Categories
SELANGOR

Bekalan air di Hulu Selangor pulih sepenuhnya

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 12 DIS: Bekalan air di beberapa kawasan di Hulu Selangor yang terjejas akibat paip pecah berikutan insiden tanah runtuh di Jalan Utama, Taman Idaman di Serendah, bulan lepas, pulih sepenuhnya.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd dalam kenyataan semalam menasihatkan pengguna untuk sentiasa menggunakan air secara berhemah.

“Kami ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pengguna di atas kesabaran menghadapi gangguan bekalan air sepanjang insiden di luar jangkaan,” menurut kenyataan itu.

Maklumat terkini mengenai perkhidmatan air boleh dirujuk di www.syabas.com.my, aplikasi telefon pintar ‘mySyabas’, Facebook ‘Air Selangor’dan twitter ‘air_selangor’.

Dalam kejadian 26 Nov itu, seorang penduduk dilaporkan cedera manakala sebuah gerai makan dan 10 kenderaan rosak.

-nR-

Categories
SELANGOR

Exco: Selangor tidak catu air

Oleh: ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 2 MAC : Kerajaan Negeri mengesahkan tiada sebarang catuan air dilakukan Air Selangor setakat ini, kata Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodednan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib.

Beliau berkata, penyebaran berita berkenaan Pelan Catuan Air Peringkat Kedua Lembah Klang bermula 2 Mac hingga 31 Mac di beberapa kawasan adalah palsu.

zaidy“Berita terbabit sebenarnya dikeluarkan semasa catuan pada 2014 dahulu.

“Diharapkan rakyat Selangor yang mendapat sebaran berita ini boleh memberhentikannya dan maklumkan juga ia adalah berita palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Laporan catuan air di Kuala Lumpur, Gombak, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor yang menjadi viral sejak semalam mencetuskan kebimbangan kepada rakyat di negeri ini.

Pada masa sama, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) melalui Ketua Komunikasi Korporatnya, Amin Lin Abdullah turut menafikan sebaran berita berkenaan.

Sebaliknya pengguna dinasihatkan mendapatkan sebarang maklumat terkini di laman sesawangnya, www.syabas.com.my.

-AA-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk Pangsapuri Kayangan Lega Dapat Meter Individu

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

PETALING JAYA 30 DIS : Penantian penduduk Pangsapuri Kayangan di sini untuk mendapatkan meter individu dan menikmati 20 meter padu air percuma dari Kerajaan Negeri menjadi kenyataan apabila proses pertukaran itu dijalankan Disember ini.

Sejak Pakatan Rakyat (PR) mengambilalih pentadbiran Kerajaan Negeri pada Mac 2008 dan mengumumkan pemberian istimewa itu, Pengurusan Badan Bersama (JMB) pangsapuri tersebut tidak ketinggalan membuat permohonan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bagi proses penukaran meter pukal kepada meter individu.

Setiausaha JMB pangsapuri berkenaan, Moi Hoy Meng berkata, apa yang diperoleh penduduk di kawasan itu adalah hadiah penuh bermakna sempena perayaan Krismas dan tahun baru 2013 yang akan menjelang.

“Saya begitu gembira kerana apa yang kita tunggu akhirnya menjadi nyata dan ia hadiah penuh makna kepada semua penduduk di pangsapuri ini.

“Semoga kita semua akan beroleh faedah dengan pemberian air percuma daripada Kerajaan Negeri,” katanya dalam majlis meraikan acara itu semalam yang turut berterima kasih kepada Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, dalam usaha merealisasikan proses migrasi meter berkenaan.

Proses migrasi tersebut melibatkan 192 daripada 236 rumah di pangsapuri itu dijalankan Syabas dan berakhir baru-baru ini.

Seorang penghuni, Amirul Salleh, 33, menjelaskan dengan pertukaran meter akan memberi banyak kemudahan kepada penduduk terutama dari segi kewangan lebih menjimatkan.

