Categories
SENI

Kemanusiaan, buku dan peduli banjir

Oleh Hazayani Zakaria

Muzik bingit menyapa halwa telinga saat tiba di deretan bangunan baru belakang Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Bangi.

Baru jam empat petang. Kumpulan belum ramai, yang ada pun tentunya penggerak acara dan pengikut tegar kumpulan pembaca buku indie.

Entah mengapa, fikiran teringat satu babak dalam filem Fenomena lakonan Kumpulan Search, M Nasir dan Ramona Rahman yang ditayang pada 1990.

Kumpulan Search mengadakan konsert mengutip sumbangan bagi mengubati penyakit kronik anak Azlan. Namun, ia tidak disenangi sekumpulan lelaki yang digambarkan dengan imej ustaz yang kasar dan bengis.

Tanpa mengetahui hujung pangkal tujuan konsert, mereka menentang program itu dan melabelkannya sebagai haram.

Namun, selepas ‘dibasuh’ oleh Wak Labib lakonan Abu Bakar Omar, mereka akhirnya meminta maaf dan mengakui kesilapan mereka yang tidak bertoleransi dalam beragama.

aid2

Tetapi, petang itu bukan mengenai konsert semata-mata.

Kalau konsert dalam Fenomena mengutip sumbangan bagi mengubati penyakit kronik seorang kanak-kanak, acara petang 3 Januari itu bertujuan mengutip bantuan untuk mangsa banjir di Pantai Timur.

Matlamatnya sama, kebajikan dan kemanusiaan.

Mungkin jika tidak dipasang kain rentang bertulis ‘Live Aid Pantai Timur’ sebagai latar pentas di tapak parkir itu, tiada siapa yang mengetahui acara itu khusus buat membantu mangsa banjir.

Dengan meja jualan yang bersusun buku alternatif, tiada timbunan barang-barang bantuan banjir, kelihatannya cuma seperti acara muda-mudi pada hujung minggu.

Sebenarnya, hasil jualan buku itulah yang akan disalur kepada mangsa banjir di Pantai Timur. Tabung khas bantuan banjir turut disediakan kepada pengunjung.

Antara syarikat penerbitan yang menyertai ialah DuBook Press, Lejen Press, Fixi dan Merpati Jingga.

Dan petang itu, acaranya bukan konsert dengan muzik rancak dari pemuzik indie semata. Bukan sekadar deklamasi puisi.

Bukan.

Lebih dari itu, ia ekspresi yang menghanyutkan emosi pengunjung ke Pantai Timur, menyelami duka saudara-saudara yang tenggelam dalam kesedihan akibat kemusnahan yang bukan sedikit.

Barangkali tebal selut yang meliputi rumah mereka (bagi mereka yang masih punya rumah) bukan apa-apa berbanding duka yang menyelubungi jiwa.

Kehadiran aktivis sosial ‘Tamak Pahala’ Syed Azmi Alhabshi berkongsi kisah menguruskan bantuan banjir menjentik jiwa-jiwa petang itu.

Ketika itu, ruang parkir semakin dipenuhi pengunjung.

“Ada orang di Kelantan hubungi saya, tanya bila air (mineral) akan sampai? Ada orang perah selut untuk dapatkan air. Ini di Kelantan, di Malaysia,” ceritanya penuh emosi.

Terbayang tangisan anak kecil kelaparan dan kesejukan, tergambar riak duka ibu ayah memikirkan kelangsung-an esok hari, terpampang wajah adik-adik yang bakal masuk sekolah dalam keadaan seragam dan buku-buku sekolah tiada.

Sudah pasti memerlukan lebih ba-nyak bantuan daripada masyarakat. Siapa sangka bah besar itu memungkinkan rakyatnya kebuluran, kehilangan harta benda malah jiwa.

Realitinya – di hadapan mata, rakyat mengikut kepakaran dan minat masing-masing cuba menyalurkan bantuan.

aid1

Selain penulis terkenal, Faisal Tehrani  menyampaikan puisi prosa ‘Mek Bah’ yang sinikal seputar banjir, artis indie lain seperti Fazleena & The Lasykar, Sekumpulan Orang Gila (SOG) turut menjayakan acara.

Ada juga Second Combat, Iqbal M, Petak daud  & Friends dan lain-lain lagi yang menghiburkan pengunjung.

Begitulah petang itu. Santai, meriah, ada orang senyum-senyum, ketawa-ketawa, sembang-sembang, nyanyi-nyanyi tetapi sebenarnya, ada tangisan membanjiri hati.

Sikit atau banyak sumbangannya, kecil atau besar kelompoknya, itu soal nombor dua.
Tetapi yang pasti, mereka menunjukkan kesungguhan mengikut kecenderungan masing-masing untuk membantu meringankan derita mangsa banjir.

Ilmu, buku dan seni bersatu peduli untuk mangsa banjir, demi sebuah kemanusiaan.

* Gambar ihsan Dubook Presss

Categories
SENI

Aktiviti seni jana sumber ekonomi kreatif

Oleh Mohd Ezli Mashut

TAKJUB,  teruja, terpegun. Itu perasaan apabila melangkah ke Tapak Galeri Seni milik Yusof Ghani di Seksyen 8 Shah Alam yang menghimpunkan karya seni bertaraf antarabangsa.

Bagaikan berada di alam fantasi, kreativiti seni dan ekspresinya terserlah dengan himpunan karya seni beliau sejak menceburi bidang itu kira-kira 40 tahun lalu.

Yusof adalah nama besar yang terkenal sebagai pelukis prolifik. Asalnya seorang artis grafik yang beralih kepada seni halus selepas menerima geran kerajaan untuk mengkaji seni di George Mason University, Virginia pada 1979.

IMG_0906

Di sana, beliau bertemu Walter Kravitz, seorang profesor dalam lukisan yang memperkenalkannya kepada seni halus dan galakan terus melukis.

Beliau kemudian didedahkan kepada dunia seni sebagai wahana untuk ekspresi diri, bukan mengejar dunia komersil.

Yusof menerima pendidikan awal di sekolah menengah di Johor dan melanjutkan pelajaran ke Washington DC Amerika Syarikat dalam bidang seni grafik halus pada 1979, semasa bertugas di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam bidang grafik.

Beliau pernah menerima beberapa anugerah dan pengiktirafan utama seperti Major Award UNESCO Art for Asia pada 1985, Pertandingan Seni PNB (1985) dan anugerah Prof Madya di UiTM dalam bidang seni.

Pada 1984, beliau kembali ke Malaysia dan menghasilkan karya kolektif bersiri seperti Tari (1984-1993), Topeng (1993-1996), Wayang (1996-1998), Hijau (1999-2002), Segerak (2002-2006), Biring (2006-2007), Wajah (2008-2010), Ombak (2010-2014).

Menceritakan detik-detik awal menjadi pelukis, Yusof masing ingat, kecenderungan itu dibantah keras bapanya tetapi dengan seribu tekad, beliau ke Kuala Lumpur dengan keazaman membara untuk menjadi pelukis.

IMG_1019Pada awal 80-an, beliau mengalami kepayahan lantaran sukar menjual lukisan kerana penerimaan masyarakat masih janggal dan hanya menjualnya pada RM2 ke RM3.

Namun, pada dekad 90-an suasana itu berubah. Orang muda mulai menghargai karya seni yang dan ramai sanggup membayar pada harga tinggi.

Dari situ, Yusof mula menapak tangga kejayaan. Antara pameran solo peringkat antarabangsa yang pernah disertainya ialah Singapura, Jakarta Indonesia, Vancouver Canada, San Francisco dan Washington DC.

Pameran berkumpulan disertainya pula seperti London, Madrid, Prague, Moscow, Baghdad, Abu Dhabi, Dubai, Karachi, India, Bangkok, Hanoi, Beijing, Seoul, Tokyo, Jakarta, Singapura.

Pameran dalam negara antara terbesar ialah di Galeri Petronas KLCC yang berlangsung di Galeri Sasana Kijang, Bank Negara sehingga 18 Januari 2015.

Beliau juga menghasilkan buku dokumentasi lukisan bertajuk ‘Ombak: Breath of Life’ terbitan Muzium dan Galeri Bank Negara. Ia sebagai inpirasi kehidupan manusia seperti ombak yang ada pada turun naiknya.

Bagi menyemarak aktviti seni, Yusof berpendapat Kerajaan Selangor perlu mewujudkan muzium seni kontemporari yang menempatkan karya seni tanah air khususnya Selangor dan karya peringkat antarabangsa.

Selain itu, kerajaan Selangor wajar mewujudkan dana dan geran untuk pelukis muda sebagai galakan dalam kesinambungan berkarya.

Dana dan geran itu, kata Yusof, diteruskan sehingga ke satu peringkat apabila ada pihak tertentu dapat memasarkan karya pelukis itu. Pilihan boleh dibuat antara 10 ke 20 orang setiap tahun geran dan dana itu.

