Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Inti pati laporan audit 1MDB Najib minggu ini

KUALA LUMPUR, 30 NOV: “Datuk Seri Najib Tun Razak telah meminta saya agar tidak memasukkan dua versi kenyataan kewangan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam Laporan Akhir Pengauditan,” kata bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Ini antara inti pati perbicaraan bekas Perdana Menteri yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB bersama-sama bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy di Mahkamah Tinggi minggu ini.

Ambrin, 70, yang juga satu-satunya saksi pendakwaan yang disoal minggu ini memberitahu mahkamah bahawa Najib membuat permintaan itu selepas dia (Ambrin) membangkitkan isu dua versi berbeza dokumen bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mac, 2014 pada satu mesyuarat di pejabat Najib pada Februari, 2016.

Saksi pendakwaan keenam itu berkata, beliau melihat permintaan Najib sebagai Perdana Menteri itu sesuatu yang hendaklah dilaksanakan tanpa sebarang prajudis.

Ambrin selanjutnya berkata, meskipun implikasi daripada menggugurkan fakta daripada laporan pengauditan 1MDB itu amat serius tetapi beliau bersetuju untuk melakukan pindaan itu selepas ahli Parlimen Pekan itu berjanji beliau akan menyiasat ‘hingga ke akar umbi’ perkara ini dengan secepat mungkin.

Bagaimanapun, saksi berkenaan berkata beliau rasa tertipu apabila mengetahui bahawa tidak ada satu pun laporan polis dibuat meskipun diberi jaminan oleh Najib berhubung dua laporan kewangan yang berbeza itu.

Najib, 66, didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Audit 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam melakukan kesalahan itu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Feb, 2016 dan 26 Feb, 2016.

Kedua-duanya didakwa di bawah Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum hingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah gratifikasi atau denda RM10,000, yang mana satu lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Berikut ialah ringkasan keterangan saksi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.

HARI 5 (27 Nov)

  • Ambrin memberitahu mahkamah bahawa semasa mesyuarat penyelarasan Laporan Audit 1MDB di pejabat bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa pada 24 Feb, 2016, Arul Kanda juga telah menggesa agar digugurkan dua versi kenyataan kewangan 1MDB itu selepas bersetuju bahawa isu itu akan dilaporkan kepada pihak berkuasa.
  • Menurut saksi berkenaan, Jabatan Audit Negara (JAN) berpandangan bahawa isu itu perlu dimasukkan dalam laporan audit syarikat berkenaan agar ia membolehkan perkara itu diserahkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengendalikan siasatan lanjut.
  • Ambrin berkata, beliau mengarahkan  semua laporan asal audit 1MDB itu dimusnahkan melainkan satu disimpan oleh Pengarah Audit LAN (Sektor Kerajaan) Nor Salwani Muhammad (saksi kelima pendakwaan).
  • Katanya, laporan asal itu yang dicetak dalam 60 salinan tidak digunakan kerana Arul Kanda mahu perubahan dibuat.
  • Ambrin memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau kecewa kerana terpaksa melayani cadangan pindaan itu pada saat-saat akhir sedangkan Laporan Audit 1MDB telah siap untuk dibentangkan kepada PAC pada 24 Feb, 2016 dan laporan itu hanya dapat dibentangkan pada Mac 2016.
  • Saksi berkenaan menjelaskan bahawa selain dua versi kenyataan kewangan yang berbeza itu, pindaan yang dibuat bagi laporan pengauditan 1MDB itu ialah isu penangguhan penerbitan Islamic Medium Term Notes (1MTN), ACME, dan isu keberadaan Low Taek Jhow atau lebih dikenali sebagai Jho Low.
  • Menjelas lebih lanjut mengenai isu dua versi kenyataan kewangan 1MDB, Ambrin berkata satu versi dihantar kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyatakan bahawa 1MDB telah menggunakan RM4.03 bilion dana yang dikumpulkan dari pelaburan Seggregated Portfolio Company (SPC) untuk membayar hutang syarikat.
  • Satu lagi versi kenyataan kewangan itu dihantar ke Kementerian Kewangan, Deutsche Bank dan AmBank yang menyebut bahawa RM4.03 bilion dana dikumpulkan daripada pelaburan SPC masih ada dalam simpanan 1MDB, tambah beliau.
  • Mengenai isu kelewatan dalam isu IMTN, Ambrin berkata pasukan audit khas 1MDB mendapati bahawa pada 27 Mei, 2009, Najib, yang ketika itu ialah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah diminta mengadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.
  • “Sultan Mizan sebagai penaung Terengganu Investment Authority (TIA) telah mengarahkan pengeluaran pelaburan IMTN ditundakan. Penangguhan itu bagi membolehkan Jawatankuasa Penyeliaan Khas mengkajinya.
  • “Bagaimanapun, pada tengah hari yang sama (27 Mei, 2009) satu mesyuarat Kabinet diadakan tetapi Najib tidak menyatakan atau membincangkan arahan Sultan Mizan berhubung kelewatan pengeluaran pelaburan IMTN untuk kegunaan projek usaha sama PetroSaudi Ltd (PSI) dan 1MDB.
  • Ambrin seterusnya menyatakan, isu lain ialah perjanjian Country Groups Securities (CGS) Thailand dengan ACME Time Limited, milik Jho Low, di mana Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati penglibatan dan pelaburan Jho Low dalam pengeluaran IMTN bagi projek usaha sama PSI dengan 1MDB, dan tiada siasatan dijalankan berhubung perkara itu oleh BNM.
  • “Menurut maklumat BNM, AmBank menandatangani satu perjanjian langganan menengah dengan CGS pada 18 Mei, 2008 yang bermaksud AmBank adalah pembeli utama satu perjanjian dengan CGS yang bermakna AmBank memperdagang kepentingannya dalam IMTN kepada CGS di mana CGS adalah pembeli subsale.
  • “Ia kemudian mendedahkan bahawa CGS telah menandatangani satu Perjanjian Pilihan dengan ACME sebagai rakan transaksi bersama. BNM mendakwa bahawa AmBank meletakkan keluar keuntungan US$127.27 juta di mana bayaran dibuat kepada CGS ialah US$1.30 juta dan ACME US$113.42 juta dan US$12.55 juta. NAD melaporkan perkara itu dalam draf laporan pengauditan akhir 1MDB,” katanya.
  • Bagaimanapun, Ambrin berkata Arul Kanda telah meminta isu itu dikeluarkan daripada laporan pengauditan akhir 1MDB kerana beliau berpandangan bahawa ia di luar skop isu audit 1MDB memandangkan urusan itu membabitkan pasaran pertengahan.
  • Mengenai pengguguran kehadiran Jho Low dalam laporan itu, saksi itu berkata bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh telah meminta agar digugurkan perenggan mengenai kehadiran Jho Low pada mesyuarat lembaga itu susulan sensitivitinya dan bagi mengelakkan daripada diputarbelitkan oleh pihak pembangkang.

