Categories
PBT SELANGOR

Pantau kebersihan pangsapuri, elak penularan penyakit

SHAH ALAM, 29 JAN: Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) digesa memantau kebersihan kawasan perumahan bagi mengelakkan penularan sebarang penyakit, kata yang dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor.

Rahilah Rahmat berkata usaha itu perlu disokong semua komuniti demi kesejahteraan bersama.

“Kita sebagai masyarakat harmoni perlu bekerjasama membantu JMB atau MC dan usaha ini perlu ditunjukkan melalui pembayaran wang akuan penjelas dan penyelenggaraan bangunan.

“Sekiranya kerjasama ini terus kukuh, ia akan melahirkan komuniti strata yang sihat serta produktif,” katanya ketika berucap pada Program Malam Anugerah JMB/MC 2019 di Eco Grandeur, Puncak Alam, baru-baru ini.

Rahilah berkata anugerah julung kali itu bagi mengukur prestasi penyampaian perkhidmatan JMB/MC daripada segi pengurusan dan penyelenggaraan bangunan, kewangan, keselamatan, risiko, aduan dan penglibatan komuniti serta kesejahteraan penduduk.

Katanya, penilaian berkenaan penting bagi memastikan badan pengurusan dan penyelenggaraan bangunan berada pada tahap terbaik, sekali gus meningkatkan nilai hartanah dan keyakinan pelabur serta perspektif pembeli pada masa akan datang.

Categories
SELANGOR

JMB/MC perlu ambil insurans elak kejadian luar jangka

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 18 NOV: Badan Pengurusan Bersama (JMB/MC) pangsapuri disarankan supaya mengambil skim perlindungan insuran bagi menghadapi kejadian luar jangka akibat bencana.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan beberapa syarikat yang menawarkan perkhidmatan sesuai pada kadar munasabah.

“Saya ingin tekankan supaya JMB/MC mengambil insurans kerana apabila berlaku bencana alam, kemalangan dan vandalisme, mereka sudah ada perlindungan kecemasan luar jangka.

“Kerajaan Negeri sudah mengambil inisiatif bagi membolehkan pengambilan insuran oleh JMB/MC secara berpusat.

“Ini bertujuan supaya insuran diambil semua JMB/MC seragam, nilai kompetitif dan mendapat perlindungan komprehensif supaya tidak berdepan masalah kewangan jika berhadapan kejadian tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Perdana JMB/MC Pangsapuri Negeri Selangor Tahun 2018 di Dewan Hamzah, Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Nazmi Osman.

Menurutnya, bentuk caruman insurans itu masih dikaji tetapi beliau mencadangkan supaya ia dimasukkan dalam bayaran penyelenggaraan pada kadar munasabah buat penduduk.

Selangor mempunyai lebih 1,300 pangsapuri kos rendah dan Kerajaan Negeri sudah memperuntukkan RM145.3 juta untuk membaik pulih kemudahan fizikal seperti lif, bumbung, tangki atau paip air serta mengecat semula bangunan.

Dalam majlis sama, Haniza turut kagum melihat kesungguhan beberapa JMB/MC yang berjaya mewujudkan beberapa siri inovasi bagi meningkatkan pendapatan serta menjimatkan kos penyelenggaraan.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

JMB/MC perlu berintegriti urus sumber kewangan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 JUL: Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) perlu berintegriti dalam mengendalikan sumber kewangan bagi melancarkan pengurusan sesebuah pemajuan berstrata.

Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, hal itu kerana sumber kewangan adalah nadi bagi memastikan ianya tidak menjejaskan operasi, penyelenggaraan fasiliti dan bangunan.

“Ilmu pengurusan kewangan membabitkan pelbagai aspek dan situasi antaranya integriti. Amanah ini ditakrifkan sebagai berintegriti, akauntabiliti dan Kebolehpercayaan.

“Pihak ini perlu diberi kefahaman dan kekuatan ilmu supaya mereka boleh melaksanakan tugas sekali gus, mengurangkan permasalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Seminar Pengurusan JMB/MC Selangor Siri 1/2018, di Dewan Jubli Perak, SUK, di sini.

