Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Selangor Mahu Setiap Bidang Tanah Manfaat Kepada Rakyat

MB Songkok Yellow 01

SHAH ALAM 9 JAN : Kerajaan Selangor mahu sebidang tanah di Bukit Raja, Klang yang telah diperuntukkan untuk sebuah kem askar digunakan untuk tujuan tersebut dan bukan untuk kegunaan meraih untung semata-mata.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata ini tidak bermaksud yang Selangor halang pembangunan, tetapi mahu setiap tanah yang diambil untuk kegunaan awam memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menyangkal kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa Selangor menghalang sebarang pembangunan di tanah tersebut.

“Suruh dia (Ahmad Zahid) tunjukkan surat bukti yang menghalang,” kata Abdul Khalid dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco di sini hari ini.

“Kita menyatakan kepada mereka bahawa kita tidak akan meluluskan sehingga kita mendapat satu rancangan yang memberikan peluang kepada Kerajaan Negeri untuk mendapat kebaikan dari projek tanah tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memutuskan untuk tidak membenarkan sebarang pembangunan komersial di atas tanah lebih 200 ekar tersebut yang diambil pada tahun 1980-an untuk pembinaan kem tentera 8 Briged.

Pada 2009, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan telah memohon agar projek kem tentera tersebut ditukarkan kepada projek bangunan komersil, namun permohonan ini ditolak oleh Kerajaan Negeri.

Katanya, sebarang urusan perjualan tanah itu juga tiada kaitan dengan Kerajaan Negeri namun pihaknya bertanggungjawab terhadap pembangunan di kawasan berkenaan.

Dilaporkan bahawa status dan kegunaan tanah di kawasan Perindustrian Bukit Raja, Klang itu muncul di dalam skandal yang membabitkan syarikat Ketua Wanita Umno Selangor, Senator Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah, Awan Megah Sdn Bhd.

Tanah tersebut sudah diperolehi oleh Boustead Holdings Berhad apabila ia membayar RM 130 juta kepada Awan Megah.

Boustead Holdings merupakan pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera yang menyimpan caruman dan pecen anggota angkatan tentera.

Leave a Reply

Your email address will not be published.