Categories
NASIONAL

Agong harap lawatan ke UAE rintis laluan pertingkat peluang ekonomi

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berharap lawatan khas tiga hari baginda ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berakhir Jumaat lepas, akan merintis laluan ke arah kerjasama ekonomi yang lebih baik antara Malaysia dan negara Teluk Arab itu.

Dalam kenyataan hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Sultan Abdullah gembira dengan hasil lawatan itu dan menzahirkan perasaan itu semasa menerima menghadap Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam.

Seri Paduka turut berkongsi butiran perbincangan baginda dengan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan yang memberi tumpuan kepada beberapa isu, termasuk langkah untuk terus mempertingkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

“UAE merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di rantau Timur Tengah. Justeru, beta berharap lawatan khas ke UAE ini akan menghasilkan penerokaan potensi peluang ekonomi antara kedua-dua negara, merintis laluan ke arah kerjasama dan pelaburan di masa depan.

“Pertemuan dengan Menteri membantu dalam memastikan peluang ini menjadi kenyataan kerana beliau dan rakan sejawatannya akan dapat membawa perkara ini ke peringkat seterusnya dalam memperkembangkan potensi usahasama dua hala,” titah Seri Paduka.

Majlis menghadap oleh Azmin menandakan pertemuan rasmi pertama antara Sultan Abdullah dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi untuk membincangkan perkara berkaitan ekonomi negara.

Sultan Abdullah juga dijadual menerima menghadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin hari ini.

“Beta gembira kerana dapat berkomunikasi dengan Menteri berhubung lawatan beta ke UAE yang sangat produktif,” titah Seri Paduka.

Sultan Abdullah dan Sheikh Mohamed berkongsi sejarah bersahabatan yang sangat panjang, bermula sejak baginda berdua menjalani latihan ketenteraan di Royal Military Academy, Sandhurst di United Kingdom dari 1978 hingga 1979.

Keakraban persahabatan baginda berdua terserlah dalam beberapa detik semasa lawatan itu, antaranya ketika Sheikh Mohamed menghadiahkan Seri Paduka foto berbingkai yang merakamkan kenangan semasa baginda berdua di Sandhurst. – BERNAMA

Categories
GLOBAL

Lawatan khas Yang di-Pertuan Agong kukuh hubungan Malaysia-UAE

ABU DHABI, 16 JUN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengakhiri lawatan khas tiga hari ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jumaat yang memperkukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan negara Teluk Arab itu.

Ia merupakan lawatan pertama Seri Paduka ke UAE selepas mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari.

Semasa lawatan itu, Sultan Abdullah mengadakan perbincangan dengan Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan – yang secara kebetulan adalah rakan kolej baginda pada tahun 1970-an

Sultan Abdullah dan Sheikh Mohamed menuntut di Royal Military Academy, Sandhurst di United Kingdom dan persahabatan akrab mereka terserlah dalam pelbagai detik semasa lawatan tersebut, termasuk ketika Sheikh Mohamed menyampaikan foto yang merakamkan kenangan kedua-dua mereka bersama ketika di Sandhurst.

Sheikh Mohamed datang sendiri ke hotel penginapan Sultan Abdullah menginap untuk menjemput Seri Paduka sebelum menuju ke Istana Presiden bersama untuk upacara sambutan rasmi ketika baginda memulakan lawatan.

Sultan Abdullah dan Sheikh Mohamed merapatkan bahu ketika kedua-dua mereka menunaikan solat Jumaat di Masjid Besar Sheikh Zayed di ibu negara UAE sebelum mengucapkan selamat jalan di terminal Presiden Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi semasa Seri Paduka mengakhiri lawatan.

Semasa lawatan, Sultan Abdullah berkenan bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri UAE dan Menteri Hal Ehwal Kepresidenan Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan dan Menteri Toleransi Sheikh Nahyan bin Mubarak Al Nahyan.