“Dengan pertukaran meter kita akan mendapat air percuma dan bayaran bil akan berkurangan. Ia akan memberi banyak kebaikan kepada penduduk dengan cara berjimat,” kata kakitangan kerajaan ini.

Nik Nazmi berkata, dengan kejayaan proses migrasi dari meter pukal kepada individu, diharap penduduk pangsapuri kawasan itu akan menikmati kemudahan disediakan Kerajaan Negeri yang selama ini memberikan pelbagai ganjaran menerusi agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Beliau berkata, biarpun proses tersebut memakan masa namun dengan kerjasama semua pihak, ia akhirnya dapat dijayakan dan penduduk memperoleh manfaat seperti dijanjikan.

“Dengan kesungguhan pengurusan JMB dan semua pihak terlibat memperjuangkan perkara ini maka penduduk dapat menikmati kemudahan ini.

“Kerajaan Negeri menerusi pegangan aset tunai melebihi RM2 bilion ketika ini akan terus memberikan banyak kemudahan kepada rakyat di Selangor,” ujarnya.

Turut hadir, Penasihat JMB, Michael Lim dan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam, Izham Hashim.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Urus Air Terawat Lebih Baik Dari Syabas

SHAH ALAM, 18 JUL : Pengurusan dan pengedaran air terawat akan lebih cekap dan menyeluruh selepas Kerajaan Selangor mengambilalih operasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri akan memasukkan sistem dan badan pengurusan yang lebih baik daripada yang sedia ada.

Badan pengurusan ini akan memastikan air di rawat dan sampai ke pengguna di seluruh Selangor supaya tidak timbul lagi rugutan tentang bekalan.

Badan pengurusan ini akan dimasukkan ke dalam Syabas sejurus sahaja Kerajaan Pusat memberi kelulusan untuk Selangor mengambil alih operasi syarikat air itu.

Usaha mengambil-alih operasi Syabas dimulakan selepas Kerajaan Negeri mendapati Syabas tidak mampu menguruskan industri rawatan dan edaran air seperti yang tertakluk di dalam perjanjian konsensi antara Syabas dan Kerajaan Negeri.

Ini kerana Syabas telah meminta supaya catuan air atau water rationing dilakukan untuk kawasan di selatan Selangor kerana mendakwa tidak mampu menyediakan bekalan air terawat yang mencukupi.

Syabas tidak berupaya menyediakan air terawat yang mencukupi walaupun bekalan air mentah di tujuh empangan Selangor melimpah.

?Kita nak menambahbaik pengurusan Syabas kepada tahap supaya ia boleh memberi perkhidmatan yang baik kepada masyarakat seperti mana perjanjian penswastaan pada 2004.

?Ini supaya tiada lagi masalah di dalam pengedaran,? Abdul Khalid berkata pada sidang media selepas mesyuarat exco di ibupejabat Kerajaan Negeri.

Mengikut perjanjian itu, Syabas, sebuah syarikat swasta, dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan sistem rawatan dan pengedaran air di Selangor.

Dua Exco Selangor iaitu Dr Xavier Jayakumar dan Teresa Kok akan mengetuai delegasi penyerahan surat untuk ‘step in’ ke dalam pengurusan Syabas kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air (KETTHA) esok pagi.

“Kita berharap Syabas dan Kerajaan Pusat tidak menyalahgunakan isu air untuk menyusahkan rakyat terutama kepada umat Islam yang akan mula berpuasa hujung minggu ini.

Dalam isu yang sama, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri sudah menyediakan satu kumpulan profesional untuk meneliti operasi harian Syabas bagi mengenal pasti keadaan semasa air terawat di Selangor.

Menurutnya, kumpulan profesional ini dilantik ekoran Syabas gagal memberi penjelasan terperinci dan memuaskan dalam beberapa isu ketika syarikat tersebut memberi taklimat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, pagi tadi.

