Categories
AGAMA SELANGOR

Dalang di sebalik desakan

Taman Medan menjadi tumpuan ramai baru-baru ini apabila heboh mengenai demonstrasi sekelompok orang yang mendesak supaya simbol agama bukan Islam di sebuah gereja, diturunkan. Wartawan AFIX REDZUAN mendapatkan pandangan Adun Taman Medan, Haniza Talha.

Mengapa demonstrasi itu dianjurkan dan siapakah dalangnya?

Motif (bantahan) adalah politik dan dalangnya Umno PJS (Petaling Jaya Selatan) ke-rana selepas diselidik, setiap individu itu, semua ada kaitan dengan Umno. Ada yang masih memegang dan tidak memiliki jawatan. Dalam demonstrasi itu, mereka mengaitkan saya selaku Adun tidak membuat kerja dan tidur.

Apa kena mengena saya dengan gereja itu tidak ada kena mengena sebenarnya. Kalau ingin membuka masjid atau gereja bukan berjumpa dengan saya. Ada agensi Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab memberi kelulusan dan pengesahan.

haniza-tahla_dewanIa bermotif politik. Tambahan pula, yang mengkritik saya adalah Munaliza Hamzah calon (Barisan Nasional) yang tewas dalam pilihan raya tahun 2008. Saya kira penganjuran bantahan hanya cubaan menaikkan semula nama beliau, bukannya untuk menjaga hak orang Islam.

Adakah peserta demonstrasi itu penduduk tempatan DUN Taman Medan?

Ya sebab saya kenal muka mereka dan bertemu setiap kali melawat kawasan sekitar DUN.

Sejak bila gereja itu berada di DUN Taman Medan?

Kalau penganut Kristian mahu membuka gereja, orang Islam membina masjid, mereka tidak bertanya kepada saya. Permohonan tidak pergi kepada saya. Jadi selaku Adun saya tidak tahu melainkan setiap permohonan perlu melalui saya.
Tambahan pula, ia berada di lot kedai yang banyak kosong bukannya taman perumahan. Saya sendiri tidak mendapat sebarang bantahan dan aduan sebelum itu.

Apakah tindakan bagi mengelakkan kejadian tidak berulang?

Apabila berlakunya kes sebegini, permohonan pembukaan rumah ibadat bukan Islam memerlukan garis panduan lebih jelas bagi mengelakkan kekeliruan.

Mungkin, ada syarat yang membolehkan sesebuah rumah ibadat dibuka seperti komposisi peratusan penduduk mengikut agama tertentu.

Sebagai contoh, pembinaan masjid. Perlu diketahui jumlah kariah sebelum dibangunkan. Bukannya dibina sesuka hati. Perlu jelaskan syarat untuk dipenuhi supaya tidak lagi timbul pertikaian.

20150418222642Saya menasihatkan semua yang terlibat dalam insiden itu kembali kepada penghayatan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad (SAW) dan tinggalkan perbuatan bertentangan dengan ajaran agama.

Dari segi pecahan kaum, adakah kewajaran untuk pembinaan gereja?

Saya tidak tahu jumlah gereja dalam DUN Taman Medan. Dari segi pecahan majoriti penduduk secara keseluruhan, kaum Melayu lebih 60 peratus, diikuti India, Cina dan lain-lain.

Dalam konteks pengundi, kawasan saya dipecahkan kepada dua bahagian, satu majoritnya Melayu dan India sementara kawasan lain Cina dan lain-lain. Di kawasan bantahan gereja kebanyakan kaum Me-layu dan India.

Pandangan terhadap penglibatan Datuk Abdullah Abu Bakar, abang kepada Ketua Polis Negara dalam demonstrasi itu?

Beliau mengaku sebagai Ke-tua Kampung. Jelas berbohong kerana tidak wujud kampung di Taman Medan. Beliau juga antara seorang Ketua Cawang-an Umno di PJS.

Pandangan terhadap kebimbangan orang awam mengenai lambang salib sedangkan pengimarahan masjid dan surau giat dijalankan?

Ini pandangan kumpulan Umno yang tidak faham tentang peranan dan tanggungjawab mereka sebagai penganut agama Islam terhadap agama lain. Perihal cara bergaul dan melayani mereka termasuklah kehendak yang boleh dipenuhi atau tidak.

Mungkin ilmu mereka belum sampai ke tahap itu. Berdasarkan kefahaman yang cetek, mereka mengambil tindakan kurang tepat. Kesannya pandangan orang luar terhadap Islam tercemar.

Mereka beranggapan akidah umat Islam terlalu rapuh, hanya dengan ada gereja dan menggantung salib, akan membuatkan umat Islam berpaling dari Islam. Sikap keterlaluan itu memberi persepsi negatif muslim. Kini, muslim dilihat sebagai taksub dan ekstrem sehingga menghalang bukan Islam mengamal agama masing-
masing.

Wajarkah kejadian itu disiasat mengikut Akta Hasutan?

Kalau Menteri Dalam Ne-geri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri mengatakan ia satu hasutan, maka beliau lebih arif dalam perkara ini. Saya tidak menjaga hal ehwal berkenaan kerana bukannya menteri.

Categories
AGAMA SELANGOR

Q&A : Antara keadilan untuk guru KAFA dan penjawat awam

Elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) di Selangor menjadi kontroversi berikutan perbuatan individu tertentu yang mendapat perhatian media. Ikuti wawancara NORHAYATI UMOR bersama Exco Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Pakatan Rakyat berjanji menaikkan elaun melalui manifesto PRU 13, dari RM1,300 kepada RM1,500 sebulan. Adakah ia sekadar janji?

Saya tidak menafikan kenaikan itu antara manifesto PRU 13. Sebelum PRU pun kita bincangkan perkara itu di peringkat negeri supaya ia dilaksanakan kerana kita melihat keperluannya. Selepas 2014, Menteri Besar ketika itu mahu melihat justifikasi yang perlu supaya setanding kenaikan.

Dalam sidang dewan disebut bahawa kajian kenaikan sudah selesai. Ia terlewat disebabkan penilaian penambahbaikan dalam kajian. Penjelasan?

jais kafaUmumnya, guru KAFA hanya mengajar empat jam bermula 2.30 petang hingga 6.30 petang. Kita melihat bagaimana untuk mempertingkat atau memperkasa guru KAFA melalui kenaikan itu.

Apabila adanya insentif, kita dapat mempertingkat kesediaan mereka sebagai guru. Seterusnya memberi impak baik hasil kenaikan itu. Contoh, pelajar lebih cemerlang. Jadi, kita mempertimbang justifikasi terbaik selaras kenaikan.

Apakah dan bagaimanakah justifikasi itu dinilai?

Antaranya masa mengajar yang tidak setanding dengan penjawat lain. Kita juga mempertimbang tempoh perkhidmatan guru. Ini bermaksud, ada guru berkhidmat tiga bulan, setahun, 10 tahun, 15 tahun dan mungkin lebih. Jadi, kita menilai semua itu ia bagi keadilan kepada semua. Tidak boleh diberi sama rata.

Beberapa justifikasi lain yang dicadang ialah bagaimana mahu memperkasa kekuatan guru itu sebagai pendidik. Dari segi pengetahuan agamanya ataupun kursus yang kita rancang supaya mereka benar-benar bersedia sebagai seorang pendidik.

Kerana ada perbezaan tempoh berkhidmat memerlukan kajian?

yunusYa. Itu yang kita lakukan. Kalau kira ia tidak adil kerana ada perbezaan tempoh perkhidmatan.

Bilakah sebenarnya kajian itu akan selesai?

Kajian dibuat tahun lepas kerana kita jangka hujung tahun itu juga selesai, kemudian dipersembah kepada Kerajaan Negeri untuk dibincang. Namun, pentadbiran Kerajaan Negeri ketika itupun tidak meletakkannya dalam belanjawan.

Ketika ini, kajian sudah selesai. Hanya menunggu masa dibincang pada peringkat negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Kajian akan dibentang oleh pengkaji diketuai Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Profesor Madya Datuk Halim Tamburi.

Kita hanya menunggu perbincangan dengan MMKN untuk putuskan justifikasi apa yang kita beri dalam memperkasa guru-guru  di samping menaikkan elaun RM1,500 itu.

Bilakah akan dibawa ke MMKN?

