Categories
NASIONAL SELANGOR

Khalid Sedia Debat Dengan Calon MB Umno-BN

air-syabas_MB1
KUALA SELANGOR, 11 FEB: Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersedia untuk berdebat mengenai isu air Selangor dengan mana-mana calon Menteri Besar Selangor daripada Umno-BN.

Menurut Abdul Khalid, dengan mengadakan debat, masyarakat Selangor akan mendapat manfaat dengan membuat penilaian dan perbandingan di antara cara pengurusan perkhidmatan air Selangor oleh Pakatan Rakyat Selangor and Umno-BN.

“Baguslah kalau (Datuk Seri) Noh Omar mahu berdebat, kalau dia bakal Menteri Besar, kita boleh berdebat,” ujar beliau dalam sidang media di Kampung Bukit Badong di Bestari Jaya pagi tadi.

Pengurusan perkhidmatan air di Selangor adalah antara isu utama yang akan menentukan gagasan mana akan berjaya memerintah negeri pada pilihanraya akan datang.

Dalam lima tahun pentadbiran, 92 peratus pengguna domestik di Selangor telah mendapat faedah daripada skim air percuma 20 metre padu.

Di samping itu, kenaikan tarif tarif air sebanyak 52 peratus yang diminta oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam tempoh itu, telah berjaya disekat oleh pentadbiran Abdul Khalid.

MP Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar dilaporkan mencabar Abdul Khalid untuk berdebat dengan beliau dalam isu air Selangor.

Perebutan jawatan Menteri Besar di kalangan pemimpin Umno-BN Selangor terus hangat apabila beberapa nama disebut bakal menyandang kerusi itu sekiranya Umno-BN berjaya merampas semula pentadbiran Selangor dari Pakatan Rakyat.

Selain Noh yang kini Timbalan Ketua Umno Selangor, nama lain yang turut disebut adalah Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, Adun Permatang, Sulaiman Abdul Razak dan Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pusat ‘Potong’ Bajet JPS Punca Gagal Selenggara Kolam Tadahan Seri Serdang

SERI SERDANG, 25 SEPT : Tindakan Kerajaan Pusat memotong peruntukan Jabatan Pengairan Selangor (JPS) sejak 2008 antara punca agensi berkenaan gagal menyelenggara serta menjalankan kerja-kerja penambahbaikan di kolam tadahan Taman Seri Serdang dan Sungai Kuyoh bagi mengelak insiden banjir kilat di kawasan itu terus berulang.

Menurut Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, kolam takungan itu berada di bawah pemantauan JPS yang juga merupakan salah satu agensi Kerajaan Pusat.

Menurutnya, sejak 2008, JPS gagal meneyelenggara kolam tadahan dengan baik selain tidak melakukan kerja-kerja mendalamkan Sungai Kuyoh.

Sejak 2008 juga peruntukan kepada negeri Selangor juga dikurangkan sehingga mengakibatkan JPS mengalami kesukaran untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan.

“Masalah banjir di kawasan ini berlaku sejak lebih 20 tahun lalu, tetapi kali ini lebih serius kerana jumlah air hujan mencatatkan peningkatan tiga kali ganda daripada jumlah hujan biasa.

“Sungai Kuyoh tidak mampu menampung air yang banyak. Sebab itu kita mahu Kerajaan Pusat memberi peruntukan kepada JPS supaya mereka boleh menambahbaik sungai itu.

“Kerajaan Negeri memang ada memberi peruntukan setiap tahun kepada JPS tetapi tanggungjawab utama adalah daripada Kerajaan Pusat,” katanya yang juga Adun Seri Kembangan.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Adun Seri Serdang, Datuk Mohamad Satim Diman yang mendakwa Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) tidak mempedulikan isu pembangunan di kawasan itu sejak memerintah negeri ini sehingga menyebabkan banjir besar di situ baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ean menyifatkan dakwaan Satim itu dibuat untuk menutup kelemahan pentadbiran Umno-BN sebelum ini dan melepaskan tanggungjawab Kerajaan Pusat.

“Ini sepatutnya tanggungjawab Kerajaan Pusat. Dia (Satim) melepaskan tanggungjawabnya sebagai ahli komponen parti BN. Dia sengaja berbuat demikian dan meletakkan tanggungjawab itu ke atas Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor,” katanya lagi.