Dalam satu kenyataan, Istana Negara menyatakan bahawa layanan istimewa yang diberikan kepada Seri Paduka mencerminkan persahabatan erat yang terjalin antara mereka sejak kedua-dua pemimpin itu bertemu lebih 40 tahun yang lalu.

Menurut kenyataan itu, secara keseluruhan, lawatan khas itu merintis jalan bagi memupuk hubungan dan kerjasama dua hala yang lebih mendalam antara Malaysia dan UAE dan menjadi saluran untuk bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan global demi kepentingan bersama.

Seri Paduka berpuas hati sepenuhnya dengan lawatan khas ke UAE dan berharap momentum ini akan berterusan kerana kedua-dua negara sedang berusaha untuk meningkatkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang, kata kenyataan itu.

Timbalan Menteri Luar Malaysia, Datuk Marzuki Yahya, yang mengiringi Sultan Abdullah dalam lawatan berkata lawatan khas itu pasti akan meningkatkan hubungan Malaysia-UAE dalam jangka panjang dan dijangka mewujudkan lebih banyak peluang dan kerjasama dalam pelbagai bidang.

“Hubungan kami semakin kukuh. Lawatan ini mencerminkan hubungan dua hala yang mesrat dan akrab antara kedua-dua negara, ” katanya.

Turut hadir semasa lawatan khas itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, Duta Besar Malaysia ke UAE Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Datuk Yubazlan Yusof.

Yang di-Pertuan Agong turut berangkat menghadiri perjumpaan dengan rakyat Malaysia yang menetap di UAE dan berkenan melawat ke Wahat Al-Karama, tugu peringatan untuk wira-wira UAE yang gugur demi berkhidmat untuk negara serta berangkat melawat Muzium Louvre di Abu Dhabi. – BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Agong solat Jumaat di Masjid Sheikh Zayed akhiri lawatan ke UAE

ABU DHABI, 14 JUN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengakhiri lawatan khas tiga hari baginda ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan menunaikan solat Jumaat di Masjid Sheikh Zayed dan melawat Muzium Louvre Abu Dhabi.

Sultan Abdullah yang tiba di Abu Dhabi sejak Rabu, berkenan menunaikan solat Jumaat di masjid itu, merupakan antara masjid terbesar di dunia yang memperlihatkan ciri-ciri unik di antara seni Islam dan budaya dunia.

Turut berangkat mengiringi Seri Paduka ialah Putera Mahkota Abu Dhabi merangkap Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

ABU DHABI, 14 Jun — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan menunaikan Solat Jumaat di Masjid Sheikh Zayed pada lawatan khas baginda hari ini.–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Baginda berdua disertai Timbalan Menteri Luar Malaysia Datuk Marzuki Yahya selaku Menteri Pengiring, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, Duta Besar Malaysia di UAE Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai Datuk Yubazlan Yusof.

Terdahulu pada awal pagi Jumaat, Seri Paduka berkenaan mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli perniagaan Malaysia di Abu Dhabi dalam satu majlis ringkas dan tertutup di Emirates Palace Hotel.

Pada petangnya, Sultan Abdullah meluangkan masa melawat Louvre Abu Dhabi, sebuah muzium kesenian dan ketamadun pertama di dalam dunia Arab yang menyerlahkan semangat keterbukaan dan kepelbagaian budaya dunia.

Baginda kemudian berangkat pulang ke Kuala Lumpur pada petang Jumaat waktu tempatan.

Ini merupakan lawatan pertama Sultan Abdullah ke UAE selepas mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16 pada 31 Jan.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Agong berangkat ke Majlis Santapan Aidilfitri di Istana Negara

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Santapan Aidilfitri di Istana Negara.

Terdahulu, baginda berdua menerima menghadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Dewan Seri Mahkota, Istana Negara.

Baginda kemudiannya berkenan bersantap bersama anggota kabinet kerajaan, kerabat, dif-dif kenamaan utama dan duta-duta asing di Dewan Santapan Utama, Istana Negara.

