Categories
AGENDA NASIONAL

Agong zahir keprihatinan isu ekonomi, kesejahteraan rakyat

KUALA LUMPUR, 28 APRIL: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima menghadap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk mendengar sendiri langkah kerajaan bagi menangani impak Covid-19 terhadap kedudukan kewangan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata menerusi sidang video selama 30 minit di Istana Negara petang ini, Seri Paduka berkenan mengambil maklum mengenai peranan MITI dan langkah-langkah yang dilaksanakan oleh kementerian itu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penularan Covid-19 sejak 18 Mac lepas.

“Sesi hari ini mencerminkan keprihatinan tinggi Seri Paduka terhadap langkah-langkah yang telah diputuskan dan dilaksanakan oleh kerajaan demi mengimbangi kesihatan rakyat dan pada masa sama bertanggungjawab menangani kesan kepada ekonomi negara.

“Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menzahirkan sokongan terhadap langkah-langkah tersebut, khususnya usaha-usaha memastikan bekalan makanan dan keperluan asas untuk rakyat mencukupi dan tidak terputus sepanjang tempoh PKP berkuatkuasa,” katanya dalam kenyataan Istana Negara hari ini.

Sesi sidang video bersama Mohamed Azmin, yang juga Menteri Kanan (Kluster Ekonomi), adalah yang ketiga bersama menteri Kabinet semasa PKP selepas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka mengambil maklum dengan keputusan Jemaah Menteri menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Membendung Impak Covid-19 ke atas ekonomi dan pasaran buruh yang diterajui bersama oleh MITI dan Kementerian Pertahanan.

Al-Sultan Abdullah amat menghargai keputusan tersebut kerana kerajaan perlu menangani kesan Covid-19 kepada ekonomi negara, khususnya kemudaratan terhadap kedudukan kewangan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Memberi perhatian terhadap impak Covid-19 kepada kedudukan dan prestasi ekonomi negara susulan pelaksanaan PKP yang menyebabkan banyak sektor pembuatan dan perkhidmatan tidak beroperasi, Ahmad Fadil berkata: “Seri Paduka Baginda turut prihatin terhadap kesan pandemik ini kepada industri kecil dan sederhana (IKS) serta nasib para pekerja di negara ini.”

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah menitahkan semua 1.5 juta pekerja dan majikan dalam sektor dan industri yang dibenarkan beroperasi semasa PKP untuk mematuhi syarat-syarat prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan ditetapkan bagi sektor masing-masing oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi penguatkuasaan.

Setiap majikan dan pekerja dinasihati tidak mengambil sikap sambil lewa dalam mematuhi SOP dan garis panduan ditetapkan untuk mengelakkan pertambahan kluster-kluster jangkitan Covid-19 yang baharu.

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar langkah-langkah yang telah dan akan dilaksanakan kerajaan dapat membantu mengurangkan impak kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

“Seri Paduka Baginda amat memahami situasi yang dihadapi oleh semua pihak, termasuk rakyat, susulan daripada pelaksanaan PKP yang telah memasuki minggu keenam ini.

“Justeru, Seri Paduka menyeru kepada semua untuk terus bersabar dan tabah mengharungi situasi ini sehingga keadaan kembali pulih seperti sedia kala,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong adakan pertemuan dengan 222 Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap 222 Ahli Parlimen untuk sesi temu bual peribadi bersama Seri Paduka.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata temu bual ringkas kira-kira dua ke tiga minit seorang bertujuan mendapatkan maklum balas serta pendapat setiap anggota Dewan Rakyat mengenai situasi politik negara.

Temu bual yang akan disaksikan oleh Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali itu, melibatkan dua kumpulan iaitu 90 Ahli Parlimen untuk sesi hari ini dan 132 lagi bagi sesi esok.

Ahmad Fadil berkata sesi temu bual pada hari ini dijadual bermula pukul 2.30 petang.

Ahmad Fadil berkata, kesemua Ahli Parlimen yang hadir tidak akan dibahagikan mengikut parti masing-masing kerana ia melibatkan individu.

“Semuanya akan dipanggil. Tiada yang terkecuali. Lepas itu, mereka akan dipanggil seorang demi seorang.

“Saya percaya ini yang pertama kali berlaku dalam peringkat Persekutuan. Seri Paduka Baginda ingin melaksanakan temuduga ini secara telus supaya media tidak membuat sebarang spekulasi. Kita akan berkongsi (maklumat perkembangan terkini) dari semasa ke semasa,” katanya.

