Categories
SENI

Kalung Oh Kalung

Oleh: Melati Rahim

Pementasan Kalung Oh Kalung bermula dengan kisah seorang lelaki bernama Amin yang membanting tulang bekerja sebagai seorang penjual surat khabar.

Namun, saban hari pelanggannya berkurangan akibat arus pemodenan media yang menyaksikan jualan akhbar terpaksa bersaing dengan media elektronik

Kehidupannya dihantui hutang piutang manakala isterinya, Akila pula digambarkan sebagai seorang yang kuat merungut.

kalong oh kalongAkila, seorang suri rumah yang memberi tekanan kepada Amin tentang kehidupan mereka, mengungkit kisah silam ketika percintaan sebelum bernikah.

Amin pula – bagi melepaskan diri daripada bebanan hutang, mendesak Akila memberikannya kalung pusaka tetapi isterinya berkeras tidak mahu.

Apatah lagi, Akila percaya kepada kisah pantang larang yang kononnya keluarga pemilik kalung mereka akan ditimpa musibah jika menjualnya.

Malah, Akila cuba meyakinkan Amin tentang kepercayaannya dengan memberi contoh peristiwa musibah apabila kalung itu hilang tetapi Amin menganggap cerita itu sebagai tahyul.

Kemuncaknya, kalung itu benar-benar hilang. Akila menuduh Amin mencurinya, manakala Amin menuduh Akila mencari alasan untuk tidak menyerahkan kalung kepadanya.

Dalam perbalahan itu, Akila diserang sakit jantung – seolah-olah mengesahkan kehilangan kalung itu membawa petaka kepada pemiliknya.

Sebenarnya, Akila sudah lama mengidap sakit itu akibat tekanan kehidupan – langsung tiada kena mengena dengan pantang larang itu.

Malah, ramai tidak sedar, kehilangan itu terjadi selepas adik Akila – Kiki – yang menumpang rumah mereka, mahu menginap di tempat lain tetapi ia tidak pernah menjadi perdebatan suami isteri itu.

Teater Kalung Oh Kalung yang dibawa Rumah Anak Teater itu nyata mengangkat isu konflik rumah tangga, masalah tabu dan kehidupan yang dipengaruhi peredaran zaman

Berdasarkan pemerhatian, pelakon yang memegang watak Amin ada masalah lontaran suara. Setiap kali muzik dimainkan, suaranya seakan-akan tenggelam.

Ini menyukarkan penonton sukar untuk memahami bait kata-katanya ketika memberi tumpuan penuh kepada pementasan itu.

Ia berlawanan pula dengan pelakon utama wanita, Akila yang lontaran suara yang jelas, malah lakonannya hidup.

Pengakhiran teater itu juga di luar jangkaan – konflik bertemu konflik. Yang disangka penyelesaian masalah itu juga sebenarnya sebuah konflik – realiti kehidupan di Malaysia.

Categories
SENI

Teater julang wibawa Ahmad Ibrahim dalam Tragedi Natrah

Oleh Haziq Fikri

Perbicaraan mahkamah kes Natrah atau Maria Huberdina Hertogh pernah menggegarkan tanah air suatu ketika dahulu. Betapa tidak, ia berlanjutan dari kandang mahkamah ke rusuhan berdarah.

Kebanyakan dokumen sejarah banyak menyentuh perihal Natrah, ibu angkatnya, Che Aminah; suaminya, Mansur Adabi dan pimpinan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) termasuk Dr Burhanuddin Helmy.

Jadi, siapa Ahamd Ibrahim? Mengapa mahasiswa kuliah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mementaskan teater Tribute Mock Trial Of Ahmad Ibrahim?

Tan Sri Prof Ahmad Ibrahim sebenarnya antara individu terpenting sebalik lambakan nama besar dalam tragedi itu. Beliau peguam dalam kes perebutan Natrah.

Lahir pada 15 Mei 1916 di Singapura dari keluarga yang menitik berat soal Islam. Pernah menjadi Majistret Singapura pada 1946,

ATT_1414430713151_image

Hakim dan Majistret (1955), Pendakwaraya Singapura yang pertama (1959) dan Peguam Negara Singapura yang pertama (1966). Pada 1969, beliau terjun ke dunia akademik sebagai Profesor Pengajian Undang-undang di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaysia (UM).

Juga pernah menjadi Dekan Fakulti Undang-undang UM, Pemangku Naib Canselor UM (1974) dan Dekan Kuliah Undang-undang UIAM.

Ironi, peranan Ahmad Ibrahim selama ini kurang mendapat perhatian sekalipun beliau pemain utama kes itu.

Namun, pementasan teater itu menghidupkan kembali semangat perjuangan Ahmad Ibrahim melalui Mock Trial atau Perbicaraan Olok-olok.

Pementasan hampir tiga jam itu memaparkan perjalanan hidup dan perjuangan Ahmad Ibrahim melawan kuasa perundangan sivil.

ATT_1414430704088_image

Dan sekalipun susur galur perbicaraan itu rumit, pementasan teater itu memudahkan pemahaman penonton melalui elemen muzik, tarian dan penataan cahaya.

Mulanya, penonton dibawa ke kehidupan kanak-kanak hingga ke usia remaja yang penuh ceria. Sesuai dengan teater muzikal, watak menyanyi dan menari menggambarkan Ahmad Ibrahim ketika itu.

Watak itu kian berkembang apabila usia menginjak remaja, lebih-lebih lagi apabila tragedi Natrah mula diselit di pertengahan babak.

Penonton bertepuk apabila Putra Haziq Mohamed yang memegang watak Ahmad Ibrahim membaca fasal undang-undang yang memenangkan kes Natrah.

Suasana jadi sepi pada babak pilu konflik perebutan antara Che Aminah dan ibu bapa Natrah di Belanda. Ahmad Ibrahim kemudian menang kes dan Natrah dikembalikan ke pangkuan Che Aminah.

Keceriaan penonton kian terpapar pada babak tarian romantis Natrah lakonan Natasyha Aliyya bersama watak Mansor Adabi selepas mereka nikah gantung di Singapura.