Saya sudah arahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menyediakan kertas berkaitan. Insya-Allah selepas mempersembahkannya kepada Dato’ Menteri Besar untuk pengetahuan beliau, kita akan bawa ke MMKN dan putuskan.

Jika sudah dibawa ke MMKN, bilakah kenaikan dapat diimplementasi?

Ia tidak akan mengambil masa lama. Pada hakikatnya, konsep yang dibawa ini tiada dalam belanjawan tambahan tetapi implementasinya akan dilakukan tahun depan. Soal keputusan, kita boleh putuskan bila-bila masa walaupun tidak dibajetkan tahun ini.

KAFA-Grafik

Belum dibawa ke MMKN tetapi yakin dapat diimplementasi?

Secara dasarnya, saya sudah berbincang dengan Dato’ Menteri Besar. Kita melihat ia bukanlah sesuatu jumlah begitu besar walaupun melibatkan lebih 6,000 guru KAFA. Implikasi kewangan kurang RM18 juta setahun. Saya melihat Dato’ Menteri Besar seolah-olah bersetuju.

Berapa kali elaun guru KAFA dinaikkan dan berapa nilainya?

Ini elaun bukan gaji. Kalau dulunya (zaman pentadbiran Umno BN) sekadar RM250 kemudian RM700 tetapi pada era Pakatan, dinaikkan kepada RM1,000 dan kemudian, naik lagi kepada RM1,300.

Kini, kita bercadang naikkan kepada RM1,500. Kita mahu jadikan ia sebagai pendapatan tetap kerana tiada kenaikan kalau ikut perjanjian. Mereka penjawat sambilan bukan penjawat awam. Pada masa ini, sumbang-an Kerajaan Persekutuan hanya RM800 manakala Kerajaan Selangor sebanyak RM500.

Apakah ada pihak sengaja mensensasi isu ini sedangkan kenaikan tetap dilaksanakan cuma menunggu masa sesuai?

Isu bermula dari dua daerah yang saya turun padang menerusi program ‘Kampungku’. Kita sudah jumpa dengan semua guru. Saya kira sebahagian besarnya cukup memahami. Bukan kita tidak mahu laksanakan tetapi menunggu masa sesuai untuk diputuskan.

Ia perkara yang tidak berapa molek. Kalau sekadar menyampaikan surat, tidak perlu masuk ke Dewan Negeri Selangor (DNS) ketika bersidang sedangkan boleh diserah kepada wakil. Saya pun boleh berjumpa. Tiada masalah. Cara itu tidak kena kerana DNS ada peraturannya.

Nasihat kepada guru KAFA terhadap kenaikan itu, apatah lagi ketika ini, kehidupan semasa amat menekan rakyat?

Bersabarlah supaya kita berlaku adil dengan penjawat lain. Tidak dinafikan pekerjaan itu cukup mulia kerana pada masa sama ia mengangkat Islam. Tetapi justifikasi yang kita lakukan, baik supaya ia setanding imbuhan itu nanti.

Kita buat mengikut pasar garis kemiskinan. RM1,500 ialah kadar minimum, mungkin akan diguna pakai kepada semua kerana ia merupakan elaun, kita lihat kaedah mana yang baik dan adil.

Categories
AGAMA

Maqasid Syariah dan kemaslahatannya

Maqasid Syariah antara eleman penting dalam Islam. Namun ramai masyarakat masih keliru dan kurang memahami konsep itu walaupun ia bukan gagasan baru. Wartawan Selangor Kini, HAFIZAN TAIB mewawancara Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Amidi Abd Manan.

Apa definisi Maqasid Syariah dalam konteks Malaysia apabila konsep ini diperkenal. Adakah ia baru atau lama? Bagaimana perkembangan konsep ini bermula sehingga kini?

Maqasid Syariah secara la-teralnya boleh diterjemah sebagai tujuan atau maksud syariah. Ia menjurus kepada tujuan pensyariatan yang berupaya menghasilkan maslahah (kebaikan) kepada umat dan mencegah kemudaratan.

Merujuk kepada pandangan al-Raysuniy yang mengumpamakan Maqasid Syariah sebagai buah yang dipetik hasil dari pelaksanaan syariat. Maka ini juga bermaksud ada pelaksanaan syariat yang gagal mencapai buah seperti yang diimpikan. Maqasid Syariah adalah bidang yang lama dibincangkan oleh ramai ulama Islam dahulu.

Ada berpandangan ia dimulakan oleh Imam al-Ghazali sendiri yang menggariskan kewujudan lima objektif utama syariah iaitu:

1. Pemeliharaan agama (hifz al-din)
2. Pemeliharaan jiwa (hifz al-nafs)
3. Pemeliharaan akal (hifz al-a’ql)
4. Pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl)
5. Pemeliharaan harta (hifz al-mal)

Perbincangan berkaitan Maqasid Syariah berkembang dengan perbincangan yang dipelopori antaranya oleh Imam al-Shatibiy, Ibn Taimiyah, al-Amidy dan beberapa tokoh ulama lain. Selain itu, al-Qurafiy memasukkan objektif keenam iaitu Pemeliharaan Maruah (hifz al-‘irdh) dan pandangan itu selari dengan al-Tufiy dan al-Qurafiy.

Terdapat anjakan perbahasan dalam Maqasid Syariah umpamanya perbahasan mengenai Hifz al-aql yang pada mulanya hanya meliputi kehilangan fungsi aqal akibat pengambilan al-khamr (perkara yang memabukkan) kepada objektif pembangunan ilmu yang membina daya fikir saintifik dan menghindar budaya taqlid melampau.

Apakah peranan prinsip Maqasid Syariah dalam pembinaan negara berbilang kaum dan agama di Malaysia? Bagaimana titik pertemuan dapat diwujudkan melalui pemahaman Maqasid Syariah?

Dr Jamal al-Din ‘Atiyah mengemukakan sudut pandang yang agak berbeza. Beliau menyarankan, dari lima objektif unggul syariah kepada empat ranah kehidupan manusia iaitu individu, keluarga, umat dan kemanusiaan sejagat. Terdapat tujuh objektif dari sudut keumatan dan kemanusiaan iaitu:

1. Memastikan wujudnya umat secara nyata dengan esensi hakikinya, dan ciri-ciri khasnya.
2. Objektif pencapaian keamanan, keselamatan dan kedamaian
3. Objektif penegakan keadilan
4. Objektif pemeliharaan agama dan akhlak
5. Objektif kerjasama dan saling bantu
6. Objektif memelihara kewarasan akal dan membangun budaya ilmu
7. Objektif pengimarahan bumi dan pemeliharaan harta rakyat

Dari pandangan beliau, masyarakat Islam seharusnya mampu bekerjasama dengan setiap lapisan masyarakat bagi mencapai hasrat pensyariatan Islam. Ia hanya boleh direalisasi menerusi hubungan sihat sesama anggota masyarakat.

Bagaimana menetapkan keutamaan dalam pelaksanaan Maqasid Syariah berjalan lancar dan bijaksana dalam hal ehwal perundangan dan politik?

Maqasid Syariah datang dengan pakej yang terpadu. Ia tidak hadir secara juziyy memandangkan risalah telah dimuktamadkan. Oleh itu bagi memastikan ia dapat dilaksanakan secara terpadu, maka ia memerlukan kefahaman, kesedaran dan kebijakan semua pihak khususnya gandingan umara’ dan ulama.

Jelas ia amat berkait dengan kesepaduan ilmu. Ulama seharusnya melengkapkan diri dengan segala ilmu dan kemahiran agar kompeten sebagai tempat rujukan umat.
Manakala kelompok umara’ pula mestilah mampu mengendalikan urusan umat secara cekap, amanah dan berhemah.

Bagaimana Maqasid Syariah dapat berfungsi dalam erti kata sebenar berasaskan permuafkatan Syura yakni menolak konsep kediktatoran dalam membuat keputusan?

Maqasid Suariah sendiri bersifat dinamik. Sebagai pemerintah yang diinspirasi oleh Maqasid Syariah, segala perubahan lingkungan, tuntutan semasa perlu mampu ditangani dengan cekap dan berkesan.

Mendepani cabaran hidup yang semakin ruwet, maka sistem syura perlu diperkemas sebagai mekanisme maklum balas berkesan dari rakyat. Tiada ruang bagi kepimpinan secara diktator jika ingin merealisasikan Maqasid Syariah.