“Apa yang dipraktikkan oleh Seri Paduka adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang mana Artikel 43 (2) menyatakan Baginda perlu mendapat kepercayaan, keyakinan seseorang yang telah dipilih dan ia adalah menerusi temu bual ini,” katanya.

Kepada soalan sama ada Perdana Menteri sementara Tun Dr Mahathir Mohamad akan hadir pada sesi temuduga itu, Ahmad Fadil berkata : “beliau telahpun menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam, jadi saya rasa itu tidak perlu”.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka turut bertitah bahawa keadaan negara ketika ini aman dan proses keamanan ini akan terus terjamin di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong dan Permaisuri berkunjung ke The Habitat

GEORGE TOWN, 21 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat The Habitat, antara destinasi tarikan yang terdapat di Bukit Bendera.

Seri Paduka berdua menaiki funikular ke stesen atas puncak Bukit Bendera pada 4.30 petang diiringi Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan isteri Tan Lean Kee serta Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera (PHC) Datuk Cheok Lay Leng.

Semasa lawatan di The Habitat, Seri Paduka berdua diberikan taklimat oleh pengasas The Habitat, Harry Cockrell.

The Habitat yang terletak di puncak Bukit Bendera berada dalam Hutan Simpanan Kekal Bukit Kerajaan di mana pengunjung dapat menikmati keindahan alam semulajadi secara dekat.

Selain itu, ia turut menempatkan beberapa bangunan bersejarah seperti Bel Retiro, Convalescent dan Fern Hill.

Laluan hutan yang merentasi The Habitat diberi nama Denai Alam Semulajadi. Denai sepanjang 1.6 kilometer itu ibarat sempadan kepada Hutan Simpanan Kekal Bukit Kerajaan itu.

Hutan simpanan kekal yang berusia 130 juta tahun itu diwartakan pada 1911 dan merupakan antara hutan simpanan yang tertua di negara ini.

Sepanjang lawatan tersebut, Al-Sultan Abdullah turut meluangkan masa melawat Curtis Crest Tree Top Walk.

Ketika Al-Sultan Abdullah berada di Curtis Crest Tree Top Walk, Tunku Azizah yang berada di bawah sempat mengusik Seri Paduka dengan bertanya: “Nana oh Nana, are you ok Nana? Takut Nana, takut? Are you ok?”

Soalan Tunku Azizah itu turut mencuit hati tetamu.

Seri Paduka berdua kemudian merentasi Langur Way atau Canopy Walk sepanjang 230 meter.

Seusai lawatan itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat ke majlis santapan petang di Bel-Retiro.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong lawat Perpustakaan British di UK

LONDON, 12 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang dalam rangka lawatan khas ke United Kingdom (UK) meluangkan masa melawat Perpustakaan British, yang terkenal sebagai antara perpustakaan terbesar di dunia berdasarkan jumlah item yang disenaraikan.

Ketibaan Yang di-Pertuan Agong disambut oleh pengerusi Perpustakaan British, Dame Carol Black pada pagi Rabu yang diselubungi cuaca sangat sejuk.

Sepanjang dua jam lawatan itu, Seri Paduka Baginda dibawa melihat koleksi surat diraja dalam tulisan Jawi dan manuskrip oleh Ketua Seksyen Asia Tenggara Datuk Dr Annabel Teh Gallop.

Ia termasuk satu carta abad ke-17 mengenai Asia Tenggara dan pelan perancangan bandar Melaka.

Perpustakaan itu mempunyai lebih 170 juta item merangkumi dari hampir semua bahasa dan kumpulan kepercayaan.

Lebih 400,000 pengguna dari seluruh dunia datang melawat bilik bacaan perpustakaan berkenaan setiap tahun.

Sementara itu, Annabel yang fasih berbahasa Melayu, berkata bagi seksyen Melayu terdapat kira-kira 10,000 buku, majalah dan akhbar bercetak dan 1,000 manuskrip bertulisan tangan dalam Bahasa Melayu dan Jawi.

“Antara yang kita tunjukkan kepada Seri Paduka hari ini ialah surat Sultan Johor dan Pahang, Sultan Mahmud Shah yang diutus kepada Sir Stafford Raffles pada tahun 1811 ditulis dalam tulisan Jawi yang amat cantik dan dihiasi dengan ukiran keemas-emasan yang sangat indah,” katanya.

Beliau berkata bahan sejarah berkenaan antaranya berasal daripada koleksi para pegawai British seperti Raffles dan John Crawfurd.

