Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

4,000 ‘hotspot’ WiFi percuma menjelang akhir tahun

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 30 OGOS: Pembangunan infrastruktur telekomunikasi melalui capaian jalur lebar (WiFi) di Selangor bakal diperluaskan dengan 4,000 ‘hotspot’ ke seluruh negeri, menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Urusan SMARTSEL Sdn Bhd, Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir berkata, sehingga kini jumlah kawasan ‘hotspot’ yang terdapat di negeri ini ialah sebanyak 3,600 termasuk di kawasan luar bandar.

Katanya, pelaksanaan itu menjadi saksi kepada inisiatif Kerajaan Negeri bagi memastikan semua rakyat mendapat akses melalui capaian jalur lebar berkelajuan tinggi secara percuma, sekali gus merapatkan jurang digital di Selangor khususnya.

“Justeru, kami sudah memilih beberapa kawasan terutama di kawasan luar bandar bagi membangunkan dan menambahbaik perkhidmatan internet ini.

“Sudah pasti kawasan terbabit adalah yang menjadi tumpuan orang ramai seperti di bandar dan stadium serta kampung. Bagaimanapun, beberapa perkara perlu ditangani dahulu seperti permasalahan yang timbul ketika penggunaannya sebelum ini,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) SMARTSEL Sdn Bhd dan Korea Telecom (KT) Corporation, di sini, petang ini.

Turut hadir menyaksikan pertukaran dokumen MoU itu ialah Dato’ Menteri Besar , Amirudin Shari; EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy serta Naib Presiden Perniagaan Global KT Corporation, Byeong Moo Lee.

Pada masa sama, Mohamad Suhaimi berkata, penambahan kawasan ‘hotspot’ itu penting dalam menangani kekangan capaian perkhidmatan jalur lebar berkenaan.

“Disebabkan perkhidmatan ini percuma, kami tidak menafikan bahawa ramai yang menggunakannya dan buat masa ini untuk setiap ‘hotspot’ hanya dihadkan kepada 30 pengguna pada satu tempoh masa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap dengan termeterainya MoU itu bakal memberi peluang kepada Selangor untuk menerokai bidang teknologi digital, seiring dengan hasrat mencapai status ‘Smart State’ menjelang 2025.

Katanya, SmartSel juga mahu menyediakan perkhidmatan jalur lebar lebih pantas meliputi kawasan yang lebih luas dan lebih murah bukan sahaja di bandar, bahkan di luar bandar.

Terdahulu, SMARTSEL merupakan anak syarikat Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI), manakala KT Corporation adalah penyedia perkhidmatan telekomunikasi terbesar di Korea Selatan dan antara pemain utama teknologi global yang menyediakan penyelesaian teknologi inovatif.

Categories
SELANGOR

Perkhidmatan Wifi Percuma Smart Selangor diperluas 4,100 hotspot

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KAJANG, 24 MEI: Kerajaan Negeri mensasarkan untuk meluaskan pemasangan perkhidmatan Wifi Percuma Smart Selangor kepada 4,100 hotspot dengan liputan lebih luas ke semua daerah dan DUN tahun ini.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pemasangan ke semua daerah dan DUN itu dilaksanakan dengan kebolehcapaian dan kelajuan lebih tinggi.

“Kawasan dipilih berpendudukan padat, kawasan tumpuan orang ramai, pusat membeli belah dan kawasan tumpuan penuntut IPT di negeri ini.

“Kita juga akan memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar supaya ia dapat menjadi saluran komunikasi efektif antara rakyat dan Kerajaan Negeri,” katanya ketika sidang media.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran WiFi #SmartSelangor 2017 DUN Kajang di Apartment Sri Ros, Kajang, di sini hari ini.

Wifi #SmartSelangor merupakan perkhifmatan Wifi percuma yang disediakan Kerajaan Negeri untuk kegunaan orang awam di lebih 3,000 hotspot seluruh negeri.

Inisiatif peduli rakyat ini bertujuan merapatkan jurang digital serta meningkatkan taraf kehidupan masyarakat.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Wifi percuma mudahkan pelancong dan pelajar

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 SEP: Inisiatif Kerajaan Negeri menyediakan Wifi Selangorku di 2,500 hotspot seluruh negeri adalahberita gembira kepada penduduk di Selangor.

Kakitangan Swasta, Shana Shang, 28, berkata dia gembira dan pada masa sama berharap kawasan perumahannya dipilih menjadi lokasi pelaksanaan perkhidmatan itu.

photo 2Katanya, jika sebelum ini dia perlu membayar untuk mendapatkan perkhidmatan itu, namun melalui pemberian WiFi percuma ternyata mampu mengurangkan kos dan membolehkannya menjalankan urusan harian dengan lebih mudah.

“Bagi saya, usaha ini wajar dipuji. Tidak semua pengguna mampu melanggan data internet terutama pelajar dan golongan kurang berkemampuan.

“Kemudahan Wifi juga memudahkan pelancong yang datang melawat ke Selangor terutama mencari tempat yang popular dari semasa ke semasa,” katanya kepada Selangor Kini.

Sementara itu, Nataf Zulkifli, 29, menyifatkan kemudahan itu boleh dimanfaat kepada peniaga atas talian.

photo 3Katanya, peniaga boleh memasarkan produk melalui perkhidmatan Wifi yang disediakan tanpa perlu mengeluarkan wang sendiri.

“Bagi peniaga, internet menjadi landasan penting kepada mereka khususnya dalam membuat pembayaran bil serta mempromosikan produk.

“Justeru, perkhidmatan mengakses internet secara percuma yang ditawarkan Kerajaan Negeri adalah pendekatan terbaik yang dapat memajukan rakyat di samping memperluaskan lagi pengetahuan khusus bagi golongan muda,” katanya.

Suri Rumah, Yushida Yusof, 37, berharap kemudahan Wifi percuma itu terus memberikan perkhidmatan terbaik dengan kelajuan mengakses internet yang sangat memuaskan walaupun bilangan pengguna ramai.

“Sudah tentu gembira mendengar inisiatif ini. Bagi pelajar, mereka diharap dapat menggunakan kemudahan ini sebaiknya,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Lokas Hot Spot Wifi Selangorku Bakal Ditambah Menjadi 224

wifi percuma

SHAH ALAM, 1 JULAI: Lokasi hot spot wifi percuma Selangorku bakal ditambah daripada 112 kepada 224 lokasi.

Sejak dilancarkan pada 2010 dibawah Geran Selangorku ia menunjukkan peningkatan pengguna secara mendadak.

Atas peningkatan tersebut menyebabkan Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk menambah lokasi hot spot tersebut pada tahun ini juga.

“Sehingga kini Kerajaan Negeri sudah membelanjakan RM572,741.67 bagi memperluaskan perkhidmatan wifi percuma ke seluruh Selangor,” ujar Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi dalam Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menurut Dr Daroyah, pada 2010 kemudahan tersebut mencatatkan seramai 5,287 orang pengguna meningkat kepada 7,307 (2011), 7,324 (2012) dan setakat 30 Jun 2013 sahaja sudah mencatatkan peningkatan mendadak kepada 51,336 pengguna.

Menurut Dr Daroyah lagi, Kerajaan Negeri mensasarkan sebanyak dua lokasi hot spot di setiap kawasan DUN di Selangor.