Categories
NASIONAL

Malaysia isytihar 239 penumpang & anak kapal MH370 meninggal dunia

SHAH ALAM, 29 JAN: Kerajaan Malaysia mengumumkan semua 239 penumpang dan anak kapal pesawat MH370 dianggap sudah meninggal dunia.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengumumkan perkara itu dalam satu rakaman yang disiarkan melalui RTM, jam 6 petang ini.

Azharuddin berkata, pengisytiharaan itu akan dapat membantu waris mangsa mengemukakan tuntutan ganti rugi mereka.

mhKatanya, Malaysia menganggap penumpang itu tidak mungkin akan dapat terus hidup di kawasan pencarian, di selatan Lautan Hindi, selepas 327 hari berlalu.

“Maka, dengan berat hati dan penuh dukacita, bagi pihak Kerajaan Malaysia, kami dengan rasminya mengisytiharkan bahawa penerbangan Malaysia Airlines MH370 adalah satu kemalangan.

“Semua 239 orang penumpang dan anak kapal dalam penerbangan MH370 kehilangan nyawa mereka,” katanya yang dipetik Malaysia Kini.

Beliau berkata, pengisytiharaan itu dilakukan mengikut piawai Konvensyen Chicago.

Sidang media anjuran DCA itu sepatutnya diadakan, pada jam 3.30 petang di Putrajaya, namun dibatalkan ekoran kehadiran waris penumpang di majlis taklimat, kata DCA dalam kenyataannya, hari ini.

Anggota keluarga mengeluarkan kenyataan menggesa kerajaan Malaysia tidak membuat kesimpulan melulu berhubung isu itu, semalam.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang hilang ketika dalam perjalanan daripada Kuala Lumpur ke Beijing, pada Mac lalu dan sehingga kini belum dapat dikesan.

Categories
NASIONAL

Saya Tidak Berahsia, Benarkan Gambar Naik Jet Disiar, Kata Anwar

 

KUALA LUMPUR 24 SEPT : Tiada rahsia menyebabkan Datuk Seri Anwar Ibrahim membenarkan gambar menaiki jet eksekutif bersama pemimpin Pakatan Rakyat(PR) dipaparkan dalam media sosial masing-masing, kata Ketua Umum PKR itu di parlimen hari ini.

Malah Anwar menyifatkan ia adalah satu percubaan Umno-BN memperbesarkan isu itu dan menakutkan ahli korporat lain untuk tidak membantu PR.

Anwar menjelaskan keperluan menaiki jet terbabit untuk ke Labuan kerana keadaan terdesak disebabkan tiada penerbangan pada petang itu.

“Oleh kerana saya menghadapi masalah, saya dihubungi oleh seorang kawan untuk membenarkan saya menaiki jet itu.

“Beliau hanya seorang kawan bukannya penyokong PR dan beliau tidak berminat dengan mana-mana kontrak di negeri Selangor,” katanya.

Tambahnya, sekiranya mana-mana pihak masih tidak berpuas hati, boleh menyemak rekod pemilik yang terdapat di Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA).

Sebelum ini, Anwar dilaporkan menaiki jet eksekutif bersama-sama beberapa pemimpin pembangkang lain dari Terminal SkyPark Subang untuk ke Labuan, Sabah pada 15 September lalu untuk menyambut perayaan Hari Malaysia.

Categories
NASIONAL

Insiden Kawalan Udara Tergendala, PKR Tuntut Penjelasan

SUBANG, 21 SEPT : PKR hari ini menggesa Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk menjelaskan bagaimana pusat kawalan udara Kuala Lumpur tergendala minggu lalu berikutan kegagalan radar dan radio untuk berfungsi sepenuhnya.

Berikutan insiden itu, ruang udara Malaysia tidak dapat dikawal hingga menyebabkan semua penerbangan berlepas dibatalkan dan kawalan trafik udara diserahkan kepada negara jiran, kata Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Beliau turut mendedahkan laporan interim DCA oleh kontraktor penyelenggaraan sistem pada 12 September, jam 2.50 pagi bagi membuktikan perkara tersebut.

Menurutnya, syarikat yang bertanggungjawab mengawal selia sistem berkenaan adalah Advance Air Traffic System Sdn Bhd (AAT), manakala syarikat yang membangungkan sistem tersebut adalah SELEX Sistemi Integrati (SELEX).

“Kami sebelum ini telah mengemukakan permintaan supaya audit bebas dilaksanakan, namun kementerian dan DCA hanya memperlekehkan perkara tersebut serta memperkecilkan kecacatan sistem yang bernilai RM 125.4 juta,” katanya dalam sidang media di hadapan Pusat Sistem Kawalan Udara Kuala Lumpur di Subang pagi tadi.

Hadir sama, Naib Presiden PKR, Tian Chua dan N Surendran serta Ketua Biro Keselamatan PKR, Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab.

Pada 12 September lalu, sistem kawalan trafik udara di Lapangan Terbang SAAS di sini telah lumpuh lebih dua jam bermula daripada 2.30 pagi hingga 4.20 pagi berikutan kegagalan radar dan radio untuk berfungsi.

Beliau juga mempersoalkan bagaimana kementerian berkenaan dan DCA membenarkan sistem tersebut beroperasi tanpa sokongan sistem interim.

