Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor berkenan ziarah Kompleks Makam Diraja Jugra

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 27 APR: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menziarahi Kompleks Makam Diraja Jugra di Kuala Langat, pada 25 April lalu.

Menerusi kenyataan laman rasmi facebook Selangor Royal, baginda diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Kompleks makam itu menempatkan makam Sultan Selangor Kelima, Almarhum Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Tengku Abdullah yang mangkat pada bulan Februari 1898.

DYMM Tuanku kemudian menziarahi Makam Diraja Kampung Bandar, Jugra, yang menjadi tempat persemadian kerabat-kerabat Diraja Selangor dari zaman terdahulu sehingga kini.

Di sini juga telah disemadikan Bonda kepada Sultan Selangor Ketujuh, Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah, Allahyarhamah Cik Hasnah Binti Pilong.

Sebelum berangkat pulang, Baginda turut sempat menyantuni penduduk-penduduk kampung yang hadir menyertai bacaan doa dan tahlil.

Pada masa sama, baginda turut berkenan singgah ke Masjid Diraja Sultan Ala’eddin Kampung Bandar yang sedang dalam proses dinaiktaraf dan dipulihara.

Turut mengiringi baginda Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Masjid yang dirasmikan oleh Almarhum Sultan Sir Ala’eddin Suleiman Shah pada 1926 dan dikenali dengan ciri-ciri rekabentuk India-Muslim dan Islam Timur Tengah ini masih dalam fasa terakhir kerja pemuliharaan sejak April 2015.

Ia bakal siap sepenuhnya menjelang awal Mei 2018.

Untuk rekod, Masjid Diraja Sultan Ala’eddin ini telah diwartakan sebagai Monumen Lama dan Tapak tanah Bersejarah di bawah Akta Bendapurba Bilangan 168/1976 pada 24 Julai 1980.

Ia juga didaftarkan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) pada 2008 oleh Jabatan Warisan Negara.