Categories
AGENDA NASIONAL

Amirudin santuni pengunjung pasar malam, bantu kempen calon KEADILAN

KULAI, 11 MAC: Menjelang hari mengundi sempena pilihan raya negeri (PRN) esok, Dato’ Seri Amirudin Shari berkempen untuk calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di Johor petang tadi.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor itu meluangkan masa menyantuni pengunjung dan peniaga pasar malam di Taman Scientex di sini selain bertanya khabar.

Beliau turut memperkenalkan calon Bukit Batu Chiong Sen Serm, mengedar risalah dan pelitup muka serta bergambar bersama orang ramai yang teruja dengan kehadirannya.

Dato Seri Amirudin Shari bersama calon DUN Bukit Batu Chiong Sen Serm menyantuni penduduk setempat ketika berkempen di DUN Bukit Batu, Kulai pada 11 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Mengunjungi lebih 40 gerai jualan di situ, Amirudin sempat membeli juadah apam balik dan jagung bakar untuk dinikmati bersama penduduk setempat di kedai berhampiran.

Beliau juga memperkenalkan Sen Serm kepada orang ramai yang berada di kedai sama ketika itu.

Dalam PRN esok, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu itu berdepan saingan empat penjuru bersama Lee Ming Wen (Warisan), Tan Heng Choon (PN) dan Suppayah Solaimuthu (Barisan Nasional).

Kerusi itu sebelum ini dimenangi Jimmy Puah Wee Tse (KEADILAN) dengan majoriti 10,057 undi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan, Tengku Permaisuri zahir sedih pemergian mantan CEO Bursa

SHAH ALAM, 11 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor menzahirkan rasa sedih atas pemergian bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Bursa Malaysia Bhd.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin turut memuji ketokohan Dato’ Yusli Mohamed Yusoff yang banyak berjasa dalam sektor perindustrian serta kewangan ketika berkhidmat.

“Baginda berdua berharap waris keluarga Allahyarham tabah menghadapi dugaan ini dan mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” menurut kenyataan di Facebook Selangor Royal Office.

Pada 2006, Baginda mengurniakan Allahyarham dengan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.).

Memetik laporan media, Yusli, 63, meninggal dunia tengah hari semalam selepas berjuang melawan barah.

Allahyarham memegang jawatan penting dalam Bursa Malaysia mulai 10 April 2004 hingga 31 Mac 2011 selain pernah dilantik sebagai pengerusi Mudajaya Group Bhd.

Yusli juga pernah dilantik sebagai pengarah AirAsia X Bhd, Westports Holdings Bhd dan KPJ Healthcare Bhd.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air di KL pulih 62 peratus, bantuan alternatif terus digerak

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Bekalan air di lima kawasan di Wilayah Kuala Lumpur yang terjejas berikutan kerja-kerja pembaikan paip pecah di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru, di sini dijangka pulih sepenuhnya pada 4 pagi esok (12 Mac).

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata sehingga 6 petang tadi pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas telah mencapai 62 peratus.

“Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lima kawasan yang terjejas adalah Taman Muda, Taman Bukit Permai, Taman Mawar, Taman Putra dan Pandan Mewah.

Elina berkata bantuan air alternatif melalui lori tangki akan terus digerakkan di kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Beliau turut menasihatkan pengguna agar mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) semasa mengambil bekalan air daripada lori tangki dan berharap mereka menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan.

“Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penjawat awam rugi RM383,000 jadi mangsa ‘pegawai LHDN’

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Seorang penjawat awam wanita kerugian RM383,000 selepas dihubungi ‘pegawai’ Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 12 Februari lepas.

Wanita berusia 46 tahun itu menerima panggilan telefon daripada LHDN mengatakan dia mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM36,690 dan kemudian dinafikan wanita tersebut menyebabkan panggilannya disambungkan kepada ‘Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan’.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata wanita itu kemudian bercakap dengan seorang ’pegawai polis’ berpangkat Inspektor dan setelah semakan dibuat, dia dikatakan mempunyai rekod penyeludupan dadah.

“Mangsa yang bimbang terhadap ugutan itu, memasukkan sejumlah wang secara berperingkat sebanyak empat kali ke dalam akaun yang berbeza pada 14 Februari lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata setelah memindahkan wang keseluruhannya berjumlah RM383,000, wanita itu menyedari dirinya ditipu.

