Suasana di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kenanga Majlis Bandaraya Shah Alam Seksyen 28 Shah Alam yang menempatkan 44 keluarga mangsa banjir dari Bukit Lanchung pada 8 Mac 2022. Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR, 11 MAC: Jumlah mangsa banjir di Johor, Melaka dan Selangor yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 254 orang daripada 65 keluarga petang ini berbanding 284 orang daripada 73 keluarga pagi tadi.
Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam laporan terkini pada 4 petang ini memaklumkan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Linau, Kluang, Johor yang menempatkan 14 individu daripada empat keluarga pada pagi tadi, ditutup petang ini. Ia mula beroperasi pada 9 Mac lepas.
Di Melaka, hanya satu PPS dibuka pada 8 Mac lepas di daerah Jasin, iaitu di SK Parit Penghulu yang kini menempatkan 33 mangsa daripada tujuh keluarga setakat petang ini.
Sementara itu di Selangor, jumlah mangsa di daerah Kuala Langat dan Sepang menunjukkan penurunan apabila PPS Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang, Kuala Langat petang ini menempatkan 52 mangsa daripada 14 keluarga berbanding 61 mangsa daripada 16 keluarga pagi tadi.
Selain itu PPS SK Kota Warisan, Sepang pula menempatkan 122 mangsa daripada 32 keluarga berbanding 129 mangsa daripada 34 keluarga pagi tadi, manakala jumlah mangsa di tiga PPS lain yang beroperasi di negeri itu tidak berubah sejak pagi tadi.
Tiga PPS berkenaan adalah Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Serdang, Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Tadom dan Sekolah RTB Bukit Changgang.
Pengunjung membeli ayam segar dan produk keluaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dalam Program Jualan Prihatin Rakyat di Balai Rakyat Taman Berjaya, Sabak Bernam pada 27 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
SHAH ALAM, 11 MAC: Program Jualan Prihatin Rakyat yang menawarkan bekalan barangan basah dengan harga lebih murah berlangsung di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai esok.
Jualan akan diadakan di pusat khidmat masyarakat (PKM) Pandan Indah dan Teratai pada 12 Mac manakala DUN Sungai Tua dan Gombak Setia masing-masing pada Ahad.
Produk ditawarkan ialah ayam standard berharga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 perkilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).
Sebelum ini, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim menjangka program tersebut diadakan di 64 kawasan seluruh negeri bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.
Jelasnya, inisiatif pada setiap hujung minggu akan berlangsung sehingga Hari Raya Aidilfitri tahun ini dengan beberapa barang keperluan harian lain ditambah jika terus mendapat sambutan.
Sebanyak 10,000 ayam, 3,100kg daging segar, 6,200kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B disasar untuk dijual sepanjang program berkenaan.
Foto Facebook Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor – PKPS
Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kanan) bersama Presiden Amanah Mohamad Sabu (dua, kiri) dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (kanan) menghadiri ceramah mega di Kota Iskandar baru-baru ini untuk berkempen sempena pilihan raya negeri (PRN) Johor. Foto Facebook Anwar Ibrahim
OLEH HAFIZAN TAIB
SHAH ALAM, 11 MAC: Menjelang hari mengundi sempena pilihan raya negeri (PRN) esok, tiga tokoh utama Pakatan Harapan (HARAPAN) berkempen secara besar-besaran di Johor.
Dalam ceramah meganya di Kota Iskandar baru-baru ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru orang ramai memilih calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan HARAPAN.
Menurut Facebook presiden KEADILAN itu, ceramah berkenaan turut dihadiri Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
“Kesepaduan antara kaum di Malaysia tidak harus goyah dan mesti terus diperkuat dalam mendepani tantangan hari ini.
“Semoga rakyat Johor berani melakukan perubahan demi kepentingan mereka dan masa depan negeri Johor,” kata Anwar yang juga ketua pembangkang.
Dalam PRN kali ini, KEADILAN bertanding menggunakan logo tradisi parti manakala Amanah dan DAP mengekalkan lambang HARAPAN.
Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian. Foto ARKIB SELANGORKINI
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian percaya calon KEADILAN dan HARAPAN mampu meraih sokongan termasuk mengekal beberapa kerusi yang dimenangi pada pilihan raya umum (PRU) 2018.
“Untuk menang banyak kerusi seperti PRU lalu agak sukar tetapi di kawasan pengundi Cina yang ramai, KEADILAN dan HARAPAN boleh menang di kawasan itu.
“Sokongan bukan Melayu masih kukuh buat parti-parti itu. Cuma jika peratusan keluar mengundi rendah akan jadi sebaliknya,” katanya kepada Selangorkini.
Pada 2018, semua parti pembangkang utama kecuali PAS bergabung menewaskan Barisan Nasional (BN) tetapi kini pembangkang gagal bersatu.
Pada PRU lalu, empat parti gabungan HARAPAN yang menggunakan logo KEADILAN menang 36 kerusi DUN Johor. BN hanya mampu mengekalkan 19 kerusi dan PAS pula satu.
Namun, bilangan kerusi berkenaan berkurangan kepada 27 berikutan kejadian lompat parti.
Kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) meninjau lokasi insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada 11 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AMPANG, 11 MAC : Lebih 200 penduduk di kawasan insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 di sini diminta segera mengosongkan kediaman susulan dikhuatiri berlaku pergerakan tanah.
Pegawai Daerah Hulu Langat Dr Ani Ahmad berkata penduduk boleh berpindah di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang terletak berhampiran kawasan tersebut.
“Sebanyak 48 rumah di empat lorong diminta segera kosongkan kediaman bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. Kita bimbang keadaan menjadi lebih buruk tambahan pula cuaca sekarang tidak menentu.
“Namun buat masa ini tiada mangsa yang berpindah ke PPS. Penduduk terjejas memilih untuk tinggal di hotel dan rumah saudara,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata kerja pembersihan belum boleh dilaksanakan kerana agensi berkaitan perlu meneliti aspek kestabilan cerun berkenaan.
“Selain itu pusat pengurusan bencana daerah terdiri pelbagai agensi turut diwujudkan antaranya melibatkan MPAJ, Jabatan Kerja Raya, polis dan bomba bagi memastikan urusan mengendalikan kejadian itu dilaksanakan dengan teratur,” katanya.
Petang semalam insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang meragut empat nyawa dan seorang cedera ringan, selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa yang dilaporkan tertimbus dilaksanakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pandan, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta pelbagai agensi lain bermula 5.54 petang.
Operasi SAR ditamatkan pada kira-kira 2 pagi apabila polis mengesahkan penemuan semua mayat mangsa.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari diberi taklimat berhubung insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada 11 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AMPANG, 11 MAC : Dato’ Menteri Besar mengesahkan tiada sebarang aktiviti mencurigakan atau pembalakan berlaku di tapak insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, di sini.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihak berkuasa tempatan juga tidak pernah menerima sebarang aduan berlakunya tanah runtuh di kawasan terbabit sebelum ini.
“Ia merupakan kawasan lapang dan tidak ada sebarang aktiviti seperti pembalakan atau pengosongan tanah, memang tidak ada. Mungkin ia disebabkan keadaan hujan yang berlarutan selama beberapa hari sebelum ini menyebabkan struktur tanah terurai.
“Pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya juga tidak pernah menerima aduan untuk kawasan ini, yang kita pernah terima aduan pun di Taman Permai iaitu empat kilometer daripada lokasi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membuat tinjauan kira-kira setengah jam di lokasi insiden tanah runtuh di sini hari ini.
Petang semalam insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang meragut empat nyawa dan seorang cedera ringan, selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa yang dilaporkan tertimbus dilaksanakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pandan, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta pelbagai agensi lain bermula 5.54 petang.
Operasi SAR ditamatkan pada kira-kira 2 pagi apabila polis mengesahkan penemuan semua mayat mangsa.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari meninjau lokasi kejadian runtuhan tanah di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada 11 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AMPANG JAYA, 11 MAC : Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan segera sebanyak RM10,000 kepada keluarga mangsa yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, di sini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan diberi kepada waris mangsa yang meninggal dunia terlebih dahulu sebelum disalurkan kepada mangsa lain yang turut terjejas dengan insiden tersebut.
