Categories
NASIONAL SELANGOR

Nurul Izzah : Gandingan Sharizat-Nong Chik Mudahkan Kerja PR di Lembah Pantai

nurul izzah crowd mei 24 2012 01

SHAH ALAM, 5 APR : Tokoh politik muda PKR, Nurul Izzah Anwar menganggap pertembungan dua lawan satu dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-13 di Parlimen Lembah Pantai akan memberi kelebihan kepada jentera Pakatan Rakyat (PR).

Ini kerana menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, kedua-dua tokoh Umno tersebut, Datuk Raja Nong Chik dan Datuk Seri Sharizat Jalil masing-masing terlibat dengan skandal menyalahgunakan kuasa dengan mengkayakan keluarga masing-masing.

“Apabila Sharizat bersama Raja Nong Chik berkempen sama ini merupakan satu pembuktian Raja Nong Chik mengekalkan tradisi rasuah Umno yang berakar dan ini memudahkan kerja saya kerana kita menawarkan perubahan.

“Sharizat (skandal) NFC, Raja Nong Chik (skandal) Istijuara.

?Jadi yang berakar adalah apabila bergelar menteri banyak habuan yang dapat dikongsi oleh keluarga,” kata ketika ditemui TV Selangor selepas pelancaran Malaysian Women Marathon 2013 di I-City petang tadi.

Beliau turut membandingkan prestasi Kerajaan Umno-BN yang banyak terpalit skandal rasuah dengan PR Negeri Selangor yang bersih dari isu rasuah.

Sebelum ini, Sharizat yang ditewaskan Nurul Izzah dalam PRU-12 lalu, berkata beliau akan berhabis-habisan membantu Raja Nong Chik dalam kempen pilihan raya nanti.

Raja Nong Chik disebut-sebutkan sebagai calon Umno-BN di Parlimen Lembah Pantai.

Categories
NASIONAL

Tee Yong Tak Layak Cabar Kerusi Bandar Tun Razak

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani 2, Datuk Chua Tee Yong tidak layak mencabar kerusi parlimen Bandar Tun Razak kerana mempunyai rekod prestasi yang jauh ketinggalan berbanding pencapaian cemerlang Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Tee Yong juga gagal memastikan kementeriannya agar berjaya mengutip hutang RM250 juta dari National Feedlot Corporation (NFC) yang dikuasai keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Sharizat Jalil yang sepatutnya memulakan bayaran pada Januari lalu.

Sebaliknya, Abdul Khalid bukan sahaja memiliki rekod prestasi cemerlang sepanjang empat tahun menerajui Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, malah berjaya mengutip setiap sen dari hutang RM392 Juta Talam Corporation yang ditinggalkan Kerajaan BN sebelumnya.

Demikian menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua dalam program Jelajah Merdeka Rakyat yang diadakan di Flat Sri Labuan, Cheras malam tadi.

“Dia kata kita tak berjaya kutip hutang dari syarikat Talam Corporation, walau (juru audit bebas) KPMG mengesahkan kita berjaya kutip balik, tetapi untuk projek lembu ini, kerajaan telah pun dahulukan pinjaman sebanyak RM250 juta kepada keluarga Datuk Sharizat Abd Jalil, tetapi sampai hari ini Kerajaan Persekutuan satu sen pun belum dapat kutip dari NFC.

“Saya nak tanya Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Chua Tee Yong, MCA, yang bertanding di Bandar Tun Razak, adakah mereka akan beri jaminan mereka akan berjaya kutip balik setiap sen dari RM250 juta wang rakyat yang diberi kepada keluarga Datuk Sharizat Jalil untuk membeli kondominium mewah di Bangsar, Singapore, Kazakhtan dan lain-lain tempat yang kita tak tahu.

“Mereka tidak berhak bertanding di Bandar Tun Razak kerana mereka tidak setaraf dengan kejayaan, pencapaian dan ketelusan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang akan bertanding di Bandar Tun Razak,” kata Tony Phua.

Phua turut mengingatkan pengundi Bandar Tun Razak terhadap tindakan Abdul Khalid menyekat dua kali kenaikan tarif air sebanyak 35 peratus pada 2009 dan 25 peratus pada 2012 kerana tidak mahu membebankan rakyat.

Selain itu Abdul Khalid juga berjaya menjimatkan RM100 juta wang rakyat setiap tahun apabila beliau membuat keputusan menamatkan kontrak Alam Flora dan menggantikan dengan kontraktor baru melalui tender terbuka.

Program Jelajah Merdeka Rakyat yang diadakan dalam keadaan hujan itu mendapat sambutan kira-kira lebih 2,500 masyarakat Bandar Tun Razak.

Selain Tony Phua, program tersebut turut menampilkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.