Categories
NASIONAL SELANGOR

MB Jumpa Pimpinan PR Hari Ini Bincang Pembubaran DNS

MB Bincang Hal Bubar DNS 01

SABAK BERNAM 26 MAC : Pucuk pemimpin Pakatan Rakyat pusat akan mengadakan pertemuan hari ini bagi membincangkan tarikh pembubaran Dewan Negeri Selangor(DNS).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pertemuan itu akan turut membincangkan tarikh yang sesuai bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri(DUN) yang melibatkan negeri-negeri di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat.

“Ia untuk menentukan tarikh yang sesuai bagi Pakatan Rakyat menghebahkan pembubaran tersebut.

“Hasil pertemuan ini akan diumumkan pada hari ini atau juga esok pagi.

“Oleh kerana Perdana Menteri masih teragak-agak untuk memberikan tarikh itu sebab kita akan berbincang agar dapat menetapkan tarikh yang tetap dan tidak lagi menjadi teka-teki kepada rakyat,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata, demikian semasa sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pembangunan Perumahan Bercampur dan Pusat Rehat dan Rawat (R & R) Ladang Air Manis Panchang Bedena di sini.

Turut hadir dalam majlis itu Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad, Adun Sekinchan, Ng Suee Lim, Ketua Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Datuk Ahmad Omar.

Sebelum ini, berdasarkan spekulasi yang semakin hangat diperkatakan baru-baru ini, DNS Selangor dijangka dibubarkan pada minggu ini memandangkan tarikh mesyuarat Exco kerajaan negeri telah dianjak kepada semalam (Isnin) berbanding kebiasaan pada hari Rabu.

Keadaan itu menyebabkan kira-kira 40 wartawan daripada pelbagai agensi media hadir pada sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk menantikan sebarang pengumuman penting itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.