IMG_0994

Dalam usaha menjadikan Shah Alam dan Petaling Jaya sebagai Kota Seni yang menjadi Rumah Besar Seniman, Kerajaan Selangor harus mewujudkan ruang pameran bertaraf antarabangsa.

“Perlu sediakan residensi artis dan pelukis khas di Selangor untuk pelukis berkarya selama tempoh enam bulan, pemasaran dan pameran dapat dibuat pada masa sama di residensi itu,” katanya.

Apabila ada sistem sedemikian, katanya, ia memberi peluang kepada pelukis untuk pergi lebih jauh terutama menyertai pameran antarabangsa manakala karya tertentu boleh dikenal pasti untuk dilelong di peringkat nasional dan antarabangsa.

Beliau juga menyarankan penggiat seni muda untuk bukan sekadar mengangkat nama tetapi juga memberi sumbangan besar kepada kemajuan seni.

Yusof mendapati ramai pelukis muda berbakat tetapi tidak berani ke depan dan kurang keyakinan diri.

“Hilangkan elemen ‘inferiority complex’ melalui pendedahan dan asuhan secara berterusan supaya dapat membantu pembangunan seni, khususnya Selangor,” katanya.

Yusof percaya Selangor berpotensi besar sebagai pusat aktiviti seni di negara ini kerana lokasinya strategik, apatah lagi Shah Alam sebagai gerbang utara-selatan.

Ia ditambah dengan kewujudan tiga universiti yang menawarkan bidang seni – Unisel, UiTM, MSU yang membantu industri seni tanah air.

Kewujudan IPT itu perlu digembeling bersama kerana seni kini adalah industri yang berkembang pesat dan berpotensi besar.

Tidak ramai tahu, pada 2011, ekonomi kreatif yang dikenali ekonomi jingga nilainya USD4.3 trilion. Ia 20 peratus lebih besar daripada ekonomi Jerman dan dua setengah kali ganda daripada keseluruhan perbelanjaan ketenteraan seluruh dunia.

Mengikut United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD), antara 2002 hingga 2011 eksport barang dan perkhidmatan kreatif meningkat 134 peratus.

IMG_1006

Beliau juga menaruh harapan untuk menganjurkan ‘International Art Biennale Shah Alam’ setiap dua tahun sekali gus menjadi pelopor di Malaysia.

“Unisel dan UITM boleh menyediakan ruang dan peluang untuk menganjurkan seminar dan konferens seni,” katanya, menambah Galeri Shah Alam dan Galeri Tapak boleh dijadikan ruang pameran manakala dan Tasik Shah Alam sebagai lokasi pameran arca.

“Galeri Tapak umpama mercu tanda unik yang mempamerkan hasil karya seni yang boleh nampak. Ia juga menjadi pusat pembelajaran untuk seni kepada orang ramai,” katanya yang sedia berbincang hal itu.

Yusof yakin ia dapat memberi pengenalan kepada artis luar negara dan sedia menghubungi pelukis Amerika Latin, Eropah, Timur Tengah, Asia Tenggara dan Australia untuk membawa mereka ke Shah Alam.

“Anggaran kos sekitar RM2 juta. Pensyaratan perlu dibuat terhadap karya terutama dari segi saiz dan bilangan lukisan untuk mengelakkan kos tambahan pada insuran dan logistik,” katanya.

Beliau percaya kerajaan Selangor menjadi harapan penggiat seni dalam menghasilkan karya bermutu melalui sokongan moral dan kewangan.

Apatah lagi, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dilihatnya bersungguh-sungguh mahu merancakkan industri seni, malah menamai Shah Alam menjadi Bandar Raya Kreatif, selain Kota Seni bersama Petaling Jaya.

Categories
SENI

Shah Alam, PJ sebagai Kota Seni: ‘Shah Alam Peace Yo!’

Oleh HASMI HASHIM

BELANJAWAN bukan sekadar urusan belanja-belanja duit semata. Dalam Belanjawan 2015 itu, Shah Alam dan Petaling Jaya sebagai ‘Kota Seni’ turut diumumkan — pertama di Malaysia.

Pengumuman itu dilatari dengan kesedaran bahawa Selangor adalah negeri paling ramai menghimpunkan seniman daripada pelbagai cabang seni budaya. Di Selangor ada pelukis, ada pelakon, pemuzik, pe-ngarah filem, penulis kreatif sehinggalah penerbit buku indie.

Pemerintah yang sensitif harus sedar bahawa golongan seniman bukan sahaja ber-karya suka-suka. Mulai detik ini, seni dan seniman juga dilihat sebagai aset dan penyumbang besar kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negeri.

Kira-kira dua minggu selepas Azmin mengumumkan gagasan ‘Kota Seni’ di Jakarta, Presiden Jokowi merasmikan Festival Filem Indonesia. Dalam ucapannya, Jokowi mengumumkan penubuhan sebuah jabatan baru yang akan memastikan kemajuan filem republik berkenaan.

Betapa Jokowi melihat peri penting pertumbuhan filem Indonesia sebagai ‘wajah bangsa’, jabatan perfileman itu diarah diletakkan langsung bawah pejabat presiden.

“Para hadirin jangan kaget (terkejut), Presiden senang nonton filem Indonesia,” ucap Jokowi dengan disambut tepukan gemuruh hadirin. Presiden Jokowi bukan hanya bercakap tentang perfileman Indonesia, beliau sesungguhnya bercakap tentang konsep ‘industri kreatif’ itu sendiri.

“Ini (perfileman Indonesia) akan menjadi sebuah kekuatan ekonomi kreatif kita,” ucapnya lagi sepertimana dipetik. Apa-kah itu ‘ekonomi kreatif’ sepertimana yang dilontar Jokowi di Jakarta mahupun oleh Mohamed Azmin di Shah Alam?

Di Malaysia, perkataan dan idea mengenai ‘ekonomi kreatif’ ternyata masih asing. Kita tidak pernah mendengar gagasan seumpama dilontar dalam Belanjawan mana-mana Perdana Menteri sekalipun sebelum ini, jauh sekali oleh menteri berkaitan hal kebudayaan.

Di Parlimen United Kingdom beberapa tahun lalu, ahli parlimen negara berkenaan berusaha memaknai konsep ‘ekonomi kreatif’. Beberapa lapangan kebudayaan, misalnya lukisan, animasi, rekaan fesyen, pertunjukan pentas dan lain-lainnya ditafsir sebagai aktiviti seni yang diiktiraf sebagai industri.

Dalam kata mudah, UK sebagai sebuah negara maju menyedari mereka tidak dapat lari daripada melihat bahawa pertumbuhan ekonomi kreatif sesuatu yang sangat segera perlu diberi perhatian untuk tahun-tahun mendatang.

Kesedaran ahli parlimen UK itu juga seiring dengan ‘Laporan Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Industri Kreatif’ yang terbit tahun lalu. Laporan itu mengesahkan bahawa ‘industri kreatif’ kini sedang berkembang di banyak negara dan menjadi antara sektor ekonomi yang mustahak untuk pertumbuhan masa depan sesebuah negara.

Sangking mustahaknya semua itu, PBB kemudiannya menganjurkan ‘Forum Antarabangsa Mengenai Kebudayaan dan Industri Kreatif’ pada awal Oktober lalu di Florance, Itali.

Di kalangan pakar ekonomi, ‘ekonomi kreatif’ juga disebut sebagai ‘ekonomi jingga’. Banyak kajian dilakukan tentang potensi bidang ekonomi ini termasuk di beberapa negara di Asia Tenggara, khususnya Indonesia dan Singapura.

Pada 2011, nilai ekonomi kreatif dijana di seluruh dunia bernilai USD4.3 trilion atau sekitar RM14.1 trilion. Jumlah berkenaan barangkali bagi lebih seratus tahun daripada jumlah Belanjawan Malaysia!

Jumlah itu juga adalah 20 peratus lebih besar daripada saiz ekonomi Jerman, atau dua setengah kali ganda daripada perbelanjaan ketenteraan bagi negara seluruh dunia. Malahan, menurut Persidangan Antarabangsa Perdagangan dan Pertumbuhan (UNCTAD), antara 2002-2011 nilai ‘ekonomi kreatif’ dianggarkan tumbuh lebih 120 peratus.

Bolehkah kita bayangkan bahawa sejak Era Reformasi 1998, iTunes dilaporkan menjual 50 bilion lagu atau dimuat turun daripada aplikasi mereka. Setiap lagu berharga sekitar RM32. Tentu sahaja nilai tersebut lebih besar daripada mana-mana syarikat milik kerajaan sekalipun.

Ini belum termasuk nilai dan pulangan kepada filem-filem utama yang dihasilkan sehingga sepuluh filem keluaran Hollywood seperti Lion King, Mamma Mia, Miss Saigon dan Cats misalnya memungut hasil sejumlah USD29.6 bilion termasuk jualan produk cenderahati. Jumlah itu ternyata lebih besar daripada kos pembinaan Ampangan Three Gorged di China yang berharga USD25 bilion.