KUALA LUMPUR, 5 Jun — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bersalaman dengan tetamu yang hadir pada Majlis Ramah Mesra dan Santapan Raya bersama Perdana Menteri dan Ahli Jemaah Menteri di Istana Negara hari ini.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Baginda turut beramah mesra dan bersalam-salaman dengan para tetamu yang hadir usai majlis santapan yang berlangsung kira-kira sejam.

Awal pagi tadi, Sultan Abdullah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara di sini.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Berbuka puasa bersama Agong kenangan manis buat rakyat

RAUB, 2 JUN: Peluang berbuka puasa bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjadi kenangan tersendiri buat warga emas Raub, Mahayuddin Abdullah, yang jelas tidak berhenti tersenyum apabila diminta ‘bercerita’ mengenainya.

Mahayuddin, 66, yang berasal dari Kampung Gali di sini berkata dia dan rakannya Mat Soad Duhsan, 65, bertolak dari rumah mereka seawal jam 4 petang, kerana perlu ‘menumpang kereta orang’ untuk ke majlis yang diadakan di Masjid Sultan Abu Bakar di sini.

“Bukan senang untuk berbuka puasa dengan Sultan… dahulu semasa muda, kami pernah juga menghadiri majlis berbuka puasa dengan Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah (ayahanda kepada Sultan Abdullah). Seronok bila tradisi ini diteruskan. Kami dapat tahu (tentang majlis ini) daripada orang kampung.

“Sultan Abdullah benar-benar menurun sifat Almarhum Sultan Ahmad Shah. Kami sengaja berdiri di laluan masuk khemah makan dengan harapan dapat bersalaman dengan Sultan Abdullah. Cara baginda menegur, memang sama dengan cara ayahandanya bila bertemu rakyat,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Terdahulu, Sultan Abdullah berkenan mencemar duli untuk berbuka puasa bersama-sama hampir 3,000 penduduk Raub di masjid itu, yang turut dihadiri Tengku Puteri Seri Teja Pahang, Tengku Datuk Muhaini Sultan Ahmad Shah; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman; dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin.

Pada majlis itu, seramai 395 penerima terdiri daripada golongan asnaf, anak yatim dan pelajar maahad tahfiz dari Raub turut menerima sumbangan wang tunai serta barangan keperluan, yang disampaikan Sultan Abdullah dan Tengku Muhaini.

Penghuni Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Afzan di sini, Nurul Syahirah Sahar, 17, berkata dia mahu menggunakan sumbangan itu untuk membeli baju raya untuk ibunya, Siti Hajar Mahmud, 52, yang masih tidak mempunyai baju baharu.

“Saya sudah ada sepasang baju kurung yang dibeli menggunakan wang sumbangan orang… cukuplah untuk saya. Sekurang-kurangnya saya dan ibu boleh ke masjid dengan baju baharu tahun ini,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu.

Pelajar Maahad Tahfiz Azizurrahman di sini, Ubay Azli, 15, pula berhasrat membeli kelengkapan asrama dengan menggunakan wang itu, kerana keluarganya sudah membuat persiapan hari raya.

Katanya, sumbangan itu membolehkan dia yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik, tidak perlu meminta wang saku daripada orang tua untuk beberapa bulan, sekali gus meringankan beban kewangan keluarga.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Agong berkenan berbuka puasa bersama kakitangan istana

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama kakitangan istana di Istana Negara di sini, malam ini.

Ketibaan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong pada kira-kira pukul 7 petang disambut oleh pegawai-pegawai kanan istana.

Turut hadir kerabat-kerabat diraja Pahang dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Seramai kira-kira 550 warga istana hadir ke majlis itu termasuk anggota keselamatan istana.

Pada majlis itu juga, Yang di-Pertuan Agong berkenan menyampaikan Pengurniaan Ampun Kurnia Aidilfitri kepada 30 orang wakil anggota Istana Negara dan turut memberi sumbangan kepada lima orang wakil peniaga Bazar Jalan Masjid India yang terlibat dalam insiden kebakaran pada 21 Mei lepas.

Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah kemudiannya berangkat menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih serta bertahlil bersama-sama hadirin selepas majlis berbuka puasa itu.