Mohamad Fakhrudin sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tipu helah dan ugutan yang dilakukan oleh sindiket itu.

“Orang ramai dinasihatkan segera menghubungi pihak polis sekiranya menerima panggilan-panggilan telefon sebegini. Modus operandi sindiket ini menyasarkan sesiapa sahaja terutama yang cepat panik dan golongan yang kurang pendedahan mengenai maklumat-maklumat terkini jenayah siber,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Plus nafi beri diskaun tol 50 peratus untuk balik mengundi

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Plus Malaysia Berhad (Plus) menafikan telah mengeluarkan kenyataan media mengenai pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus untuk mereka yang pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Plus dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memandang serius perbuatan menggunakan logo syarikat itu untuk mengelirukan orang ramai.

Syarikat konsesi lebuh raya itu turut menyatakan akan bekerjasama dengan pihak berwajib untuk mengambil tindakan terhadap individu dan pihak yang terbabit.

Terdahulu, tular satu kenyataan memaklumkan diskaun sebanyak 50 peratus diberikan bermula pada 12 tengah malam 11 Mac bagi semua perjalanan menghala ke selatan tanah air sempena PRN Johor.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM nafi arahkan sedia saluran undi khas bagi pesakit Covid-19

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan pernah mengeluarkan arahan mengenai penyediaan saluran mengundi Pilihan Raya Negeri Johor bagi mereka yang positif Covid-19 seperti ditularkan menerusi media sosial.

KKM dalam satu hantaran menerusi laman rasmi Facebook meminta orang ramai supaya mengabaikan rakaman audio yang tular tersebut.

“Sila abaikan rakaman audio ini dan ikuti arahan Majlis Keselamatan Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya,” menurut KKM.

Terdahulu, tular satu rakaman audio berdurasi satu minit lapan saat yang mendakwa kononnya mereka yang positif Covid-19 boleh mengundi dengan syarat perlu memaklumkan KKM mengenai butiran peribadi seperti nama, alamat dan nombor telefon.

Rakaman audio itu turut mendakwa kenderaan KKM yang lengkap dengan pakaian perlindungan diri (PPE) akan membawa pengundi yang positif Covid-19 pergi dan pulang dari pusat mengundi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air 13 kawasan terjejas capai 46 peratus, dijangka selesai esok

SHAH ALAM, 11 MAC: Pemulihan bekalan air di 13 kawasan terjejas susulan paip pecah di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur mencapai tahap 46 peratus sehingga 3 prtang tadi.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan tempoh masa pemulihan itu berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna dan dijangka pulih sepenuhnya pada 4 pagi esok.

“Bantuan air alternatif melalui lori tangki akan terus digerakkan di kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengkebumian.

“Pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori tangki ini. Air Selangor menyarankan pengguna telah dan akan mendapat bekalan membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook.

Orang ramai boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi agensi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di pusat bantuan di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Semalam sebanyak 13 kawasan sekitar ibu negara mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan kerja-kerja kecemasan bagi pembaikan paip pecah di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru.

Kawasan terjejas ialah Taman Muda, Taman Bukit Permai, Taman Bukit Pandan, Kampung Cheras Baru, Taman Mawar, Taman Seraya, Taman Mega, Taman Bukit Teratai, Taman Melur, Taman Saga, Taman Putra, Taman Mewah dan Taman Mestika.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Tanah runtuh: Penduduk panik, dentuman kuat seperti bangunan runtuh

AMPANG, 11 MAC : Bunyi dentuman kuat seolah berlaku runtuhan bangunan mengejutkan penduduk di sekitar Taman Bukit Permai 2, di sini pada petang semalam.

Salah seorang penduduk Alwi Wahab, 68, berkata beliau yang sedang menonton televisyen bersama isteri dan anak menantunya terus bergegas keluar melihat situasi kejadian tersebut.

Alwi Wahab. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kami panik dan terus keluar daripada rumah untuk melihat apa yang berlaku, ketika itu ramai jiran sudah ada di luar dan terkejut apabila tanah runtuh menimpa rumah hujung termasuk beberapa kenderaan.

“Rumah saya pula berhampiran tanah runtuh itu, bimbang jika keadaan lebih teruk berlaku kami sekeluarga berpindah ke rumah anak di Cheras untuk sementara waktu,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata kejadian tanah runtuh kali pertama berlaku sejak 30 tahun mendiami kawasan terbabit dan berharap tindakan segera diambil untuk mengelak kejadian sama berulang.