Namun, Natrah yang ketika itu berusia 13 tahun dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya berikutan Singapura mengguna pakai Undang-Undang Belanda yang menghalang perkahwinan bawah 16 tahun.

Ia menimbulkan kemarahan masyarakat Islam di Singapura hingga tercetus rusuhan agama, malah kegelisahan dan kemarahan itu turut terpancar di wajah penonton.

ATT_1414430701821_image

Sepanjang teater itu, kekuatan skrip memberi kesan kepada penonton menyelami watak dan latar kisah, bahkan memahami situasi sebenar tragedi itu.

Monolog watak pula memberi kesan penonton untuk merasai kepedihan hati Ahmad Ibrahim saat mengenang semula tragedi itu.

Watak Ahmad Ibrahim juga dikembangkan melalui dialog tiga rakan sekerja yang berbual mengenainya. Beliau dianggap seorang yang fokus pada kerjayanya dan langsung tidak pernah mengambil cuti sakit alaupun sehari.

Pementasan itu diakhiri dengan Ahmad Ibrahim yang dianggap bapa perundangan negara, menghembuskan nafas terakhir pada 17 April 1999.

Sekalipun kes itu tidak dimenangi Ahmad Ibrahim, pementasan arahan M Aimanuddin Aiman membabitkan 146 pelakon itu benar-benar menonjolkan kesungguhan peguam itu dalam membela Natrah.

Categories
SENI

Santai Seni basah dengan keterujaan penyair

BIARPUN hujan renyai, Malam Santai Seni tidak menjejaskan semangat penyair untuk melontarkan suara hati,bagaikan melawan tempikan guruh di langit

Kemerduan suara Ismas Saring lewat sajak Jambatan Kota yang dikutip dari antologi puisinya, Kontal Kantil membuka acara deklamasi.

Biarpun, sesekali suaranya tenggalami dek deruan kenderaan lalu lalang bersebelahan pentas Dataran Seni Klang itu, khalayak masih cuba menangkap bait tuturnya.

Diselangi persembahan Kombo Majlis Perbandaran Klang (MPK), deklamasi A Ghafar Ibrahim atau AGI dengan gaya tersendiri mula membangkitkan ghairah penonton.

Kelantangan Buddhi Hekayat atau nama sebenar, Hasmi Hashim melalui sajak Paman Doblang karya penyair terkenal Indonesia, WS Rendra, benar-benar membuka mata khalayak.

Barangkali beliau amat teruja hingga tidak mampu menyembunyikannya lalu berkata: “?Saya gembira kerana dapat membaca puisi di Selangor. Saya rasa luar biasa.?

ErmaErma Fatima, pengarah filem terkenal pula membawa sajak karya sendiri untuk dideklamasi ketika hujan semakin berat titisannya.

Sekalipun sajak itu kedengaran meleret dan nada deklamasi hanya melankolik tetapi penampilannya paling mendapat perhatian ramai.

Paling dinanti, Amiruddin Shari, Exco Selangor yang memegang portfolio Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan mula melangkah ke pentas basah.

Selepas membuat beberapa pengumuman penting mengenai program seni, Amiruddin mendeklamasi sajak karya Gus Mus, tokoh Nahdatul Ulama berjudul Kau Ini Bagaimana Atau Aku Harus Bagaimana.

AmirProgram sulung itu bagaimanapun jauh dari sempurna – pentas dan khalayak penonton yang seakan-akan sengaja dijarak-jarakkan.

Penyair dan khalayah juga bagai dipisah-pisahkan oleh hemah berasingan tetapi acara ini sangat menjanjikan.

Barangkali, selepas beberapa kali penganjuran, Malam Santai Seni anjuran Kerajaan Selangor, bakal menjadi unggul dan ditunggui semua.

Categories
SENI

Jual beli buku di Pasar Tani

Oleh LIZAWATI MADFA

Usah terkejut jika orang ramai mengunjungi Pasar Tani bukan untuk membeli sayura-sayuran, ikan atau daging ayam, sebalik mahu mendapatkan buku terbaharu.

Ini kerana Mobile Book Cafe (MBC) atau kafe buku bergerak mungkin ada di mana-mana termasuk Pasar Tani yang lazimnya menempatkan gerai jualan barangan keperluan harian.

mbcc16745_357175701104063_654744630888668511_nIstimewanya, buku yang ditawarkan pada harga istimewa setiap hari, Mobile Book Cafe turut menghidang kopi organik secara percuma serta buah tangan lain.

Bukan hanya pasar tani, MBC juga menjual buku di majlis perkahwinan, majlis rumah terbuka, stesen minyak mahupun perkarangan tempat letak kereta.

“Kami tiada tempat khusus. Di mana ada jemputan, kami pergi. Inilah kelebihan kami, ke mana-mana sahaja. Paling jauh setakat ini ke Melaka,” kata pengasasnya, Muhammad Azam Nor Anwar.

mbc10483985_361824610639172_2851977690885125190_nMBC sebenarnya sebuah van persendirian yang diubah suai menjadi sebuah kenderaan jualan buku dan majalah serta menyerupai sebuah kafe santai.

Sejak diusahakan kira-kira setahun lalu, mendapat sambutan semakin lama semakin menggalakkan. Namun, saat memulakan operasi MBC, bukan semudah yang disangka.

“Cabaran awal ialah menyiapkan kenderaan sesuai bagi menjalankan perniagaan kedai buku bergerak.

“Saya memilih kenderaan jenis Isuzu Dimax, kemudian diubah suai seperti keadaan sekarang dengan kos puluhan ribu.

“Puspakom mengambil masa lama bagi meluluskan kenderaan itu dan ia mengambil masa sekitar lima bulan untuk ke jalan raya. Leganya, hanya Allah sahaja yang tahu,” katanya.

mbccc10378248_355353647952935_2436133658327328541_n

Mengikut pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kenderaan seumpama MBC adalah yang pertama seumpamanya didaftar di Malaysia persis kedai buku sebenar.

Pun begitu, di sebalik kegembiraan mempelopori kafe bergerak sedemikian, Azam sempat membisikkan kerisauannya akan sikap kurang membaca di kalangan rakyat khusunya orang Melayu.