Seperti mana yang dirungkai oleh seorang ahli ekonomi Amerika, John Howkins, ‘ekonomi kreatif’ adalah persoalan bagaimana membuat wang dan keuntungan daripada idea. Idea dan pemikiran kreatif hari ini bukan lagi sesuatu yang murah atau percuma. Mungkin atas kesedaran itu, kita di Malaysia dapat lihat bagaimana sesetengah pengeluar t-shirt seperti ‘Kuku Bersiung’ dapat mengeluarkan produk mereka dengan begitu laris di pasaran.

Hanya, bagaimanakah kerajaan dapat membantu agar industri yang berkaitan kreativiti ini dapat benar-benar memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi? Saban tahun, banyak pusat pengajian tinggi yang melahirkan graduan di bidang kreativiti.

Sayang sekali sekiranya sumber manusia ini gagal dimaksimum dan mereka hanya terperesuk menjadi kakitangan kerajaan sahaja misalnya tanpa mempunyai daya usaha perniagaan sendiri. Meski tanpa data tepat, namun kita juga percaya bahawa syarikat yang berkaitan industri kreatif juga banyak yang berdaftar di Selangor — satu lagi kelebihan bagi Selangor yang tidak dimiliki oleh negeri lain di Malaysia.

Dalam ucapan sempena Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor, Dato’ Menteri Besar turut mengilhami gagasan Shah Alam sebagai Youth City.

teater shah alamJusteru, 70 peratus penduduk Shah Alam adalah anak muda, maka perancangan pra-sarana perlu dibuat agar Shah Alam menjadi tempat anak muda belajar, bermain, belajar dan bersantai.  Bayangkan bagaimana Shah Alam dan PJ dapat menjadi tapak strategik kerana kedua bandaraya ini mempunyai prasarana seperti Panggung Teater Shah Alam dan Dewan Sivik PJ.

Kedua-dua pentas utama ini boleh diaktifkan.

Bahkan bagi penggemar lukisan, PJ adalah antara kawasan yang paling banyak galeri seni lukis. Mengambil pengalaman daripada SIngapura, di kota itu terhadap rumah lelongan lukisan yang membawa pulangan jutaan ringgit setahun. Di Asia Tenggara, Singapuralah satu-satunya negara yang mempunyai rumah lelongan lukisan sendiri.

Semua potensi ini akan menjelma di bawah pentadbiran baru di Selangor, sesuatu yang dinanti-nantikan sekian lama. Kini khabar gembira pun tiba. Selangor baharu adalah Sela-ngor yang bukan sahaja menjaga ketulusan seni-budaya tradisi, bahkan beberapa tahun ke depan ini, Selangor bakal muncul sebagai negeri seni moden paling mega di Malaysia dan di Asia Tenggara.

Categories
SENI

CERPEN: Mencari mimpi

Oleh Hafiz Zainuddin

Pagi-pagi lagi dia sudah bangun sewaktu matahari masih bermalas-malas. Dia bangun dengan sepotong senyuman yang galak terukir tanda puas.

Kemudian, mengeliat. Kedua-dua tangannya diregang dan tubuhnya dilentik ke kiri, ke kanan, seperti seekor kucing yang tidur dengan perut menadah langit. Acap kali pun begitu.

Dia bangun tidur dengan senyuman kerana mimpinya sentiasa indah-indah. Kemudian, bangun dari tilam buruknya memulai hari menyantap sebatang rokok sambil membuka jendela kayu bilik.

Dari jendela, dia merenung laman kecil itu, memerhati orang lalu-lalang dan kawanan ayam yang takkan lupa mengais-ngais tanah; juga dengan senyuman. Begitu rutin paginya.

Malam tadi, dia bermimpi mendapat pekerjaan yang baik. Dia ditawarkan sebagai pegawai penyelia di sebuah syarikat multinasional yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur. Kelmarin, dia bermimpi berjabat tangan dengan seorang menteri yang paling kacak dalam barisan kabinet.

Minggu lalu, dia bermimpi tidur di katil deluxe yang dipenuhi wang kertas seratus bertemankan beberapa wanita. Semuanya cantik-cantik, wajah mereka pula sesuai menjadi ibu kepada anak-anaknya.

Sebab itu dia akan sentiasa tersenyum tiap kali bangun pagi. Mimpi indah itu cukup untuk hari ini, esok, akan datang lagi mimpi indah yang lain.

Hal ini jauh berbeza dengan teman-temannya yang sehendak boleh mahu tidur sampai tengah hari kerana tubuh mereka kehausan mimpi yang sempurna.

Dia berbangga tiap kali ditegur kawan-kawan. Kata mereka wajahnya sentiasa berseri dan menawan meski tidak bekerja dan banyak menghabiskan masa memancing dan kadang kala secara sukarela membantu Makcik Susan basuh pinggan mangkuk di restoran.

“Umur sudah 35, bujang, menganggur pulak. Tapi kenapa selalu je kau nampak relaks, macam tak ada masalah. Kerja tak ada pun kau okay. Anak bini tak ada pun kau okay. Keluarga kau pun bukan orang senang, apa rahsia kau?” soal Lan, teman baiknya sejak sekolah.

Lan kuat bekerja. Selesai pejabat, dia mengajar tuisyen subjek bahasa Melayu. Tiap-tiap Ahad pula, dia, isteri dan dua anaknya turun pasar pagi jual produk kesihatan. Jadual hidupnya sentiasa penuh. Dia bekerja demi menampung kehidupan yang semakin menekan apalagi selepas berkuatkuasanya GST dan TPPA.

Gajinya besar, namun, keperluan untuk hidup dan masa depan terus bertambah, mencengkam leher. Dia terpaksa buat beberapa jenis kerja meskipun isterinya turut bekerja. Sesekali, dia berasa tuhan tidak berlaku adil kepadanya.

Wajahnya makin menua bukan kerana usianya sudah lanjut, tetapi akibat tekanan kerja dan tanggungjawab. Melihat temannya yang bahagia, dia hairan. Lebih-lebih pula temannya itu semakin tampak berseri, bertenaga dan bersemangat.

Mendengarkan soalan Lan, dia menghela nafas, merenung anak mata Lan hingga temannya itu berasa janggal dan pelik. Pada mata temannya itu sudah tergambar keluh kesah susah gelisah yang membelenggunya. Bahagia tidak pernah sampai dalam hidup Lan. Justeru, apa yang dikerjakan Lan nampaknya mempersenda kehidupannya sendiri. Begitu telahannya. Mungkin benar, mungkin tidak.

“Lan, aku tak ada rahsia, aku cuma mimpi. Bermimpi. Aku ada mimpi yang bagus.”

Lan membulatkan mata sambil mengerut dahi. Seperti dalam drama televisyen, dia membetulkan punggungnya di kerusi kayu restoran Makcik Susan. Menyalakan rokok, kemudian tangannya memegang dagu seperti sedang mengusap janggut.

images“Mimpi…?”

“Ya. Hampir tiap malam aku akan bermimpi yang bagus-bagus, indah-indah dan seronok-seronok. Jadi, mimpi itulah yang buat aku rasa semangat, ceria, happy macam sekarang.”

Lan mengangguk-angguk, dahinya berkerut, tangannya masih memegang dagu yang licin. Sesekali, dia menyapu kumisnya yang halus. Matanya terus mengecil memberi tumpuan pada temannya itu.

Dia mahu seperti temannya itu yang sentiasa tampak berseri dan ceria. Jauh dari masalah dan celaka yang tidak diketahui. Tidak seperti dirinya yang semakin terhimpit dan tertekan.

Lan tidak sempat bermimpi. Dia tiada mimpi indah. Jika ada, itu dulu, itu pun hanya mimpi yang ngeri-ngeri. Dia pernah bermimpi dibunuh perompak, dibakar hidup-hidup, bankrap, ditinggalkan isteri atau dikejar hantu.

Mimpi Lan mimpi buruk; dan menambah pilu, di luar mimpi dia berhadapan dengan realiti perit kehidupan. Isteri dan anak-anaknya terpaksa berkorban masa yang sepatutnya dipenuhi di rumah dengan kerja part time menjual produk penjagaan kesihatan setiap hari Ahad.

Mereka tidak pernah sekalipun ponteng berniaga sepanjang lima tahun disebabkan terlalu komited dengan kehidupan dan keperluan keluarganya. Perkara itu juga menyebabkan hubungan Lan dan sanak-saudaranya lain renggang. Lan suka cipta peluang, tambah keperluan.
“Kenapa kahwin adik kau tak datang Lan?”

“Pak cik kamu meninggal sampai hati tak ziarah…”

“Kamu mata duitan!”

Semua kata-kata ini begitu memakan rasa. Mereka semua tidak tahu apa yang sedang dia perjuangkan.

