Categories
NASIONAL

Tee Yong Tak Layak Cabar Kerusi Bandar Tun Razak

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani 2, Datuk Chua Tee Yong tidak layak mencabar kerusi parlimen Bandar Tun Razak kerana mempunyai rekod prestasi yang jauh ketinggalan berbanding pencapaian cemerlang Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Tee Yong juga gagal memastikan kementeriannya agar berjaya mengutip hutang RM250 juta dari National Feedlot Corporation (NFC) yang dikuasai keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Sharizat Jalil yang sepatutnya memulakan bayaran pada Januari lalu.

Sebaliknya, Abdul Khalid bukan sahaja memiliki rekod prestasi cemerlang sepanjang empat tahun menerajui Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, malah berjaya mengutip setiap sen dari hutang RM392 Juta Talam Corporation yang ditinggalkan Kerajaan BN sebelumnya.

Demikian menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua dalam program Jelajah Merdeka Rakyat yang diadakan di Flat Sri Labuan, Cheras malam tadi.

“Dia kata kita tak berjaya kutip hutang dari syarikat Talam Corporation, walau (juru audit bebas) KPMG mengesahkan kita berjaya kutip balik, tetapi untuk projek lembu ini, kerajaan telah pun dahulukan pinjaman sebanyak RM250 juta kepada keluarga Datuk Sharizat Abd Jalil, tetapi sampai hari ini Kerajaan Persekutuan satu sen pun belum dapat kutip dari NFC.

“Saya nak tanya Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Chua Tee Yong, MCA, yang bertanding di Bandar Tun Razak, adakah mereka akan beri jaminan mereka akan berjaya kutip balik setiap sen dari RM250 juta wang rakyat yang diberi kepada keluarga Datuk Sharizat Jalil untuk membeli kondominium mewah di Bangsar, Singapore, Kazakhtan dan lain-lain tempat yang kita tak tahu.

“Mereka tidak berhak bertanding di Bandar Tun Razak kerana mereka tidak setaraf dengan kejayaan, pencapaian dan ketelusan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang akan bertanding di Bandar Tun Razak,” kata Tony Phua.

Phua turut mengingatkan pengundi Bandar Tun Razak terhadap tindakan Abdul Khalid menyekat dua kali kenaikan tarif air sebanyak 35 peratus pada 2009 dan 25 peratus pada 2012 kerana tidak mahu membebankan rakyat.

Selain itu Abdul Khalid juga berjaya menjimatkan RM100 juta wang rakyat setiap tahun apabila beliau membuat keputusan menamatkan kontrak Alam Flora dan menggantikan dengan kontraktor baru melalui tender terbuka.

Program Jelajah Merdeka Rakyat yang diadakan dalam keadaan hujan itu mendapat sambutan kira-kira lebih 2,500 masyarakat Bandar Tun Razak.

Selain Tony Phua, program tersebut turut menampilkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Leave a Reply

Your email address will not be published.