Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Yawas: 395 OKU terima bantuan RM500 setakat ini

SHAH ALAM, 26 OGOS: Seramai 395 orang kelainan upaya (OKU) menerima insentif RM500 untuk golongan itu di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 setakat semalam.

Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) Gan Pei Nei berkata kelulusan membabitkan peruntukan RM197,500 daripada RM600,000 disediakan bagi bantuan itu.

“Kumpulan pertama menerima bantuan pada Julai lalu, wang dimasukkan segera ke akaun kerana kita sedar bantuan itu amat diperlukan ketika ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pei Nei berkata Yawas sedang memproses permohonan untuk memenuhi sasaran 1,200 OKU menerima bantuan sekali bayar itu dan pada masa sama menganalisa maklumat pemohon.

“Analisa akan diberikan kepada EXCO, Dr Siti Mariah Mahmud untuk diputuskan sama ada wujud keperluan menambah peruntukan bagi membantu lebih ramai OKU,” katanya.

Insentif sekali bayar dengan peruntukan RM600,000 merupakan sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 9 Jun.

Bantuan itu dikhususkan untuk golongan OKU yang terjejas sumber pendapatan, hilang pekerjaan tetap atau pengurangan gaji akibat wabak Covid-19.

Syarat kelayakan termasuk warganegara, berusia 18 tahun ke atas dan pemegang kad OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Yawas: Lebih 7,000 OKU mohon bantuan khas RM500

SHAH ALAM 2 OGOS: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) menerima lebih 7,300 permohonan insentif RM500 yang dikhususkan kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) sejak dibuka setakat Sabtu.

Pengurus besar Gan Pei Nei berkata 100 permohonan telah diluluskan dan individu yang layak sudah menerima bantuan tersebut pada minggu lalu.

“Setakat ini proses penilaian sedang dijalankan dan mendapati terdapat permohonan yang tidak lengkap kerana tiada pengesahan daripada pihak sepatutnya.

“Oleh demikian, kita memutuskan untuk melanjutkan tempoh permohonan yang tidak lengkap hingga 9 Ogos,” katanya kepada SelangorKini.

Menurut Pei Nei, beliau akan mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Negeri supaya mempertimbang menambah jumlah penerima yang layak.

“Sasaran adalah 1,200 individu tetapi permohonan diterima amat menggalakkan dan kebanyakan pemohon terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Insentif sekali bayar dengan peruntukan RM600,000 merupakan sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 9 Jun.

Bantuan itu dikhususkan untuk golongan OKU yang terjejas sumber pendapatan, hilang pekerjaan tetap atau pengurangan gaji akibat wabak Covid-19.

Syarat kelayakan termasuk warganegara, berusia 18 tahun ke atas dan pemegang kad OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yawas bantu OKU lengkap dokumen mohon insentif RM500

SHAH ALAM, 15 JULAI: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) membantu orang kelainan upaya (OKU) melengkapkan permohonan bagi mendapat insentif RM500 di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Pengurus Besarnya Gan Pei Nei berkata setakat Isnin lalu hanya 22 orang melampirkan dokumen lengkap daripada lebih 4,000 permohonan secara dalam talian diterima sejak 1 Julai lalu.

Menurut beliau, berkemungkinan golongan berkenaan menghadapi masalah mendapatkan dokumen diperlukan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

“Kita memahami situasi itu dan bantu dengan memberi peringatan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) selain meminta kerjasama ketua komuniti mengesan pemohon terbabit.

“Yawas berhubung dengan pegawai pusat khidmat masyarakat di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), ahli majlis serta ketua kampung untuk bantu pemohon melengkapkan dokumen,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Insentif sekali bayar dengan peruntukan RM600,000 merupakan sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 9 Jun.

Bantuan itu dikhususkan untuk golongan OKU yang terjejas sumber pendapatan, hilang pekerjaan tetap atau pengurangan gaji akibat wabak Covid-19.

Syarat kelayakan termasuk warganegara, berusia 18 tahun ke atas dan pemegang kad OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

Permohonan perlu dibuat secara dalam talian melalui pautan https://www.anisselangor.com/bantuanoku atau hubungi talian 018-256 7093/018-235 6213 untuk pertanyaan lanjut.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 4,000 OKU mohon bantuan khas RM500 sejak 1 Julai

SHAH ALAM, 8 JULAI: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) menerima sebanyak 4,264 permohonan insentif RM500 yang dikhususkan kepada golongan kurang upaya (OKU).