“Aku buat semua ini kerana janji kepada isteriku. Aku berjanji untuk menjaga mereka dan melengkapkan kehidupan mereka dengan segala yang terbaik. Aku buat semua ini sebab aku sayang.”

“Hmm Lan, kata-kata itu betul semuanya. Kau tak salah dan tak pernah salah dalam hal ini tapi jika nak jadi macam aku, kau perlu bermimpi.”

“Memang itu yang aku nak! Macam mana?” kata Lan bersemangat.

“Kau perlu kurangkan keperluan. Keperluan itu ciptaan kau dan iklan. Keperluan itulah yang sebenarnya memakan mimpi-mimpi kau yang sepatutnya. Mereka ciptakan mimpi baru untuk kau hingga buatkan kau jadi angau”

“Habis? Takkan kau nak sara anak isteri aku. Aku perlukan duit yang lebih tiap bulan untuk tampung belanja. Kau mana tau sebab kau tak pernah berkahwin dan ada anak. Kau tak ada tanggungan kereta, motor, rumah, wifi, telefon…”

“Lan! Kalau kau terus dengan sikap macam ni, aku minta maaf. Kau tak akan dapat mimpi macam aku. Kau takkan jadi macam aku. Sikit pun tidak”

“Takkan tak ada cara lain?” soal Lan dalam nada kecewa.

“Tak ada Lan, kalau kau mau bermimpi. Mimpi yang sempurna macam aku. Kau kena ikut cara aku, kalau kau tak mampu ikut, itu bukan masalah aku. Aku minta maaf.”

Lan tiada pilihan lain untuk dapatkan mimpi indah melainkan mengikut kata temannya itu. Namun, dia tak mampu. Dia mengetap bibirnya sambil tertunduk kemudian mengeluh panjang menoleh ke angkasa yang sudah samar-samar cerah.

Dia begitu cemburu dengan temannya itu yang hidupnya menghitung mimpi sempurna hampir setiap kali nyenyak, sedangkan dia terpaksa menghitung tunai dan waktu untuk dikerjakan.

Senja itu, Lan pulang rumah membawa sepotong kata hampa-kecewa kerana tidak mungkin mendapat kurnia seperti temannya itu. Mat, itu nama temannya yang sentiasa dihujani mimpi indah lagi sempurna.

Lan duduk di sofanya yang baru dibeli, memegang kepala, memicit-micit kepalanya. Seperti biasa, isterinya membawakan secangkir kopi.

“Kalah banyak ya?” soal isteri.

“Tak kalah, belum menang je…”

Tangan yang memicit-micit kepalanya itu dihala kepada secangkir kopi di depan meja. Dia menenung kopi legam itu sambil ditiup-tiup perlahan.

Satu teguk, dua teguk, tiga teguk.

“Ahh..”

Lan dapat idea! Idea itu semacam terpancut dari dalam kopi masuk ke mulutnya dan memberi syarat kepada bahagian otaknya yang paling dalam. Lan mengelamun sendiri berfikir untuk mencuri mimpi Mat.

Bermula hari itu, dia sudah ada mimpi.

 

Categories
SENI

Dalam Sipon ada Thukul

Oleh Sharifah Nursyahidah Syed Annuar

Bersama-sama beberapa rakan ke Solo, Indonesia, 20 November lalu. Ajakan datang dari Febrian yang pernah menulis mengenai penyair terkenal Indonesia yang hilang, Widji Thukul untuk tesis doktoralnya.

Dari Jogjakarta, kami berangkat ke Solo dengan kereta api dan perjalanan itu mengambil masa hampir dua jam.

Lokasi pertama ialah rumah Halim HD, aktivis jaringan seni dan kebudayaan, yang menemukan Thukul sekitar awal tahun 80-an.

Waktu itu Thukul ahli kumpulan Teater ‘Sarang JAGAT’ pimpinan Lawu. JAGAT ialah singkatan bagi Jejibahan Agawe Genepe Akal Tumindak. Di JAGAT, Thukul belajar tentang teater, puisi, dan ‘ngamen sastra’.

IMG_1469

Cerita Halim, Wiji Thukul hebat kerana orang-orang di sekeliling termasuk isterinya, Sipon. Jua Lawu. Merekalah yang menjadikan Thukul menjadi Thukul.

Nama sebenar Widji Thukul ialah Wiji Widodo. Tetapi Lawu menggantikan Widodo dengan Thukul. Widji Thukul bermakna biji tumbuh. Mungkin itu yang diharapkan Lawu – supaya Thukul terus tumbuh dan berkembang.

Thukul memang luar biasa keinginannya dalam melawan dan menjadi terkedepan.

Halim dan Thukul pernah tinggal bersama. Thukul rajin membaca dan banyak meminjam bahan bacaan Halim. Dengan Sipon pula, mereka mendirikan Sanggar Suka Banjir. Sipon sendiri seorang anak teater.

Thukul sebenarnya pelat. Ada abjad tidak dapat dituturkannya dengan jelas. Semasa membaca puisi, dia menyebut r menjadi l. Tetapi kekurangan itu tidak meluntur keghairahan Thukul dalam menyemarak puisi perlawanan. Malah terus mara dan karyanya menggentarkan penguasa.

Kemudian, kami ke rumah Sipon. Kedatangan kami disambut anak lelaki dan cucu perempuan Thukul-Sipon. Wani sudah keluar awal-awal lagi. Cuma Fajar ada di rumah, di bilik bermain gitar dengan kawan-kawannya. Wajahnya seiras Thukul.

IMG_1470

Rumah Sipon penuh dengan kain dan pakaian yang siap dijahit. Seperti yang ditulis pada kad ‘Penjahit Nganti Merah’, Sipon menerima pesanan ‘kaos olahraga, tas, bedcover, pakaian pria dan wanita’.

Hasil kerja tangannya kemas dan ia menjadi punca saraan keluarganya. Di sudut dinding, ada foto perkahwinan Thukul-Sipon, anak-anak dan piagam kehormatan Thukul.

Sipon tidak duduk diam di rumah kecil itu. Sampai hari ini, dia tetap kuat meneruskan perjuangan Thukul. Tidak pernah menyerah untuk menuntut tanggungjawab negara atas hilangnya suami dan bapa kepada dua anaknya itu.

Meskipun setia menunggu Thukul, bermacam-macam fitnah dituju kepada Sipon. Dia disangka sebagai pelacur dan gila. Bahkan, dia pernah dibawa ke rumah sakit jiwa kerana masih mencari suami walaupun sudah bertahun-tahun berlalu.

Sipon mengaku ada menawarkannya bekerja sebagai pekerja seks, tukang urut dan sebagainya tetapi menolaknya. Dia tidak selemah itu. Sipon perempuan bermartabat. Menjadi istri Thukul bukan hal yang mudah, bukan calang-calang pengorbanan.

IMG_1473Dia dan anak-anaknya sering dikejutkan dengan berita mengenai keberadaan Thukul. Ada yang menyebut masih di Indonesia, tidak kurang juga mengatakan Thukul di Belanda, Jerman ataupun Australia. Bahkan, ada tuduhan Thukul sudah berkahwin lain.

Sipon juga selalu didatangi pelbagai pihak – polis, wartawan, tentera mahupun orang kenamaan. Malah, interogasi hal biasa baginya. Semua menanyakan soalan sama:

Di mana Thukul?

Sedangkan Sipon sendiri tidak punya jawapan itu. April 2000, Sipon melapor kehilangan suaminya kepada Komisi untuk Orang Hilang dan Korban Tindak Kekerasan (KONTRAS).

Sipon percaya Thukul masih hidup. Dan kalau itu benar, harapannya, Thukul dalam keadaan baik.

Malah, Sipon juga aktif dalam IKOHI (Ikatan Keluarga Orang Hilang Indonesia), berjuang untuk aktivis yang hilang diculik atau penghilangan paksa sekitar 1996-1998.

Selain Thukul, ada 12 lagi yang tidak diketahui nasib mereka. Kepada kami, Sipon menunjukkan foto seorang lelaki tak dikenali. Ada orang mendakwa lelaki itu Wiji Thukul. Namun, bukan dia. Sipon kenal benar suaminya. Masakan Sipon tidak tahu sosok yang menjadi nadi kekuatannya.

Sepanjang berbicara, Sipon sentiasa tenang dan ceria dan raut wajahnya terserlah betapa Sipon sangat mencintai Thukul. Sampai bila-bila, kasihnya takkan berubah. Dia ‘kan tetap menunggu.