“Koleksi di perpustakaan ini lebih kaya di bidang sastera, sejarah dan undang-undang, manakala dalam koleksi yang ada di Perpustakaan Negara Malaysia lebih kaya di bidang agama,” katanya yang dibesarkan di Brunei.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong, Permaisuri saksi pertabalan Maharaja Naruhito

TOKYO, 22 OKT: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah antara 185 ketua negara dan kenamaan dari seluruh negara yang berpeluang menyaksikan Upacara Pertabalan Maharaja Jepun secara langsung di Istana Imperial di sini, hari ini.

Upacara itu bagi pertabalan Maharaja Jepun ke-126, Maharaja Naruhito yang dimasyhurkan pada 1 Mei lalu, dengan kali terakhir upacara tersebut diadakan pada tahun 1990 bagi ayahanda baginda, Maharaja Akihito.

Al-Sultan Abdullah yang mengenakan uniform Tentera Darat nombor satu manakala Tunku Azizah berpakaian baju kurung warna merah jambu diiringi Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Kennedy Jawan ke upacara bersejarah negara matahari terbit itu.

Kehadiran Seri Paduka berdua adalah atas jemputan kerajaan Jepun.

Maharaja Naruhito, 59, menaiki takhta selepas Maharaja Akihito, 85, melepaskan kedudukan tertinggi dalam hierarki pemerintahan negara itu atas faktor kesihatan, sekali gus menjadi Maharaja pertama berbuat demikian kerana kebiasaannya pewarisan hanya berlaku selepas kemangkatan.

Pemasyhuran Maharaja Naruhito menandakan permulaan era baharu Jepun, iaitu ‘Reiwa’ yang bermaksud harmoni dan tertib yang mengakhiri era ‘Heisei’ yang bererti mencapai keamanan di bawah pemerintahan Maharaja Akihito.

Upacara yang dinanti-nantikan rakyat Jepun itu berlangsung di dewan paling berprestij dan elegan di Istana Imperial dikenali sebagai ‘Seiden Matsu-no-Ma’ (State Room) hanya mengambil masa selama 30 minit, selepas bermula pada 1 tengah hari waktu tempatan (kira-kira 12 tengah hari waktu Malaysia).

Maharaja Naruhito pada upacara itu, mengenakan jubah berwarna jingga gelap yang hanya dipakai oleh Maharaja iaitu ‘gosokutai’ lengkap dengan mahkota ‘ryuei-no-onkanmuri’ menaiki Singgahsana Maharaja.

Maharani Masako yang mengenakan pakaian upacara istana ‘on-itsutsuginu’ yang terdiri daripada jubah lima lapisan diperbuat daripada sutera menaiki Singgahsana Maharani yang disebut sebagai ‘August Seat’.

Langsir berwarna ungu yang menutupi kedua-dua singgahsana itu kemudiannya dibuka serentak dengan paluan gong sebelum Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe tampil ke hadapan Maharaja Naruhito.

Maharaja Naruhito kemudiannya menyampaikan titah Maharaja diikuti Abe menyampaikan ucapan tahniah yang diakhiri dengan sorakan ‘Banzai’ sebanyak tiga kali bagi meraikan pertabalan itu, serentak dengan tembakan das meriam.

Tamat sahaja sorakan itu, Abe kembali ke tempat duduknya dan langsir kedua-dua singgahsana itu kembali ditutup untuk Maharaja Naruhito dan Maharani Masako berangkat keluar dari ‘Seiden Matsu-no-Ma’ menandakan berakhirnya upacara tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong berkenan adakan lawatan khas ke Jepun

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengadakan lawatan khas ke Jepun bermula hari ini hingga 24 Oktober.

Menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini, lawatan itu adalah signifikan dalam konteks hubungan mesra dan akrab antara Malaysia dan Jepun, terutamanya antara institusi diraja kedua-dua negara.

“Seri Paduka berdua telah dijemput oleh Maharaja dan Maharani Jepun untuk menghadiri upacara pertabalan Maharaja Naruhito esok.

“Selain menghadiri upacara pertabalan berkenaan, Seri Paduka berdua turut berkenan menghadiri Majlis Makan Malam dan Jamuan Teh yang akan dihoskan Maharaja dan Maharani Jepun,” menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian itu, lawatan khas itu merupakan lawatan pertama Seri Paduka berdua selepas Al-Sultan Abdullah ditabalkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai.

Naruhito telah melawat Malaysia pada 2017, ketika menjadi Putera Mahkota Jepun.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong kurnia watikah pelantikan perwakilan Malaysia ke luar negara

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada dua perwakilan Malaysia ke luar negara, di Istana Negara di sini.