Dalam menolak fahaman ekstremisme dan pelampau, bagaimana Maqasid Syariah dapat difahami untuk mewujudkan masyarakat wasatiyyah dan bertoleransi demi kebaikan ummah?

Sebagaimana yang dinyatakan pada awal perbincangan, masyarakat wasatiyyah seharusnya ditakrif sebagai masyarakat yang seimbang dan secara seadilnya perlu memahami perbezaan antara wasilah (jalan) dan ghayat (tujuan).

Contohnya, pandangan Dr Yusof al-Qaradhawi yang menyatakan bahawa pemakaian jilbab (tudung) itu adalah wasilah manakala ghayahnya pula adalah kesopanan.
Memakai jilbab yang tidak bersekali dengan kesopanan tidak akan melahirkan keindahan syariat. Oleh itu, masyarakat seharusnya tidak terheret kepada perdebatan yang merugikan.

Bagaimana sistem DUN/Parlimen menepati kehendak Maqasid Syariah yang akhirnya membawa kebaikan dan keadilan kepada rakyat pelbagai agama dan kaum?

Perbahasan topik Islam dan demokrasi berlangsung dengan pelbagai pandangan. Sebagaimana yang dinyatakan tadi, seharusnya DUN atau Parlimen/Dewan Rakyat sewajarnya menjadi tempat pemimpin mendapatkan maklum balas bagi memastikan Maqasid Syariah tercapai.

Cuma yang diperlukan adalah ‘listening government’ yang peka, prihatin dan cekap dalam menangani maklum balas. Seumpama Nabi Sulaiman yang tidak mengecilkan kepimpinan sang semut dalam menyelamatkan umatnya.

Bagaimana Maqasid Syariah dapat membangunkan ummah dan menjadi penjaga kepada hak asasi manusia?

Dalam membicarakan mengenai hak asasi manusia, beberapa kaedah usul fiqh yang berlandaskan Maqasid Syariah mula mendapat perhatian pemikir Islam pada peringkat antarabangsa. Ia didahului dengan sikap keberanian berhadapan dengan persoalan yang ditimbulkan oleh Barat.

Islam terlebih dahulu mengangkat darjat manusia seluruhnya dengan penyataan al-Quran (17:70) yang menggunakan istilah Bani Adam yang merujuk kepada semua manusia sama ada Islam mahupun bukan Islam, mempunyai kemuliaan (takrim).

Dalam membahaskan istilah takrim (kemuliaan), Ibn Abbas berpandangan ia terletak pada daya intelektual atau akal yang dipunyai manusia. Dari keintelektualan, manusia diberi ruang untuk melakukan pilihan yang mempunyai risiko sama ada di dunia ataupun di akhirat.

Oleh itu, sebarang cubaan untuk menggugat akal manusia dengan menafikan keperluan kehidupan seperti pendidikan, makanan, tempat tinggal dan lain-lain adalah pencerobohan terhadap hak asasinya. Oleh demikian, ada jurang perbezaan besar antara individu yang merdeka dan tidak merdeka di sisi syariat Islam.

Maqasid Syariah yang semakin berkembang dalam kesarjanaan Islam mampu merungkai dan menjadi penjaga hak asasi manusia. Namun, Yusof al-Qaradhawi mengingatkan, walau ada ruang memilih, kita harus sentiasa mendahulukan nas berbanding maqasid. Kerana dalam nas, terkandung maslahah sebenar yang merupakan tujuan Islam diturunkan sekaligus mendasari Maqasid Syariah.

Dalam konteks Selangor, bagaimana untuk menterjemah konsep Maqasid Syariah supaya difahami masyarakat tanpa meninggalkan persepsi negatif terhadap pelaksanaan Undang-undang Syariah?

Pelaksanaan undang-undang syariah berteraskan Maqasid Syariah perlu dilakukan dengan mind set (pemikiran) yang betul. Maqasid Syariah adalah perimeter berkaitan kualiti masyarakat. Contoh, bagi hifz al-nafs (pemeliharaan diri), yang turut terkait adalah kualiti perkhidmatan kesihatan. Bukan sekadar keselamatan nyawa dari ancaman pembunuhan tetapi seharusnya ia dilihat dari kaca mata penjagaan kesihatan menerusi segenap cara dan upaya.

Kualiti makanan, contohnya juga terkandung dalam pemeliharaan diri. Oleh itu, penjualan makanan tidak berzat dan berisiko terhadap kesihatan harus dihenti. Selain itu, kepakaran dari sudut kesihatan perlu dipertingkat. Tenaga pakar seperti pegawai perubatan, jururawat, pembantu perubatan, paramedik perlu disediakan secukupnya.

Dari sini jelas, pelaksanaan undang-undang syariah bukan agenda segelintir ahli masyarakat. Seluruh warga Selangor perlu digerakkan bagi menjayakan agenda ini.
Langkah secara ‘jamaiy’ (kolektif) mesti digerakkan segera. Ia mesti keluar dari gelanggang persaingan politik kepartian.

Tiada siapa yang menang atau kalah jika perundangan syariah dilaksanakan. Yang menang adalah umat di Selangor kerana mendapat manfaat sewajarnya.

Undang-undang Hudud dan Maqasid Syariah, apakah ia dua konsep berbeza, mana yang menjadi keutamaan dalam konteks Malaysia?

Perundangan Syariah jangan dilihat dari aspek hudud semata-mata. Maqasid Syariah dan Perundangan Syariah adalah dua muka dari syiling sama. Pertelingkahan berkaitan pelaksanaan undang-undang syariah tidak wajar dijadikan polemik sesama umat Islam. Di sana ada ruang berbeza pendapat dan seharusnya kita gunakan dengan penuh beradab dan berakhlak.

Di manakah model kejayaan sebenar Maqasid Syariah dapat dilihat? Dalam dunia masa kini, apakah model itu masih wujud dalam kekangan dunia globalisasi dan liberalisasi?

Maqasid Syariah dapat dilihat di serata dunia dengan tersebarnya Islam. Islam menjadi agama paling pesat perkembangannya. Salah satu keunikan Islam adalah pengekalan sifat dan identiti asas tanpa tercemar dengan adat kebiasaan masyarakat setempat.

Seperti yang dinyatakan Prof Osman Bakar, Islam merupakan trend globalisasi yang pertama, sesuai dengan misi kerasulan Nabi Muhammad SAW iaitu rahmat sekalian alam. Sememangnya Islam membawa mesej universalisme unik dan tidak terkekang dengan globalisasi mahupun liberalisasi dunia hari ini.

Apakah beza konsep Maqasid Syariah dan Fiqh Awlawiyat, yang mana menjadi keutamaan dalam pentadbiran kerajaan negeri dan penggubalan dasar?

Maqasid Syariah adalah tujuan utama syariah manakala Fiqh Awlawiyat pula adalah pemahaman berkaitan keutamaan. Fiqh Awlawiyat datang bersekali dengan Fiqh Muwazanat (faham keseimbangan), Fiqh waqiy’ (faham realiti) dan Fiqh Taghyir (faham perubahan).

Semua fiqh yang disebut terkemudian membantu kita menyusun keutamaan bagi menggerakkan pentadbiran negeri. Buat masa ini, keperluan mesti diberi perhatian bagi mengangkat hala tuju negeri adalah tarbiah atau pendidikan warga negeri. Latihan bagi membina kefahaman Islam yang mendalam perlu dilakukan. Perubahan atau kemajuan harus dilihat pada peningkatan kualiti manusia dan kemanusiaan.

Categories
AGAMA SELANGOR

Dr Muhammad Nur Manuty: Bertoleransi tapi berprinsip

Oleh:  NURUL FARINA NAZLAN

SELAIN kaum, isu agama juga dianggap sensitif dalam kalangan masyarakat, apatah lagi ia mudah dimanipulasi pihak berkepentingan.

Lantaran itu, isu berkaitan agama mudah menjadi polemik berpanjangan dan menjejaskan perpaduan masyarakat majmuk baik di Selangor mahupun di negara ini.