Sebelum berpisah, Sipon memberi beberapa t-shirt tertulis ‘Berjuang untuk Pemenuhan Hak-Hak Korban’ yang dibikinnya sendiri. Dalam perjalanan pulang pula, lagu ‘Bengawan Solo’ seakan-akan mengiringi kami, terngiang-ngiang kalimat satu puisi Thukul:

IMG_1471Wani, bapakmu harus pergi
kalau teman-temanmu tanya
kenapa bapakmu dicari-cari polisi
jawab saja:
karena bapakku orang berani
kalau nanti ibu didatangi polisi lagi
menangislah sekuatmu
biar tetangga mengira ada pencuri
masuk rumah kita…

Categories
SENI

CERPEN: 24 jam bersama cerek air

Oleh Asyraf Bakti

Ali Batisah bangun pagi dengan tiada beban. Dia baru berhenti kerja kelmarin. Entah kenapa dia boleh hantar surat letak jawatan itu pun dia tidak tahu. Dia duduk lama atas katil fikir sama ada untuk menganggur lama atau cari kerja lain. Dia pandang dinding bilik yang ada poster filem Limitless. Dia cuba juga cari-cari kalau-kalau ada yang nak jual dadah macam dalam filem tu. Dia nak beli sebiji dan dia nak cuba. Mana tahu kalau-kalau boleh jadi broker saham terkemuka.

Dia menggeliat dan masih ada atas katil. Dia ada tengok-tengok juga dalam Job Malaysia kerja yang sesuai pukul 4 pagi tadi selepas jerang air panas. Sekarang dah pukul 12 sete-ngah hari. Entah pukul berapa dia terlelap pun dia tak tahu. Tengok-tengok dah ada terlentok atas katil. Dia teringat dekat dapur ada cawan isi serbuk Milo yang tak sempat dia bancuh.

Tidak apalah. Biarkan dulu.

Mujur cerek air elektrik. Kalau tidak, mahunya terbakar rumah dan jiwa raga. Dia capai beg kerja yang ada dekat kaki katil. Keropok lekor yang dia beli dekat pasar malam semalam dia lupa hendak keluarkan. Mungkin dia terlalu rungsing dan tak mampu fikir secara waras.

Dia seluk dalam plastik dan capai keropok lekor. Rasanya boleh makan lagi. Dia gagau lagi dalam beg dan ada botol air mineral yang tinggal separuh isi. Dia isi perut dengan air mineral dan dengan tak basuh gigi, dia kunyah keropok lekor perlahan-lahan.

Dia masih lagi ada atas katil. Dia tengok lampu komputer masih lagi berdenyut-denyut. Mungkin dia lupa nak matikan semalam. Baki keropok lekor tak banyak pun, ada lagi 2 jurai saja. Dia bangkit dan pergi ke dapur untuk bancuh air Milo. Dia tekan sekali lagi cerek air yang sudah dimasak air di dalamnya untuk dimasak sekali lagi. Air nak jerang bagi panas sekurang-kurangnya 3 minit setengah. Dia masuk balik bilik dan duduk di atas katil. Dia sebenarnya tak tahu hendak buat apa hari ini. Selalunya hari-hari bekerja, pukul 6 pagi dia dah bangun.

Pukul 8 bertolak pergi kerja dan pukul (tak menentu) balik ke rumah balik. Dengan vespa buruk dia yang abang dia bagi itulah dia cari rezeki. Dia kerja di syarikat iklan dekat Damansara Perdana. Sebagai orang iklan dan berjawatan sebagai penulis iklan, dia dah lali dengan kritikan-kritikan klien. Ada klien yang kata Dewan Bahasa tidak lulus laras bahasa yang sebegini. Ada klien yang kata laras bahasa begini terlalu berunsur seksual.
“Kita hendak jual piza, bukan hendak jual bra.”
Kalau ikut-ikutkan tarikh dia letak jawatan semalam, tak sampai setahun dia bekerja kutip pengalaman dan kritikan. Kadang-kadang dia hairan dengan syarikat yang dia bekerja. Mereka ini anggap klien itu Tuhan. Dia senyu-senyum juga kalau ada majlis makan-makan bertemu klien. Hendak saja dia menjerit tentang soal bahasa semasa sedang memegang secucuk sate daging ketika bertemu dengan klien syarikat pe-nerbangan (nama syarikat terpaksa dirahsiakan. Klien ini lah yang paling banyak menolak ayat-ayat bahasa yang sering dia usulkan.

“Jangan terlalu berbunga-bunga. Kita bukannya nak tulis novel. Kita nak jual tiket penerbangan.”

Tidakkah mereka tahu yang sesuatu transaksi yang berlaku itu datangnya dari cinta? Ternyata bahasa salah satu cara memikat dan memujuk manusia untuk terpikat dengannya. Dia lupakan hasrat untuk bersyarah tentang bahasa pada majlis hari itu. Dia bangun dan buang lidi sate dan tuju pula ke arah gerai ais kacang.

Pak! Air dah jerang dan dia pun dah habis makan keropok lekor. Sebenarnya memang dah jadi kebiasaan sebelum dia pergi kerja, dia akan periksa dulu kotak emel yang masuk. Dia tekan ENTER dan skrin komputer kembali cerah. Dia tak sempat buka emel dan terasa sakit perut. Mungkin sebab keropok lekor tadi. Dia masuk dalam jamban tinggung dan tak fikir apa-apa. Otak dia memang kosong sekarang. Fitrah manusia yang sepatutnya berfikir tidak dia buat hari ini. Dia jadi kaku dan hanya dengar air paip yang bergaduh masuk ke dalam timba sehingga melimpah-limpah. Dia tak tutup paip air dan terus biar air melimpah terkena kaki.

Taik tak keluar lagi tapi yakin yang akan keluar sekejap lagi. Dia jentik-jentik air yang ada dalam timba dan terasa dalam perut yang taik akan keluar. Dia fokus dan tak mahu beraknya terbantut. Dia jentik-jentik lagi air yang ada. Plup! Dia rasa lega dan puas. Dia cebok-cebok dan tuang selebihnya air yang ada masuk ke dalam kumbah. Sistem pili tarik tu dah lama rosak. Dia dah malas nak baiki. Kali ini masuk 5 kali kalau dia tukar.

Dia masuk balik dalam bilik dan buka kotak emel. Ada satu emel baru masuk pukul 8 pagi tadi.

“Aku dah masukkan duit dalam bank kau. Terima kasih sebab tolong aku buat kerja tu.”

Yang menghantar emel mengguna nama tanpanama. Ini mesti pancing nak tipu orang. Aku padam emel. Aku ambil remote dan buka tivi. Terus-terus baru mula Berita Semasa TV3.

Sebuah syarikat Iklan meletup dibom pagi tadi.

Aku tengok dapur dan wap air masih lagi keluar daripada corong cerek dan serbuk Milo masih lagi tak dikacau.

Categories
SENI

Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang : Membunuh kecurigaan kaum

Oleh Hazayani Zakaria

Bukankah kecurigaan telah terbunuh ketika kita bersapa
Hidup ini sudah terbenam pada persamaan nasib semata
Kaum pekerja dan petani dalam satu sumber mengalir
Sama-sama menyanyikan lagu terbagus untuk tanah air

Petikan sajak Pemuda dan Gadis Tionghua karya Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr Usman Awang ini cukup kuat bagi menyampaikan mesej perpaduan antara kaum di negara ini.

Sajak itu sebahagian puisi perpaduan yang dinukilkan SN Usman Awang sewaktu hayatnya selain Salam Benua, Merpati Putih Jelajahi Dunia Ini, Suasana, Anak Jiran Tionghua, Penjual Pisang di Kaki Lima, Bahasa Bonda dan lain-lain lagi.

Terasa damai apabila puisi-puisi itu dibaca kembali dalam suasana rakyat Malaysia sering dihangatkan dengan bahang perkauman oleh pihak yang bersifat rasis.

usmang awangPuisi-puisi tersebut dibaca dalam Majlis Penyampaian Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang (AINUA) 2014 di Berjaya Hotel, Kuala Lumpur pada 14 Disember lalu.

Lebih menarik apabila puisi-puisi itu dibacakan oleh tiga kaum; Melayu, Cina dan India.

Bukanlah menjadi perkara asing berada dalam satu majlis yang dihadiri pelbagai kaum namun apabila ia disertai bacaan puisi yang mengangkat tema masyarakat, perasaan menjadi lebih teruja.

Dalam pada perpaduan antara kaum cuba dijadikan isu sensitif, Yayasan Usman Awang (YUA) dengan kerjasama Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) berjaya menganjurkan Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang (AINUA) 2014.

Penganjuran AINUA 2014 ini julung-julung kali diadakan dan diteruskan setiap dua tahun sekali.

Bertema perpaduan, anugerah diberi kepada individu atau organisasi yang memperjuang perpaduan antara kaum dan berusaha memupuk semangat persahabatan dalam masyarakat majmuk di negara ini.

AINUA 2014 bertujuan memberi sanjungan dan penghargaan kepada individu atau organisasi bukan kerajaan (NGO) yang menyumbangkan jasa dalam perpaduan dan integrasi nasional.

Anugerah itu juga bagi menggalakkan lebih ramai individu dan NGO yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan Jabatan Pertubuhan Syarikat (ROC) menyumbang jasa bagi memperkasa perpaduan dan integrasi nasional.

