Categories
NASIONAL SELANGOR

MB Jumpa Pembeli Perumahan Terbengkalai Selepas DNS

mb DUN pc 3 jul 01

SHAH ALAM 3 JUL : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan kesediaannya untuk berjumpa dengan penduduk Blok E PJS 1 sejurus selesai persidangan Dewan Undangan Negeri yang dijangka tamat pada minggu hadapan.

Abdul Khalid akan memberikan penerangan penuh berhubung isu perumahan terbengkalai yang melibatkan penduduk kawasan itu dan kaitannya dengan sebuah keputusan mahkamah.

“Saya akan berjumpa dengan mereka untuk menerangkan kemajuan yang kita telah buat.

“Perkara ini telah ditahan oleh pemaju perumahan di mahkamah. Jadi saya terangkan kepada mereka apa keputusan mahkamah tentang perkara ini,” jelas Abdul Khalid.

Pagi tadi, kira-kira 30 penduduk Blok E PJS 1 berdemonstrasi di hadapan pintu utama bangunan SUK bagi menuntut Abdul Khalid menunaikan janji Kerajaan Negeri berhubung masalah perumahan mereka yang berlarutan sejak lapan tahun lalu.

Pembeli-pembeli tersebut merupakan bekas peneroka bandar dari kampung berhampiran yang terlibat dengan projek penempatan semula setinggan di sekitar Petaling Jaya.

Seramai 276 keluarga telah menerima tawaran rumah kos rendah di Blok E pada 2003. Seramai 262 penduduk telah menandatangani perjanjian jual beli dengan pemaju, Peter Brickworks.

Namun kegagalan pemaju menyiapkan rumah yang dijanjikan menyebabkan pembeli terpaksa menanggung beban hutang dengan pihak bank.

Leave a Reply

Your email address will not be published.