Categories
NASIONAL

Insiden Kawalan Udara Tergendala, PKR Tuntut Penjelasan

SUBANG, 21 SEPT : PKR hari ini menggesa Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk menjelaskan bagaimana pusat kawalan udara Kuala Lumpur tergendala minggu lalu berikutan kegagalan radar dan radio untuk berfungsi sepenuhnya.

Berikutan insiden itu, ruang udara Malaysia tidak dapat dikawal hingga menyebabkan semua penerbangan berlepas dibatalkan dan kawalan trafik udara diserahkan kepada negara jiran, kata Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Beliau turut mendedahkan laporan interim DCA oleh kontraktor penyelenggaraan sistem pada 12 September, jam 2.50 pagi bagi membuktikan perkara tersebut.

Menurutnya, syarikat yang bertanggungjawab mengawal selia sistem berkenaan adalah Advance Air Traffic System Sdn Bhd (AAT), manakala syarikat yang membangungkan sistem tersebut adalah SELEX Sistemi Integrati (SELEX).

“Kami sebelum ini telah mengemukakan permintaan supaya audit bebas dilaksanakan, namun kementerian dan DCA hanya memperlekehkan perkara tersebut serta memperkecilkan kecacatan sistem yang bernilai RM 125.4 juta,” katanya dalam sidang media di hadapan Pusat Sistem Kawalan Udara Kuala Lumpur di Subang pagi tadi.

Hadir sama, Naib Presiden PKR, Tian Chua dan N Surendran serta Ketua Biro Keselamatan PKR, Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab.

Pada 12 September lalu, sistem kawalan trafik udara di Lapangan Terbang SAAS di sini telah lumpuh lebih dua jam bermula daripada 2.30 pagi hingga 4.20 pagi berikutan kegagalan radar dan radio untuk berfungsi.

Beliau juga mempersoalkan bagaimana kementerian berkenaan dan DCA membenarkan sistem tersebut beroperasi tanpa sokongan sistem interim.

?Kita mesti pastikan semua projek berkaitan keselamatan dalam sektor penerbangan tidak dianugerah kepada syarikat tidak memiliki kemampuan teknikal, pada waktu ini dan masa hadapan,? kata Izzah lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.