Selain itu, ia juga bertujuan memupuk semangat perpaduan dan integrasi rakyat Malaysia.

Anugerah terbahagi kepada tiga kategori iaitu Anugerah Salam Benua, Anugerah Merpati Putih dan Anugerah Khas.

Anugerah Salam Benua dimenangi penulis buku, Anas Zubedy; Majlis Kebangsaan Sedia Bersahabat Malaysia (National Council of Befrienders Malaysia); dan Datuk Dr. Lam Peng Chong @ Lam Phar.

Mereka membawa pulang trofi, sijil penghargaan dan wang berjumlah RM30,000.

Anugerah Merpati Putih pula dimenangi Subramaniam Karupayah; Lumat Dadi; Lim Thein Phin; Tan Sri Datuk Seri Yahaya Ibrahim; dan Pergerakan Pemuda Malaysia.

Masing-masing menerima sijil penghargaan dan wang RM10,000 manakala penerima Anugerah Khas ialah Jamaluddin Mat Ali dan Gan Leong Piow.

Anugerah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Datuk Seri Pang-lima Joseph Kurup.

Turut hadir, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Dr. Awang Sariyan yang juga mewakili YUA.

Hadir sama, Presiden Kehormat Huazong, Tan Sri Ng Teck Fong; Naib Pengerusi Huazong, Lau Chee Boon; Penasihat YUA, Haslina Usman; Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka Tan Sri Kamarul Ariffin; pelakon teater dan juga ahli jawatankuasa YUA, Datuk Faridah Merican; dan wa-kil lain dari YUA dan Huazong.

Bagi Pengerusi YUA, Dr Syed Husin Ali, SN Usman Awang menganut fahaman Sastera Untuk Masyarakat.

Oleh itu katanya, sajak-sajak Usman bertunjangkan masyarakat dan banyak memperkatakan nasib rakyat jelata.

“Karya Usman penuh de-ngan nilai kemanusiaan yang diucapkan dengan bahasa yang mudah dan seni yang halus. Idea-idea bernas yang disuarakan dalan ciptaan-ciptaannya bebas daripada unsur propaganda yang kasar,” katanya.

Anak Usman, Haslina gembira atas penganjuran AINUA 2014 sekaligus memberi semangat kepadanya untuk meneruskan perjuangan memupuk perpaduan melalui karya-karya Usman.

Majlis diacarakan oleh wa-nita berbangsa Tionghoa yang bukan sahaja fasih berbahasa Melayu, malah kreatif menyelitkan pantun-pantun indah.

Seperti petikan sajak Bahasa Bonda;

Seribu bahasa kita bicara
Manakan sama bahasa
bonda

Ya, benarlah. Perpaduan, boleh juga dipupuk melalui satu bahasa.

 

 

Categories
SENI

CERPEN: Membunuh KupuKupu

Oleh Alina Abdullah

“Apabila buku-buku dibakar oleh mereka, merekalah jua yang akhirnya akan membakar manusia.”

Ketika Heinrich Heine menulis petikan skrip ini untuk drama pentasnya ini, aku kira hatinya pasti remuk redam. Entah kenapa, telahan aku itu seperti gulagula kapas yang dimakan gadis kecil, mencair tanpa belum sempat dihadam.

Jalan Belle Vue yang menghampar pada ketika itu sunyi dan lengang. Mungkin ramai yang sudah pulang bercuti Krismas, atau sibuk menghitung nasib pada Santa Klaus yang tidak mungkin menjelma.

Angin Disember sedikit kuat, dan tentunya cuaca seperti biasa, dinginnya menusuk tulang.

Jam baru pukul empat petang, tapi hari sudah gelap. Kebiasaannya pada musim dingin, malamnya agak panjang dan siang punya waktu yang singkat. Matahari yang muncul terik sekali-sekala pada waktu siangnya adalah rahmat Tuhan bagi mereka yang punya musim dingin di sini. Ah, barangkali juga kedinginan itu suatu belas ihsan-Nya.

Aku dan Jane sedang bersedia untuk melintas jalan yang serba sunyi itu. Tiada kelibat sebarang makhluk Tuhan. Tempat yang ingin kami tuju selang dua blok bangunan sahaja. Terasa kami seperti adik beradik Finch yang mengintai Boo Radley di sebelah rumah, tapi ini kali tanpa prasangka.

Aku masih ingat lagi sebulan lepas ketika Jane datang mengetuk pintu. Ketika itu aku sedang menyisip koko panas, yang sekali sekali kubancuh bagi mengganti kopi.

Pabila kubuka pintu, Jane terus meluru melepasiku sambil berkata, kemanusiaan sudah hilang! Diulangnya dua kali. Selepas menceritakan segalanya, dan berkali-kali memujukku untuk menyertainya, maka, di sebalik semak rimbun inilah kami berada kini.

Kau cuba lihat di sana, orang dah ramai. Polis pun sudah penuh, Jane cuit aku dan menunjuk ke arah selekoh jalan yang melepasi dua blok bangunan di hadapan.

Sebelum menjengah ke kisah lanjutnya, mari aku ceritakan dahulu tentang perempuan jelita yang dibunuh pada suatu zaman dahulu, zaman yang tidak mungkin terjangkau dek akal. Perempuan jelita itu pasti kau kenal, perempuan yang berani aku katakan, yang pertama mengajar ilmu matematik.

Dosa beliau apa, pada jelitanya atau pada pintarnya? Sekalipun kedua-duanya, tetap tidak masuk akal, bukan?

Serentak selepas itu juga, sebuah pustaka agung dibakar pemerintah negara antah berantah itu. Gila apa juga itu? Gila kerasukan manusia pemerintah yang takut akan kebenaran hatta kebebasan akal yang mahu berfikir. Itulah gila pada zaman yang serba ketidaktahuan.

Jane menolak aku ke depan. Aku tersadong pada seketul objek di jalanan. Kukutip. Sebuah buku yang punya gambar depan potret wanita berbaju hitam. Sudah lusuh dan helaian-helaiannya carik.

Aku teringat, pernah seorang teman yang gemar berkasut biru dan berbaju putih menghadiahi aku buku ini. Katanya puisi-puisi di dalam buku ini dibacanya ulang kali, terus dihafal, dan kufikir mungkin kerana kisah hidup penyajak wanita ini amat hampir dengan dirinya.

Selalu juga dia menutur padaku petikan sajak-sajak daripada penyajak agung ini, sambil matanya sayu menatap langit.

“Harapan adalah kata yang punya sayap, letaknya di jiwa, dan menyanyikan melodi tanpa kata, sesaat pun tidak pernah berhenti…”

Bunyi letupan kecil mengejutkan khayalku. Jane maju ke hadapan, dan menyuruh aku tunggu. Beberapa detik kemudian dia kembali. Katanya, belum ada apa-apa yang berlaku.
Sebuah lori sedang parkir di selekoh jalan, dan beberapa pemuda berjalan tempang, memakai penutup mulut, sedang memunggah guni-guni dari dalam lori ke tengah-tengah dataran bertar, di sebelah bangunan yang kami kini berada.

Beratus tahun selepas perempuan jelita yang kuceritakan tadi itu dibunuh, dan gedung buku dibakar, tentera yang dikatakan bermata sepet, menyerang Baghdad dan membakar Baitul Hikmah.

Alirnya sungai Tigris tidak lagi kebiruan, tetapi penuh hitam berbulan lamanya, kerana linangan dakwat pena dari buku-buku ini. Regresi dan opresi tidak kenal ilmu dan buku. Apatah lagi meratah rakus sebuah negara. Ketamadunan runtuh atas dosa itu, biarpun selepasnya, pemerintah-pemerintah dari timur ini menebus dosa mereka dengan membina empayar baru. Tetapi kemusnahan sudah dalam kalendar takdir. Dan tidak perlu diulang bahawa, tanah yang sama juga dijarah dengan manusia bodoh-menurut apa yang dikata Chomsky.

Itu cerita yang kudengar daripada Jane, teman sebilikku pada tahun pertama, pelajar undang-undang berbangsa hispanik, yang berulangkali memperingatkan aku tentang dirinya yang radikal dan berprinsip. Berulangkali juga itulah aku yang pula ingatkan dirinya yang terikat dengan peraturan kampus, walau berkali juga tidak diendahnya.

Selalu juga aku berkata padanya, suaranya yang lantang itu amat tidak menyenangkan bagi rakan-rakan yang lain.

“Mereka berhak berkata begitu, dan pendapat mereka itu berhak dihormati. Tetapi sebelum aku tinggal dalam masyarakat ini, aku harus lebih dahulu tinggal bersama-sama diriku. Satu-satunya perkara yang tidak perlu patuh pada hukum majoriti adalah kesedaran individu,” jawab Jane, apabila sudah bosan dengan leteranku. Malas juga aku balas bahawa aku tahu dia petik kata-kata itu daripada Aticus Finch.

