Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri tanggung hampir RM300,000 tanggungjawab Persekutuan

OLEH LIZAWATI MADFA

HULU SELANGOR, 25 OGOS: Sejumlah RM296,000 dibelanja Kerajaan Negeri bagi membina semula jambatan di Kampung Baru Gurney, di sini, walaupun ia tanggungjawab Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, jambatan asal dibiayai Kerajaan Persekutuan namun tiada tindakan lanjut walaupun keperluan jambatan baru disuarakan, sejak 2012.

Katanya, Kerajaan Negeri bagaimanapun bersetuju mengeluarkan peruntukan selepas mengambil kira keperluan mendesak lebih 1,000 penduduk di kampung berkenaan.

HULU SELANGOR EAN (2)“Seharusnya Kerajaan Persekutuan beri peruntukan, malangnya tiada bantuan walaupun ia adalah tanggungjawab mereka. Kita kesal dengan sikap sebegitu, namun tidak mengapa kerana Kerajaan Negeri sentiasa bersedia demi kemudahan penduduk,” katanya selepas menyertai lawatan kerja ke tapak jambatan dengan disertai Jurutera Daerah Hulu Selangor (JPS), Halim Masri.

Halim berkata, kerja pembinaan mula dibuat pada 21 Julai lalu dan dijangka siap pada 14 September ini.

Katanya, ia bagaimanapun hanya boleh dilalui kenderaan kecil seperti motosikal, basikal serta pejalan kaki.

“Itu permintaan penduduk di sini untuk membina jambatan konkrit untuk laluan berkapasiti kecil bagi memudahkan penduduk terutama pelajar ke sekolah.

“Ia tidak sesuai untuk laluan kereta, maka kita penuhi permintaan penduduk seperti diminta Kerajaan Negeri,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Gangguan Air Lebih Dua Hari Libatkan 70,000 Pengguna Selangor, KL

Miter_air_Syabas

SHAH ALAM 18 Jun : Beberapa kawasan di Lembah Klang dan Hulu Selangor akan mengalami gangguan bekalan air selama lebih dua hari bermula lapan pagi ini sehingga 8 malam hari Khamis.

Ini bagi melakukan kerja-kerja penukaran dan penambahbaikan injap pengepaman air bersih di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1.

Menurut kenyataan media Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), kerja-kerja penyenggaraan akan mengambil masa 8 jam, manakala pemulihan bekalan air memakan masa 48 jam.

Syabas menjangkakan hentitugas separa ini akan menyebabkan gangguan bekalan air lebih 74,890 pengguna di Kuala Lumpur, Bukit Damansara, Gombak, Hulu Selangor dan Petaling.

Sebagai langkah persediaan awal, SYABAS telah meletakkan kakitangannya untuk menghadapi hentitugas berjadual ini termasuk meletakkan 42 buah lori tangki dalam keadaan tunggu sedia serta menyediakan 525 buah tangki statik.

Kawasan tersebut ialah :

Wilayah Gombak
Bandar Sri Damansara; Kepong Industrial Park; Kawasan Industri Tago; Sunway SPK; Wangsa Permai; Desa Park City; Taman Bukit Maluri; Manjalara Kepong; Desa Aman Puri; Medan Putra; Country Height Damansara dan Sunway SPK Harmoni 3.
Jumlah akaun : 21,947 akaun

Wilayah Hulu Selangor
Kampung Sungai Serai; seluruh Kuang; Kampung Baru; Kampung Melayu Sri Kundang; Kampung Permata; Taman Desa;
Bandar Baru Kundang; Kundang Jaya; Bandar Tasik Puteri; Taman Tasik Biru dan Taman Perindustrian.
Jumlah akaun: 13,040 akaun

Wilayah Petaling
Bukit Rahman Putra; Taman Impian Indah; Taman Sri Putra; Saujana Akasia; Taman Sri Putra Mas; Taman Matang Jaya dan Kampung Matang Pagar.
Jumlah akaun : 7,340 akaun

Wilayah Kuala Lumpur
Bukit Kiara
Sebahagian Kawasan Bukit Damansara

Manakala kawasan yang mengalami gangguan tekanan rendah termasuk :

Wilayah Petaling

Kuarters Penjara Sungai Buloh; Kampung Kubu Gajah; Kampung Merbau Sempak; Desa Moccis; Kampung Paya Jaras; Hospital Kusta; Kampung Baru Sungai Buloh (Kampung Baru Cina); Kampung Desa Aman; PJU10, Saujana Damansara; PJU10, Prima Damansara.
Jumlah akaun : 21,248 akaun

Wilayah Kuala Lumpur
Segambut

Pengguna dinasihatkan agar menyimpan bekalan air secukupnya serta menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan tersebut. Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) di 1-800-88-5252 atau SMS dengan menaip PUSPEL dan hantar ke 39222.