Categories
NASIONAL SELANGOR

Pusat ‘Potong’ Bajet JPS Punca Gagal Selenggara Kolam Tadahan Seri Serdang

SERI SERDANG, 25 SEPT : Tindakan Kerajaan Pusat memotong peruntukan Jabatan Pengairan Selangor (JPS) sejak 2008 antara punca agensi berkenaan gagal menyelenggara serta menjalankan kerja-kerja penambahbaikan di kolam tadahan Taman Seri Serdang dan Sungai Kuyoh bagi mengelak insiden banjir kilat di kawasan itu terus berulang.

Menurut Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, kolam takungan itu berada di bawah pemantauan JPS yang juga merupakan salah satu agensi Kerajaan Pusat.

Menurutnya, sejak 2008, JPS gagal meneyelenggara kolam tadahan dengan baik selain tidak melakukan kerja-kerja mendalamkan Sungai Kuyoh.

Sejak 2008 juga peruntukan kepada negeri Selangor juga dikurangkan sehingga mengakibatkan JPS mengalami kesukaran untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan.

“Masalah banjir di kawasan ini berlaku sejak lebih 20 tahun lalu, tetapi kali ini lebih serius kerana jumlah air hujan mencatatkan peningkatan tiga kali ganda daripada jumlah hujan biasa.

“Sungai Kuyoh tidak mampu menampung air yang banyak. Sebab itu kita mahu Kerajaan Pusat memberi peruntukan kepada JPS supaya mereka boleh menambahbaik sungai itu.

“Kerajaan Negeri memang ada memberi peruntukan setiap tahun kepada JPS tetapi tanggungjawab utama adalah daripada Kerajaan Pusat,” katanya yang juga Adun Seri Kembangan.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Adun Seri Serdang, Datuk Mohamad Satim Diman yang mendakwa Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) tidak mempedulikan isu pembangunan di kawasan itu sejak memerintah negeri ini sehingga menyebabkan banjir besar di situ baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ean menyifatkan dakwaan Satim itu dibuat untuk menutup kelemahan pentadbiran Umno-BN sebelum ini dan melepaskan tanggungjawab Kerajaan Pusat.

“Ini sepatutnya tanggungjawab Kerajaan Pusat. Dia (Satim) melepaskan tanggungjawabnya sebagai ahli komponen parti BN. Dia sengaja berbuat demikian dan meletakkan tanggungjawab itu ke atas Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.