Sebaliknya, penyelesaian pantas itu pemulangan Bible membuka mata banyak pihak betapa ada jalan tengah apabila berlaku perselisihan.

deepavaliKebijakan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dan Istana Selangor menjadi penanda aras ke arah toleransi agama tanpa merendah-rendahkan Islam sebagai agama rasmi.

“Satu ‘breakthrough’ berjaya dilakukan Dato’ Menteri Besar dalam isu kritikal agama yang menjadi duri dalam daging kepada masyarakat majmuk di Selangor.

“Dua pihak (Islam dan bukan Islam) kalau faham toleransi, ia membawa kepada pencapaian baik,” kata bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Dr Muhammad Nur Manuty.

Beliau mendapati pentadbiran Mohamed Azmin menyediakan landasan sebagai teladan kepada penganut semua agama supaya konflik itu tidak berpanjangan.

MB AzminGaya kepimpinan itu mampu menjadi contoh pemimpin lain di bagi memupuk dasar hormat-menghormati antara masyarakat Islam dan bukan Islam tanpa mengira fahaman politik.

Penyelesaian itu selari dengan ajaran Islam, bahkan inisiatif itu memberi manfaat besar dan implikasi positif kepada masyarakat majmuk di Selangor.

“Ia pernah berlaku pada zaman Rasulullah saw apabila kitab Injil diambil oleh seorang Islam. Baginda kemudian memintanya memulangkan kembali kitab berkenaan kepada kaun Nasrani.

“Mohamed Azmin juga memperlihat dasar Pakatan Rakyat yang menjamin kebebasan beragama seperti dalam Perlembagaan,” kata Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIP-PA) PKR itu.

IMG_0562aBeliau pantas menyatakan Selangor mampu menjadi negeri model masyarakat majmuk, sosial dan agama melalui pendekatan bertoleransi tetapi berprinsip.

Lebih-lebih lagi, penyelesaian itu mendapat reaksi positif pelbagai pihak, bermakna secara tidak langsung memperlihat sokongan dan dokongan terhadap Mohamed Azmin.

Malah, ramai gembira apabila Dato’ Menteri Besar itu berulang kali memberi penegasan sentimen fanatik dan pelampau tidak ada tempat di Selangor.

“Saya tegaskan, sentimen itu tidak akan memiliki tempat dalam pentadbiran Selangor kerana kami mengamal prinsip keadilan dan kesederhanaan setiap masa,” katanya.

Categories
AGAMA

Saloni : “Saya tidak pernah suka Islam”

Oleh  AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 29 OKT : Sering diejek dan dipersenda segelintir rakan sebaya berbangsa Melayu hanya kerana dirinya berasal dari suku kaum orang asli menjadikan wanita keturunan Mahmeri ini begitu jelek terhadap Islam.

Bagi Saloni Abdullah, 45, Islam itu pada mulanya dilihat sebagai agama tidak baik dan hanya mengajar penganutnya melakukan keburukan meskipun hakikatnya tidak semua begitu.

maal

Malah anak kelahiran Sungai Pelek, Sepang itu sering menganggap halangan Islam terhadap beberapa perkara seperti larangan mengambil minuman keras dan makan makanan haram menjauhkan niatnya untuk mendekati, jauh sekali mendalami agama Allah itu.

“Untuk permulaan, saya tidak suka Islam kerana saya menganggap Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu.

“Bila berlaku perkara yang tidak diingini contohnya orang Melayu mengejek masyarakat orang asli, saya terus tidak berminat dengan agama Islam kerana saya beranggapan Islam itu tidak baik

“Saya juga tiada batasan dari segi hubungan, pergaulan dan percakapan…boleh minum, hisap rokok, malam keluar joget kerana bagi orang asli itu semua tiada masalah,” katanya.

Menyedari dirinya yang tiada matlamat dan hala tuju di dalam hidup, akhirnya teman rapat Saloni yang beragama Islam memberanikan diri mengajak beliau untuk berhijrah mengenal keindahan agama yang dibawa Nabi Muhammad S.A.W.

Tetapi pelawaan itu ditolak kerana baginya memiliki pegangan agama itu sukar, apatah lagi beliau sendiri tidak pernah mengikuti ajaran serta ritual yang diamalkan oleh nenek moyangnya.

“Saya sendiri tidak faham ajaran dan ritual yang dilakukan oleh nenek moyang saya, malah penyembahan juga saya tidak pernah ikut.

“Jiwa saya terlalu kosong hingga saya keliru agama mana yang perlu diikut sebenarnya,” katanya yang kini berkhidmat sebagai Eksekutif Unit Pembangunan dan Pengurusan Mualaf Majlis Agama Islam Selangor Daerah Kuala Langat.

Namun, benarlah kata-kata bahawa Allah itu datangkan hidayah dalam pelbagai bentuk dan cara tidak kira waktu dan masa, siapa, bila atau di mana.

Alunan ayat suci al-Quran dan laungan takbir yang didengari setiap kali menjelang sambutan perayaan umat Islam bagaikan mengetuk pintu hati Saloni dan menjadikan perasaan yang bermukim itu sesuatu yang luar biasa.

Memendam hasrat untuk mendekati agama Allah itu selama hampir satu tahun, akhirnya beliau yang pada ketika itu berumur 18 tahun membenarkan lidahnya mengucap kalimah “Asyhadualla ila ha illAllah, waasyhadu anna Muhammadurasulullah” pada 26 Jun 1987.

Mengakui bahawa ia dilakukan secara ikhlas namun tersembunyi, Saloni berkata perkara itu terpaksa disembunyikan daripada pengetahuan keluarga dan orang kampung selama hampir setengah tahun.

“Saya jarang balik kampung kerana duduk di asrama waktu itu (Tingkatan Enam) tetapi bila pulang ke rumah, saya berlagak macam biasa.

“Disebabkan ahli keluarga saya masih makan makanan tidak halal, maka saya terpaksa makan secara sembunyi sehingga ibu mula perasan tentang perubahan diri saya,” katanya yang kini lebih dikenali sebagai Ustazah Saloni.

Bercerita lanjut, Saloni berkata keluarga akhirnya mendapat tahu tentang pengislamannya melalui orang kampung dan tidak dapat menerima hakikat bahawa beliau tidak lagi mengikut ajaran nenek moyang.

Katanya ibu adalah orang yang paling kuat menentang sehingga memberi amaran kepadanya supaya tidak mengajak ahli keluarga lain untuk menganut agama Islam.

Namun berkat kesabaran yang ditekan dalam ajaran Islam akhirnya membuka pintu hati keluarganya untuk memaafkan Saloni meskipun menyedari kini mereka berbeza agama.

“Semasa sambutan hari raya, saya salam ibu dalam keadaan dia sedang marah hingga akhirnya dia menitiskan air mata kerana tersentuh dengan sikap hormat saya padanya.

“Alhamdulillah sekarang keluarga sudah boleh menerima kerana kita sudah tunjuk contoh yang baik bahawa saya peluk Islam ikhlas kerana Allah Taala,” katanya lagi yang kini sudah berkahwin dan mempunyai dua orang cahaya mata.

Malah Saloni berharap dan sentiasa berdoa agar ibunya turut diberikan hidayah oleh Allah s.w.t suatu hari nanti.

Kini setelah 18 tahun memeluk agama Islam, Saloni menggambarkan cantiknya Islam kerana dalam Islam ada peraturannya yang tersendiri. Setiap suruhan dan arahannya ada hikmah di sebaliknya.

Contohnya mengapa wanita Islam menutup aurat, sembahyang apabila sampai waktunya supaya setiap waktu kita terselamat daripada melakukan dosa dan sentiasa hampir dengan Maha Pencipta.

Beliau kini masih lagi aktif menyampaikan dakwah kepada komuniti orang asli di kediamannya bersama suami tercinta dan berharap lebih ramai suku kaum itu akan mendekati Islam.

Atas kesungguhannya mendalami Islam, Saloni dipilih untuk menerima Tokoh Saudara Kita pada Sambutan Maal Hijrah 2014.

 

Categories
AGAMA BERITA UTAMA

Polemik sentuh anjing: Antara khilaf dan mazhab as-Sunnah

Oleh Wan Ji Wan Hussein

Perbincangan berkaitan anjing dianggap sensitif di kalangan umat Islam di Malaysia sekalipun ia ada disebut dalam al-Quran melalui beberapa bentuk, antaranya kisah Ashab al-Kahfi.