Terdahulu, Tunku Azizah Aminah berbesar hati berkongsi air tangannya memasak bubur lambuk sempena Program Memasak Bubur Lambuk bersama warga Istana Negara pada sebelah petang.

Bubur lambuk yang dimasak Raja Permaisuri Agong itu kemudiannya diedarkan kepada seluruh kakitangan Istana Negara.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tengku Maimun angkat sumpah Ketua Hakim Negara hadapan Agong

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat di Istana Negara, hari ini.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu kemudiannya mengangkat dan melafazkan sumpah sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.

Pelantikan Tengku Maimun yang berkuat kuasa 2 Mei lepas dibuat selaras dengan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan Tan Sri Richard Malanjum yang bersara pada 12 April.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Ketua Hakim Negara yang berlangsung di Singgahsana Kecil istana tersebut turut dihadiri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Peguam Negara Tommy Thomas.

Pelantikan Tengku Maimun itu sekali gus mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama memegang jawatan tertinggi badan kehakiman negara.

Berkelulusan dari Universiti Malaya, Tengku Maimun, yang akan berumur 60 tahun pada Julai ini, memulakan kariernya sebagai pegawai undang-undang di Lembaga Pembangunan Kelantan Selatan (Kesedar) pada tahun 1982.

Pada 1984, beliau menjadi pegawai undang-undang di Majlis Perbandaran Seremban selama dua tahun sebelum menyertai Jabatan Peguam Negara di Bahagian Gubalan.

Dilahirkan di Kota Bahru, Kelantan, Tengku Maimun turut memegang beberapa jawatan termasuk majistret, hakim Mahkamah Sesyen, peguam persekutuan dan penolong kanan pendaftar serta pegawai khas kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Beliau dilantik sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 2005 sebelum dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2006 dan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada tahun berikutnya.

Beliau kemudian dinaikkan pangkat menjadi Hakim Mahkamah Rayuan pada 2013 dan seterusnya dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan pada November tahun lepas.

– BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Agong zahir takziah, simpati keluarga Muhammad Haziq

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, remaja Malaysia yang terkorban dalam insiden tembakan rambang di Christchurch, New Zealand, pada 15 Mac lalu.

Baginda turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya menghormati perasaan serta memberikan sokongan kepada keluarga mangsa yang maut dan juga cedera dalam mengharungi ujian itu.

“Seri Paduka juga mengingatkan rakyat Malaysia supaya menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan dan hasutan berunsur kebencian yang disebarkan melalui pihak-pihak tidak bertanggungjawab, termasuk menggunakan alasan kebencian terhadap ajaran Islam dan penganutnya.

“Tiada agama yang mendorong penganutnya untuk mengamalkan sebarang bentuk keganasan terhadap individu yang lain,” menurut kenyataan Istana Negara yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Yang di-Pertuan Agong juga menzahirkan penghargaan kepada Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah di atas perhatiannya dalam mengendalikan insiden itu, termasuk dengan menghantar pegawai kanan daripada kementerian dan juga pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington untuk berada di Christchurch bagi menghulurkan bantuan yang sewajarnya.

Baginda turut merakamkan penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang turut ke Christchurch bagi memberi sokongan dan bantuan.

“Penghargaan juga kepada kerajaan New Zealand atas kerjasama dan bantuan yang dihulurkan kepada para mangsa yang terlibat termasuk daripada segi mendapatkan rawatan perubatan yang diperlukan,” menurut baginda.

Muhammad Haziq antara 50 orang yang terbunuh dalam tembakan rambang pada 15 Mac lalu yang dilakukan seorang lelaki pengikut ideologi ketuanan bangsa kulit putih di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood di Christchurch.

Bapa Mohd Haziq, Mohd Tarmizi Shuib, 42, dan dua lagi rakyat Malaysia, Muhammad Nazril Hisham Omar, 46, dan Rahimi Ahmad, 39, turut cedera dalam serangan itu.

– BERNAMA