“Setakat ini, kita tumpu untuk memberi sumbangan sebanyak RM10,000 kepada waris yang ahli keluarganya meninggal dunia.
“Untuk rumah dan mangsa lain yang turut terjejas, kita akan kaji semula bentuk bantuan yang boleh diberikan kerana buat masa ini kita mahu memastikan keadaan di sini selamat dan boleh diduduki,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membuat tinjauan di lokasi tanah runtuh hari ini.
Terdahulu Dato’ Menteri Besar turut mendengar taklimat oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan bomba berhubung kejadian tersebut.
Petang semalam insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang meragut empat nyawa dan seorang cedera ringan, selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa yang dilaporkan tertimbus dilaksanakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pandan, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta pelbagai agensi lain bermula 5.54 petang.
Operasi SAR ditamatkan pada kira-kira 2 pagi apabila polis mengesahkan penemuan semua mayat mangsa.
Air Selangor pembekal tunggal perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
SHAH ALAM, 11 MAC: Kerja pembaikan paip pecah di Jalan Kuari, Kg Cheras Baru, Kuala Lumpur siap dilaksanakan pada jam 4.15 pagi tadi.
Air Selangor memaklumkan tempoh masa pemulihan bekalan berbeza bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.
“Bekalan air melibatkan semua kawasan terjejas dijangka pulih sepenuhnya pada jam 4 pagi, 12 Mac.
“Bantuan alternatif melalui lori tangki terus digerakkan ke kawasan terjejas dengan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Air Selangor turut memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori tangki.
“Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.
Semalam sebanyak 13 kawasan sekitar ibu negara mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan kerja-kerja kecemasan bagi pembaikan paip pecah di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru.
Kawasan terjejas ialah Taman Muda, Taman Bukit Permai, Taman Bukit Pandan, Kampung Cheras Baru, Taman Mawar, Taman Seraya, Taman Mega, Taman Bukit Teratai, Taman Melur, Taman Saga, Taman Putra, Taman Mewah dan Taman Mestika.
Seorang remaja menerima suntikan pelalian Covid-19 menerusi program Selvax Komuniti di Klinik Selcare, Seksyen 13 Shah Alam pada 3 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
KUALA LUMPUR, 11 MAC: Sebanyak 2,834,807 individu atau 91.1 peratus daripada populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negara ini telah melengkapkan vaksinasi Covid-19, setakat semalam.
Berdasarkan data menerusi laman web CovidNow, sebanyak 2,934,891 individu atau 94.3 peratus daripada kumpulan itu pula sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Bagi populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun pula, sebanyak 1,097,425 individu atau 30.9 peratus telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).
Sementara itu, bagi populasi dewasa, sejumlah 15,202,158 individu atau 64.6 peratus telah menerima dos penggalak Covid-19 manakala sejumlah 22,932,696 individu atau 97.5 peratus daripada populasi sama telah melengkapkan vaksinasi mereka dan 23,209,324 individu atau 98.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Vaksinasi harian semalam menyaksikan sebanyak 64,759 dos vaksin diberikan meliputi 20,178 dos pertama, 1,736 dos kedua dan 42,845 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 68,002,567.
Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 70 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Perak merekodkan angka tertinggi iaitu 20 kes, diikuti Selangor (11), Johor (10) dan Kelantan (sembilan).
Kedah merekodkan tujuh kes, Negeri Sembilan dan Sabah masing-masing empat kes, Pahang (tiga) manakala masing-masing satu kes di Perlis dan Terengganu.
Mangsa banjir menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Klang pada 23 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Seminggu selepas Bantuan Selangor Bangkit (BSB) diumum, Kerajaan Negeri terus menghulurkan bantuan RM1,000 bagi setiap keluarga mangsa bah yang berada di pusat pemindahan sementara.
Diumum pada 21 Disember, tiga hari selepas banjir besar, BSB memberi manfaat kepada 114,081 ketua isi rumah, tidak termasuk 13 keluarga waris korban yang menerima sumbangan RM10,000.