Dan pada hari ini, waktu ini, tentunya dunia seakan berada dalam sejarah yang berulang ulang lakunya. Abad ke-21, manusia masih tetap bodoh dan jahil seperti yang dahulu. Masih gelap dalam ketakutan pada idea dan cerita yang selain daripada apa yang mereka percaya. Atau tidak percaya. Yalah… manusia bodoh pastinya tidak punya apa selain daripada kejahilan. Dan malam ini, pesta bakar buku sedang berlangsung. Dengan pasti, tanpa ragu.

Tiba-tiba suatu yang ajaib berlaku. Dari jauh kulihat, buku-buku yang sedang mula dibakar tadi mula terangkat ke atas. Ya, terangkat secara literal maksud aku. Dan aku pasti ini bukan sihir Copperfield moden. Orang ramai yang mula berkumpul, terdiam secara tiba-tiba. Api yang semakin marak tadi pula seakan mencair dan berdebu.

Jane yang sudah beri isyarat pada sekumpulan rakannya di seberang jalan sana untuk memulakan serangan, juga bagai dipaku pegun. Jika Sungai Tigirs hitam kerana dakwat, maka langit biru dengan cerah sinar bulan di Jalan Belle Vue pula seakan kelabu ditutupi ribuan buku yang perlahan-lahan terangkat dan membentuk awan di langit. Di tengah-tengah kesunyian itu, sayup-sayup aku terdengar seseorang melagukan solilokui, dengan iringan seruling:

Apabila regim mengarah buku /punya ilmu menggugat dibakar terbuka/dan kumpulan keldai-keldai dipaksa /mengheret pedati berisi buku ke unggunan api
/seorang penulis terbuang, terbaik antara yang terbaik/ membaca senarai bukubuku yang dibakar/ terkejut dan marah: melihat bukunya tiada. /dia lalu ke mejanya dengan penuh gusar/ dan menulis surat untuk si penguasa bodoh:
Bakarlah aku! Tulisnya dengan pena membara –/bukankah tulisanku sentiasa melaporkan yang benar? / dan kamu pula membuatkan aku seperti seorang penipu! / bakarlah aku!

Categories
SENI

CERPEN: Bangku tolol di kafe mini berhantu

Oleh: MONALITA MANSOR

test copy

Aku tidak fikir kalian akan sealiran dengan aku. Lebih-lebih lagi apabila aku ceritakan bangku itu berkata-kata denganku. Kalian tentu memikirkan aku ini semacam bangku itu juga, kayu dan tolol kerana sudah tidak cukup manusia di dunia ini hendak diajak berpencak kata. Namun, kalau bangku yang kalian kira kayu dan tolol itu lebih memahami, berlebih bagus lagi berbicara dengan sesuatu seperti itu.

Kisahnya begini, terjadi di sebuah kafe mini berhantu. Kafe itu tidak kelihatan berhantu sebenarnya melainkan ia tidak pernah dihuni lebih daripada 40 hari. Diceritakan dek bangku itu tuannya sudah diserang wabak yang sangat serius yang menyerang organ dalaman umat manusia yang gemar beralasan. Bagaimana bangku yang kayu dan tolol itu tahu?

Bangku itu letaknya di sudut yang paling hujung di dalam premis tersebut. Premis itu, selain menempatkan kafe mini, ia juga merupakan tempat berlonggoknya segala ilmu dan wasilah yang disimpan di dalam bentuk kertas berjilid. Premis itu pula dipunyai oleh orang yang berkuasa menentukan ia bersesuaian untuk dikongsikan dengan umum dan masyarakat sekitarnya.

Begitu berbelit-belit cerita si bangku yang kayu dan tolol ini kan? “Ceritanya harus begitu kerana jika aku mengungkapkan yang benar kejadiannya, ada kemungkinan nasibku berakhir di dalam kandang pertuduhan,” kata si bangku.

“Kau sudah mengumpat dan mengajak aku mengumpat!” tuduhku kepada si bangku. Aku, seperti mana wanita lainnya, sentiasa takut menjadi  berwajah anjing di akhirat nanti. Sentiasa berikrar untuk mencubit mulut sendiri tatkala ingin membuka pekung di dada orang lain. Namun, itulah keseronokan dan kebahagiaannya. Mengetawakan kedukaan orang lain.

“Ada beberapa perkara mengumpat yang dibolehkan contohnya, menyampaikan kebenaran,” ajar si bangku yang kayu dan tolol di hujung bar kafe mini berwarna putih.

“Apa benarnya yang ingin kau sampaikan, bangku?” Tanyaku dalam bahasa yang aku sendiri tidak fahami, pada bangku berkaki empat berwarna coklat yang divarnish dengan warna merah. Nampak anggun dan bersahaja, juga nampak elemen kebijaksanaan sesuai dengan kedudukannya untuk mengalas tubuh mereka yang dahagakan ilmu.

“Aku hairan dengan kafe mini yang berhantu ini,” bilang bangku setinggi pinggangku itu. Aku sedikit tersentak mendengar perkataan yang terakhir itu. Umat akhir zaman di tanah ini, walaupun lahirnya dengan azan, masih dibedung sedikit sebanyak dengan karut animisme mengenai hantu dan kerabatnya.

“Aku tidak merasakan kehadiran hantunya,” kataku, takut-takut berani. Bukanlah aku ini pencari hantu, bomoh handal mahupun pawang sakti. Hanya, kenyataanku berdasarkan mata kasarku yang melihat kafe mini itu tidak ‘sakit’.

“Ia memang berhantu!” tegas bangku kayu yang tolol yang menjadi saksi sedikitnya manusia yang keluar masuk ke dalam premis ini berbanding premis kafe siber yang mempunyai kuda maya berlari di dalam skrin empat segi. Di sana, meskipun aroma tembakau bersengkelit, ia lebih menyeronokkan kerana ruang mayanya terbuka luas. Selain mengejar kuda, anak-anak semuda tujuh tahun pun boleh mengejar apa sahaja tanpa perlu endah jeling atau pekik emak dan bapak. Abaikan tuan punya kafe yang hanya tahu mengembungkan poketnya tanpa hirau moral anak-anak yang tanggal.

“Apa buktinya?” Aku menekankan suara. Bagaimanapun, aku lepaskan seperlahan mungkin kerana ada sedikit kebimbangan mengenai tanggapan manusia. Maklum sahaja, kita ini hidup berasaskan pandangan makhluk, bukan pandangan Allah.

“Kau ada nampak tuan kafe ni?” tanya bangku tolol itu. Aku menggeleng-geleng.

“Aku nampak,” katanya bangga. Aku menelan liur.

“Kau ada nampak makanan dan minuman dijual di atas bar?” tanyanya lagi. Lagi sekali aku menggeleng.

“Aku nampak,” ujarnya, berlebih bangga.

“Mana ada!” tukasku. Yang ada di atas bar putih itu adalah buku-buku yang tidak dapat diletakkan kerana rak-rak buku sudah dipenuhi oleh buku-buku yang tidak dipinjam. Rak-rak baru sudah dipinta, namun masih belum tiba kerana alam sudah kehabisan sumber dan gajah serta banjir lumpur berleluasa yang merencatkan segala.

“Kau tak terbau aroma roti bakar yang harum?” Si tolol itu bertanya. Aku, tanpa diminta mengembang-kempiskan hidung. Bau itu cuma wujud di dalam mindaku sahaja apabila aku terpandangkan pembakar roti yang tersadai bersebelahan sinki kembar di belakang bar itu.

“Aku ni bodoh kerana percaya pada kau!” Akui diriku sendiri. Agaknya kalau si tolol itu boleh ketawa atau setidak-tidaknya menghentakkan kakinya, ia sudah menghentakkan kaki.

“Aku tak menipu. Aku bukannya macam manusia yang menipu untuk mendapat apa yang dia hajati.”

“Itu kan lumrah manusia!” Aku tegaskan kerana zahirnya manusia itu tercipta untuk akhirnya menjadi penghuni neraka ataupun syurga. Aku menggaru-garu rambut yang tersembunyi di balik tudung yang tiba-tiba terasa miang. Aku memutar pandangan pada persekitaran yang lengang. Sedih memanggang perasaan saat premis ini mencernakan pandangan benar bahawa umat bangsaku begitu takut dengan buku. Apatah lagi jika isinya menagih pemerahan otak ke tahap maksimum.

“Di mana boleh kutemui hantu kalau benar ada hantunya?” tanyaku kembali. Noktah. Aku sudah penat melayan perihal hantu dan bangku.

“Sudah namanya hantu, mana boleh dilihat,” tempelak si bangku. “Tapi kelibatnya boleh kelihatan di ibu pejabat premis ini. Ia datang menganggu melalui kabel di sana. Dan akan terus menganggu melalui tangkal berwarna putih di dinding itu. Selagi kabel di sana tidak telus, azimat itu akan terus berkuasa.” Aku memerhati azimat yang dimaksudkan di dinding belakang kafe mini tersebut dan hanya mampu mengukir senyum pahit. Begitu ceritanya.