“Boleh dikatakan sambutan luar biasa diterima di kalangan rakan Cina. Malah mereka tidak kekok membeli bahan bacaan berunsur Islam.

“Antaranya, panduan kesihatan berasaskan sunnah ataupun buku sastera berbahasa Melayu. Kita dapat lihat kesungguhan mereka dalam membudayakan pembacaan.

“Ini adak berbeza dengan sikap kebanyakan dari orang Melayu yang lebih gemar mencari novel berunsur pop,” katanya yang menjual pelbagai jenis buku termasuk motivasi, pengetahuan am, Islam, ensiklopedia, novel dan buku kanak-kanak.

mbc10609667_358387504316216_3471790625234060056_n

Bagi Azam, bukan salah membaca karya sedemikian tetapi perlu diselang seli dengan bahan bacaan ilmiah supaya minda lebih kritis.

Tidak hairanlah, beliau ada kalanya – demi memupuk minat membaca, memberi buku secara percuma kepada pelanggan.

“Ada kalanya orang datang kepada saya dan beritahu bahawa mereka tidak minat membaca.

“Tetapi saya akan tanya apa mereka minat, jika minat pada kereta, ada buku berkaitan kereta, jika minat fesyen, ada buku itu juga.

“Jika mereka tiada duit, saya beri sahaja, asalkan mereka membaca. Itu permulaan baik,” katanya.

Azam mengakui sesetengah pihak hairan dengan tindakannya itu yang tentunya menjejaskan keuntungan, apatah lagi jualan buku jauh lebih rendah margin keuntungannya.

“Jika kita berniaga mestilah ada keuntungan. Cuma kita yang tentukan sama ada nak untung banyak atau sikit. Selebihnya sedekah,” katanya.

Beliau yang baru-baru ini menyertai Pesta Buku Selangor juga banyak memasarkan buku penerbit bebas yang sukar mendapatkan tempat di kedai buku ternama.

“Kami beri peluang kepada terbitan tempatan berbanding luar negara kerana percaya karya tempatan juga ada produk penerbitan bermutu,” katanya.

Bagi memantapkan lagi interaksi dengan kaki buku, Azam mewujudkan laman Facebook dan Instagram dengan nama Mobile Book Cafe.

Categories
SENI

Kreativiti ‘graffito’ mercu seni Darul Ehsan

Oleh Mohd Ezli Mashut
Gambar Shuaib Ayob

GRAFITI berasal dari perkataan ‘graffito’ dalam bahasa Itali membawa maksud ‘lakaran’. Ia berbeza dengan mural kerana ia menggunakan cat sembur berbanding mural yang dilukis dengan berus dan cat.

Namun, ia dianggap satu daripada cabang seni lukisan kreatif yang mempunyai nilai estetika tinggi dan sering dipelopori golongan muda.

Ironinya, grafiti dan mural masih dipandang serong di mata sebahagian masyarakat sebagai perbuatan tidak berfaedah dan membuang masa serta tenaga.

aIMG_0121Sebenarnya, seni itu wujud sejak awal sejarah ketamadunan manusia bagi menzahirkan emosi berkisar aktiviti, kehidupan seharian seperti perburuan dan pengembaraan.

Antara seni menyerupai grafiti dan mural terawal ditemui di Malaysia ialah lakaran objek  di Gua Niah, Sarawak dan Gua Tambun, Perak yang membuktikan tamadun awal manusia.

Pada zaman moden, seni grafiti dan mural itu boleh dilihat di bangunan terutama bangunan kerajaan seperti pejabat kerajaan, sekolah dan tadika.

Seni itu berevolusi sejajar kemajuan zaman dengan penerapan konsep tiga dimensi yang tampil dengan suasana ‘hidup’ bagaikan realiti tetapi ilusi.

IMG_0387

Di Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tampil dengan cara tersendiri untuk memartabat seni grafiti dan mural dengan menukar imej lorong belakang sebagai Laman Seni.

Ia kelak menjadi lokasi tumpuan penggiat seni mengadakan persembahan santai dan program kesenian, selain memberi ruang kepada pelajar memperaga hasil kerja seni, sekaligus menjadi mercu tanda baru negeri ini.

Mengikut perancangan, laman seni itu akan dibuka untuk aktiviti muzik jalanan (basking) sekali gus menghidupkan suasana malap di kawasan itu.

IMG_0478

Ia dijangka membawa suasana Eropah yang kerap menjadikan lorong belakang premis dan rumah sebagai kawasan santai untuk bertemu sesama jiran pada waktu senggang sambil menikmati keenakan kopi.

Mengikut Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, Laman Seni itu akan ditambah beberapa kemudahan seperti bumbung dan petak berniaga bagi memastikan kawasan itu dapat digunakan tanpa mengira keadaan dan cuaca.

MBSA juga mahu melaksanakan projek sama di Seksyen 7 Shah Alam bagi menceriakan kawasan berkenaan kerana ramai pelajar institusi pengajian tinggi mendiami sekitar kawasan itu.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) lain wajar mencontohi langkah MBSA yang memberi ruang kepada generasi muda menunjukkan kreativiti sekaligus memperindah kawasan.

Mungkin dalam usaha memperindah Sungai Klang sebagai tarikan baru pelancongan, usaha perlu dimulakan dengan menggalakkan aktiviti grafiti dan mural di tebing sungai.

Ia pasti menjadi nilai tambah produk pelancongan Sungai Klang apabila pelancong dapat menikmati keindahan Sungai Klang persis menyusuri sungai di bandar raya Eropah.

aIMG_0198Projek lukisan mural di bangunan lama sepanjang Sungai Melaka juga boleh dijadikan contoh bagaimana ia menjadi tarikan baru di kawasan berkenaan.

Hampir semua bangunan dihiasi lukisan mural yang menggambarkan sejarah awal Melaka, kegemilangan Kesultanan Melaka termasuk kepahlawanan Hang Tuah, Hang Jebat, Puteri Hang Li Po dan Laksamana Cheng Ho.

Selain itu, banyak lukisan mural pada deretan bangunan lama yang dilukis di bangunan sejarah di Melaka seperti Kota A’Famosa dan Stadhuys.

