Categories
GLOBAL

Letusan gunung berapi paksa 400 pelancong dipindah

JAKARTA 28 SEPT: Letusan Gunung Barujari yang melepaskan debu dan asap hingga dua kilometer ke udara meliputi Pulau Lombok memaksa pasukan penyelamat Indonesia dikerah memindahkan hampir 400 pelancong.

Agensi berita antarabangsa AFP melaporkan sebahagian besarnya adalah warga asing, selepas gunung berapi di salah satu destinasi mendaki paling popular di negara itu meletus.

Dianggarkan hampir 400 orang sedang melakukan aktiviti hiking berhampiran Barujari, gunung lebih kecil di dalam kawah Gunung Rinjani, memaksa pihak berkuasa segera bertindak.

Tiada sebarang gangguan penerbangan direkodkan setakat hari ini akibat awan debu, kata jurucakap Kementerian Pengangkutan, Hemi Pramuraharjo kepada AFP.

Beberapa penerbangan keluar masuk dari pulau Bali dibatalkan serta-merta, tetapi lapangan terbang antarabangsa di Lombok tidak terjejas.

Letusan di Gunung Rinjani bulan lalu memaksa penutupan lapangan terbang Lombok dan mengganggu beberapa penerbangan ke Bali.

EZY

Categories
GLOBAL

Kesatuan Ulama Dunia seru umat Islam prihatin nasib Aleppo

SHAH ALAM 28 SEPT: Umat Islam di seluruh dunia diseru supaya menzahirkan keprihatinan mereka pada Jumaat ini berhubung nasib yang menimpa umat Islam di Aleppo, Syria.

Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Sheikh Ali Al-Qurrah Daghi, berkata usaha bertemakan ‘Marah Demi Aleppo, Syria’ itu adalah antara usaha menghalang kemusnahan bandar itu akibat serangan rejim Syria dan sekutunya.

“Harapan kami agar Allah S.W.T. sentiasa bersama rakyat Syria dan memberi kemenangan kepada mereka, dan rakyat dunia juga bertanggungjawab untuk merealisasikan usaha ini,” lapor agensi berita Turki, Anadolu.

Beliau juga menyeru imam di seluruh dunia menyampaikan khutbah Jumaat tentang kesengsaraan penduduk Aleppo dan kesabaran mereka dalam menghadapi jenayah pembunuhan beramai-ramai.

Sheikh Ali Al Qurrah berkata ulama Islam perlu memberi tekanan bagi menghentikan keganasan dan penindasan di Syria dan negara bergolak lain.

Sejak perang tercetus pada Mac 2011, dianggarkan lebih 300,000 nyawa terkorban.

EZY

Categories
GLOBAL

Gempa bumi 6.5 magnitud gegar Mindanao, 5.6 gegar Romania

24 SEPT: Agensi Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS) melaporkan gempa bumi kuat 6.5 magnitud melanda Kepulauan Mindanao di Selatan Filipina.

Gempa bumi itu melanda jam 6.53 pagi ini (22:53 GMT) dengan pusat gegaran di 114.26 kilometer (km) di timur Davao.

Gempa direkod pada kedalaman 69km di bawah dasar laut namun diramal tidak membawa ancaman tsunami, demikian menurut Pusat Amaran Tsunami Pasifik.

Sementara itu gempa bumi turut berlaku di Romania dengan kekuatan 5.6 magnitud melanda utara Bucharest hari ini.

Gegaran yang pada mulanya dilaporkan mencecah 5.7 magnitud, berlaku sekitar jam 2.11 pagi (waktu tempatan).

Ia berpusat pada 149 kilometer ke utara Bucharest, kira-kira 65.98 kilometer ke barat laut bandar Buzau.

Gegaran sekuat 5.7 magnitud dianggap sebagai gempa bumi sederhana yang boleh menyebabkan kerosakan besar, namun disebabkan ia berlaku pada kedalaman 91.2 kilometer, kesannya tidak serius.

Romania dilaporkan jarang dilanda gempa bumi.

EZY

Categories
GLOBAL

Taufan Meranti kekuatan 216 km/j badai Taiwan

TAIPEI 15 SEPT: Sekolah dan premis perniagaan ditutup di seluruh Taiwan, manakala penerbangan dibatalkan berikutan Taufan Meranti, ribut yang disifatkan terkuat di dunia setakat ini.

Agensi berita antarabangsa, Reuters melaporkan taufan itu turut menyebabkan puluhan ribu rumah di kepulauan itu mengalami gangguan bekalan elektrik.