Setakat 28 Februari, Klang mencatat jumlah penerima paling ramai iaitu 60,427 isi rumah diikuti Petaling (20,948 penduduk) dan Kuala Langat (10,904 orang). Sebanyak 7,834 keluarga di Hulu Langat 6,878 (Sepang), 5,915 (Kuala Selangor) dan 1,041 (Gombak) turut mendapat bantuan tersebut.
Enam keluarga mangsa korban di Klang menerima sumbangan, diikuti Sepang (tiga), Hulu Langat (dua), masing-masing satu di Kuala Selangor dan Kuala Langat.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima selepas menyampaikan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) daerah Petaling di Dewan MBSA Paya Jaras Tengah, Shah Alam pada 28 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
Selain meringankan beban keluarga, Kerajaan Negeri turut bertungkus-lumus menggerakkan usaha membersih sisa banjir dari rumah dan premis perniagaan.
Diketuai KDEB Waste Management (KDEBWM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT), sebanyak 141,186.84 tan metrik sampah dibersihkan dalam tempoh sebulan pertama.
KDEBWM mengutip 48,589.95 tan metrik diikuti Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp WM) yang mengangkut keluar 33,200 tan metrik sampah.
PBT yang mengurus kawasan-kawasan yang dilanda banjir mengeluar banyak sampah, antaranya Majlis Perbandaran Kajang mengutip 19,631.56 tan metrik, Majlis Bandaraya Shah Alam (18,973 tan metrik) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (18,727 tan metrik).
Pengurusan sampah pukal pascabanjir dijangka berakhir pada hujung bulan ini.
Untuk memulih prasarana awam, enam agensi terlibat, antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan Pengurusan Air Selangor (Air Selangor).
Kerajaan Negeri menyediakan RM45.86 juta kepada JPS untuk membaiki ban, tebing dan pintu air, selain membersih saliran air daripada sisa banjir teruk.
Pembaikan jalan raya pula menelan RM23.022 juta, termasuk RM14.62 juta di Hulu Langat untuk kerja baik pulih jalan, tebing dan cerun.
Anggota Majlis Bandaraya Shah Alam, Jabatan Agama Islam Selangor, tentera, polis, bomba, petugas Istana Negara serta sukarelawan membersihkan Masjid Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam yang terjejas akibat banjir pada 25 Disember 2021. Foto Twitter MBSA
Untuk keselesaan umat Islam, Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntuk RM7.5 juta bagi membantu memulihkan 150 buah masjid, surau dan sekolah agama yang rosak kerana banjir.
Tabung wakaf al-Quran diwujudkan bagi menggantikan naskhah yang rosak dengan pembelian 50,000 unit kitab suci dengan belanja RM1.5 juta.
Pendek kata, sesuai dengan slogan Kerajaan Negeri, Selangor segera bangkit daripada tragedi banjir untuk muncul sebagai wilayah yang tahan uji waima wabak Covid-19 atau bencana alam.
GERAK KERJA PENGURUSAN BANJIR
(maklumat sehingga pertengahan Januari kecuali dinyatakan tarikh lain)
Petugas
21,784 orang
Sukarelawan
50,000 orang
Bantuan Selangor Bangkit
114,081 keluarga dapat RM1,000
13 waris terima RM10,000
(setakat 28 Februari)
Aset
3,503 aset atau logistik digerakkan
Kebajikan
227 pusat pemindahan banjir (PPS) tempatkan 11,237 keluarga atau 47,762 orang
Pembersihan sampah banjir
KDEB Waste Management: 48,589.95 tan
SWCorp: 33,200 tan
Majlis Perbandaran Kajang: 19,631.56 tan
Majlis Bandaraya Shah Alam: 18,973 tan
Majlis Bandaraya Subang Jaya: 18,727 tan
Majlis Perbandaran Klang: 9,065.33 tan
jumlah: 148,186.84 tan metrik
Prasarana dipulih
367 menara telekomunikasi
1,407 pencawang elektrik
Kematian
25 orang (termasuk 6 warga asing)
Wabak koronavirus
37 positif sebelum ke PPS
209 positif ketika disarin
Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir menutup pintu lori Roll On Roll Off (RoRo) terakhir mengangkut sampah pascabanjir di Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Seksyen 21, Shah Alam pada 14 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
SEGERA BERTINDAK BANTU RAKYAT
Walau Selangor tidak diramal bakal mengalami hujan lebat berterusan peringkat merah, Kerajaan Negeri tetap membuat persediaan awal sejak September lagi bagi berdepan ancaman Monsun Timur Laut.