Di ibu negara, antara dekorasi yang menarik menghiasi Kuala Lumpur suatu ketika dahulu ialah lukisan mural yang menghiasi tembok Penjara Pudu.

Penumpang bas menuju Puduraya pasti melewati karya seni bertema pemandangan hutan tropika dan jika bernasib baik, kelihatan banduan ‘bekerja’ menyiapkan lukisan itu.

IMG_0125

Idea lukisan itu datangnya dari dramatis terkenal tanah air, Abu Bakar Juah yang bertugas sebagai pegawai penjara mulai 1975 hingga 1986, apabila mengusulkan supaya Rock Garden dibina sepanjang tembok luar penjara berkenaan.

Bagi mencantikkan lagi tembok yang kosong, idea melukis kemudian dilontarkan rakan setugas Abu Bakar, Mohd Rashidi Samsuddin.

Mulai 1983, seorang banduan, Khong Yen Chong ditugaskan melukis mural dengan dibantu beberapa banduan lain. Menariknya, tempoh pembebasan Khong Yen Chong tiba sebelum sempat lukisan disiapkan.

Namun, atas rasa tanggungjawab, beliau kembali ke penjara untuk menghabiskan lukisan mural berkenaan tetapi bukan sebagai seorang banduan tetapi sebagai seorang rakyat yang insaf dan bebas.

Pada 1984, lukisan tembok penjara itu dicatat dalam Guiness Book of World Records sebagai lukisan mural terpanjang di dunia, dengan ukuran 860 kaki panjang dan ketinggian 14 kaki.

Khong Yen Chong dan rakan-rakannya menyiapkan lukisan itu dalam tempoh 17 bulan menggunakan kira-kira 2,000 liter cat.

Jangan pula jadi seperti Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang memadam grafiti karya artis muda kelahiran Lithuania , Ernest Zacharevic semata-mata memaparkan peragut menunggu ‘wanita lego’ bersama beg tangan Chanel bagi menggambarkan situasi jenayah di negara ini.

Dalam grafiti itu, Zacharevic berusia 27 tahun, melukis sejambak bunga di hujung pisau peragut manakala peminatnya melukiskan watak polis lego bersebelahan peragut.

IMG_0148

Aktiviti grafiti dan mural perlu digalakkan bagi mengubah tanggapan serong, sebaliknya menjadi medan menyerlahkan bakat kreativiti dengan lukisan yang bermotif positif selain memperindah sesuatu kawasan.

Justeru, pihak berkuasa tempatan di negara ini perlu berfikiran terbuka supaya graviti dan mural terus semarak di samping dapat memperindah kawasan yang suram dan lesu.

* Mohd Ezli Mashut ialah Penolong Editor Selangor Kini

 

Categories
SENI

Lembing Sembuana: Mitos atau simbolik?

Oleh Nazli Ibrahim
LEMBING Sembuana ialah salah satu alat kebesaran Diraja Selangor yang
digunakan semasa Istiadat Pertabalan, Kemahkotaan dan Majlis Angkat
Sumpah pembesar Negeri Selangor.

Tidak dicatat tarikh sebenar lembing turun temurun itu tetapi Tengku
Seri Wangsa Diraja, Tengku Datuk Setia Ramli Tengku Shahruddin Shah,
percaya ia wujud sejak dari zaman Melayu Lama.

Sultan Selangor keenam, Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah ibni al-Marhum Raja Muda Musa adalah individu pertama yang menjalankan kajian terhadap sejarah lembing itu.

Sultan Alaeddin memerintah Selangor antara 1898 hingga 1938 dan
mempunyai kecenderungan terhadap barangan artifak dan kesenian lama.

lemMengikut kajian, mata lembing itu diperbuat daripada besi Khursani yang dikumpulkan dari sembilan daerah di Selangor.

Namanya diperoleh dari dua perkataan iaitu ‘Sembilan Buana’ yang
diringkas kepada Sembuana. Perkataan sembilan merujuk kepada sembilan daerah, yakni lokasi besi Khursani dikumpul untuk dijadikan mata lembing.

Mengikut Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),  perkataan buana berasal dari perkataan Melayu Klasik membawa maksud alam, dunia atau jagat. Dari situlah nama Sembuana diperoleh.

Disebabkan mata lembing itu diperbuat daripada besi Khursani, ia dipercayai memiliki semangat yang kuat dan tuah tersendiri.

Pada masa dahulu, individu yang mengangkat sumpah depan sultan dengan memegang Lembing Sembuana dikehendaki berkelana meninggalkan Selangor selama tujuh hari, tujuh malam.

Dan, hanya boleh kembali ke Selangor pada hari kelapan untuk mengadap sultan, seterusnya memulakan tugas yang dipertanggungjawab.

Lembing itu juga dipercayai pernah dijadikan sebagai senjata untuk
menjatuhkan hukuman bunuh kepada individu yang melakukan kesalahan berat.

Pada masa ini, lembing pusaka itu dianggap sebagai simbolik
kebertanggungjawaban yang diamanahkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor kepada individu yang dilantik.

Dalam istiadat mengangkat sumpah, mereka yang dilantik akan memegang Lembing Sembuana di tangan kanan sambil melafaz ikrar taat setia kepada Raja dan Kerajaan Selangor.

Antara istiadat yang menggunakan lembing itu ialah Permahsyuran Sultan baru di hadapan Jenazah, pelantikan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor dan DYTM Raja Puan Muda Selangor serta pelantikan Orang Besar Istana, Orang Besar Daerah dan Negeri serta Datuk Diraja Selangor.

lembingmb - CopyIni dapat dilihat ketika Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan
Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-14 Negeri Selangor pada 14 Mei 2013.

Abdul Khalid ketika itu dilantik buat penggal kedua selepas kali pertama
dilantik ke jawatan berkenaan pada 2008.

Meskipun penggunaan lembing berkenaan tidak lagi dipraktik dalam majlis Istiadat Angkat Sumpah Menteri Besar penggal sebelumnya, baginda berkenan agar penggunaan Lembing Sembuana dikembalikan dalam istiadat.