Biro Cuaca Pusat Taiwan memberi amaran, ribut Kategori Lima itu akan mengancam beberapa bandar raya di selatan dan timur negara itu, termasuk Kaohsiung dan Hualien, dengan angin kuat, hujan lebat dan banjir.

Meranti, yang mengumpul kekuatan apabila mendekati Taiwan, membawa kelajuan angin maksimum 216 kilometer sejam, kata pakar kaji cuaca.

Tiang elektrik dan pokok tumbang adalah antara kerosakan awal yang dilaporkan.

“Taufan ini adalah yang terkuat di dunia setakat tahun ini. Impaknya ke atas Taiwan akan memuncak sepanjang hari ini,” kata jurucakap biro cuaca, Hsieh Pei-yun.

cswhlw5viaalgueSyarikat dan sekolah di Kaohsiung serta bandar raya lain ditutup dan hampir 1,500 penduduk dipindahkan, kata Pusat Operasi Kecemasan Pusat dalam kenyataan.

Hampir 200,000 isi rumah ketiadaan bekalan elektrik, menurut Taiwan Power Co.

Kebanyakan penerbangan domestik dibatalkan, termasuk semua dari lapangan terbang Kaohsiung, yang menyaksikan beberapa penerbangan antarabangsa juga terjejas.

Taiwan akan berasakan kekuatan penuh taufan itu sepanjang Rabu dan Khamis sebelum ia bergerak ke China.

Categories
GLOBAL

13 maut, 203 cedera gempa bumi di Tanzania

DAR ES SALAAM 11 SEPT: Angka korban akibat gempa 5.7 magnitud yang melanda barat laut Tanzania terus meningkat dengan 13 orang maut manakala 203 dilaporkan cedera.

“Angka kematian melonjak dari 11 orang kepada 13 manakala daripada 192 yang cedera kepada 203 orang,” kata Pesuruhjaya Daerah Bukoba, Deodatus Kinawilo, pekan paling dekat dengan pusat gempa, lapor AFP.

“Ketika ini keadaan tenang dan terkawal. Beberapa mangsa sudah dibenar keluar dari hospital. Kita tidak menjangkakan ada lagi mangsa cedera,” kata Kinawilo yang dihubungi menerusi telefon.

Residen Bukoba sebelum ini berkata, beberapa rumah penduduk ranap manakala Ketua Polis Wilayah Kagera, Augustine Ollomi berkata, operasi menyelamat sedang digiatkan.

Gegaran gempa berkenaan turut dirasai beberapa negara jiran berhampiran iaitu Rwanda, Burundi, Uganda dan Kenya, lapor Agensi Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

“Dinding rumah saya bergegar, sama dengan peti sejuk dan almari,” kata wakil AFP di Kampala, ibu negara Uganda. Pusat gegar gempa direkod di 25 kilometer di timur bandar Nsunga, berhampiran sempadan Tasik Victoria.

Categories
GLOBAL

Malaysia kutuk ujian nuklear Korea Utara

PUTRAJAYA 10 SEPT: Malaysia mengutuk ujian nuklear dilakukan Korea Utara pada Jumaat, dan menggesa negara itu supaya menghentikan sebarang ujian lanjut serta program nuklear dan peluru berpandu balistiknya.

Wisma Putra dalam kenyataannya berkata Malaysia kesal dengan insiden itu yang hanya mengeruhkan lagi situasi ketegangan di rantau berkenaan.

Menurutnya ujian nuklear kedua oleh Korea Utara dalam tahun ini merupakan pencabulan jelas terhadap Resolusi-Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan.

“Ia juga merupakan ancaman serius kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa,” kata kenyataan itu.

Malaysia turut menggesa Korea Utara memenuhi obligasi antarabangsanya bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

EZY

Categories
GLOBAL

Lagi serpihan pesawat dipercayai milik MH370 ditemui

MOZAMBIQUE 6 SEPT: Pihak berkuasa Mozambique menunjukkan tiga keping serpihan pesawat yang terdampar di sepanjang pantai, disyaki milik milik pesawat MH370.

Agensi berita antarabangsa AFP melaporkan serpihan berbentuk segi tiga itu berwarna merah dan putih di sebelah bahagian dan bahagian lain pula metalik.

Ia ditemui pada bulan lalu oleh seorang pemilik hotel Afrika Selatan di perairan di selatan Mozambique di wilayah Inhambane.

Pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Mozambique, Joao de Abreu berkata, ini merupakan kali pertama menemui serpihan pesawat yang berwarna.

fc7781c02851594518c6d9a3e797af09Beliau berkata, bahagian itu mungkin aileron (permukaan berengsel di pinggir belakang sayap kapal terbang yang digunakan untuk mengawal keseimbangan sisi), sayap atau lif.

Di bahagian dalamnya pula ada label yang memudahkan untuk mengenal pasti pemilikan pesawat itu, katanya

Dua kepingan lain yang kecil yang ditemui oleh anak seorang diplomat Kesatuan Eropah berhampiran selatan Resort Xai-Xai telah diserahkan kepada pihak berkuasa bulan lalu.

Barang-barang akan dihantar ke Malaysia untuk pemeriksaan.

Pesawat Malaysia Airlines MH370 hilang pada Mac 2014 dengan 239 orang penumpang dan anak kapal ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

GAMBAR: Adrien Barbier/AFPSource:AFP

EZY

Categories
GLOBAL NASIONAL

Gempa Itali: Tiada rakyat Malaysia jadi mangsa, keadaan dipantau

KUALA LUMPUR 25 OGOS: Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit dalam kejadian gempa bumi berukuran 6.2 skala Richter, yang melanda Itali.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata Kedutaan Besar Malaysia di Rom bagaimanapun sedang memantau dan berhubung rapat dengan pihak berkuasa negara berkenaan berhubung kejadian terbabit.

Menurut pihak berkuasa pertahanan awam Itali, angka kematian meningkat kepada 159 orang dan hampir 370 lagi cedera.

Angka kematian dijangka terus meningkat berikutan ramai mangsa terperangkap di bawah runtuh bangunan dan kediaman.

Bandar di tengah Itali yang digegarkan gempa bumi kuat pada skala 6.2 magnitud dikhuatiri menyebabkan kemusnahan teruk.

Gempa bumi itu dikesan pada 76 km Selatan Perugia dan dapat dirasai sejauh Rome pada kedalaman 10 km.

EZY

Categories
GLOBAL

Euro 2016: Portugal pasukan pertama ke separuh akhir

OLEH : AFIX REDZUAN

PARIS, 1 JUL: Portugal muncul pasukan pertama mara ke separuh akhir selepas menewaskan Poland 5-3 menerusi sepakan penalti.

Kedua-dua pasukan menamatkan 30 minit masa tambahan permainan tanpa sebarang tambahan jaringan selepas terikat 1-1 dalam aksi 90 minit.

EURO 2016Poland di depan seawal minit kedua menerusi jaringan pantas ketua pasukan, Robert Lewandowski selepas perlawanan berlangsung 1 minit 40 saat.

Ini merupakan jaringan terpantas direkodkan setakat ini dalam edisi Euro 2016.

Portugal bangkit menyamakan kedudukan menerusi Renato Sanches pada minit ke-33 yang merembat kencang kaki kiri mengatasi penjaga gol, Lukasz Fabianski.

Renato, pemain berusia 18 tahun 11 bulan ini mencipta nama selaku pemain termuda menjaringkan gol dalam edisi Euro 2016.

Kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan selepas itu hingga memaksa perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Jakub Blaszczykowski menjadi pemain tunggal yang gagal menyempurnakan sepakan penalti keempat Poland selepas sepakannya ditampan Rui Patricio.

Ricardo Quaresma muncul wira apabila tenang menyempurnakan sepakan kelima bagi memastikan Portugal mara ke Euro 2016.

Portugal mara ke peringkat separuh akhir buat kali ketiga sejak edisi 2004 akan membuat perhitungan pemenang perlawanan antara Wales dan Belgium.

-nR-

Categories
GLOBAL

Euro 2016: Italy lunas dendam singkir Sepanyol

OLEH : AFIX REDZUAN

PARIS, 28 JUN: Dua jaringan di setiap babak sudah cukup membolehkan Itali melunaskan dedam menyingkirkan juara bertahan, Sepanyol pada peringkat kalah mati awal pagi tadi.

Giorgio Chiellini merobek gawang La Roja pada minit ke-33 selepas memanfaatkan situasi kelam kabut di hadapan gawang untuk menolak masuk gol pertama Itali hasil kesilapan penjaga gol, David De Gea.

Itu adalah jaringan pertama dilepaskan Sepanyol dalam tempoh 10 tahun di peringkat kalah mati sejak kali terakhir ketika menetang Perancis pada 2006.

Sepanyol cuba bangkit mengasak mencari gol penyamaan tetapi ketangkasan penjaga gol berpengalaman, Gianlugi Buffon membatasi segalanya.