Apabila hujan mencurah-curah mulai 17 Disember, biar tanpa amaran merah Jabatan Meteorologi Malaysia, pentadbiran negeri sudah bersiap sedia mengharungi banjir luar biasa seawal tengah hari 18 Disember.
Mesyuarat penyelarasan operasi menyelamat dan bantuan yang diketuai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari diadakan jam 3 petang setelah laporan banjir semakin banyak diterima.
Keadaan luar biasa tersebut diakui sendiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob:
“Banjir di negeri Selangor yang bermula pada hari 18 Disember 2021 telah berlaku akibat daripada jumlah purata taburan hujan luar biasa iaitu 380 milimeter pada hari tersebut yang menyamai jumlah purata taburan hujan bagi tempoh sebulan.
“Pada masa yang sama, kejadian air pasang telah menyebabkan banjir ini bertambah lebih buruk,” katanya ketika membentang laporan bencana pada sidang khas Dewan Rakyat awal tahun ini.
“Kejadian banjir yang berlaku ini melebihi kemampuan jentera tindak balas Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Selangor. Selangor juga jarang berdepan dengan banjir besar luar biasa seperti kali ini.”
Wartawan NADIAH ZAMLUS menyediakan fakta lengkap perkembangan penting bagaimana cepat dan tangkasnya Kerajaan Negeri menangani banjir besar hujung tahun lepas:
6 September
Mesyuarat pengurusan dan bantuan bencana dan persiapan menghadapi Monsun Timur Laut
7 September
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) adakan bengkel dan latihan simulasi penyelarasan bencana bagi Monsun Timur Laut
22 Oktober
Mesyuarat penyelarasan Monsun Timur Laut dan air laut pasang besar
1 November
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) beri amaran Monsun Timur Laut di negeri-negeri Pantai Timur bermula awal November hingga Mac 2022 tetapi Selangor tidak dinyatakan
17 November
Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor keluar kenyataan MetMalaysia jangka purata hujan sebulan: 250-370mm (November), 200-300mm (Disember) dan 150-230mm (Januari)
17 Disember
Tiada amaran hujan lebat dikeluarkan, hanya amaran kuning (waspada) di sebahagian utara Selangor walau Klang sudah dinaiki air sejak tengah malam sebelumnya
18 Disember
Amaran hujan sangat lebat yang berterusan atau amaran merah (bahaya) di seluruh Selangor hanya dikeluarkan jam 2 petang walau hujan mencurah-curah sejak semalam
Dato’ Menteri Besar ketuai mesyuarat penyelarasan banjir bersama agensi kerajaan pada 3 petang
Agensi penyelamat barisan hadapan terus digerakkan, 46 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dengan 3,582 mangsa di Klang, Petaling, Sepang, Kuala Langat dan Kuala Selangor
Pusat Operasi SMART Selangor beroperasi 24 jam untuk selaras bantuan dan operasi menyelamat
Sebanyak 134 pintu air ditutup bagi mengelak limpahan air laut pasang besar
Amaran hujan sangat lebat yang berterusan atau amaran merah (bahaya) di seluruh Selangor dikeluarkan sekali lagi jam 8 malam
Nombor telefon bilik gerakan UPBN, pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan dihebahkan kepada umum untuk salur bantuan dan operasi menyelamat
Menulis di Twitter jam 8.52 malam, Dato’ Menteri Besar maklumkan Selangor mohon bantuan kerajaan persekutuan melalui perdana menteri dan menteri pertahanan
Amaran hujan sangat lebat yang berterusan atau amaran merah (bahaya) di seluruh Selangor dikeluarkan lagi jam 10.30 malam
Dato’ Menteri Besar memantau PPS di Padang Jawa, Shah Alam setelah gagal ke kawasan-kawasan lain berdekatan akibat hubungan jalan raya terputus
Nombor telefon pusat operasi banjir 24 jam selama tujuh hari dihebahkan kepada umum