Dalam hadis juga, ada dicerita perihal seorang pelaku dosa besar boleh diampun oleh Allah disebabkan memberi minum kepada anjing.

Namun, ia dianggap sensitif di kalangan orang Melayu. Tidak diketahui sebabnya. Mungkin terlalu terikat kepada mazhab Syafie yang menyatakan hukum anjing ialah najis mughalazah (najis berat).

Mengikut perbincangan dari sudut pengajian usul al-fiqh pula, sesuatu perkara tidak boleh dijatuhi hukum haram selama tiada nas sahih dan sarih (jelas) menyatakan pengharamannya.

Kewujudan nas sahih tetapi tidak sarih (tidak jelas) juga tidak boleh menjadikan sesuatu itu haram. Ia seperti hadis yang menyatakan larangan ma’azif yang diterjemah sebagai muzik.

Hadis itu riwayat al-Bukhari, sudah pasti ia sahih tetapi kalimah Ma’azif dalam hadis itu tidak sarih. Maka, menafsirkannya sebagai muzik itu haram, tidak tepat.

Tiada satu nas sahih dan sarih menyatakan larangan menyentuh anjing. Jadi, ia tidak boleh dinyata sebagai haram. Inikan pula hukum sentuh anjing yang tiada satu nas sahih dan sarih.

Ada kekhilafan fiqh mengenai status kenajisan anjing. Dalam mazhab al-Syafie, ia najis. Maka, apabila menyentuh anjing, wajar dibasuh tujuh kali dengan salah satunya air tanah.

Dalam mazhab Hanafi, air liur anjing najis. Abu Fadhal al-Hanafi menyatakan, maksudnya: “Adapun anjing, maka sesungguhnya Nabi saw menyuruh membasuh bekas dari jilatannya (anjing) sebanyak tiga kali. Dalam satu riwayat, tujuh kali”

Adapun badan anjing, pendapat yang kuat dalam mazhab Hanafi, ia tidak dikira najis. Seorang ulama dalam mazhab Hanafi bernama Badr al-Din al-‘Aini berkata, maksudnya:

“Kemudian, telah ikhtilah di kalangan kami (ulama mazhab hanafi) berkenaan anjing, apakah ia najis pada ain (dirinya) seperti babi atau tidak. Pendapat yang paling sahih, ia tidak najis ain, sepertimana tersebut dalam kitab al-Badaie dan kitab al-Idah”

Dalam mazhab Maliki pula, Abu Umar al-Namiri al-Qurtubi menyatakan, maksudnya; “Sejumlah mazhab Malik di sisi pandangan ulama dalam mazhab itu pada hari ini bahawa anjing adalah suci dan bekas yang dibasuh dengan tujuh kali basuh itu adalah sekadar ibadat (sunat)”

Dapat disimpul, semua perkara berkaitan anjing dalam mazhab Syafie dianggap najis. Maka, wajib dibasuh tujuh kali basuh dengan salah satunya air tanah.

Dalam mazhab Hanafi, air liur dikira sebagai najis, sedangkan badan anjing berlaku kekhilafan di kalangan ulama mazhab itu.

Namun, pendapat yang paling kuat dalam mazhab itu, badan anjing tidak dikira sebagai najis. Berbeza dengan mazhab Maliki yang menganggap badan dan air liur anjing bukan najis. Suruhan basuh dengan tujuh kali basuh dalam hadis, hanya sunat, bukan wajib.

Kekhilafan ini bersandar kepada hadis bahawa Nabi saw bersabda, maksudnya: “Daripada Abu Hurairah berkata, bersabda Rasulullah saw, apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka alirkan air padanya kemudian basuh sebanyak tujuh kali basuh.”

Kekhilafan itu kerana, dalam mazhab Syafie, mereka mengamal pendekatan Fahw al-Khitab. Jika air liur anjing pun wajib dibasuh, pasti kewajipan itu lebih lagi jika terkena badan anjing.

Dalam mazhab Hanafi, mereka melihat kepada zahir hadis yang mempamer jilatan sahaja. Menandakan, kenajisan itu berlaku pada air liur sahaja, tidak badannya.

Dalam mazhab Maliki, mereka meletak tanggapan bahawa mensucikan najis itu, cukup sekadar hilangkan tiga perkara – bau, rasa dan warna.

Untuk menghilangkannya, tidak semestinya tujuh kali basuh, malah sekali, dua kali basuh kadangkala tercapai maksud bersihkan najis. Maka, mereka meletak tanggapan hukum membasuh itu sunat.

Bagi tujuan berburu dan penjagaan, hadis ada menyatakan keizinan membela anjing. Antaranya yang bermaksud: “Barangsiapa yang bela anjing, maka sesungguhnya mengurangi pada setiap hari dari amalannya satu qirat, kecuali anjing untuk pengawasan atau anjing yang dibawa berjalan-jalan”

Ulama sepakat menyatakan keizinan membela anjing untuk perburuan dan penjagaan. Selain tujuan itu, berlaku kekhilafan. Ada ulama menyatakan haram seperti al-Imam al-Nawawi dan ada menyatakan makruh seperti pendapat ibn Abd al-Bar.

Kekhilafan berlaku atas beberapa sebab. Pertama, hadis yang menyatakan larangan itu dalam kerangka zanni al-Dilalah, bukan hukum qatie. Ia tidak sama seperti pengharaman zina dan haram makan daging babi.

Ini dapat dilihat pada lafaz “kekurangan pahala dengan satu qirat (dalam riwayat lain disebut dengan dua qirat)” itu masih ada pelbagai tafsiran.

Pada Imam al-nawawi, ia memberi maksud, haram. Namun, Ibn Abd al-Bar tidak melihat kekurangan pahala itu sebagai hukum haram, sebaliknya ia dibenarkan tetapi makruh.

Ini kerana melakukan perbuatan yang mengurangkan pahala, tidak membawa maksud haram. Ia umpamanya, seseorang yang tidak solat sunat.

Kedua, apabila hadis masih dalam kerangka zanni, pasti sesuatu larangan itu mempunyai sebab. Jadi, sebilangan ulama berkhilaf tentang sebab larangan itu.

Sebilangan menyatakan, larangan itu mencegah malaikat masuk dalam rumah, sebilangan lain menyatakan ia boleh mengganggu jiran tetangga, sebilangan anjing itu adalah syaitan, kebiasaan anjing dalam rumah memungkinkan jilatannya terkena bekas makanan dan sebagainya.

Jika larangan itu menjadi haram, ekoran malaikat tidak masuk rumah, sudah pasti memasukkan televisyen dan gambar dalam rumah juga dikira sebagai haram. Ini kerana, ada hadis menyatakan malaikat tidak masuk ke rumah yang ada gambar.

Jika larangan itu dikatakan boleh mengganggu jiran, sudah pasti larangan itu bukan hukum lizatih iaitu keharaman pada membela anjing tetapi pada faktor lighairih iaitu berfaktor kebisingan.

Dengan maksud, jika tidak membawa bising atau yang mempunyai halangan suara dari sampai ke rumah orang lain, maka ia tidak haram.

Jika larangan itu kerana sebilangan anjing adalah syaitan, maka pasti wujud anjing yang tidak syaitan. Ini kerana, definisi syaitan ialah setiap yang jahat, tidak kira ia dari kalangan apa pun.

Al-Imam al-Tabari menyatakan, maksudnya: “Setiap yang jahat dari kalangan jin, manusia, binatang dan semua perkara.”

Hal ini dikukuh dengan beberapa firman Allah yang menyatakan ada syaitan dari kalangan manusia dan jin, maksudnya: “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin” (Surah al-An’am, ayat 112)

Dan jika dikatakan kewujudan anjing dalam rumah menyusahkan untuk elak jilatan anjing termasuk bekas makanan, pasti larangan itu berfaktorkan sad al-Zaraie.

Hukum dari sudut sad al-Zaraie, asalnya dibenarkan tetapi, jika dapat mengelak dari berlaku perkara yang dilarang, maka kembali kepada hukum asal iaitu harus.

Ia dimisal seperti keizinan menjual anggur tetapi dilarang secara sad al-Zaraie, jika dijual kepada pembuat arak. Maka begitu juga berkaitan larangan membela anjing.