Bagi Muhammad Sharif Jiran, 61, beliau sekeluarga meluahkan kesyukuran kerana selamat dalam kejadian itu walaupun kediaman terletak bersebelahan lereng bukit.

Muhammad Sharif. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Hanya dinding pagar rumah saya sahaja terkena tempias tanah runtuh, sipi-sipi lagi rumah kami hampir tertimbus, hanya Allah sahaja  yang tahu macam mana perasaan saya ketika kejadian.

“Tetapi perasan sedih tetap ada apabila dapat tahu berlaku kematian akibat ditimbus tanah runtuh.  Cuma permintaan saya dan penduduk di sini, mohon kerajaan segera tangani isu ini,” katanya.

Petang semalam insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang meragut empat nyawa dan seorang cedera ringan, selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa yang dilaporkan tertimbus dilaksanakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pandan, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta pelbagai agensi lain bermula 5.54 petang.

Operasi SAR ditamatkan pada kira-kira 2 pagi apabila polis mengesahkan penemuan semua mayat mangsa.

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia alami fasa peralihan monsun minggu depan

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Malaysia akan mengalami fasa peralihan monsun dijangka bermula Isnin ini hingga pertengahan Mei depan, sekali gus menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut sejak 3 November tahun lepas.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata semasa fasa itu, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang amat sesuai untuk kejadian ribut petir, hujan lebat serta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

“Kejadian ini berlaku terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata keadaan cuaca itu berpotensi menyebabkan banjir kilat dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh sekali gus menasihati orang ramai untuk lebih berwaspada.

Orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan MetMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi serta hubungi Hotline 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ibu bapa lebih terbuka anak divaksin, perlu sebar maklumat tepat

SEREMBAN, 11 MAC: Ibu bapa kini dilihat lebih bersifat terbuka membenarkan anak-anak mereka divaksin, selepas kerajaan memberi pilihan menggunakan vaksin Comirnaty (Pfizer) atau vaksin CoronaVac (Sinovac).

Pakar Pediatrik Pusat Perubatan Mawar Dr Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi berkata langkah kerajaan membenarkan pemberian vaksin Sinovac, untuk Program Vaksinasi Covid-19 kepada Kanak-Kanak (PICKids) merupakan tindakan proaktif, selain memberi pilihan kepada ibu bapa tanpa sebarang diskriminasi.

“Mereka perlu mempercepatkan proses pengambilan vaskin kepada anak-anak sebagai langkah perlindungan, daripada wabak Covid-19.

“Saya berpendapat ibu bapa ini bukan tidak mahu anak mereka dicucuk (vaksin Covid-19) tetapi mereka takut, jadi kena ada orang yang boleh menjawab kerisauan dan kegusaran mereka,” katanya ketika ditemui pemberita pada PICKids di Pusat Perubatan Mawar di sini hari ini.

Beliau berkata sebelum ini kebimbangan ibu bapa kerana mereka tidak mendapat maklumat yang tepat tentang keselamatan atau kesan sampingan selepas anak divaksin.

Beliau berkata ia juga disebabkan segelintir ibu bapa kurang memahami maklumat yang diberikan, sebaliknya terpengaruh dengan maklumat menerusi TikTok, Instagram dan Facebook.

“Secara keseluruhan ibu bapa mahu melindungi anak mereka, tetapi pihak berwajib perlu memberi jawapan yang meyakinkan tentang risiko vaksinasi,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) mula menawarkan vaksin Sinovac di Pusat Pemberian Vakin (PPV) terpilih bagi PICKids bermula 7 Mac, dan diberi pilihan untuk mendapatkan vaksin Sinovac kepada anak mereka sekiranya tidak bersetuju memberikan pelalian jenis Pfizer.

Sementara itu, guru tadika Normazura Kamaruddin, 40, berkata dua orang anak lelakinya Aiman Qusyairee Noor Nashriq, 10, dan Anas Al Qayyeed Noor Nashriq, 7, sejak dari awal lagi sudah bersemangat untuk menerima vaksin, apabila seawal 6 pagi sudah bangun untuk menerima suntikan vaksin pada hari ini.