– BERNAMA

Berita menyusul…

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiada agenda politik di sebalik laporan 1MDB

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang hari ini menegaskan beliau tidak mempunyai agenda politik di sebalik laporan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang disediakan Jabatan Audit Negara (JAN) pada 2016, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Saksi berusia 70 tahun itu berkata beliau hanya khuatir untuk membentangkan dapatan JAN kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Laporan itu telah pun dicetak. Kami semua telah bersedia untuk mempertahankan laporan kami kepada PAC…Kenapa saya harus mempunyai agenda politik?,” katanya.

Saksi pendakwaan keenam itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh ketua pendakwaan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari keenam perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy berhubung pindaan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Sri Ram: Jadi, anda hanya Ketua Audit Negara yang menjalankan tugas anda?

Ambrin: Benar.

Sri Ram: Siapa yang melantik anda? Adakah pelantikan anda mengikut perlembagaan? Anda bukan penjawat awam?

Ambrim: Saya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sri Ram: Adakah anda menganggap anda memenuhi tanggungjawab itu?

Ambrin: Iya, saya lakukan.

Terdahulu Ambrin ditanya mengenai mesyuarat penyelarasan yang diadakan pada 24 Feb 2016 untuk membincangkan pindaan kepada laporan 1MDB berikutan arahan daripada Najib.

Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, manakala Arul Kanda diwakili peguam Datuk N. Sivananthan.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 23(1) dan Seksyen 28(1) (c) dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 9 Januari depan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ambrin kecewa laporan audit 1MDB dipersoal

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau kecewa apabila laporan audit 1Malaysia Development Berhad disediakan Jabatan Audit Negara (JAN) yang dimuktamadkan pada 2016 dipersoal.

Ambrin, 70, berkata kekecewaan itu dirasai semasa menghadiri mesyuarat penyelarasan pada 24 Februari 2016 yang diadakan di pejabat bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa.

“Saya berasa sangat kecewa kerana banyak sebab. Semasa di bilik mesyuarat dengan orang berkenaan, terdapat banyak soalan berhubung laporan audit kami mengenai 1MDB yang pada masa itu dimuktamadkan.

“Kami bersedia mempertahankan laporan awal kami di prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB,” katanya.

Ambrin berkata demikian semasa pemeriksaan utama ketua pendakwaan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari keenam perbicaraan kes Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy berhubung pindaan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Saksi pendakwaan keenam itu berkata pasukan JAN juga tidak senang untuk menghapuskan isu dari laporan audit akhir 1MDB kerana mereka menghabiskan banyak masa mencari maklumat yang diperlukan, malah memberi kelonggaran kepada 1MDB dengan memberi mereka masa untuk menjawab pertanyaan oleh JAN dalam menyediakan laporan.

“Kekecewaan lain adalah bahawa mereka (yang hadir), semasa mesyuarat, kadang-kadang tidak memahami peranan JAN. Sebenarnya, JAN melihat perkara berdasarkan fakta dan fakta ini mesti disahkan dengan dokumen sokongan,” katanya.