Ia sekaligus dianggap kepercayaan baginda terhadap Abdul Khalid
dalammelaksanakan tanggungjawab dengan penuh integiriti dan beramanah sepanjang menerajui kerajaan.

Selangor pula sebuah negeri yang pesat membangun baik dari segi
pembangunan fizikal, ekonomi mahupun rohani. Ini dapat dilihat dengan keampuhan ekonomi Selangor sehingga dianggap peneraju ekonomi negara.

Ia membolehkan rakyat negeri ini menikmati bersama hasil negeri melalui segala dasar yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Namun, kejayaan tidak diraih sekelip mata melainkan melalui usaha gigih Rajanya, pembesar istana, pembesar negeri dan rakyat jelata sejak
penubuhan Selangor pada 1766 lagi.

Kejayaan hanya mampu dicapai melalui sikap bertanggungjawab dan amanah pembesarnya, seperti detik melafaz ikrar taat setia kepada Raja dan Negeri di hadapan baginda Sultan sambil memegang Lembing Sembuana.

Secara tidak langsung, Lembing Sembuana dianggap ramai sebagai antara simbolik kepada gemilang yang ditempa Kerajaan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah.

* Rencana ini sempena Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor ke-68 pada 11 Disember lalu.

– FZL

Categories
SENI

Sembah Derhaka lincah berpencak, tidak pula ‘mengamuk’

Oleh Fazallah Pit

JIKA kalian menganggap antologi sajak Sembah Derhaka mampu mencetus atau sekurang-kurangnya memercik semangat revolusi, kalian silap. Sangat silap.

Sajak-sajak dalam antologi ini tidak mungkin mampu menjatuhkan mana-mana pemerintah sekalipun tajuknya kedengaran garang, sangat rebel bunyinya.

Tapi, jika kalian mengharapkan antologi ini, mencubit sedikit kesedaran
politik – menegur penguasa alpa haus kuasa atau menyentuh nurani
manusiawi, ia sekurang-kurangnya mampu menjentik pencerahan – jika hati belum likat digelap, dibebal pembodohan.

Itu saya pasti, walau tidak terlalu yakin.

Dan, jika kalian mengharapkan bait-bait melankolik teruna dara, lupakan antologi ini.

mudinKerana penulisnya – Najmuddin Yusoff – mungkin seorang yang tidak
romantis tetapi punya ‘cinta dalam sedar’ terhadap gelora tanah air
mahupun antarabangsa.

Penulisnya – walaupun dipercayai peminat Widji Thukul yang hilang lewat  keampuhan sajak-sajak ‘melanggar’ rejim Suharto – berdasarkan paparan tweetnya – kelihatan terlalu sopan dan sedikit ‘malas’ dalam menyanggah kezaliman lewat karyanya.

Bacalah Sajak Buat Tuan Yang Menggegar Bintang, Aku Hanya Ada Sepasang Kasut, Keramat dan Keparat Sebuah Plak antara sajak yang menyentuh sosiopolitik tanah air.

Mesejnya boleh tahan keras, tajam tapi adunan bagai kurang ramuan ataupun mungkin rencah perisanya  tidak mengena.

Maka, jadilah antologi ini sekadar bersembah derhaka, berbunga-bunga berpencak bersilat tapi tidak pula berani mengamuk.

Namun, ketenangan dirasai saat mentelaah sajak berunsur ketuhanan
seperti Musafir Dalam Cahaya, Hujan Kalam Tuhan, Sisa Ramadhan. Terasa redupnya, hilang derhakanya.

Sajak Gaza dan Aku dan Ayuh, kemanusiaan! pula menyerlahkan kebengkengan penulis itu terhadap ketidakadilan yang berserakan terhadap dunia Islam. Namun, jika ia dipuitiskan lagi, barangkali amarah yang meluap-luap itu bisa ‘menderhaka’.

Namun, jangan sangka Najmuddin tidak pintar, tidak lincah bermain bait kata.  Kebolehannya mengadun kata tetap mampu mencipta rasa. Lihat saja bait- bait sajak berjudul Apa Guna?

Berkuku panjang, tidak membenam
bertaring tajam, tidak mencengkam
berbelang garang, tidak membaham

(halaman 11)

Itu belum lagi sajak Darah Merah Wain Merah (Itu Benar). Ia menangkap
mata untuk menghabiskannya, bahkan mengulanginya. Secara peribadi,
sajak ini agak memukau berbanding karya lain. Antara petikannya:

Bersandar di sofa empuk audi merah
sesekali meneguk wain merah
Thaksin, sebelah tangannya
menggenggam koran, merah mata
entahkan mabuk, entahkan menangis

(halaman 27)

Sayangnya, kebanyakan sajak lain kurang impak emosi, apatah lagi
sebahagiannya meleret-leret atau sekadar mencukupkan aksara hingga menjejaskan estetika puisi yang seharusnya ‘menangkap’ rasa.

Namun, karya Najmuddin bukan pula tulisan picisan atau sembrono bahkan terserlah keseriusan dalam menyingkap kritik. Cumanya, sebahagian sajak ‘tidak sampai’ ke lubuk jiwa.

Jadi benarlah kata SM Zakir dalam pengantar antologi berkenaan betapa penulis kurang mengambil berat nilai puitis dalam sajaknya tetapi mahu menyerlah suara.

Pun begitu, kesungguhan menghasilkan sajak secara prolifik tidak harus dipandang enteng, lebih-lebih lagi keupayaan menerbit antologi solo (yang sulung?)

SdApapun, lupakan kulit buku yang warnanya pudar, seakan-akan kusam dan tidak mengujakan mata memandang.

Atau halamannya yang bercita rasa klasik seakan-akan bingkisan surat –
antologi ini punya beberapa karya yang cukup untuk kita memejamkan mata lalu menghadam bait-bait kata.

Ada baiknya memiliki antologi terbitan e-sastera yang boleh dipesan melalui [email protected] sebelum ia diharamkan. Kerana penguasa sekarang cepat gentar dengan bait-bait tulisan.

Dan sajak pula adalah lingkaran rasa dan fikir yang disatu padu, dituliskan dan mampu mengesankan. Tidak perlu garang untuk marah-marah, mungkin inilah gaya penulisan Najmuddin.

