Categories
NASIONAL SELANGOR

Pegawai Kerajaan Perlu Turun Sendiri Laksana Dasar Dan Program

KUALA LANGAT 11 MEI : Penjawat awam Selangor di bawah Pentadbiran Pakatan Rakyat harus mengurus dan terlibat secara langsung di dalam perlaksanaan dasar dan program kerajaan.

Seperti Menteri Besar dan barisan exco-nya yang sendiri turun membuka kaunter aduan di setiap daerah, penjawat awam sendiri harus memastikan setiap program dilaksanakan dan tidak hanya mengharap kepada kakitangan di bawah mereka.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata konsep yang ditanamkan kepada penjawat awam dan exco itu juga merupakan perbezaan diantara corak pemerintahan Umno-BN dan Pakatan.

Katanya, ahli pemimpin kerajaan negeri bukan sahaja perlu mengeluarkan perintah semata-mata tetapi juga perlu terlibat secara langsung dalam melaksanakan perintahannya.

Beliau berkata selepas Pakatan menerajui Selangor, pelbagai usaha dilakukan untuk membuat perubahan.

“Apa yang paling penting ialah bagaimana untuk membuat perubahan. Oleh itu, ianya berbeza dengan PR dan Umno-BN.

“Kerajaan sebelum ini hanya mentadbir. Bagi mengurus mereka menyerahkannya kepada rakyat. Kita tidak mahu penyelewengan berlaku.

?Bagi PR kita mahukan kedua-duanya supaya rakyat tahu mereka dijaga.

“Saya berharap semua penjawat awam dan exco menerima usaha baru ini kerana dalam masa yang sama kita akan meningkatkan simpanan tunai negeri,” katanya dalam ucapannya di Program Khas Terima Kasih Rakyat, Tanjung Sepat.

Di dalam program tersebut, Menteri Besar dan beberapa exco membuka kaunter aduan supaya penduduk Selangor boleh terus mengemukan masalah mereka kepada kerajaan.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohammad Hafiz Shaari, Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari.

Turut hadir Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar, Exco Pendidikan dan pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Samad dan Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah turut kelihatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.