Pengurus Besarnya Gan Pei Nei berkata permohonan mulai 1 Julai melepasi sasaran 1,200 orang dan akan diproses untuk diagihkan kepada individu yang layak.

“Kita akan proses ikut siapa yang hantar dahulu dokumen lengkap. Setakat ini kita dapati sebahagian besar tidak dapat hantar dokumen lengkap berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat di beberapa kawasan negeri ini,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata permohonan dibuka sehingga hujung bulan ini meskipun sudah melebihi kuota dan agihan bantuan dibuat selepas tamat tempoh berkenaan.

“Kita akan pantau setiap minggu permohonan ini bagi membincangkan isu berbangkit. Yawas akan mohon peruntukan tambahan kepada Kerajaan Negeri untuk pertimbangan jika ada keperluan,” katanya.

Insentif sekali bayar dengan peruntukan RM600,000 merupakan sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 9 Jun.

Bantuan itu dikhususkan untuk golongan OKU yang terjejas sumber pendapatan, hilang pekerjaan tetap atau pengurangan gaji akibat wabak Covid-19.

Syarat kelayakan termasuk warganegara, berusia 18 tahun ke atas dan pemegang kad OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

Permohonan perlu dibuat secara dalam talian melalui pautan https://www.anisselangor.com/bantuanoku atau hubungi talian 018-2567093/018-2356213 untuk pertanyaan lanjut.

Categories
AGENDA NASIONAL

Laporan C4 tidak bertanggungjawab, Yawas gesa tarik balik

SHAH ALAM, 15 APRIL: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) menggesa Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) supaya menarik balik laporan yang mengaitkannya dengan skandal kewangan.

Menegaskan dakwaan badan bukan kerajaan itu tidak berasas, pengurus besarnya berkata gambaran dalam dokumen bertajuk ‘Foundations and Donations: Political Financing, Corruption and the Pursuit of Power’ tidak bertanggungjawab.

“Cara laporan dan penyenaraian seperti ini tanpa semakan fakta dan ulasan yang lanjut daripada Yawas telah mengundang persepsi yang salah dan negatif… seterusnya menjejaskan imej Kerajaan Negeri.

“Atas prinsip laporan yang adil, bahagian berkenaan Yawas dalam laporan C4 perlu ditarik balik,” kata Gan Pei Nei dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata yayasan tersebut sentiasa mematuhi tadbir urus korporat yang ditetapkan undang-undang, malah tatacara pengurusan Yawas terikat dengan ketetapan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Gan juga menjelaskan penyata kewangan tahunan Yawas juga disemak oleh audit luar selain dipantau Jabatan Audit Dalaman Menteri Besar Pemerbadanan (MBI).

“Malahan, pengauditan yang dijalankan oleh pihak Audit Negara terhadap Yawas pada 2018 mendapati pengurusan Yawas berada di tahap pencapaian yang memuaskan,” katanya.

Dalam laporan tersebut, Yawas disenarai dalam lampiran jadual seiring skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan skandal melibatkan ahli politik Umno-BN.

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB pelawa institusi pendidikan, PDK mohon bantuan anak OKU

SHAH ALAM, 24 MAC: Dato’ Menteri Besar mempelawa institusi pendidikan anak istimewa dan pemulihan dalam komuniti (PDK) negeri ini memohon bantuan Didik Anak Istimewa Selangor (AnIS).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan kewangan sekali bayar ditawarkan kepada mana-mana institusi yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

“(Permohonan dibuka kepada institusi) yang menjalankan Program Intervensi Awal (EIP) untuk anak-anak istimewa di Selangor,” tulisnya di Facebook semalam.

Menurut beliau bantuan tersebut membolehkan institusi terbabit menaik taraf keperluan pusat mereka selain melaksanakan program dengan lebih berkesan dan sistematik.

Sejumlah RM500,000 diperuntuk bagi melaksanakan inisiatif kendalian Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) dengan setiap institusi boleh memohon bantuan maksimum sehingga RM10,000.

Institusi yang berminat boleh membuat permohonan secara dalam talian di laman sesawang http://www.anisselangor.com/didikanis bermula semalam sehingga 30 April ini.

