum.

Susulan pendedahan rakaman itu, Sharifah Zohra menerima kritikan daripada pelbagai pihak termasuk daripada Umno-BN sendiri yang menyifatkan tindakannya itu sebagai keterlaluan.

Sebaliknya, Bawani diangkat sebagai ikon mahasiswa, seterusnya menerima ribuan ucapan tahniah serta solidariti atas keberaniannya berhujah mengenai pendidikan percuma dalam forum anjuran bersama SW1M, yang dilihat sebagai satu bentuk program ‘brainwash’ golongan mahasiswa.

Mahasiswa Malaysia Bersatu Bersama Bawani 04 Mahasiswa Malaysia Bersatu Bersama Bawani 05

Categories
NASIONAL

SAMM Anjur Forum, Tampilkan Sharifah Zohra, Bawani Sebagai Panelis

logo SAMM

SHAH ALAM, 16 JAN: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah menjemput Presiden Suara Wanita Satu Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen dan mahasiswi Universiti Utara Malaysia (UUM), KS Bawani ke satu forum bertajuk ‘Kebebasan Akedemik dan Hak Asasi.’

Forum yang akan diadakan pada jam 22 Januari, 8.30 malam itu akan dilangsungkan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Kuala Lumpur.

Selain itu, turut dijemput sebagai panelis forum tersebut, Pensyarah Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik.

Menurut pengarah segmentasi mahasiswa SAMM Wan Noor Farel Azli Wan Haron jemputan kepada ketiga-tiga panelis terbabit telah pun dihantar.

“Walaupun tidak setuju dengan pemikiran Zohra yang menghalau orang yang tidak setuju dengan regim penguasa BN agar keluar dari negara ini, namun SAMM merasakan perlunya Zohra diberi ruang untuk muncul secara waras dan teratur.

?(Ini) bagi menyatakan apa sebenarnya yang berlaku dan memberi ruang beliau menyatakan pendapat.

“Situasi negatif ini harus diambil kesempatan oleh anak muda untuk menjadikannya pertembungan pendapat yang positif berasaskan fakta dan ilmu,” menurut Wan Noor Farel Azli dalam satu kenyataan hari ini.

Sharifah Zohra dikritik hebat apabila beliau cuba menghalang Bawani daripada bercakap di dalam satu forum UUM bertajuk “Seiringkah Mahasiswa dan Politik?”

Dalam forum itu Sharifah Zohra cuba memaksa Bawani untuk berhenti berhujah apabila Bawani menyebut tentang gerakan BERSIH 2.0 dan isu pendidikan percuma.

Apabila Bawani tidak menendahkannya, Sharifah Zohra mengarahkan Bawani supaya berhenti berhujah dengan berkata “listen.., listen.., listen…” hampir sepuluh kali.

Sharifah Zohra turut mencapai pembesar suara dan menjauhkan dari Bawani yang tidak sempat menghabiskan hujahnya.

Sharifah Zohra juga dikatakan berkata dalam forum sama, bahawa binatang juga sama seperti manusia, turut mempunyai masalah.

Insiden tersebut menarik perhatian pelayar internet dalam dan luar negara dan mengundang pelbagai kecaman terhadap Sharifah Zohra.

Dilaporkan bahawa laman facebook milik Sharifah Zohra dihujani dengan pelbagai kritikan yang mengata beliau tidak berani berdebat secara terbuka dan sihat.