Categories
SELANGOR

Alinah Mahu Warga PJ Dapat Manfaat ‘Value For Money’

MBPJ Alinah Serah Tugas 01

PETALING JAYA 2 JAN : Datuk Bandar Petaling Jaya yang baru, Datin Paduka Alinah Ahmad berhasrat untuk memastikan agar warga Petaling Jaya mendapat manfaat melalui dasar ‘value for money’ di bawah pentadbiran beliau di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Bercakap dalam ucapan sulungnya sewaktu Upacara Penyerahan Nota Serahan Tugas Datuk Bandar Petaling Jaya di Ibu Pejabat MBPJ, beliau berkata hasrat tersebut merupakan perkara penting yang harus dicapai.

“Saya sedar MBPJ merupakan antara PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) yang kukuh kedudukan kewangannya.

“Mempunyai kedudukan kewangan kukuh memang satu kelebihan tetapi yang lebih penting lagi bagaimana pengurusan kewangan itu.

“Inilah merupakan cabaran besar MBPJ dalam memastikan warga pembayar cukai MBPJ rasa berbaloi dan puas dengan apa yang mereka sudah sumbangkan,” tegas Datuk Bandar Wanita Pertama ini di hadapan Ahli-ahli Majlis MBPJ dan ketua-ketua jabatan MBPJ.

Berterima kasih kepada kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang banyak mendidik beliau erti ‘value for money’, Alinah menambah hasrat tersebut tidak akan tercapai melalui usaha beliau seorang sahaja sebagai Datuk Bandar tetapi memerlukan komitmen semua pihak.

“Saya amat yakin, dengan sokongan dan dorongan daripada Kerajaan Negeri terutama Menteri Besar serta seluruh warga kerja, kita pasti berjaya merealisasikan dasar tersebut.

“Ini bukan sekadar tugas dan tanggungjawab kita semua, tetapi ia merupakan satu amanah yang perlu kita laksanakan dengan telus dan jujur,” ujar wanita yang berusia 63 tahun ini.

Berasal daripada Johor, Alinah yang juga merupakan ibu kepada tiga anak ini berpengalaman luas bertugas di bawah Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri sepanjang 24 tahun perkhidmatannya di sektor perkhidmatan awam.

Antara lain, beliau pernah bertugas di Unit Pelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, menjawat jawatan Ketua Penolong Setiausaha (Kewangan) SUK, Timbalan Pengarah Tanah dan Galian Selangor, Ketua Penolong Setiausaha (UPEN) dan terbaru sebagai Ketua Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Leave a Reply

Your email address will not be published.