Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk Pangsapuri Aman Disaran Berjumpa MPSJ

SHAH ALAM 13 SEPT: Penduduk Pangsapuri Aman, Puchong Prima dinasihatkan berjumpa Pesuruhjaya Bangunan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) atau Lembaga Perumahan Hartanah Selangor bagi memohon bantuan pembaikan lif melalui Skim Ceria.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata demikian ketika mengulas laporan Berita Harian hari ini berkenaan masalah yang dihadapi penduduk Pangsapuri Aman.

Katanya, kemudahan asas yang tidak dapat dinikmati penduduk pangsapuri itu berpunca daripada penamatan kontrak penyelenggaraan yang sebelum ini dilakukan oleh Cantuman Usaha Sdn Bhd tamat pada 31 Ogos lalu.

Bagaimanapun atas inisiatif penduduk, mereka menubuhkan ‘Management Comitee’ (MC) dan selepas 1 September lalu, penyelenggaraan bangunan termasuk lif dibuat oleh penduduk sendiri.

Namun, sebuah lagi lif masih belum beroperasi.

Sehubungan itu, Iskandar menasihatkan penduduk supaya merujuk kepada pihak berkenaan kerana sebelum ini syarikat penyelenggaraan pernah memohon bantuan pembaikan pam air melalui skim ceria.

“Mengikut rekod, yuran penyeleggaraan untuk Blok A ialah RM55.00 dan Blok B RM45.00.

“Kutipan yang berjaya dikutip hanya sekitar 30 peratus sahaja dan penduduk dilaporkan masih berhutang sebanyak RM290,000.00,” katanya dalam satu kenyataan media.

Katanya, Skim Ceria ialah skim bantuan yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Selangor di mana kos pembaikan akan ditanggung sebanyak 80 peratus oleh Kerajaan Negeri dan bakinya ditanggung oleh penduduk.

Memetik laporan akhbar itu, penghuni pangsapuri yang mempunyai 402 unit rumah itu mendakwa mengalami masalah kemudahan asas yang tidak berfungsi antaranya lif rosak sejak enam bulan lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.