Sebenarnya, banyak perkara berkaitan anjing tidak wajar jadi sensitif. Namun, kekurangan penghayatan fiqh yang bersifat luas menjadikan kejumudan pula dilihat seperti kebaikan.
* Disunting dari tulisan Wan Ji, seorang pendakwah bebas yang mendapat pendidikan agama di Universiti Farooqiyyah di Pakistan dan Universiti Al-Azhar di Mesir. Tulisan asal, klik ini.

 

Categories
AGAMA

‘Dakwah’ di facebook dorong guru peluk Islam

KETIKA facebook mula diragui ramai, sesetengah pula melabelnya sebagai agenda musuh Islam, Soh Chee Thor sebaliknya mula mendekati Islam melalui medium itu.

Betapa tidak, beliau kerap mengongsi kata-kata hikmah yang dipetiknya dari pelbagai halaman facebook (fanpage) termasuk sebahagian halaman dakwah Islam.

fbBeliau kerap berbuat demikian ketika berasa lost atau teraba-raba dalam kehidupan khususnya saat mendepani rintangan kehidupan yang pelbagai.

Sejak itu, Chee Thor berasa tenang berbuat demikian – berkongsi rasa dan pengetahuan serta amalan kebaikan dengan sesama insan lain tanpa mengira kaum atau agama.

Kekerapan itu menyebabkan sebahagian kenalan di facebook menyangka sebagai seorang Islam.

Hakikatnya, beliau pernah menganut dua agama berbeza sedari kecil hingga dewasa sebelum menganggap dirinya sebagai mirip kepada free thinker.

Facebook – sebuah rangkaian sosial berteras internet kerap dikecam segelintir umat berfahaman konservatif sebagai alat propaganda musuh Islam berikutan pengasas media sosial itu, Mark Zuckerberg dikatakan berketurunan Yahudi

Pengguna facebook menjangkau 400 juta pengguna aktif di seluruh dunia sejak memulakan operasi pada 2004 dan kini beribu pejabat di di California, Amerika Syarikat.

Selain itu, keberadaan ramai kenalan Islam ketika saat susah dan senang, mendorong Chee Thor yang mengajar di sebuah sekolah di Klang, menyenangi agama itu.

20140627_145657

“Tak sampai tengok awak masuk neraka (kerana bukan Islam). Awak orang baik-baik.”

Kata-kata dari beberapa rakannya meresap dan begitu terkesan di hati ibu tunggal yang memiliki dua anak itu.

Hati Chwee Thor mula berdetik untuk menganut Islam tetapi beliau memberi ruang pada diri sendiri untuk menghayati, belajar perihal Islam kerana tidak mahu terburu-buru keputusan.

Perlahan-lahan beliau juga mula melakukan rutin ibadat Islam sekalipun belum melafaz syahadah termasuk berpuasa pada Ramadan sejak empat tahun lalu.

Malah, beliau berpuasa penuh tahun lalu dan menyertai solat Terawih beberapa kali.

“Tak susah pun berpuasa,” katanya sambil tersenyum apabila ditanya saat-saat melalui pengalaman itu.

Selain itu, beliau memiliki rakan mualaf yang kini menetap di Johor untuk dijadi rujukan sekaligus menguatkan tekadnya untuk menjadi seorang muslim.

“Dia juga pernah mendoakan saya untuk masuk Islam ketika mengerjakan ibadah haji di Mekah. Barangkali berkat doanya, akhirnya saya menganut Islam,” katanya.

20140613_140949

Chee Thor yang berusia 47 tahun melafaz kalimah syahadah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam dengan menggunakan nama Zuyyin Alisha.

Kini, Alisha sudah hafaz bacaan al-Fatihah kecuali beberapa sebutan yang kurang tepat, selain wuduk dan solat selepas bersungguh-sungguh mempelajari ibadah Islam.

Beliau bernekad untuk mendalami Islam sebaik-baiknya dengan mengikuti kelas Iqra anjuran Abim Outreach yang bertanggungjawab membawanya kepada agama itu.

Categories
AGAMA

Islamnya bermula dari naskhah lusuh lagi berdebu

Oleh NAZLI IBRAHIM

DI BILIK yang agak suram, seorang lelaki yang bertubuh kurus terbongkok-bongkok menyapu lantai yang penuh berdebu sambil sesekali menyeka sawang-sawang yang berselirat.

Ketika leka menyapu, pandangannya hinggap pada lambakan buku lusuh yang bersepahan di lantai. Buku berbahasa Mandarin itu dicapai, dibelek-belek seketika dan dikumpulkan di satu sudut.

Isu kandungannya juga begitu asing baginya – sejarah peperangan Islam. Lantas, Tan Choon Heng melupakan naskhah itu, langsung menyambung kerja.

Minggu berikutnya, seusai bekerja, beliau pulang ke asrama yang baru dibersihkannya. Sambil melunjur kaki melepaskan lelah seharian bekerja, Choon Heng terpandang naskhah itu.

Dia membelek-belek semula.

Atas sebab yang tidak dimengerti, Choon Heng mula membaca beberapa baris awal. Hatinya tertarik. Akhirnya kandungan buku itu dihadamnya dari sebaris hingga tamat.

Choon Heng masih berbaring, matanya lama merenung siling. Fikirannya juga menerawang – kagum dengan sikap mulia, keperwiraan dan ketinggian akhlak Rasulullah saw.

Akhirnya, dia terlelap.

11Sejak itu, Choon Heng mula membeli pelbagai buku lain berunsur Islam. Minatnya semakin bercambah-cambah.

Konsep syurga, neraka, hari kiamat dan bermacam-macam lagi berbekas di hati. Semakin mendalami Islam, kejujuran dan keunikan agama itu kian dirasainya.

Antara sedar atau tidak, Choon Heng yang berusia 35 tahun juga kian rapat dengan beberapa kenalan beragama Islam.

Akhirnya – selepas lima tahun, awal Januari lalu, Tan Choon
Heng dengan penuh keyakinan mengucapkan kalimah: “Ashadu Allah Ilaha Illallah Wa Ashadu Anna Muhammad Rasulullah.”

Beliau berbuat demikian di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dalam upacara ringkas seusai solat Jumaat melalui Pegawai Pemudahcara dan Perhubungan dari Islamic Outreach ABIM (IOA), Khalid Abdul Samad.

Sejak itu, kehidupan Choon Heng atau nama Islamnya Muhammad Hamzah Tan berubah. Hidupnya lebih tenang. Beliau meninggalkan tabiat lama yang gemar berkaraoke sambil minum arak dan berjudi.

Baginya kenikmatan sebegini tidak pernah dirasainya. Beliau sangat
bersyukur.

Tanpa disedari, perubahan dirinya turut menggamit perhatian seorang rakan sekerjanya yang sudah berjinak-jinak mengenali Islam sejak beberapa tahun lalu.

Pada tanggal 28 Mac, rakan sekerja berusia 45 tahun itu turut mengucapkan kalimah syahadah dan menggunakan nama Islamnya, Muhammad Anwar Shah Abdullah.

 

 

 

Categories
AGAMA

Walau bertatu Richard Ngumbang cekal ke masjid

Oleh Naeem Raffi
Gambar Asri Sapfie

 

SEJAK belasan tahun Richard Ngumbang Anak Pillip, seorang pemuda Iban dari Kampung Tutus Batang Igan, Sibu, Sarawak, sudah mencacah tubuh termasuk tangannya dengan tatu.

Ini kerana bertatu adalah tradisi suku Iban iaitu masyarakat Dayak terbesar di Sarawak.

IMG_3313aIa sebenarnya melambangkan identiti dan status yang mengkelaskan kedudukan kumpulan masyarakat atau sesuatu kaum.

Namun, Islam menegah umatnya bertatu dan mengkelaskan budaya seumpama itu. Ia berdasarkan hadis sahih:

“Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan minta disambungkan rambutnya, perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu.” (Riwayat al-Bukhari)

Malah, Majlis Fatwa Kebangsaan menerusi muzakarahnya pada 2009 secara jelas memutuskan, hukum pembuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu dari kalangan umat Islam adalah haram.

Hal itu sedikit sebanyak ia merisaukan Richard Ngumbang yang baru memeluk Islam Februari lalu.

Namun, beliau tetap cekal beribadah.

