Categories
SELANGOR

Kilang Haram Di Batu 8 Ancam Penduduk

SHAH ALAM 20 SEPT : Kegiatan kilang besi dan aluminium yang beroperasi secara haram di Batu 8, Jalan Bukit Kemuning sejak lima tahun lalu didakwa menimbulkan masalah kepada penduduk di kawasan terbabit.

Penduduk mendakwa mereka bukan sahaja tidak tahan dengan bunyi bising malah ia juga mengancam nyawa penduduk kerana kekerapan lori keluar masuk di jalan utama perumahan itu.

Lebih teruk lagi, kilang haram itu dikatakan beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi hingga 11 malam.

Kini, sebuah lagi kilang haram yang baru dibuka dibahagian belakang rumah mereka sejak tiga bulan lalu menjadikan rumah mereka dihimpit oleh kedua-dua kilang itu.

Malah, penduduk turut berhadapan dengan masalah habuk yang menyebabkan kediaman dan kenderaan mereka berhabuk serta disaluti cat akibat penyemburan cat daripada kilang terbabit.

Penduduk, A.Ragueathi, 32, berkata penduduk berasa rimas dengan pencemaran yang terpaksa dihadapi mereka.

Katanya, sudah banyak kali teguran dibuat ke atas pemilik kilang itu bagaimanapun tidak diendahkan.

“Kami sudah tidak tahan dengan bunyi bising dan habuk disebabkan masalah ini, rumah kami mempunyai kanak-kanak, kami mahu tidur juga tidak lena sebab terlalu bising.

“Kami juga sudah penat kerana banyak kali menegur pemilik kilang ini tetapi mereka buat tidak endah seolah-seolah tiada apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu dalam lawatan Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafei serta Jabatan Perancangan dan Kawalan Bangunan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ke kilang terbabit mendapati kilang terbabit didirikan diatas lot kediaman dan beroperasi secara haram.

Kedua-dua kilang itu dikenakan saman dan notis pengosongan bangunan oleh Jabatan Perancangan dan Kawalan Bangunan MBSA dalam tempoh dua minggu selepas notis dikeluarkan.

Shuhaimi berkata tindakan tegas akan diambil sekiranya mereka masih berdegil meneruskan operasi itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.