Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerja Naik Taraf Longkang Batu 8, Shah Alam Masih Dijalankan

SHAH ALAM 20 SEPT : Penduduk di sekitar Jalan Batu Bata dan Taman Bukit Kemuning, Batu 8 di sini diminta bersabar dengan masalah banjir ekoran kerja-kerja menaiktaraf longkang saliran dan jalan di kawasan itu masih dalam pembinaan.

Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafei berkata pihaknya menerima aduan daripada beberapa penduduk yang tidak berpuas hati dengan kerja-kerja menaiktaraf itu.

Katanya, penduduk sebelum ini mendakwa pihak kontraktor tidak menjalankan kerja-kerja dengan sempurna.

“Kerja-kerja pembinaan itu sebenarnya masih belum siap sepenuhnya, ia dijangka siap hujung bulan ini,” katanya ketika ditemui dalam lawatan ke kawasan terbabit.

Sebanyak RM 1.5 juta diperuntukkan bagi program penyelenggaraan jalan dan longkang di bawah geran MARRIS dan Selangorku untuk menaiktaraf jalan itu.

Katanya, kerja-kerja menaiktaraf longkang saliran dan jalan di Jalan Batu Bata sepanjang 800 meter itu bermula Julai lalu.

Di dalam isu yang berlainan, Shuhaimi berkata Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Projek Lintasan Shah Alam Sdn Bhd (prolintas) telah diminta untuk menyelenggara saliran air di bawah terowong Sungai Kandis yang tersumbat.

Saliran tersebut tersumbat dengan dahan pokok dan rumput yang tumbuh di bawah laluan Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA).

Banjir tersebut telah melanda sembilan kawasan iaitu Kampung Bukit Naga, Seri Gambut, Bandar Putera, Taman Sri Muda, Kemuning Residence, Bukit Rimau, Kota Kemuning dan Batu 8, Jalan Bukit Kemuning.

Leave a Reply

Your email address will not be published.