“Kumpulan profesional ini dianggotai oleh Suhaimi Kamaruzaman (Ketua Pegawai Eksekutif KDEB), Abbas Abdullah (Pengarah Abbas), Karim Endut (Pengurus Besar Pengurusan Air, Kumpulan Perangsang Selangor) dan Kelvin Lee (Ketua Perancangan Strategik dan Pelaburan, Perangsang Selangor).

“Kerajaan Negeri yakin kumpulan ini akan dapat bekerjasama dengan Syabas kerana semua anggotanya berpengalaman luas dalam operasi dan pengurusan air,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas mesyuarat Exco hari ini.

MB Cadang Ambil Alih Operasi SYABAS

SHAH ALAM, 16 JUL : Ekoran krisis air yang sengaja ditimbulkan bagi menakutkan rakyat, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri mempunyai hak untuk mengambil alih pengurusan operasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah Kerajaan Pusat tidak memberi sebarang maklumbalas terhadap dua surat yang dihantar Kerajaan Negeri pada 19 Disember 2008 dan 21 Januari 2011 untuk membatalkan perjanjian konsesi tersebut.

Menurutnya, tindakan itu dibuat menggunakan kuasa di bawah Klausa 32 dalam perjanjian konsesi.

Menteri Besar juga memaklumkan beliau sudah menulis surat kepada Kerajaan Pusat dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) bagi mencari penyelesaian masalah ini.

Abdul Khalid menjangkakan keputusan dari Kerajaan Pusat akan diumumkan pada minggu depan.

“Sekiranya Kerajaan Pusat pentingkan keperluan rakyat Selangor, maka mereka akan menerima keputusan Kerajaan Negeri,” katanya dalam sidang media di SUK hari ini.

Jelasnya, tindakan mahkamah terhadap Kerajaan Pusat akan diambil sekiranya mereka masih berdegil untuk tidak membenarkan Kerajaan Negeri mengambil alih penstrukturan semula industri air di negeri ini.

Dalam sidang media sama, Abdul Khalid turut mendedahkan laporan awal audit yang mendapati Syabas gagal melaksanakan kerja-kerja capex (capital expenditure) mereka dengan baik.

“Ini jelas ditunjukkan apabila Syabas setakat bulan April 2012, mempunyai tanggungan jumlah tertunggak kepada operator rawatan air dianggarkan sebanyak RM2.8 bilion. Syabas juga gagal menurunkan kadar air tidak terhasil (non-revenue water) kepada 20%,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau memutuskan untuk meminta Setiausaha Kerajaan Negeri bersama Pengawal Selia Air Negeri untuk memantau perkhidmatan air oleh Syabas.

Katanya, jawatankuasa ini akan meminta Syabas memberi laporan harian untuk menerangkan kedudukan air semasa.

“Konsortium Abbas juga akan diminta menyertai jawatakuasa ini yang mana syarikat itu akan memanggil pakar bebas yang berpengalaman semasa krisis air 1998 untuk memantau kesahihan laporan dan maklumat oleh Syabas.

“Masalah kekurangan air tidak sepatutnya berlaku dan Kerajaan Negeri meragui pengumuman cadangan catuan air oleh Syabas kerana Pengawal Selia Air Negeri dan Ahli Lembaga Pengarah Syabas tidak dimaklumkan.

“Kerajaan negeri juga akan meneruskan usaha mencari sumber air alternatif seperti air tanah dan menambah baik kapisiti loji rawatan air sedia ada dengan mengguna pakai teknologi terkini,” ujarnya.

Syabas sebelum ini memaklumkan akan menghantar kertas cadangan kepada Span bagi melaksanakan program catuan air di Kuala Lumpur, Klang dan Hulu Langat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ruslan Hassan berkata, cadangan itu akan dikemukakan minggu depan dalam usaha mengurangkan masalah pengguna di tiga kawasan terbabit yang didakwa berdepan krisis air serius.