Jurulatih La Roja, Vicente del Bosque membawa masuk penyerang veteran, Aritz Aduriz pada babak kedua namun ia gagal mengubah corak permainan Sepanyol.

Gerard Pique dan Andres Iniesta juga gagal memecah kubu pertahanan meskipun melakukan cubaan tepat ke gawang Itali.

Sebaliknya, corak permainan bertenaga yang diterapkan jurulatih Antonio Conte menyaksikan Graziano Pelle menghukum kealpaan pertahanan Sepanyol apabila menjaringkan gol kedua Azzuri pada minit akhir permainan hasil rembatan kencang selepas memanfaatkan umpanan Matteo Darmian.

Kekalahan ini meleburkan impian Sepanyol menjadi negara pertama menjulang kejuaraan eropah buat kali ketiga berturut-turut selepas berjaya muncul juara pada edisi 2008 dan 2012.

Sementara kemenangan 2-0 itu sudah cukup membawa Itali ke peringkat suku akhir dan bakal bertemu Juara Piala Dunia 2014, Jerman.

EZY

Categories
GLOBAL

Euro 2016: Iceland cipta kejutan singkir England

OLEH : AFIX REDZUAN

PARIS, 28 JUN: Iceland mencipta kejutan terbesar Euro 2016 menyingkirkan England dengan keputusan 1-2 untuk mara ke suku akhir buat pertama kali dalam sejarah.

Turun selaku pasukan bukan pilihan, Iceland mempamerkan corak permainan bertenaga dan tenang bagi menyekat kemaraan England.

Namun England terlebih dahulu di depan seawal minit keempat hasil sepakan penalti yang disempurnakan Wayne Rooney dalam aksi ke-115 bersama The Three Lions selepas penjaga gol Iceland, Hannes Thor Halldorsson menjatuhkan Raheem Sterling.

Kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Iceland bangkit menyamakan kedudukan dua minit kemudian hasil rembatan kencang Ragnar Sigurdsson yang menewaskan Joe Hart selepas menerima umpaman Kari Arnason.

Kolbeinn Sighthorsson meletakkan Iceland mendahului 1-2 apabila berjaya melakukan rembatan leret yang gagal dikawal kawal kemas Hart hasil gerakan satu-dua bersama Jon Dadi Boedvarsson.

England menggandakan usaha mencari gol penyamaan menerusi rembatan voli Harry Kane namun ditepis keluar Halldorsson pada minit ke-28.

Bersambung babak kedua, Roy Hudgson membawa masuk seorang lagi penyerang, Jamie Vardy bagi memperkukuh jentera serangan namun mereka masih buntu mencari gol penyamaan sehingga wisel penamat.

Kejayaan ini menyaksikan Iceland menempah slot terakhir ke suku akhir bagi bertemu tuan rumah Perancis.
* Peringkat Suku Akhir (1-4 Julai)

Poland vs Portugal
Wales vs Belgium

Jerman vs Italy
Perancis vs Iceland

Categories
GLOBAL

Euro 2016: Antoine Griezmann wira kebangkitan Les Bleus

OLEH : AFIX REDZUAN

PARIS, 27 JUN: Antoine Griezmann menjadi wira kebangkitan Perancis selepas ketinggalan pada awal perlawanan sebelum menewaskan Republik Ireland 2-1.

Penyerang Atletico Madrid itu menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit bagi memastikan Les Bleus menempah tiket ke suku akhir.

Perancis tersentak seawal minit pertama apabila menghadiahkan sepakan penalti kepada Republik Ireland selepas Paul Pogba menjatuhkan Shane Long.

Robert Brady tenang menyempurnakan sepakan seminit kemudian menewaskan Hugo Lloris bagi memastikan Republik Ireland di depan hingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, tuan rumah bangkit melancarkan serangan dan akhirnya Griezmann muncul menyamakan kedudukan menerusi tandukan kencang selepas menerima hantaran Bacary Sagna sekaligus menewaskan penjaga gol, Darren Randolph pada minit ke-58.

Selang tiga minit kemudian Griezmann sekali lagi meranapkan impian Republik Ireland dengan gol kedua selepas menyempurnakan umpanan Olivier Giroud bagi gol ketiga peribadi sepanjang edisi Euro 2016.

Malang menimpa Republik Ireland apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada 23 minit terakhir perlawanan selepas Shane Duffy dilayangkan kad merah kerana mengasai Griezmann di luar kotak penalti.

Keputusan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan dan Perancis akan bertemu pemenang antara England dan Iceland di peringkat suku akhir.

EZY