“Awal-awal lagi saya sudah menerangkan kebaikan dan tujuan mengambil vaksin demi melindungi kesihatan. Alhamdulillah…mereka tidak menolak dan saya sekarang berasa lega kerana mereka lebih selamat ke sekolah selepas divaksin,” katanya.

Bagi penerima vaksin, Wan Rizq Wan Mohd Satmi, 11, berkongsi rasa gembira selain menyifatkan tidak berasa bimbang atau sakit, setelah menerima vaksin pada hari ini.

“Saya sendiri beritahu mak ayah nak suntik vaksin… kawan-kawan kat luar sana jangan takut sebab tak sakit pun suntikan vaksin,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Anwar seru pengundi berani berubah, pilih KEADILAN dan HARAPAN

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 MAC: Menjelang hari mengundi sempena pilihan raya negeri (PRN) esok, tiga tokoh utama Pakatan Harapan (HARAPAN) berkempen secara besar-besaran di Johor.

Dalam ceramah meganya di Kota Iskandar baru-baru ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru orang ramai memilih calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan HARAPAN.

Menurut Facebook presiden KEADILAN itu, ceramah berkenaan turut dihadiri Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“Kesepaduan antara kaum di Malaysia tidak harus goyah dan mesti terus diperkuat dalam mendepani tantangan hari ini.

“Semoga rakyat Johor berani melakukan perubahan demi kepentingan mereka dan masa depan negeri Johor,” kata Anwar yang juga ketua pembangkang.

Dalam PRN kali ini, KEADILAN bertanding menggunakan logo tradisi parti manakala Amanah dan DAP mengekalkan lambang HARAPAN.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian. Foto ARKIB SELANGORKINI

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian percaya calon KEADILAN dan HARAPAN mampu meraih sokongan termasuk mengekal beberapa kerusi yang dimenangi pada pilihan raya umum (PRU) 2018.

“Untuk menang banyak kerusi seperti PRU lalu agak sukar tetapi di kawasan pengundi Cina yang ramai, KEADILAN dan HARAPAN boleh menang di kawasan itu.

“Sokongan bukan Melayu masih kukuh buat parti-parti itu. Cuma jika peratusan keluar mengundi rendah akan jadi sebaliknya,” katanya kepada Selangorkini.

Pada 2018, semua parti pembangkang utama kecuali PAS bergabung menewaskan Barisan Nasional (BN) tetapi kini pembangkang gagal bersatu.

Pada PRU lalu, empat parti gabungan HARAPAN yang menggunakan logo KEADILAN menang 36 kerusi DUN Johor. BN hanya mampu mengekalkan 19 kerusi dan PAS pula satu.

Namun, bilangan kerusi berkenaan berkurangan kepada 27 berikutan kejadian lompat parti.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Khuatir tanah runtuh berulang, lebih 200 penduduk diminta segera pindah

AMPANG, 11 MAC : Lebih 200 penduduk di  kawasan insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 di sini diminta segera mengosongkan kediaman susulan dikhuatiri berlaku pergerakan tanah.

Pegawai Daerah Hulu Langat Dr Ani Ahmad berkata penduduk boleh berpindah di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang terletak berhampiran kawasan tersebut.

“Sebanyak 48 rumah di empat lorong diminta segera kosongkan kediaman bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. Kita bimbang keadaan menjadi lebih buruk tambahan pula cuaca  sekarang tidak menentu.

“Namun buat masa ini tiada mangsa yang berpindah ke PPS. Penduduk terjejas memilih untuk tinggal di hotel dan rumah saudara,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata kerja pembersihan belum boleh dilaksanakan kerana agensi berkaitan perlu meneliti aspek kestabilan cerun berkenaan.

“Selain itu pusat pengurusan bencana daerah terdiri pelbagai agensi turut diwujudkan antaranya melibatkan MPAJ, Jabatan Kerja Raya, polis dan bomba bagi memastikan urusan mengendalikan kejadian itu dilaksanakan dengan teratur,” katanya.

Petang semalam insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang meragut empat nyawa dan seorang cedera ringan, selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa yang dilaporkan tertimbus dilaksanakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pandan, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta pelbagai agensi lain bermula 5.54 petang.

Operasi SAR ditamatkan pada kira-kira 2 pagi apabila polis mengesahkan penemuan semua mayat mangsa.