Apapun, tidak rugi untuk memiliki antologi ini walaupun – jujurnya – mustahil pula dibingkaikan.

 

* Fazallah Pit ialah penyusun antologi sajak Puisi Jadi Senjata dan
Demokrasi Terdera. Kini, Ketua Pengarang Selangor Kini/ TV Selangor. Sebelum ini, Editor Suara Keadilan (Nov 2011-Mei 2013)

Categories
SENI

Seni merakyat di Lendu saat kampung tradisi ‘dilecah’ pembangunan

Oleh Hazayani Zakaria

TIGA hari dua malam berkampung di Perkampungan Seni Antarabangsa Lendu (LIAC 2013) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, pastinya pelbagai pengalaman dan ilmu yang sempat saya kutip.

Selain dapat mendekati dan mengenali kelompok seniman dan karyawan baru dan lama, saya lebih memahami perjuangan mereka memartabatan seni warisan Melayu.

Saya juga dapat merasai betapa seni sedang merakyat di Kampung Lendu yang saya kira cukup bertuah kerana berada hampir dengan UiTM Melaka.

lendusSatu kelebihan bagi Kampung Lendu kerana pensyarah-pensyarah dan penuntut Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) mempunyai kesungguhan untuk mengindahkan kampung tersebut dengan sentuhan seni mereka.

Namun, yang paling berbekas di hati adalah hasrat pengkaji seni budaya warisan Melayu, Prof  Dr  Siti Zainon Ismail untuk mengekalkan seni dan warisan kampung tradisi di Kuala Lumpur.

Siti Zainon merupakan anak jati Kampung Bandar Dalam, Gombak, satu daripada tujuh kampung yang hanya menunggu masa untuk dilupus dan dibangunkan dengan bangunan-bangunan moden.

Beliau sejak dahulu lagi aktif berkolaborasi dengan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) dan Majlis Permuafakatan Perkampungan Tradisi Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MUAFAKAT) menganjurkan acara seni budaya kampung.

Antara acara seni budaya yang pernah diadakan di Kampung Banda Dalam ialah pada 2010 sempena Dirgahayu 150 tahun Kampung Tradisi di Madrasah Tarbiyah Kampung Bandar Dalam.

bondaAcara tersebut berjaya menghasilkan antologi puisi oleh 56 penyair.

Pada acara itu juga, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said melancarkan buku ‘Kasih Bonda, Kapung Paya Kami’ karya Siti Zainon.

Selain Kampung Banda Dalam, Kampung Padang Balang, Kampung Chubadak, Kampung Puah, Kampung Sungai Merali, Kampung Sungai Mulia dan Kampung Puah Seberang, di Gombak juga akan dilupuskan untuk pembangunan.

Saya kira LIAC 2013 menyuburkan lagi semangat beliau yang sedia tertanam untuk mempertahankan kampung tradisi.

Dalam perbualan santai beliau dengan penganjur LIAC 2013, beliau berulang kali menceritakan kisah Kampung Banda Dalam yang akan tergadai di tangan kapitalis dan betapa dalam hasratnya untuk mempertahankan kampungnya sebagai kampung tradisi.

Malah dalam ucaptamanya pada malam perasmian LIAC 2013, beliau juga menyentuh hal itu dan berharap program sebegini dapat diadakan di Kampung Banda Dalam dan kampung tradisi lain di Kuala Lumpur.

“Kampung Banda Dalam dan kampung-kampung sekitar di Gombak merupakan kampung tradisi yang mesti dipertahankan.

lendus1“Kalau bukan anak-anak kampung sendiri yang mempertahankan warisan dan tradisi Melayu, siapa lagi?

“Saya mengimpikan Kampung Banda Dalam dan sekitar Gombak menjadi seperti Lendu, yang masih terpelihara seni dan warisan kampungnya,”katanya.

Malah beliau sudah mengabadikan segala kisah dan warisan Kampung Banda Dalam dalam buku bertajuk Rumah Waris Uwan-Membaca Peta Kuala Lumpur 2020.

Buku tersebut diterbitkan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) pada awal tahun ini.

Membaca buku tersebut, saya kagum dengan segala usaha beliau menyimpan segala warisan tinggalan nenek moyangnya.

Antara petikan buku tersebut:

“Kampung Paya kemudian berganti dengan Kampung Bonda Dalam. ‘Bonda’ dialek Minang yang bererti tali air. Tatkala berlakunya banjir besar, ‘bonda’ atau tali air Sungai Gombak menjadi dalam, kemudian dengan sebutan baku, ‘bonda’ menjadi ‘bandar’ dan ‘bandar’ yang dalam itulah Kampung Banda Dalam,”

“Mengapa harus mengalah dan keluar dari penempatan dengan wang agihan, hingga kapung dibedah, diredah, lori traktor masuk bebas ke muka kampung, jalan penuh debu, lecah,”

lenduSambil memerhati peserta LIAC 2013 bergotong-royong seni di Kampung Lendu, beliau berkata:

“Alangkah bagusnya kalau arca-arca ini ada di Kampung Banda Dalam. Alangkah bagusnya kalau semua anak kampung bersatu hati pulang mengindahkan kampung.

“1 Februari, Hari Wilayah, Kita buat pameran kampung tradisi. Yani kena tolong bonda dokumentasikan bahan-bahan. Cari kawan-kawan lain juga. Kalau bukan kita, siapa lagi nak pertahankan warisan Melayu?” ujarnya.

Saya mengangguk. Mungkin kerana patuh, tetapi jauh di sudut hati, saya tidak mahu kampung tradisi hilang dalam peta Kuala Lumpur.

* Hazayani ialah wartawan yang aktif dalam aktiviti seni khususnya penulisan kreatif. Karyanya pernah tersiar dalam antologi cerpen berjudul Fobia terbitan Roman Buku. Sajaknya pula termuat dalam antologi Puisi Jadi Senjata. 

Categories
SENI

Merapat Renggang kembalikan ‘daerah yang tertinggal’ ke pusar masyarakat

Oleh Hafiz Hamzah

DENGAN matlamat mengisi kelompongan penerbitan berbahasa Melayu dengan nuansa serius, sebuah jurnal seni budaya dengan judul Obscura: Merapat Renggang berusaha meletakkan hal seni dan budaya kembali ke tengah-tengah masyarakat.