Malah, kerap solat berjemaah di masjid sekalipun berdepan kemungkinan ibadahnya dipertikai segelintir umat Islam yang tidak mahir hukum hakam lantaran tatunya.

“Saya harap keadaan saya (bertatu) ini tidak dipersoal umat Islam khususnya ketika berjemaah di masjid. Jika ada pertanyaan mengenai tatu ini, saya bersedia menjelaskannya,” katanya.

IMG_3317a (1)Richard Ngumbang melafaz kalimah memeluk Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dalam upacara ringkas seusai solat Jumaat, Februari lalu.

Proses pengIslaman itu diketuai Pegawai Pemudahcara dan Perhubungan dari Islamic Outreach ABIM (IOA), Khalid Abdul Samad.

Dalam soal tatu, Khalid berkata mualaf bertatu sebelum memeluk Islam bukan suatu kesalahan di sisi Islam dan tidak wajar dihukum kerana mereka belum Islam ketika melakukan ‘dosa’ itu.

“Contoh, Saidina Umar pernah menanam anak perempuannya hidup-hidup sebelum pengIslamannya. Selepas memeluk Islam, kesalahan itu tidak dihukum. Sama seperti isu mualaf bertatu ini,” katanya.

Mengikut Khalid, orang Islam sekalipun bukan mualaf yang bertatu tetapi menyesal dan bertaubat dari perbuatan itu tetapi tidak berupaya menghilangkannya dengan cara selamat, tetap boleh melakukan ibadat.

Ternyata, Islam itu agama yang mudah. Tidak memberatkan umatnya bersesuaian dengan fitrah manusia baik dalam hal aqidah, syariat, ibadah, muamalah, kehidupan mahupun hukuman.

Dalam erti kata lain, Islam bukan agama yang menyulitkan umatnya sepertimana firman Allah s.w.t

“.. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu..” (surah al-Baqarah ayat 185)

tgk masuk islam a (1)Dan, inilah antara faktor yang menambat hati Richard Ngumbang kepada Islam.

Kesederhanaan dalam semua aspek dan gaya hidup membuatkan beliau tertarik untuk memeluk Islam.

“Tidak kira mereka senang atau dalam musibah, semuanya dirujuk kepada Allah dengan berdoa selepas solat.

“Bila saya tanya, jawapan mereka: Allah sentiasa ada untuk kita dalam apa jua keadaan dan doa adalah usaha terakhir selepas kami berusaha,” katanya.

Pesanan itu teguh di hati Richard Ngumbang atau nama Islamnya, Amizan seiring langkahnya ke masjid walau tatu masih di tubuh.

 

Categories
AGAMA

Kemerduan azan buka pintu hati Lucy peluk Islam

Oleh Siraj Zaini
Gambar Asri Sapfie
TIAP kali kedengaran azan Maghrib yang merdu berkumandang, hatinya jadi tenang.

Segala perasaan celaru akibat tekanan kerja dan masalah lain entah bagaimana bertukar menjadi selesa.

Itu yang dirasai Lucy Embang  selama tiga tahun lamanya, sekalipun ketika itu beliau belum memeluk Islam.

Ia antara faktor yang menggamit anak kelahiran Bintulu, Sarawak itu memeluk Islam apabila melafaz kalimah dua syahadah di Masjid Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam.

Lucy berbuat demikian dengan dipimpin Pegawai Pemudahcara dan Perhubungan dari Islamic Outreach ABIM (IOA), Khalid Abdul Samad dengan disaksikan ratusan jemaah seusai solat Jumaat.

IOA ialah pertubuhan dakwah menerusi pelbagai program ilmu kepada masyarakat bukan Islam bagi meningkatkan kesedaran dan minat terhadap Islam.

3 webDan saat melafaz kalimah itu, perasaan diselubungi terharu yang mendalam apatah lagi kemasukannya dalam Islam disambut ratusan jemaah masjid sedangkan beliau hanya ‘insan biasa’.

“Sedih, terharu. Saya tak pernah rasa sebelum ini. Kita tahu kehadiran kita di sekeliling mereka walaupun tak kenal tapi mereka beri sokongan dan sambutan dan sokongan pada kita,” katanya kepada Selangor Kini.

Lucy atau nama Islamnya, atau nama Islamnya, Nurul Iman Jannah Abdullah  tidak ditemani ahli keluarga sebaliknya hadir bersama keluarga angkat dan rakan-rakan karibnya sewaktu peristiwa bersejarah di dalam hidupnya itu.

Pun begitu, keluarganya yang masih Kristian tidak menyatakan bantahan keras terhadapnya, sekadar memberi peringatan terhadap langkahnya itu.

Nurul Iman pula – sekalipun sudah memeluk Islam tekad akan taat kepada ibu bapanya walaupun berlainan pegangan.

“Saya akan hormati mereka. Mereka tetap ibu bapa saya,” katanya yang mengakui keluarganya bukan pengamal Kristian yang kuat dan ia mungkin mendorongnya tercari-cari jalan yang satu.

“Di Sarawak, ada beragama Kristian, ada pengamal ajaran berunsur spiritual. Pesta Keamatan pun saya sambut, Hari Krismas pun saya sambut. Sekarang saya mahu jalan yang satu sahaja,” katanya.

2 webSebenarnya, sejak kecil lagi Nurul menunjukkan minat terhadap Islam dan adat Melayu apabila gemar berbaju kurung tapi hanya berpeluang sewaktu menuntut di sekolah menengah.

“Saya lihat kawan-kawan yang memakai baju kurung macam cantik tetapi ibu bapa melarang kerana kami bukan Islam. Sampailah sekolah menengah, baru saya boleh rasa perasaannya memakai baju kurung itu.

“Sekarang baru saya sedar, petunjuk awal saya memeluk Islam ada sewaktu kecil biarpun hanya setakat pakai uniform,” katanya yang berusia 24 tahun dan belum berumah tangga.

4 webBeliau mula serius mendekati Islam ketika bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Damansara.

Minat terhadap Islam membuatkannya sering bertanya kepada rakan-rakan sekerja beragama Islam bagi mendapatkan penjelasan.

“Penjelasan mereka sedikit sebanyak memberi saya pengetahuan,” katanya yang sentiasa bertanya sebarang kemusykilan mengenai Islam kepada mereka yang lebih tahu.

“Saya harap mereka akan menerima saya dengan hati yang terbuka,” katanya.

– FZL

Categories
AGAMA

Ahmad Ammar – Sebuah kematian yang menghidupkan (Islam)

Oleh Lizawati Madfa
Gambar Asri Sapfie

DIKERUMUNI sekumpulan wartawan yang cuba menyingkap kenangan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga, wanita itu kelihatan begitu tenang menjawab soalan.

Setiap patah katanya begitu tersusun dan berisi, menunjukkan wanita itu bukan sembarangan ibu tetapi penuh dengan ilmu, dengan pengetahuan.

Beliau juga mesra apabila diminta bergambar bersama oleh beberapa wartawan selepas sesi soal jawab, malah tidak kekok bergurau dan bergelak ketawa bagai sudah kenal lama.

IMG_0924aSaat mendekatinya, hati tiba-tiba sebak apabila teringatkan video
pemergian anaknya, Ahmad Ammar Ahmad Azam, 20, yang meninggal dunia di Turki akibat kemalangan pada 2 November tahun lalu.

‘Syahid Yang Tertangguh’ – itulah gelaran yang diberi kepada anak muda kelahiran Kuala Lumpur itu, yang jasanya disemadi di tanah perkuburan Eyub Sultan – lokasi bersemadinya Abu Ayub al Ansari bersama-sama para sahabat nabi dan auliya.

“Tiada resepi istimewa dalam didikan. Tetapi, sejak kelahiran anak-anak lagi, kami suami isteri berniat bahawa anak kami bukan milik kami, sebaliknya milik masyarakat yang akan kembali kepada Allah.

“Sebab itu kami melibatkan anak kami dengan kerja amal dan
kemasyarakatan sejak kecil lagi. Kebetulan arwah juga dikurniakan Allah kecenderungan melakukan perkara sebegini.

“Ammar faham kelahirannya ke dunia bukan untuk dirinya sahaja tetapi  untuk masyarakat terutama dalam menegakkan syiar Islam. Saya bangga dengannya,” kata wanita itu, Nur Azlina Abdul Aziz, ibu kepada Ammar.