Mereka ialah Akmal Che Mustafa yang akan bertugas di Sepanyol dan Fenny Nuli di Peru.

Sebelum dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Sepanyol, Akmal yang memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di Kementerian Luar pada 1996 pernah bertugas sebagai Setiausaha Bahagian Inspektorat sejak tahun lalu.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Perwakilan di Kedutaan Besar Malaysia di Manila, Filipina dari 2014 hingga awal tahun lalu serta Ketua Penolong Setiausaha (Asia Tenggara) dari 2013 hingga 2014.

Fenny pula yang memulakan perkhidmatan sebagai PTD di Kementerian Luar pada 1997 pernah dilantik sebagai Timbalan Ketua Perwakilan di Kedutaan Besar Malaysia di Brussels, Belgium sejak 2016 dan sebagai Setiausaha Bahagian Kerjasama dan Pembangunan Antarabangsa dari 2015 hingga 2016.

Sebelum dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Peru, Fenny juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian Kerjasama dan Pembangunan Antarabangsa dari 2015 hingga 2016 dan sebagai Ketua Penolong Setiausaha (Ekonomi Pelbagai Hala dan Alam Sekitar) dari 2013 hingga 2015.

Sementara itu, Seri Paduka turut berkenan menerima watikah pelantikan 12 perwakilan asing ke Malaysia.

Tujuh daripada mereka bermastautin di Kuala Lumpur manakala lima lagi di beberapa negara lain.

Mereka yang bermastautin di sini ialah Duta Besar Ireland ke Malaysia Hilary Reilly; Aart Jacobi (Netherland); Amna Baloch (Pakistan); Dr Hamad Mohammad Hassan Burhamah (Kuwait); Andrea Reichlin (Switzerland); Kapila Veedhiya Bandara Jayampathy (Sri Lanka) dan Dr Moheb Rahman Spingar (Afghanistan).

Sementara lima yang lain ialah Duta Besar Burundi Stella Budiriganya; Andre Poh (Duta Besar Congo); dan Sekou Kasse (Duta Besar Mali) yang masing-masing bermastautin di New Delhi, India; serta Jaroslav Chlebo (Duta Besar Slovak bermastautin di Jakarta, Indonesia); dan Jean-Paul Senninger (Duta Besar Luxembourg bermastautin di Bangkok, Thailand).

Selepas istiadat itu, Al-Sultan Abdullah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan beramah mesra dengan semua perwakilan Malaysia ke luar negara dan perwakilan asing ke negara ini.

Turut hadir, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong: Ketepi perbezaan, wujud perpaduan dan kebersamaan

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Seluruh rakyat di negara ini perlu berdiri megah sebagai satu bangsa yang merentasi setiap perbezaan bagi mewujudkan perpaduan dan kebersamaan berkekalan.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bagi mewujudkan suasana itu, rakyat dan pemimpin di setiap lapisan tidak boleh hanya memeluk tubuh dan mengimpikan kejayaan.

Sebaliknya, titah Seri Paduka, usaha jitu perlu diambil bagi meruntuhkan apa juga benteng pemisah yang menjadi penghalang kepada perpaduan.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian dalam Titah Diraja sempena Istiadat Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong 2019 yang disiarkan secara langsung di semua televisyen tempatan, malam ini.

Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong pada tahun ini disambut esok.

“Hakikatnya bukan suatu yang mudah untuk menguruskan kepelbagian dan perbezaan yang wujud dalam sebuah negara. Ini kerana setiap sesuatu perkara akan cenderung untuk dilihat serta ditafsirkan dari sudut berbeza,” titah Seri Paduka.

Kerana itu, titah Al-Sultan Abdullah semenjak mengangkat sumpah sebagai Yang d-Pertuan Agong pada 31 Januari lalu, baginda berangkat ke setiap pelusuk negara untuk menyantuni dan mendekati rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan.

“Melalui pendekatan ini, beta mempelajari bahawa setiap rakyat Malaysia berperanan dalam menyumbang kepada pembentukan sebuah negara maju yang berdaulat dan merdeka.

“Sesungguhnya, perkara paling berharga yang beta pelajari ialah setiap rakyat Malaysia sebenarnya sangat sayang dan cintakan negara yang bertuah ini,“ titah Al-Sultan Abdullah.