19 Disember
Amaran hujan sangat lebat yang berterusan atau amaran merah (bahaya) di seluruh Selangor dikeluarkan jam 1.40 pagi
Dato’ Menteri Besar melawat PPS di Klang dan Kuala Langat termasuk membantu membawa keluar bayi, warga emas dan wanita yang perlukan perhatian khusus
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, DYTM Raja Muda Selangor dan perdana menteri masing-masing melawat mangsa banjir di lokasi berbeza
Setiausaha kerajaan negeri ketuai mesyuarat penyelarasan banjir hari kedua bersama agensi kerajaan pada 8 malam
20 Disember
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor menggerakkan lebih banyak bot, pam, jentera dan lori ke lokasi sangat memerlukan
Setiausaha kerajaan negeri ketuai mesyuarat penyelarasan banjir kali ketiga bersama agensi kerajaan pada 12 tengah hari
Dato’ Menteri Besar ketuai mesyuarat penyelarasan banjir keempat bersama wakil-wakil rakyat termasuk pembangkang negeri pada 5.30 petang
Seramai 32,044 mangsa ditempatkan di 162 PPS seluruh negeri dengan Klang merekod jumlah tertinggi 18,838 orang
Operasi menyelamat dan menyalurkan terus digerakkan termasuk Team Selangor dan Sukarelawan Selangor (Serve)
Makin ramai berjaya dipindahkan ke 203 PPS yang tempatkan lebih 30,000 penduduk (atau 4,672 ketua isi rumah)
21 Disember
Sidang media Dato’ Menteri Besar, umum perkembangan terkini usaha menyelamat mangsa banjir dan fasa pembersihan pascabanjir serta pemulihan
Bantuan Selangor Bangkit (BSB) dengan dana RM100 juta diumum:
-RM1,000 bagi setiap keluarga mangsa banjir
-RM10,000 bagi waris mangsa yang meninggal dunia
-bil air selama sebulan dikecuali kepada mangsa bah
-penangguhan bayaran balik peniaga kecil selama dua bulan
-RM20 juta pembersihan, RM80 juta pembinaan prasarana
Pusat penyelarasan orang ramai sebagai sukarelawan dan pusat pengurusan bantuan banjir dibuka
22 Disember
Sebanyak 192 PPS masih dibuka dengan 29,024 penduduk, tidak termasuk lokasi dan PPS yang dibuka orang awam
Sejak air surut pada 19 Disember, pihak berkuasa tempatan dan pengendali sisa pepejal KDEB Waste Management meningkat usaha pembersihan
23 Disember
RM10 juta disediakan kepada JPS bagi naik taraf sistem saliran di Taman Sri Muda, Klang
26 Disember
Sebanyak 177 daripada 186 kawasan banjir surut
Polis sahkan 25 orang meninggal dunia akibat banjir
Sebelas stesen pemindahan sementara sampah pukal telah dibuka bagi percepatkan kerja pembersihan
5 Januari
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sasar beli 50,000 al-Quran bagi ganti naskhah yang musnah
7 Januari
RM40.88 juta diluluskan Kerajaan Negeri bagi projek pembersihan dan pemulihan infrastruktur
RM4 juta disedia bagi bantu 40,000 murid terjejas banjir
20 Januari
Perdana menteri mengakui kejadian banjir yang berlaku di Selangor melebihi kemampuan jentera tindak balas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN)
28 Januari
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) anggar Selangor rugi RM3.1 bilion akibat bah, kira-kira 50 peratus jumlah seluruh negara
DOSM dapati ramai mangsa bah di Klang kembali hidup seperti biasa tidak sampai sebulan selepas bencana
4 Februari
Kerajaan timbang cadangan bina terowong saluran air banjir bawah tanah seperti di Kuala Lumpur di kawasan berpenduduk padat
Anggota penyelamat dari pelbagai agensi bertungkus-lumus dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kejadian tanah runtuh yang berlaku di Taman Bukit Permai 2 Ampang malam ini. Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR, 10 MAC: Dua kali runtuhan tanah berlaku disertai dengan hujan gerimis.