Haniza berkata, selain itu, pihak JMB/MC juga perlu adil dalam menyalurkan perbelanjaan supaya tidak menimbulkan perselisihan faham antara pengurusan dan penduduk.

“Ada kes JMB/MC banyak kumpul duit, namun tidak digunakan untuk perkara memanfaatkan pemilik. Ini menimbulkan pergaduhan dan menyebabkan pemilik tidak mahu lagi membayar caj bulanan semasa.

“Selain itu, pihak pengurusan juga perlu memahami aspek merancang perbelanjaan dan aspek teknikal serta pelaksanaan yang perlu dipelajari,” katanya.

Pada masa sama, Haniza turut mahu aspek pendidikan komuniti tidak diabaikan semua pihak.

Katanya, semua pihak perlu memberikan kesedaran secara berterusan kepada pemilik berstrata supaya mereka mendisiplinkan dan menjelaskan bayaran.

“Kerajaan Negeri menyediakan platform kepada semua JMB/MC supaya mereka berkongsi pengalaman.

“Tidak semua gagal dalam melaksanakan kutipan tetapi boleh diikuti dan mempelajari sesama mereka yang mendapat kutipan melebihi 60 peratus,” katanya.

Categories
NASIONAL

MBPJ adakan seminar pertingkat daya JMB, MC

MBPJ adakan seminar 2

PETALING JAYA, 7 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengadakan Seminar Akta 757 Pengurusan Strata 2013 bagi membantu Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) di Petaling Jaya memberi khidmat terbaik kepada warga pangsapuri.

Datuk Bandar MBPJ, Datin Paduka Alinah Ahmad berkata Akta 757 ini memansuhkan Akta 663 yang sebelum ini menyebabkan kekeliruan dan ketidakseragaman dalam pengurusan pembangunan strata. Beliau berharap JMB dan MC dapat memanfaatkan Akta 757 untuk menyelesaikan masalah-masalah yang berbangkit sebelum ini.

“Sebelum ini Akta 663 yang digubal pada 2007 banyak kelemahan, terdapat bahagian yang tidak berhubung dengan sesuatu akta lain untuk menyelesaikan masalah penduduk rumah bertingkat. Akta 757 ini diwartakan pada Febuari lalu digubal bagi melicinkan JMB dan MC menyelesaikan masalah penduduk rumah bertingkat,” kata Alinah dalam ucapan perasmian seminar di Dewan Sivik MBPJ hari ini.

Akta 757 membenarkan JMB, MC dan COB melantik ejen pengurusan bangunan menyenggara dan mengurus pembangunan berstrata sebagai ejen pengurusan. Mekanisma penyelesaian konflik juga diperkenalkan untuk pihak berkepentingan menyuarakan ketidakpuasan hati, serta bilangan pegawai dan kakitangan di pejabat COB juga ditambah dari lima orang kepada 16 orang supaya ia dapat menyampaikan khidmat dengan proaktif.

Beberapa kaedah penambahbaikan diperuntukan untuk menyelesaikan masalah kutipan caj penyelenggaraan dan kumpulan wang penjelas (sinking fund). Sebelum ini di Kuala Lumpur dan di Pulau Pinang, beribu-ribu penghuni atau pemilik petak tidak membuat bayaran menyebabkan keadaan bangunan di pangsapuri perumahan rakyat (PPR) tidak terurus dan tambahan berjuta ringgit perlu disediakan utuk membaiki kerosakan dan kemunduran bangunan.

Akta juga memperincikan agihan tanggungjawab dan tempoh penguatkuasaan peralihan kuasa daripada pemaju, JMB, MC dan jawatankuasa MC, serta tindakan-tindakan yang boleh dikenakan keatas pemilik petak/penghuni ?free rider? yang tidak membuat bayaran caj dan tidak menghormati undang-undang.

Sepanjang lima tahun kebelakangan ini, MBPJ turut mengadakan pelbagai seminar bagi membantu masyarakan di Petaling Jaya meningkatkan kualiti hidup masing-masing.

