Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Urus Air Terawat Lebih Baik Dari Syabas

SHAH ALAM, 18 JUL : Pengurusan dan pengedaran air terawat akan lebih cekap dan menyeluruh selepas Kerajaan Selangor mengambilalih operasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri akan memasukkan sistem dan badan pengurusan yang lebih baik daripada yang sedia ada.

Badan pengurusan ini akan memastikan air di rawat dan sampai ke pengguna di seluruh Selangor supaya tidak timbul lagi rugutan tentang bekalan.

Badan pengurusan ini akan dimasukkan ke dalam Syabas sejurus sahaja Kerajaan Pusat memberi kelulusan untuk Selangor mengambil alih operasi syarikat air itu.

Usaha mengambil-alih operasi Syabas dimulakan selepas Kerajaan Negeri mendapati Syabas tidak mampu menguruskan industri rawatan dan edaran air seperti yang tertakluk di dalam perjanjian konsensi antara Syabas dan Kerajaan Negeri.

Ini kerana Syabas telah meminta supaya catuan air atau water rationing dilakukan untuk kawasan di selatan Selangor kerana mendakwa tidak mampu menyediakan bekalan air terawat yang mencukupi.

Syabas tidak berupaya menyediakan air terawat yang mencukupi walaupun bekalan air mentah di tujuh empangan Selangor melimpah.

?Kita nak menambahbaik pengurusan Syabas kepada tahap supaya ia boleh memberi perkhidmatan yang baik kepada masyarakat seperti mana perjanjian penswastaan pada 2004.

?Ini supaya tiada lagi masalah di dalam pengedaran,? Abdul Khalid berkata pada sidang media selepas mesyuarat exco di ibupejabat Kerajaan Negeri.

Mengikut perjanjian itu, Syabas, sebuah syarikat swasta, dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan sistem rawatan dan pengedaran air di Selangor.

Dua Exco Selangor iaitu Dr Xavier Jayakumar dan Teresa Kok akan mengetuai delegasi penyerahan surat untuk ‘step in’ ke dalam pengurusan Syabas kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air (KETTHA) esok pagi.

“Kita berharap Syabas dan Kerajaan Pusat tidak menyalahgunakan isu air untuk menyusahkan rakyat terutama kepada umat Islam yang akan mula berpuasa hujung minggu ini.

Dalam isu yang sama, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri sudah menyediakan satu kumpulan profesional untuk meneliti operasi harian Syabas bagi mengenal pasti keadaan semasa air terawat di Selangor.

Menurutnya, kumpulan profesional ini dilantik ekoran Syabas gagal memberi penjelasan terperinci dan memuaskan dalam beberapa isu ketika syarikat tersebut memberi taklimat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, pagi tadi.

“Kumpulan profesional ini dianggotai oleh Suhaimi Kamaruzaman (Ketua Pegawai Eksekutif KDEB), Abbas Abdullah (Pengarah Abbas), Karim Endut (Pengurus Besar Pengurusan Air, Kumpulan Perangsang Selangor) dan Kelvin Lee (Ketua Perancangan Strategik dan Pelaburan, Perangsang Selangor).

“Kerajaan Negeri yakin kumpulan ini akan dapat bekerjasama dengan Syabas kerana semua anggotanya berpengalaman luas dalam operasi dan pengurusan air,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas mesyuarat Exco hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.