Itu perkongsian seorang saksi kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang di sini yang melibatkan 15 rumah dan 10 kereta, petang tadi.
Azril Sham Mohamed, 50, berkata ketika kejadian beliau baru sahaja pulang dari tempat kerja di Bangi, dekat sini sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat berpunca daripada tanah runtuh itu.
“Apabila saya sampai di rumah sekitar 6 petang tadi, saya mendengar bunyi dentuman kuat dan melihat tanah runtuh berhampiran kawasan rumah saya.
Saya segera memanggil isteri dan anak saya untuk diselamatkan dan bawa mereka ke tempat selamat,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian malam ini.
Azril berkata beliau telah menetap di kawasan perumahan berkenaan selama 13 tahun dan bencana itu merupakan kali pertama berlaku.
Dalam kejadian itu, tiga mangsa dikhuatiri masih tertimbus manakala dua lagi telah dijumpai dengan mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada 6.54 petang dan hanya mengalami cedera ringan.
Mangsa kedua seorang wanita telah ditemui pada 7.53 malam dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa sedang dijalankan.
Sebuah jentera dengan sembilan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Pandan bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.54 petang.
Kerja mencari kini sedang dijalankan bagi mencari tiga lagi mangsa termasuk seorang pekerja penyelenggaraan syarikat utiliti.
Keadaan tanah runtuh di Jalan Teratai 1/2J Taman Bukit Permai, Ampang petang tadi. Foto Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (Fire & Rescue Department of Malaysia)
SHAH ALAM, 10 MAC: Kerja menyelamat mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai, Ampang petang tadi sedang giat dilakukan anggota bomba.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pasukan berkenaan turut dibantu kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
“Menerima maklumat kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai, Ampang. Berdasarkan maklumat awal empat mangsa terperangkap manakala 15 rumah dan 10 buah kenderaan terjejas.
“Marilah kita sama-sama berdoa agar semua mangsa selamat, InsyaAllah,”katanya di Facebook malam ini.
Petang tadi empat individu dilaporkan tertimbus dalam runtuhan itu namun dua berjaya ditemui masing-masing pada 6.54 petang dan 7.53 malam.
Bomba turut mengesan sekiranya terdapat individu lain yang terperangkap.
Penggerak Belia Selangor (PeBS) mengagihkan 950 bungkus makanan kepada penduduk Kampung Permata, Kundang dan Kampung Gombak, Kuang yang terkesan dengan banjir pada 9 Mac 2022. Foto Ihsan PeBS
SHAH ALAM, 10 MAC: Penggerak Belia Selangor (PeBS) mengagihkan 950 bungkus makanan kepada penduduk Kampung Permata, Kundang dan Kampung Gombak, Kuang yang terkesan dengan banjir semalam.
Presiden Akmal Halim berkata inisiatif Dapur Selangor Bangkit itu dapat meringankan beban mangsa selepas rumah mereka dinaiki air pada petang Isnin.
“Agihan kepada mangsa yang mendiami pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan JKKK Kampung Permata selain penduduk yang sudah pulang ke rumah.
Penggerak Belia Selangor (PeBS) mengagihkan makanan kepada penduduk Kampung Permata, Kundang dan Kampung Gombak, Kuang yang terkesan dengan banjir semalam. Foto Ihsan PeBS
“Mereka penat selepas bertungkus-lumus membersihkan rumah masing-masing,” katanya kepada SelangorKini hari ini.
Akmal berkata ahli PeBS yang kini hampir mencecah 300 orang juga dalam keadaan bersedia untuk digerakkan sekiranya berlaku bencana banjir selepas ini.
“Semua ahli ada di setiap Dewan Undangan Negeri. Jika berlaku bah lagi kami akan turun membantu kebajikan mangsa termasuk pembersihan rumah,” katanya.