Seminar Akta Pengurusan Strata 2013 hari ini berjaya menarik kehadiran kira-kira seratus wakil JMB dan MC dari seluruh pelusuk Petaling Jaya.

Seminar itu disampaikan peguamcara dan peguambela, Andrew Wong merupakan konsultan yang terlibat dengan kerja mendraf Akta 757.

MBPJ adakan seminar 1

Categories
SELANGOR

JMB, MC Boleh Salur Aduan Di Majlis Himpunan Perdana

SHAH ALAM 19 SEPT : Badan Pengurusan Bersama(JMB) dan Jawatankuasa Pengurusan(MC) berpeluang berkongsi cadangan dengan Kerajaan Negeri dalam usaha menyelesaikan masalah yang berkaitan di kawasan mereka.

Bertempat di Pusat Konvensyen Kolej Universiti Islam Selangor(KUIS) Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan akan menganjurkan Himpunan Perdana JMB/MC Siri ke 2/2012 pada 22 September ini di Pusat Konvensyen Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Majlis yang turut mendapat kerjasama Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor itu juga khusus dianjurkan untuk JMB dan MC dari kawasan-kawasan Pihak Berkuasa Tempatan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp).

Dalam satu kenyataan media Exco Selangor, Iskandar Samad berkata antara isu-isu yang dijangka akan dibincangkan adalah kelulusan dan perlaksanaan program CERIA serta migrasi kepada meter pukal kepada meter individu.

“Isu lain ialah pengurangan 25 peratus cukai pintu bagi Pangsapuri Kos Rendah,” umum beliau dalam satu sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Exco negeri di sini sebentar tadi.

Beliau juga mengalu-alukan penyertaan wakil JMB dan MC daripada PBT lain dalam majlis himpunan tersebut.

Menurutnya lagi, antara program utama dalam majlis itu ialah penyampaian taklimat dalam hal pengurusan bangunan, penyelenggaraan bangunan, keselamatan dan perundangan.

“Maskot CERIA juga akan dilancarkan pada perhimpunan hari Sabtu minggu ini,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk Pangsapuri Aman Disaran Berjumpa MPSJ

SHAH ALAM 13 SEPT: Penduduk Pangsapuri Aman, Puchong Prima dinasihatkan berjumpa Pesuruhjaya Bangunan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) atau Lembaga Perumahan Hartanah Selangor bagi memohon bantuan pembaikan lif melalui Skim Ceria.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata demikian ketika mengulas laporan Berita Harian hari ini berkenaan masalah yang dihadapi penduduk Pangsapuri Aman.

Katanya, kemudahan asas yang tidak dapat dinikmati penduduk pangsapuri itu berpunca daripada penamatan kontrak penyelenggaraan yang sebelum ini dilakukan oleh Cantuman Usaha Sdn Bhd tamat pada 31 Ogos lalu.

Bagaimanapun atas inisiatif penduduk, mereka menubuhkan ‘Management Comitee’ (MC) dan selepas 1 September lalu, penyelenggaraan bangunan termasuk lif dibuat oleh penduduk sendiri.

Namun, sebuah lagi lif masih belum beroperasi.

Sehubungan itu, Iskandar menasihatkan penduduk supaya merujuk kepada pihak berkenaan kerana sebelum ini syarikat penyelenggaraan pernah memohon bantuan pembaikan pam air melalui skim ceria.

“Mengikut rekod, yuran penyeleggaraan untuk Blok A ialah RM55.00 dan Blok B RM45.00.

“Kutipan yang berjaya dikutip hanya sekitar 30 peratus sahaja dan penduduk dilaporkan masih berhutang sebanyak RM290,000.00,” katanya dalam satu kenyataan media.

Katanya, Skim Ceria ialah skim bantuan yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Selangor di mana kos pembaikan akan ditanggung sebanyak 80 peratus oleh Kerajaan Negeri dan bakinya ditanggung oleh penduduk.

Memetik laporan akhbar itu, penghuni pangsapuri yang mempunyai 402 unit rumah itu mendakwa mengalami masalah kemudahan asas yang tidak berfungsi antaranya lif rosak sejak enam bulan lalu.