Categories
SENI

‘Merasai Bebas’: Tahanan ISA rakam pengalaman melalui puisi

Oleh: RAJA YUSOFF ARIFFIN, MELATI RAHIM

Tidak ramai bekas tahanan politik menulis sajak.

Mengikut Presiden Seniman Paksi Rakyat (PAKSI), Dinsman, hanya tiga orang iaitu wartawan veteran, Said Zahari; Presiden PSM, Dr Nasir Hashim dan Chan Yong Sin.

Dinsman tidak menemui kemarahan Chan walau berkali-kali membacanya dan menganggap Chan luar biasa kerana tidak melampias kemarahan biarpun 11 tahun dipenjara.

Tiada sajak yang menceritakan keburukan penjara, sebaliknya dianggap sebagai pengasuh diri dalam mengharungi kehidupan dengan tabah dan gagah.

Sambil bingung sebab Chan ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) biarpun bukan ahli politik atau penjenayah, Dinsman juga hairan kenapa baharu kini antologi itu diterbitkan.

Demikian kata Dinsman pada pelancaran antologi Bebas memuatkan 59 sajak di Rumah Gerakbudaya, Petaling Jaya yang disempurnakan Datuk A Samad Said pada 29 November lalu.

babab1947427_733619166729979_4760164671433099457_nSasterawan Negara (SN) itu yang mesra dengan panggilan Pak Samad, dalam prakata antologi berkenaan, berkata:

“Tidak semua tahanan politik sempat bercakap tentang pengalaman penjaranya. Tapi, biasanya penyair jarang begitu. Lambat laun, dalam lara dan senyap, dia bercakap juga.”

Beliau menganggap Chan benar-benar bebas apabila banyak bercakap pada majlis pelancaran itu kerana Chan sebenarnya seorang yang tidak banyak bercakap.

Chan lahir pada 1945 dan dibesarkan di Kluang, Johor. Setelah lulus Sekolah Menengah Chong Hwa Kluang, melanjutkan pelajaran di Universiti Nanyang Singapura pada 1964 tetapi disingkirsetahun kemudian kerana terlibat dalam gerakan mahasiswa.

Empat tahun kemudian, Chan ditahan ISA. Ketika itu, Chan Setiausaha Kerja Kesatuan Pekerja-Pekerja Nenas Tanah Melayu.

Dibebas pada 1978, Chan terlibat dalam menterjemah karya SN Usman Awang ke bahasa Tionghua termasuk Muzikal Uda dan Dara dan antologi puisi Salam Benua.

Chan turut menterjemah beberapa karya sastera Mahua ke bahasa Melayu seperti Evolusi Aliran Pemikiran Kesusasteraan Mahua, koleksi rencana Fang Xiu, Gelombang Rejang dan kumpulan puisi Wu An.

Chan menjadi ahli jawatankuasa Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (Perspektif) sejak ditubuh pada 1988.

Chan mengakui ragu-ragu kerana berasa karyanya tidak mantap. Namun, gembira dan bersemangat selepas mengaju rangka antologi itu kepada kepada Pak Samad.

Pak Samad tertarik dan mengatakan tema itu jarang disentuh, malah kerap bertanya bila karya itu akan terbit. Itu menjadi pendorong kuat.

chan_MG_3380“Saya menulis puisi untuk mencatat kehidupan, penderitaan, persahabatan dan perjuangan di penjara.

“Sudah sampai masanya puisi saya perlu dibebaskan untuk dikenali umum – ini juga bayangan erti kebebasan sebenarnya,” kata Chan.

Beliau penggunaan bahasa mudah difahami dan ringan sekaligus memudahkan pemahaman pembaca untuk turut sama ‘merasai’.

Di sebuah bilik sempit di depot polis
Hawa panas
Aku meneliti setiap slogan,
Tertulis pada tembok kotor:
“Terus berjuang, jangan menyerah”
“Membulat tekad mencapai kemenangan”
“Anak jantan tahan diuji”
“Sayang yang rindu janganlah risau…”

Turut menyentuh hati ialah sajak Penanda Buku. Malah Chan ketika berucap turut menunjukkan penanda buku berusia 44 tahun, pemberian seorang sahabatnya.

Penanda buku ini
Diikat dengan benang merah
Untuk mempereratkan persahabatan
Penanda buku ini
Dibentuk dengan duri-duri

Pada gimik pelancaran, Pak Samad membuka mangga pada rantai yang membelit objek seakan-akan pintu sebelum kelihatan muka depan antologi itu – Bebas.

Categories
SENI

PUISI: Wajah tragedi

Oleh: MUHAMMAD ARIF BAZLI

Wajah-wajah tragedi
belum pernah kukenal
meracau dalam ingatan

Kulihat kegelisahan
para teknokrat
kuasawan
seniman
dalam mimpi mereka
yang terlalu resah
bersama secangkir kopi
di hadapan televisyen
dan gumpalan kain kapan
dalam stor belakang

Air mata rakyat
mengaburi bunga galak
mengembang
dan tegak bercerucuk
di kawasan perkuburan
yang menjadi sejarah
hitam

 

Categories
SENI

Kritikan sastera lesu, puji sebelum diuji

Oleh: Naeem Raffi

BUDAYA perbincangan dan keterbukaan melontar pandangan kritis terhadap kerja sastera harus dihidupkan kembali demi kelangsungan lanskap kesusasteraan negara.

Ini kerana, kerja sastera wajar diuji sebelum dipuji.

Untuk itu, peranan pengkritik ditagih untuk mengimbangi cara pandang penulis sekaligus mengembangkan pemahaman mengenai sastera dan latarnya.

Itu pandangan yang dilontar penerbit Obscura, Hafiz Hamzah selaku panelis acara bedah buku ‘Dialog Dengan Sasterawan’ karya Kassim Ahmad anjuran Buku Jalanan Shah Alam di Taman Tasik Shah Alam, baru-baru ini.

“Hari ini terlampau ramai orang yang mengelar dirinya penulis, novalis dan penyair tanpa memahami apa sebenarnya kerja sastera,” katanya.

Itu sebabnya beliau menerbitkan semula karya itu bagi menghidupkan semula budaya kritikan di kalangan penggiat atau peminat kesusasteraan negara.

Buku itu pertama kali terbit pada 1977 yang menghimpunkan koleksi 22 esei antara 1950-an hingga 1970-an.

Kassim Ahmad antara sosok penggiat sasteran yang sinonim sebagai pengkritik dalam menganalisis pelbagai karya sastera sejak 1960-an.

“Saya terbitkan kerana Kassim Ahmad menunjukkan usaha, tenaga dan fokusnya terhadap perkembangan kesusasteraan ketika itu.

“Semangat itu yang patut dibawa semula hari ini tetapi dengan rangka pandangan yang baru agar lanskap kesusasteraan kita tidak terus lesu,” katanya.

Buku itu wajar dilihat sebagai peluang bagi anak muda, dipandang sebagai tanggapan alternatif dalam mengupas sesebuah karya.

Penggiat seni, Aedi Asri pula berpandangan peredaran masa membuatkan budaya kritik dalam lanskap kesusasteraan berubah sifat kepada budaya puji-memuji semata-mata.

Ia sekaligus menjadi ‘mass culture’ yang terus diamalkan. Biarpun tidak salah, namun ia memberi kesan ke atas lanskap kesusasteraan.

“Lihat Facebook dan Twitter hari ini, mass culture berlaku sesama penulis ‘aku puji karya kau, kau puji karya aku’. Kadang kala, agak hairan mengapa sebuah karya biasa, dipuji melambung.

“Begitu juga reaksi pembaca yang memuji penulis tentang karyanya kemudian pujian itu disebar untuk promosi,” katanya.

Kritikan sesama penulis seperti antara Kassim Ahmad dan Shannon Ahmad satu ketika dahulu seakan-akar sukar dibudayakan hari ini.

“Mungkinkah kerana ‘scene’ itu kecil membuatkan pengamal sastera kerap bertemu dan masing-masing memilih untuk menjaga hati,” katanya.

Ketua Pengarang Roketkini, Wan Hamidi Hamid tidak menolak hakikat itu tetapi berpandangan ‘mass culture’ terbentuk secara semula jadi dan ia bukan masalah besar.

“Ia berlaku secara fitrah. Malah jika kita terlalu melawan, masalah akan timbul kerana secara automatik kita akan meletak diri sediri ditempat yang tinggi tanpa kita sedari.

“Sebaliknya, Kassim Ahmad menggunakan pendekatan ideologinya melawan (kritik) iaitu buku dilawan dengan buku.

Buku ‘Pelacur Kelas Pertama’ karya Melati Rahim, misalnya pasti akan dikritik Kassim menerusi buku ‘Pesimisme Sepanjang Jalan’,” katanya merujuk novel Ranjau Sepanjang Jalan.