Seri Paduka bertitah rakyat Malaysia mempunyai asas dan semangat perpaduan kukuh dan ia hanya perlu disemai dan dipupuk supaya asas berkenaan menjadi kekuatan yang mampu menangkis segala rintangan.

Bersempena sambutan rasmi ulang tahun keputeraan kali ini, Yang di-Pertuan Agong mengajak pemimpin di setiap lapisan untuk mengetepikan perbezaan dan bersama-sama menyantuni rakyat dalam usaha untuk membentuk sebuah masyarakat yang harmoni dan bersatu-padu.

“Insya-Allah, beta dan Raja Permaisuri Agong (Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah) akan terus menyantuni dan mendekati rakyat tanpa mengira pangkat, darjah, keturunan dan bangsa dalam mencapai visi penyatuan yang merupakan ramuan kesepaduan dalam membentuk masyarakat yang bertamadun,” titah Seri Paduka.

Seri Paduka menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus menjunjung institusi Raja Berperlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen serta kekal berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut merakamkan setinggi-tinggi terima kasih di atas ucapan-ucapan tahniah dan doa yang telah disembahkan kepada Seri Paduka.

“Beta percaya, sokongan dan ingatan rakyat serta pelbagai pihak kepada Beta menunjukkan bahawa amalan sistem Raja Berperlembagaan mempunyai peranan yang sangat signifikan kepada rakyat dan negara,” titah Al-Sultan Abdullah.

Mengakhiri titah, Seri Paduka turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan, anggota pentadbiran, penjawat awam dan anggota keselamatan yang telah menyumbang kepada kesejahteraan negara.

“Lebih istimewa, beta dan Raja Permaisuri Agong ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa menerima kunjungan Beta berdua dengan hati dan tangan terbuka.

“Beta dan Raja Permaisuri Agong mendoakan agar rakyat Malaysia dan negara yang kita cintai ini akan terus kekal aman dan makmur, serta sentiasa berada di bawah perlindungan Allah Subhanahu Wataala,” titah Al-Sultan Abdullah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong cemar duli ziarah mangsa kebakaran di Tawau

TAWAU, 2 SEPT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menziarahi mangsa kebakaran Kampung Otentik, Tanjung Batu Keramat dekat sini hari ini bagi memenuhi hasratnya untuk bersama rakyat yang ditimpa musibah.

Seri Paduka bertitah baginda terpanggil untuk menziarahi mangsa kampung itu setelah mengetahui kejadian kebakaran terbabit ketika baginda berada di Jakarta, Indonesia.

“Apabila beta terbaca dan terlihat dalam berita berhubung kejadian kebakaran di sini (Kampung Otentik), hati beta memang sudah terpanggil supaya beta mesti datang ke sini kerana hendak merasai kesusahan dan keperitan yang dilalui mangsa kebakaran.

“Pada Hari Kebangsaan lalu, kebetulan ada satu kejadian kebakaran di sebuah perkampungan di Sungai Lembing, Pahang, tetapi beta komited untuk ke Tawau dahulu kemudian berkunjung ke Pahang,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menziarahi mangsa kebakaran kampung itu di Masjid Al-Mukarramah, Tanjung Batu Keramat dekat sini.

Pada masa sama, Seri Paduka melahirkan penghargaan kepada Yang Dipertua Sabah, Tun Dr Juhar Mahiruddin; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta jabatan dan agensi terbabit kerana menjayakan ziarah baginda ke kampung itu.

Baginda turut mengajak rakyat untuk memberi penghargaan kepada pasukan penyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia atas tindakan pantas pasukan berkenaan mengawal kebakaran daripada merebak tanpa membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

“Beta menganggap kehadiran kita bersama di sini sebagai satu rahmat daripada Allah supaya kita ingat dan bersabar serta mempelajari musibah yang dilalui.

“Beta sudah mendengar (taklimat kejadian oleh JBPM) dan memperhatikan kedudukan rumah di kampung ini yang dibina agak rapat dan boleh mendatangkan bahaya.

Pada lawatan Seri Paduka, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 87 ketua isi rumah yang terjejas oleh kebakaran pada malam 26 Ogos lalu.

Baginda turut mendengar taklimat kejadian kebakaran oleh Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah dan meninjau tapak kejadian yang memusnahkan 69 rumah dan mengakibatkan 511 orang tinggal sehelai sepinggang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong, Permaisuri berangkat ke tahlil Almarhum Sultan Ahmad Shah

KUANTAN, 29 OGOS: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Tahlil 100 hari kemangkatan Almarhum Sultan Ahmad Shah di Masjid Sultan Ahmad 1, di sini.