?Kita mesti pastikan semua projek berkaitan keselamatan dalam sektor penerbangan tidak dianugerah kepada syarikat tidak memiliki kemampuan teknikal, pada waktu ini dan masa hadapan,? kata Izzah lagi.

Categories
NASIONAL

Nurul Izzah : Siasat Kecacatan MATSMP Demi Keselamatan Negara

 

SHAH ALAM 5 JULAI : Perdana Menteri digesa memberikan perhatian segera berhubung kecacatan sistem Malaysian Air Traffic Services Modernization Programme (MATSMP) Improvement Phase 2 (MIP-2) yang dinaiktaraf baru-baru ini.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dalam kenyataan medianya mempersoalkan tindakan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha yang tidak menjawab soalan di parlimen pada 12 Jun lalu.

Ia membabitkan kos keseluruhan naik taraf sistem MATSMP berjumlah RM128.4 juta ini dan keberkesanannya.

Sebelum ini, dalam jawapan Kong Cho Ha berkata, kos Malaysian Air Traffic Services Modernisation Program Improvement Project Phase 2 (MIP-2) adalah RM128.4 juta dan berjalan baik tanpa apa-apa insiden.

Kementerian Pengangkutan turut mengatakan bahawa sistem yang disediakan Selex memenuhi piawaian International Civil Aviation Organization (ICAO).

Namun menurut Izzah, dalam surat DCA bertarikh 13 Jun lalu ada membangkitkan ?gangguan-gangguan kecil? terhadap sistem ini.

Ia bercanggah dengan kenyataan Pegawai Kawalan Trafik Udara (ATC) di Subang dalam surat bertarikh 4 Januari bahawa wujud ?kecacatan yang jelas yang menyebabkan sistem menjadi tidak stabil?.

Jelas Izzah, projek bernilai RM244.5 juta itu diberi kepada Selex Sistemeni Integrati (Selex) dan Advanced Air Traffic Systems (AAT) dengan kontrak selama lima tahun.

Beliau berkata, berdasarkan dokumen sebut harga penyelenggaraan untuk setiap tahun berjumlah RM45,142, 987.

?Ia meliputi Kawalan Trafik Udara (ATC) Kuala Lumpur, Subang Interim, Stesen Radar Pengawasan Menengah Monopulse (MSSR) Genting, Stesen Pengawasan Radar Rendah (PSR) dan Pengawasan Radar menengah (SSR) Langkawi, Kuching, Kota Kinabalu dan Miri.

?Ia turut melibatkan stesen PSR, SSR dan ATC Johor Bahru, Kota Bharu, Sibu, Penang, Tawau serta Kuala Terengganu,? katanya.

Namun apa yang dikesalinya, kedua-dua syarikat itu bukan sahaja didakwa gagal menyelenggara sistem radar malah wujud kecacatan sistem trafik hingga mengancam keselamatan ruang udara.

Dakwa Izzah, maklumat dalaman diperoleh daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mendapati, sistem radar telah beku (frozen) daripada 0614z hingga 0625z selama lima saat.

?Selain itu, berlaku ?rebooting? komputer pegawai-pegawai trafik udara dan tiada pertukaran teknologi seperti yang dijanjikan Selex dan AAT.

?DCA terpaksa menunggu jurutera dari Itali hingga melambatkan bantuan teknikal yang diperlukan sedangkan kos kontrak adalah tinggi,? ujar Izzah.

Pada 8 Jun lalu, Izzah mendedahkan, projek MATSMP bernilai RM280 juta diberi kepada Selex dan AAT secara tender tertutup.

Categories
NASIONAL

Baiki Sistem Radar Izzah Tidak Puas Hati Jawapan Menteri

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Sri Kong Cho Ha berhubung kerosakkan sistem radar dan tender memperbaiki sistem kawalan udara di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Menerusi jawapan bertulis yang diterima menyatakan, kos perbelanjaan kawalan udara yang menggunakan ‘Human Machine Interface’ secara keseluruhan berjumlah RM128,426,500 dan sistem tersebut berada di tahap baik, malah tiada kejadian buruk disebabkan oleh sistem itu.

Menurut Izzah, perkara ini amat berbeza daripada keadaan sebenar.

“Sebaliknya maklumat yang kami perolehi daripada kakitangan yang mengendalikan sistem tersebut termasuk daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA), berlainan sama sekali.

“Kami juga difahamkan kontrak baik pulih sistem berkenaan turut diberi kepada keluarga salah seorang menteri. Adakah ini sudah menjadi kebiasaan dalam pentabiran kerajaan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Jumaat lalu dalam sidang media, Izzah yang juga Naib Presiden PKR menyatakan bahawa sistem kawalan udara terbabit mengalami masalah dan diakui oleh beberapa kakitangan.

Katanya, pada Januari lalu, beliau menerima surat termasuk daripada timbalan pengarah pengawal trafik udara yang menyatakan rasa kecewa berhubung kecacatan sistem berkenaan.

Dakwanya, jika benar kerajaan membaik pulih sistem itu, mereka perlu kemukakan bukit ini, kerana ia membabitkan keselamatan orang awam yang menggunakan perkhidmatan di lapangan terbang tersebut.