IMG_0930a

Beliau hadir di Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1435 hijrah peringkat
Selangor di Stadium Melawati Shah Alam bagi menerima Anugerah Saidina Ali bagi pihak anaknya.

Penganugerahan itu disempurnakan DYMM Sultan Selangor, Sultan
Sharafuddin Idris Shah yang turut dihadiri Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Anugerah berkenaan khusus kepada remaja yang memiliki ciri-ciri sahsiah dan disiplin tinggi dengan pencapaian akademik baik dan wajar dijadikan ikutan.

Ahmad-Amar1 - CopyAmmar meninggal dunia selepas dilanggar sebuah van ambulans ketika dalam perjalanan mengajar di sebuah madrasah di Turki.

Laporan bedah bedah siasat menunjukkan, Ammar cedera teruk pada organ dalaman yang mengakibatkan dua tulang rusuknya patah. Aneh, tiada kesan darah pada tubuh badannya.

Malah, rakannya di Turki menyatakan jasad Ammar yang sudah tidak
bernyawa ketika itu kelihatan berpeluh – dikatakan antara ciri-ciri
kematian syahid.

Ammar aktif dalam kerja sukarelawan kepada masyarakat Rohingya, Klang; Sukarelawan Gobal Peace Mission (GPM) untuk program Ukhuwah Fil Amal Kemboja dan sukarelawan bantuan ke Syria.

Mahasiwa Universiti Marmara Turki itu juga memiliki bakat luar biasa
apabila menguasai karya Agung Ilmuan Bediuzzaman Said Nursi iaitu
Risalah an-Nur dalam masa lapan bulan sahaja.

Ia mengejutkan kebanyakan warga Turki kerana karya itu, lazimnya
mengambil masa lama untuk dikuasai.

Ahmad-AmarMengikut ibunya, Ammar minat membaca malah sejak berusia sembilan tahun anaknya mula memahami bahan bacaan berat seperti buku perjuangan Islam, sejarah kerajaan Uthmaniyyah, tokoh ekonomi, pertanian dan sebagainya.

“Mungkin inilah antara faktor Ammar berminat dengan jalan yang dipilih kerana beliau begitu memahami apa yang ingin dilakukannya.

“Jadi pupuklah minat membaca di kalangan anak-anak, berikan mereka bahan bacaan yang baik.

“Kami juga beri Ammar komik seperti Detektif Conan, majalah terkini dan sebagainya, tetapi kami pantau secara dekat aktiviti ini,” kata Azlina.

Saat bercerita, si ibu kelihatan tenang, mengulangi riak wajah sama saat pemergian Ammar hingga menimbulkan kekaguman ramai terhadap Azlina dan suaminya.

Entah dari mana datangnya ketenangan sebegitu rupa, mungkin kerana memang dari awal lagi mereka menyemai subur sikap betapa anak bukan milik mereka tetapi masyarakat.

Apatah lagi pemergian Ammar juga begitu istimewa sehingga mendapat liputan meluas bukan sahaja di Malaysia dan Turki, malah seluruh dunia.

Walaupun merupakan pertemuan pertama, terlihat jelas ketinggian akhlak dan keperibadian Azlina, maka tidak hairanlah Ammar begitu dikagumi jati dirinya.

Dalam hati terdetik, tidak hairanlah anak muda itu begitu hebat kerana ternyata Ammar dididik dan dibesarkan dalam keluarga yang begitu baik, berakhlak mulia serta berilmu tinggi.

Ahmad-Amar1“Memang Ammar sudah pergi, tetapi pemergiannya bukan sia-sia. Sebaliknya ia membuka mata anak-anak muda malah orang tua juga untuk berjuang dan berdakwah di jalan Islam.

“Ramai yang mula berfikir – untuk berjuang dan berdakwah, tidak perlu untuk tunggu tua, dalam usia muda pun sudah boleh mula. Alhamdulillah,” katanya sebelum meminta diri untuk pulang bersama anak perempuannya.

Memang benar.

Pemergian Ammar bukan kematian biasa, sebaliknya kematian yang
menghidupkan. Menghidupkan jiwa-jiwa yang sebelum ini subur dengan limpahan duniawi.

* Lizawati Madfa ialah wartawan Selangor Kini

Categories
AGAMA

Walau kahwin beza agama akhirnya Islam jua

Oleh Hafizan Taib
Gambar Asri Sapfie

KETIKA Fatimah Abdullah berkahwin dengan Muhammad Javed Iqbal, seorang pemuda Pakistan, beliau belum memeluk Islam sebaliknya kekal dengan pegangan agama asal.

Mereka melangsungkan perkahwinan atas perintah mahkamah di Filipina tahun lalu lantaran bibit cinta tumbuh mekar selepas setahun perkenalan melalui media sosial.

Pun begitu, Fatimah atau nama asalnya, Jaequelin, kemudian mendapati hidupnya penuh dugaan dalam menyesuaikan diri dengan perkahwinan itu.

DSC_0105Namun, beliau sedaya upaya cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan barunya.

Dengan anutan agama asal masih mempengaruhi diri, ditambah tentangan kedua-dua keluarga yang tidak menyetujui perkahwinan mereka, apatah lagi beliau masih dalam proses mengenali suaminya.

“Keluarga saya tidak menerima Muhammad. Begitu juga pendirian keluarga Muhammad terhadap saya ketika suami membawa saya ke Pakistan.

“Kami meneruskan kehidupan dengan menempuh pelbagai dugaan beberapa bulan di Pakistan. Kami tekad untuk bersama selain menghormati pegangan agama masing-masing.

“Peluang kerja yang diperoleh Muhammad di Malaysia membuka ruang buat kami untuk mengharungi hidup baru,” katanya yang berusia 25 tahun.

Dengan majoriti masyarakat Malaysia beragama Islam, Fatimah kian mendekatkan diri kepada Islam melalui kursus dan kelas agama, selain bimbingan suami hingga akhirnya memilih menjadi seorang wanita Muslim.

DSC_0016aBeliau melafaz Dua Kalimah Shahadah di Majlis Shahadah di Masjid Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada Disember tahun lalu bersama dua lagi saudara baru, Terry Fa’iz Kenneth Brougham dari United Kingdom dan Muhammad Nor Faizal Abdullah (Sabah).

Fatimah sebelum ini, penganut Roman Katholik mengakui hidupnya berubah selepas mengenali Muhammad yang menyedarkannya akan keesaan Allah dan membantunya mendekati Islam.

“Perkenalan di internet yang mulanya sekadar suka-suka akhirnya menjadi serius bila terjalin hubungan cinta antara kami.

“Saya gembira mengenali Muhammad. Dari situ, saya menyelami kehidupan seorang Muslim yang begitu berbeza dengan kehidupan yang saya tempuhi selama ini.

“Saya mengalami banyak perubahan positif dan menguatkan azam untuk terus mendekati Islam yang menghadirkan sinar baru dalam hidup saya,” katanya.

DSC_0108a

Bagi Muhammad yang bermazhab Hanafi, satu daripada empat cabang mazhab As Sunnah Wal Jamaah, yang mengizin perkahwinan beza agama, berpendapat perbezaan agama, apatah lagi usia bukan halangan sesebuah perkahwinan.

(Bagaimanapun, Malaysia yang berpegang kepada mazhab Shafie tidak membenarkan perkahwinan berbeza agama)

Beliau yakin Allah sudah menetapkan jodoh mereka biarpun sebelum ini terpisah jauh antara Pakistan dan Filipina sebelum ‘meredah’ lautan luas bertemu Fatimah di Filipina dan mengahwininya.

“Allah makbulkan doa saya mengahwini Fatimah dan sekarang dia juga seorang Islam. Saya gembira dengan apa yang ditempuhi biarpun pada awalnya terpaksa menghadapi tentangan keluarga.

“Kini, kami boleh tumpu perhatian menjalani hidup berdua dan mempelajari Islam dengan lebih mendalam.

“Dengan hubungan mesra masyarakat tempatan, saya yakin hidup bahagia bersama Fatimah dan menjadi pasangan Muslim yang baik,” katanya,

Muhammad yang kini bertugas di sebuah hotel di Kuala Lumpur juga berharap mendiami negara ini untuk tempoh lama supaya dapat membentuk kehidupan sempurna bagi mereka.

– FZL