Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dijangka stabil berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Ringgit dijangka stabil dan berada dalam aliran kenaikan pada minggu hadapan, selepas mendapat dorongan akibat kelemahan dolar AS berikutan peningkatan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta menjelangnya, mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC)

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes menjangkakan dolar AS akan jatuh minggu hadapan memandangkan lembaga pengarah Rizab Persekutuan akan sangat berhati-hati dalam keputusan mengenai kadar faedah.

Ini akan memberi kesan ke atas risiko pertukaran asing Asia (FX) tetapi tidak terlalu dramatik.

“Saya menjangkakan tahap ujian pada 4.25 menjelang minggu hadapan dan pemacu utama adalah prestasi dolar US.

“Kelemahan dolar AS akan memberi kelebihan kepada pasaran tempatan memandangkan setiap kali dolar US susut, pasaran Asia akan mendapat faedah kerana kelemahan ini akan menarik pelaburan AS ke Asia,” katanya kepada Bernama.

Mesyuarat FOMC akan diadakan pada 28 dan 29 Julai ini.

FOMC pada 16 Mac lepas telah mengurangkan penanda aras kadar faedah kepada sifar disebabkan wabak Covid-19 telah menjejaskan rakyat dan merencatkan aktiviti ekonomi di banyak negara termasuk AS.

Innes, bagaimanapun, berkata disebabkan oleh kesan daripada ketegangan AS-China, mata wang tempatan akan bergerak antara 4.25 dan 4.27 setiap dolar.

Dari Jumaat ke Jumaat, ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS pada 4.2620/2660 daripada 4.2630/2680 yang direkodkan tujuh hari lebih awal.

Berbanding dengan mata wang utama yang lain, ringgit diniagakan bercampur-campur.

Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0764/0797 semalam daripada 3.0658/0698 yang direkodkan pada Jumaat sebelumnya dan menurun berbanding yen Jepun kepada 4.0068/0117 daripada 3.9774/9836.

Mata wang tempatan itu susut berbanding pound British kepada 5.4268/4336 daripada 5.3467/3546 dan melemah berbanding euro kepada 4.9426/9481 daripada 4.8649/8719 sebelum ini.

Ringgit dipengaruhi oleh prestasi dolar AS, kes Covid-19 di AS, pergerakan harga minyak dan penutupan konsulat China di Houstan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

LGE : DAP Penang Bela Islam, Melayu Lebih Dari BN Penang

lim guan eng konvesyen PR 01

 

SHAH ALAM 25 FEB : Setelah lima tahun difitnah Umno-BN bahawa ia anti-Islam dan anti-Melayu, kini Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah membuktikan bahawa ia telah lebih membantu masyarakat Melayu-Islam daripada Kerajaan Umno-BN dahulu.

Ini diikhtiraf, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, oleh mahkamah Malaysia sendiri apabila beliau menang dua kes saman terhadap akhbar milik Umno-BN Utusan Malaysia.

Di dalam kedua-dua kes itu, Utusan Malaysia didapati bersalah menfitnah Guan Eng sebagai anti-Islam.

Ini susulan pertambahan peruntukkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke institusi agama seperti Sekolah Agama Rakyat dan dana bagi program-program agama.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah mewujudkan Tapak Perindustrian Halal, menambah elaun bulanan sebanyak 80 peratus kepada tok siak dan bilal dan mengiktiraf para huffaz.

“Di Pulau Pinang, kita meningkatkan peruntukan hal ehwal Islam berkali-kali ganda berbanding Kerajaan BN.

“Malah, status agama Islam sebagai agama persekutuan juga telah dimasukkan ke dalam perlembagaan DAP,” tegas Guan Eng.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 2,000 perwakilan di Shah Alam Convention Centre (SACC) pagi tadi sempena Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke empat.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu pengaliran wang haram ke luar negara yang dilihat semakin kronik dan merugikan rakyat.

Laporan badan pemerhati kewangan antarabangsa, Global Finance Integrity yang berpengkalan di Washington mendedahkan sejumlah RM 197 billion pengeluaran wang haram berlaku di Malaysia pada tahun 2010.

Jumlah itu menjadikan jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM 871 billion sepanjang sepuluh tahun bermula pada tahun 2001 sehingga 2010.

“Maka penting bagi kita semua bangkit menghapuskan amalan rasuah dan penyelewengan wang yang sangat merugikan rakyat.

“Bayangkan jika wang itu dapat diselamatkan, pasti ia dapat disalurkan untuk kepentingan dan kebajikan rakyat,” jelasnya lagi.