Baginda yang diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di masjid itu pada 6.55 petang.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan pentadbiran negeri Pahang.

Majlis bacaan Yassin dan Tahlil itu dipimpin imam masjid berkenaan, Mohd Khalil Mohd Zari kemudiannya diikuti solat Maghrib.

Almarhum Sultan Ahmad Shah mangkat, pada 8.50 pagi 22 Mei lalu di Institut Jantung Negara (IJN), pada usia 88 tahun.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong terima sambutan negara sempena lawatan ke Indonesia

BOGOR, 27 OGOS: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke Istana Presiden Bogor untuk Istiadat Sambutan Negara sempena lawatan baginda ke Indonesia.

Keberangkatan tiba Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 10.30 pagi (waktu tempatan) disambut Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), serta isteri, Iriana Joko Widodo.

Seri Paduka menerima tabik hormat daripada Pasukan Pengamanan Presiden, dan diiringi lagu kebangsaan Malaysia “Negaraku” dan lagu kebangsaan Indonesia “Indonesia Raya”.

Yang di-Pertuan Agong kemudian berkenan memeriksa perbarisan pasukan kawalan kehormat dan diperkenalkan kepada barisan kabinet pemerintah Indonesia.

Baginda bersama Tunku Azizah dalam rangka Lawatan Negara ke Indonesia bermula semalam sehingga Khamis.

Seri Paduka berdua kemudian berkenan menandatangani buku lawatan selepas sesi bergambar bersama Jokowi dan isteri.

Sultan Abdullah dan Jokowi kemudiaannya mengadakan pertemuan di Veranda Talk Istana Bogor, dan kemudiannya turut mengadakan perbincangan dua hala bersama delegasi Malaysia dan Indonesia.

Sebaik selesai, Jokowi yang memenangi Pilihan Raya Presiden 2019 untuk memimpin Indonesia bagi penggal kedua, mengiringi Sultan Abdullah yang turut berkenan ke upacara penanaman pokok damar, serta dibawa meninjau persekitaran Istana Bogor menaiki buggy yang dipandu Jokowi.

Lawatan Seri Paduka bagi mengukuhkan lagi keakraban kedua-dua negara itu, turut diiringi delegasi Malaysia yang terdiri daripada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku menteri pengiring, pegawai-pegawai kanan Kementerian Luar, Istana Negara dan Jabatan Perdana Menteri.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hamparan merah sambut Agong di Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN (Brunei), 18 OGOS: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tiba di Bandar Seri Begawan, Brunei untuk Lawatan Negara ke negara itu bermula hari ini sehingga 20 Ogos.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka tiba di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di sini kira-kira 1.10 tengah hari, diberi sambutan hamparan permaidani merah. Turut berangkat bersama, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ketibaan pasangan diraja itu disambut oleh Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Ibni Sultan Hassanal Bolkiah serta isteri, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah Pengiran Salleh Ab Rahaman.

Turut berada ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Brunei selaku Menteri Pengiring, Datuk Seri Setia Dr Awang Abu Bakar Apong dan isteri, Datin Paduka Dayang Jahrah Mohamad.

Rombongan lawatan itu turut disertai Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah, pegawai-pegawai kanan kementerian luar, Istana Negara dan Jabatan Perdana Menteri.

Seri Paduka kemudiannya melintasi barisan pasukan Kawalan Kehormat Setempat (static guard) Tentera Diraja Darat Brunei, yang terdiri daripada 26 anggota, diketuai Leftenan Mohd Yusof Ibrahim.

Brunei merupakan negara sulung yang dikunjungi Sultan Abdullah sejak ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas.

Lawatan negara tiga hari Tuanku ke Brunei bertujuan mengukuhkan lagi hubungan diraja antara kedua-dua negara yang terjalin sejak 35 tahun lepas.

Bandar Seri Begawan turut dihiasai Jalur Gemilang bersama-sama bendera kebangsaan negara Brunei Darussalam sebagai tanda mesra mengalu-alukan kunjungan Seri Paduka.

Bagi memulakan lawatan, pasangan diraja berkenaan dijadual berangkat menghadiri majlis santapan bersama diaspora Malaysia di sini malam ini.

Sempena kunjungan itu juga, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong antara lain dijadual berangkat menghadiri Majlis Sambutan Negara, Majlis Menghadap dan Majlis Santapan Diraja yang akan dihoskan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, selain melawat beberapa tempat bersejarah dan Jabatan Kerajaan di Bandar Seri Begawan.

– BERNAMA