Antara dokumen diperlukan ialah salinan sijil pendaftaran pertubuhan, sijil pendaftaran dengan JKM dan KPM, senarai nama berserta sijil pelatih institusi, senarai nama kanak-kanak berserta umur, nombor kad pengenalan dan jenis kelainan upaya serta salinan penyata bank terkini.

Borang permohonan yang lengkap diisi perlu dilampirkan bersama dokumen sokongan berkenaan dan dihantar ke e-mel [email protected].

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tawar pelbagai manfaat, lebih 2,000 mohon bantuan khas anak OKU

OLEH MUHAMMAD MUSTAKIM RAMLI

SHAH ALAM, 3 MAC: Sebanyak 2,186 permohonan bantuan khas anak kelainan upaya (OKU) diterima Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) sejak dibuka pada 15 Februari.

Pengurus Besarnya Gan Pei Nei berkata permohonan Anak Istimewa Selangor (AnIS) akan ditutup sebaik peruntukan berjumlah RM500,000 habis disalurkan.

Beliau menjelaskan pemohon mestilah berusia 18 tahun ke bawah, ibu bapa berasal dari Selangor atau menetap sekurang-kurangnya 10 tahun di negeri ini.

“Pemohon yang ingin mendapatkan bantuan juga perlu mempunyai kad OKU atau surat pengesahan doktor,” katanya ketika dihubungi.

Penerima AnIS layak menerima bayaran kelas terapi, mesin perubatan, sumbangan kerusi roda, katil, ubat dan makanan tambahan bergantung kepada keperluan.

Inisiatif sekali bayar dengan had maksimum sehingga RM5,000 untuk satu keluarga boleh dimohon melalui laman sesawang www.anis.yawas.com.

Cara permohonan seperti berikut:

  • Pendaftaran secara dalam talian
  • Hantar dokumen diperlukan
  • Semak status kelulusan
  • Manfaat disalur kepada yang berjaya

 

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Yawas: Hampir 500 mohon bantuan anak OKU

SHAH ALAM, 17 FEB: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) menerima 485 permohonan Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (Anis) dalam tempoh 24 jam selepas dibuka pada Isnin.

Penolong pengurus korporatnya berkata jumlah yang akan diluluskan tahun ini berkemungkinan lebih tinggi berbanding tahun lalu namun tetap mengikut syarat.

“Bilangan penerima akan dibuat berdasarkan peruntukan Kerajaan Negeri. Had bantuan untuk satu anak orang kelainan upaya (OKU) berjumlah RM5,000 setahun.

“Sejak diperkenalkan pada 2019, lebih RM950,000 digunakan bagi membantu penerima program ini,” kata Sharizan Mohd Shariff kepada SelangorKini.

Menurutnya, bantuan tahun ini ditambah baik dengan menyediakan keperluan makanan tambahan berikutan terdapat penerima yang mempunyai masalah berkaitan pemakanan.

“Begitu juga dengan cara saluran bantuan. Sebelum ini kita terima sebut harga daripada penerima tetapi kali ini kita gunakan panel dilantik untuk sediakan keperluan bantuan,”katanya.

Bermula Isnin lalu, orang ramai yang mempunyai anak OKU berusia 18 tahun ke bawah boleh membuat permohonan di laman sesawang http://www.anis.yawas.my.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021 mengumumkan sejumlah RM3.25 juta bagi keseluruhan program dan inisiatif pemberdayaan OKU termasuk seminar kesedaran sokongan untuk anak istimewa.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bayaran kelas terapi antara bantuan untuk anak OKU Selangor

SHAH ALAM, 16 FEB: Penerima Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (Anis) layak mendapat pelbagai keistimewaan termasuk bayaran kelas terapi serta mesin perubatan.

Penolong pengurus korporat Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) berkata sumbangan kerusi roda dan katil juga akan diberikan sekiranya mendapat permohonan.

“Bantuan lain termasuk ubat, makanan tambahan dan keperluan kesihatan juga disediakan bergantung kepada keperluan dan peruntukan sedia ada.

“Bagaimanapun semua kemudahan dan bantuan ini akan diserahkan selepas kita mendapat nasihat serta penerangan dari pihak hospital,” kata Sharizan Mohd Shariff ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, sejak diperkenalkan pada 2019, Anis memperuntukkan lebih RM950,000 membiayai keperluan kesihatan kepada anak orang kelainan upaya (OKU).