Ia sekaligus bertujuan menyuntik perbincangan dan penulisan yang lebih terbuka dan segar.

Tidak hanya mencakupi pelbagai aspek penulisan seperti esei, cerpen, sajak serta terjemahan serpihan karya sastera agung dari bahasa asing seperti Yunani dan Jerman, jurnal itu juga menampilkan artikel perbincangan.

GM-Pelancaran ObscuraIa meliputi perbincangan mengenai filem, seni lukis, teater dan buku yang menjadi teras kepada penerbitan ini.

Jurnal itu membawa matlamat yang cukup jelas iaitu  menerbitkan bahan-bahan yang mampu merancakkan perbincangan terhadap seni budaya, satu ‘daerah’ yang sering kelihatan tertinggal ketika kita membincangkan dengan rancak soal kehidupan sosial dalam bernegara terutama di Malaysia.

Antara karya asing yang diterjemah dan termuat dalam terbitan sulung jurnal ini ialah dari Homer, Franz Kafka, Ernest Hemingway dan Mark Twain.

Penerbitan itu turut menampilkan tulisan asli penulis serantau dan Malaysia seperti Goenawan Mohamad, WS Rendra, Iqbal, Nabila Najwa, Shaira Amira, Wahyudi Yunus dan ramai lagi.

Antara penterjemah yang karyanya turut termuat dalam edisi sulung ialah Za’ba, Khalid Jaafar, Eddin Khoo, Pauline Fan dan Amaluddin Zhafir.

Obscura - Journal - No.1 - Cover_Page_1Dalam kemeriahan penerbitan persendirian yang diterajui ramai orang muda – yang rancak menerbitkan pelbagai produk masing-masing kebelakangan ini, kepekaan penggunaan bahasa Melayu dengan sewajarnya masih ketinggalan.

Kami tidak berhasrat untuk mengikut jalan ini, sebaliknya berusaha meletakkan kembali bahasa itu di tempatnya – yang tentunya tidak tertakluk kepada cara berbahasa gaya institusi yang melihat bahasa sebagai perkara yang seragam (uniform).

Obscura – ditubuh pada 2011, sebuah penerbitan mandiri yang menerbitkan buku seputar hal sastera dan seni budaya, ingin meraikan keunikan penggayaan bahasa Melayu yang beragam, lebih kuat dan berakar.

Dalam banyak keadaan, kata ‘sastera’, ‘seni’ dan ‘budaya’ sering terkesan memencilkan dirinya ke satu sudut yang kononnya hanya boleh dihadap dan difahami oleh segelintir orang sahaja.

Misalnya, konotasi yang menyebutkan ini; ‘orang sastera’ atau ‘orang seni’.
Untuk kami, itu bukan kesnya. Obscura bermaksud untuk memecahkan tanggapan itu. Sastera dan seni tidak hanya untuk segelintir tertentu, yang terpilih kononnya.

Obscura - Journal - No.1 - Cover_Page_2Ia sepatutnya boleh dicapai dan dinikmati oleh sesiapa pun yang berminat dan tidak terbatas kepada golongan tumpuan yang kecil semata; asal saja ia tidak membosankan.

Pada masa ini, Jurnal Obscura: Merapat Renggang berharga RM25 sudah mula beredar di acara kesenian, distro buku independen dan toko buku utama seluruh negara dan boleh ditempah melalui emel, [email protected].

Antara buku teribatan Obscura terdahulu ialah Sekuntum Pantun & 99 Kelopak Cinta (koleksi pantun) dan Bayang: 20 Fotograf Jepun (koleks fotografi).

– FZL

 

 

Categories
SENI

Antara melastik burung dan puisi rakyat SN Usman Awang

Oleh Hazayani Zakaria (Harakah Daily)

Saya tidak berpeluang bertemu atau mengenali susuk tubuh beliau secara dekat walaupun namanya sering disebut-sebut orang.

Namun sejak di sekolah rendah lagi, saya sudah mengetahui tentang beliau lewat biografi dan puisi-puisi beliau.

Selepas diberitahu bahawa Perbadanan Kota Buku akan mengadakan acara Jualan Buku @ But Kereta sempena memperingati karya Sasterawan Negara, Datuk Dr.Usman Awang, saya segera mengosongkan jadual pada tarikh tersebut.

Acara Jualan Buku @ But Kereta memang sudah menjadi acara bulanan Kota Buku namun acara semalam terasa lebih meriah apabila karya-karya Allahyarham Usman Awang atau nama penanya Tongkat Warrant ditampilkan.

Bertempat di Perkarangan Perpustakaan Negara semalam, berlangsunglah acara jualan buku-buku, deklamasi puisi dan bedah buku Usman Awang.

Lebih menyentuh perasaan apabila anak Allahyarham, Haslina Usman sendiri tampil bercerita perihal kesusahan zaman kanak-kanak dan remaja bapanya yang disifatkannya sebagai sumber inspirasi beliau.

Hazayani-Zakaria-RENCANA-SENIBeberapa kali bertemu dengan Haslina, melihat peribadinya yang lemah lembut dan selalu tersenyum, mengingatkan saya kepada pembacaan saya tentang Allahyarham.

Ya, Haslina mewarisi sifat bapanya, barangkali.

Menurut pembacaan saya, Allahyarham Usman Awang disenangi ramai kerana perwatakan dan peribadinya yang lemah lembut dan senang mesra serta simpatinya terhadap orang miskin.

Malah, Usman Awang disifatkan sebagai seniman yang berjiwa rakyat.

“Masa kanak-kanak Allahyarham bapa saya, dia hidup susah. Berjalan kaki ke sekolah beberapa kilometer jauhnya, memijak jalan tar yang panas hingga terpaksa berlari-lari anak,” katanya yang mesra dipanggil Kak Lina.

“Kadang-kadang, bila nak makan, bapa saya lastik burung untuk dibuat lauk.

“Jadi di usia tuanya, dia sangat rasa bersalah pada binatang dan simpatinya pada haiwan sangat tinggi.

“Sebab itu dia selalu letak pisang dan nasi di tepi tingkap, supaya bila burung hinggap, burung boleh makan pisang dan nasi itu,” sambungnya dan berhenti bercakap beberapa saat, menarik nafas panjang menahan sebak.

“Cukuplah kita bercakap tentang itu, tetapi saya nak ucapkan terima kasih kepada pihak yang terlibat menjayakan acara memperingati perjuangan Allahyarham bapa saya ini.

“Semoga kita semua mendapat manfaat daripada karya-karya beliau,” katanya mengakhiri ucapan.

Haslina juga sempat menunjukkan cara menyediakan makanan kegemaran Allahyarham bapanya iaitu nasi durian.

Allahyarham Usman Awang meninggal dunia tanggal 29 November 2001 pada bulan Ramadan akibat penyakit jantung, ketika umurnya 72 tahun.

Allahyarham dilahirkan pada 12 Julai 1929 di Kampung Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor dan mendapat pendidikan awal di Kuala Sedili (1936), Mersing (1937) dan Bandar Maharani Muar (1940) sehingga lulus darjah enam.

Usman yang dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara pada 1983, penerima kedua selepas Sasterawan Keris Mas pernah berkhidmat sebagai anggota polis Inggeris (1946-1951), Pengarang Utusan Zaman dan Mastika (1952-1961) serta pengarang bahagian majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (1962-1985).

Dalam perkembangan kesusasteraan Melayu moden, Allahyarham terkenal dengan tulisan-tulisan dalam pelbagai genre yang memperjuangkan nilai-nilai kemanusiaan, patriotisme dan moral.

Namun, beliau dalam sejarah kepengarangannya lebih dikenali dalam genre puisi yang mengangkat pelbagai persoalan di sekitar masyarakat kelas bawahan Melayu, khususnya para petani, buruh dan tukang.

Allahyarham mula menghasilkan sajak sejak tahun 1948. Kemudian aktif dalam penulisan cerpen, novel dan drama, dan telah menghasilkan lebih 100 buah buku, artikel, jurnal, puisi dan novel.

Sajak pertama beliau yang saya baca ialah Guru Oh Guru selain Makam Bonda, Kekasih, Surat Dari Masyarakat Burung Kepada Datuk Bandar dan Ketam Mengajar Anaknya Berjalan.

“Kak Ina, Hari lahir saya dan Allahyarham bapa kak Ina sama, 12 Julai,” kata saya kepada Haslina sewaktu berbual-bual dengannya selepas beliau menyampaikan ucapan.

“Oh, ya? Mesti sensitif, kuat merajukkan? Ayah memang kuat merajuk, sensitif,” katanya sambil tersenyum.

Saya senyum dan mengangguk, mengiyakan.

Categories
SENI

Majalah POSTO isi ruang kosong penulisan intelektual rakyat

posto cover 2Kekurangan bahan bermaklumat dengan persembahan menarik dalam lambakan majalah tempatan di pasaran membuatkan peminat genre itu, berasa kosong.

Selepas membaca akhbar politik kepartian, pembaca mahu mencari maklumat alternatif yang skopnya tidak terbatas seputar berita kegiatan parti dan -isu semasa kritik pemerintah.

Banyak isu boleh dibongkar. Antaranya, kisah Orang Kelainan Upaya (OKU) terpinggir, seniman jalanan yang dipandang seperti pengemis, isu pendidikan yang membuatkan seseorang itu ?terpaksa? berhempas pulas demi sebuah sijil juga ada kaitannya dengan kitaran dari sistem yang membudayai negara.

?Posto? tampil atas semangat ini. Ia menghidang isu yang tidak berapa dihiraukan sangat untuk dinilaikan kembali sekaligus meletakkannya semula ke tempat asal.

Keluaran sulung terbit Mac 2013 manakala isu kedua dilancarkan pada 21 September 2013 dengan muka depannya gambar seniman jalanan (busker) mencari rezeki menyanyi di jalanan.

Posto mendapatkan pandangan dua orang seniman jalanan tentang dilema kerjaya mereka selain meninjau dari sudut undang-undang sama ada mereka pengemis yang ?berpura-pura menyanyi? seperti didefinisi dalam Akta Orang Orang Papa 1977.

Setebal 68 halaman berharga RM12 senaskhah, keluaran kedua ini menemu bual Syed Hamid Ali, bekas aktivis mahasiswa era 60-70-an perihal kegiatannya dari dulu sehingga hari ini.

Ada khabar mengatakan Profesor Di Raja Ungku Aziz pernah mengungkap – Syed Hamid dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai antara dua pelajar terbaik pernah dihasilkan Universiti Malaya. Wawancara itu menjelaskan pandangan anda sama ada kenyataan itu berasas atau tidak.

Posto diterajui Ronasina selaku editor dengan penyumbangnya gabungan penulis angkatan lama dan baru. Aktivis sosial, Hishamuddin Rais menulis mengenai perihal seorang lelaki aneh yang selalu ditemuinya manakala Hasni Abas (Setiausaha NGO Anti PPSMI) melontarkan pandangann mengenai ‘Kedudukan Bahasa Melayu Pasca 13 Mei?.

Adam Adli, aktivis mahasiswa menulis ?Membina Tamadun Dengan Kebodohan?, Lim Hong Siang, bekas editor Merdekareview.com dengan artikel ?Paksaan Tidak Mewajibkan Penghayatan?.

Dua koresponden pula membongkar kegiatan ?cosa nostra? dengan rencananya ?Legasi Mafia Montreal? dan Sandy Indra Pratama dari Jakarta menulis ?Pendidikan Yang (Seharusnya) Membebaskan?.

Turut menulis, Rosli Ibrahim, Pengarah Mobilisasi OKU Bangkit 2012 yang sejak kecil rosak penglihatan tetapi gigih membaca. Rosli menulis ?OKU Ada Agenda Politik!?. Ustaz Wan Ji Wan Hussin merungkai isu kudeta di Mesir dengan analisisnya ?Antara Kelemahan Morsi dan Kelicikan Al Sisi?.