“Tahun lepas kita bantu 367 penerima dan pemberian akan terus dilakukan sebagai usaha membantu anak istimewa selain tidak meminggirkan golongan itu,” katanya.

Bermula Isnin lalu, orang ramai yang mempunya anak OKU berusia 18 tahun ke bawah boleh membuat permohonan di laman sesawang http://www.anis.yawas.my.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021 mengumumkan sejumlah RM3.25 juta bagi keseluruhan program dan inisiatif pemberdayaan OKU termasuk seminar kesedaran sokongan untuk anak istimewa.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yawas lulus 316 permohonan Skim Kesihatan Wanita

SHAH ALAM, 17 SEPT: Sebanyak 316 daripada 937 permohonan Skim Kesihatan Wanita diluluskan sehingga kini sejak ia dibuka pada 13 Julai lalu.

Pengurus besar Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) berkata skim yang menawarkan pemeriksaan mamogram secara percuma masih dibuka sehingga hujung tahun ini.

“Justeru, saya amat menggalakkan golongan wanita untuk memanfaatkan skim ini memandangkan kanser payudara merupakan kanser utama dalam kalangan wanita.

“Menerusi skim ini, kos pemeriksaan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri kepada wanita yang memenuhi syarat. Oleh itu segeralah memohon sekiranya anda layak,” kata Gan Pei Nei kepada SelangorKini.

Beliau menjelaskan terdapat tambahan perkhidmatan di mana seseorang yang mendapati ada ketulan semasa ujian ultrabunyi, individu itu layak menjalani biopsi dengan nasihat doktor panel hospital.

Katanya, permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web skw.yawas.my atau pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri. Untuk maklumat lanjut boleh hubungi yayasan di talian 03-5481 8800.

Skim Kesihatan Wanita Selangor diwujudkan pada Belanjawan Selangor 2020. Antara dilaksanakan menerusi program ialah ‘1 Juta Wanita Selangor Sihat’ yang mengkhususkan pemeriksaan mamogram percuma kepada golongan terbabit berusia 35 tahun ke atas.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

133 petugas hadapan di Selangor terima insentif jagaan anak

SHAH ALAM, 2 JULAI: Seramai 133 petugas barisan hadapan di Selangor menerima Insentif Penjagaan Anak-anak Frontliners (IPAF) berjumlah RM63,300 setakat ini.

Penolong pengurus korporat Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) berkata ia membabitkan 88 kakitangan kesihatan, polis (21), Jabatan Pertahanan Awam (15) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (9).

“Permohonan IPAF ditutup secara rasmi semalam (1 Julai) sejak dibuka 20 April lalu dengan 1,419 permohonan diterima dan sedang diteliti.

“Program sepatutnya tamat lebih awal, namun dilanjutkan kerana kita faham semua petugas hadapan menghadapi saat genting membantu negara mengurangkan penularan Covid-19,” kata Sharizan Mohd Shariff kepada SelangorKini hari ini.

Insentif berjumlah RM1.5 juta yang diumumkan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor 2.0 memanfaatkan 2,500 keluarga petugas barisan hadapan.

Mereka yang memenuhi kriteria menerima RM150 untuk seorang anak bagi tempoh dua bulan iaitu Mac dan April serta bebas memilih mana-mana pengasuh atau taska.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Yawas nafi hadiahkan warga emas duit RM3,000

SHAH ALAM, 11 JUN: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) hari ini menafikan memberi wang tunai RM3,000 kepada ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

Yawas dalam kenyataan memaklumkan ahli skim itu hanya menerima baucar beli-belah RM100 di pasar raya terpilih mengikut bulan kelahiran.

“Berita ini yang sedang tular di media sosial adalah tidak benar. Ahli SMUE diminta untuk mendapatkan maklumat daripada sumber sahih supaya tidak terpedaya dengan berita palsu,” menurut yayasan itu dalam kenyataan.

Yawas turut mengingatkan semua ahli sentiasa mengemaskini maklumat seperti nombor telefon supaya tidak terlepas daripada menerima sebarang manfaat.

Yayasan seliaan Pemerbadanan Menteri Besar bertanggungjawab menyediakan pangkalan data dan membangunkan sistem antaranya Jom Shopping dan Program Kembali Ke Sekolah.