Terdahulu, rakaman audio mengenai mesyuarat 24 Februari 2016 yang melibatkan bekas pegawai kerajaan tertinggi termasuk KSN, Ketua Audit Negara dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB yang membincangkan laporan audit 1MDB itu dimainkan di mahkamah hari ini .

Kepada soalan berdasarkan kandungan rakaman audio itu, Ambrin berkata bekas KSN memberitahu kandungan laporan audit 1MDB boleh menjejaskan nama baik perdana menteri (Najib).

Foto BERNAMA

Sri Ram: Transkip rakaman… “kalau ada complaint, susah untuk kita defence Najib. His name will be tarnish…it will impact…Apa yang kamu faham tentang perenggan ini?

Ambrin: Kerajaan bimbang tentang kandungan laporan audit kami dan perlu dipinda. Kerajaan juga bimbang laporan itu akan berputarbelitkan oleh pembangkang.

Sri Ram: Ini adalah kenyataan khusus Ali, bagi pihak kerajaan. Nama siapa sebenarnya yang beliau lindungi? Ambrin menjawab: “PM Najib”.

Semasa ditanya sama ada beliau bimbang dengan laporan tersebut, Ambrin berkata beliau tidak bimbang dengan laporan tersebut, dan bersedia mempertahankan penemuan JAN mengenai 1MDB sebelum prosiding PAC.

Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, manakala Arul Kanda diwakili peguam Datuk N. Sivananthan.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 23(1) dan Seksyen 28(1) (c) dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 9 Januari depan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ambrin: Hanya satu salinan asal laporan audit 1MDB disimpan

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau mengarahkan semua salinan laporan audit asal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilupuskan kecuali satu salinan disimpan.

Ambrin, 70, berkata salinan yang tidak dilupuskan itu diletakkan di bawah simpanan pegawainya iaitu Pengarah Audit (Sektor Tadbir Urus) Jabatan Audit Negara (JAN), Nor Salwani Muhammad.

Beliau berkata laporan asal, yang dicetak sebanyak 60 salinan, tidak lagi boleh digunakan kerana Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy mahukan perubahan dibuat.

“Selepas perbincangan dengan Arul Kanda, pasukan audit meminta kebenaran saya tentang perubahan yang boleh dibuat berdasarkan justifikasi bahawa ia diteliti secara terperinci.

“Oleh itu, laporan audit 1MDB Jabatan Audit Negara (JAN) yang sudah dicetak tidak lagi boleh digunakan kerana ada perubahan. Saya mengarahkan semua laporan audit 1MDB yang sudah dicetak dilupuskan kecuali satu untuk simpanan Nor Salwani.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Rozaliana Zakaria pada hari kelima perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Arul Kanda berhubung pindaan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

“Sebagai Ketua Audit Negara saya mempunyai kuasa untuk membuat keputusan itu walaupun dokumen itu dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Saya terima perakuan di bawah undang-undang. (Mengikut) Peraturan di bawah OSA, anda perlu dapatkan pensijilan dokumen pemegang OSA. Jadi saya boleh mengendalikan, menyimpan untuk kegunaan dalaman,” katanya.

Salinan tunggal laporan 1MDB yang asal dan tidak dilupuskan itu dijadikan sebagai bukti utama dalam perbicaraan itu.

Ambrin berkata perubahan kepada laporan audit itu dibuat berikutan maklum balas Arul Kanda dalam dua mesyuarat sebelumnya, pertama dengan Najib pada 22 Februari 2016 dan satu lagi pada 24 Februari 2016 dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan beberapa pegawai kerajaan lain.

“Mesyuarat bertarikh 24 Februari 2016 memberi tekanan pada JAN untuk mempertimbangkan pendengaran atau menerima maklum balas yang diberikan oleh pengurusan 1MDB walaupun tempoh masa yang panjang sudah diberikan kepada mereka untuk berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata laporan audit asal itu tidak mengandungi maklum balas 1MDB kerana syarikat itu tidak pernah memberi maklum balas atas permintaan tersebut.

Ketika menjelaskan mengenai dapatan pengauditan oleh JAN, saksi berkata rumusan yang dibuat daripada laporan pengauditan 1MDB yang dijalankan oleh JAN, mendapati bahawa prestasi kumpulan syarikat 1MDB adalah kurang memuaskan kerana 1MDB menghadapi masalah hutang dan aliran tunai yang lemah dalam hanya enam tahun beroperasi.

“Selain itu, pengurusan tadbir urus 1MDB sangat lemah seperti tidak mematuhi arahan dan keputusan lembaga pengarah serta pelaburan-pelaburan yang besar dibuat tanpa penilaian terperinci.

“JAN mendapati bahawa cara perniagaan 1MDB bergantung kepada pinjaman di dalam dan luar negara sebenarnya merupakan bebanan kepada 1MDB. Ini adalah kerana pinjaman yang dibuat oleh syarikat itu adalah melebihi pendapatan 1MDB dan 1MDB tidak membuat keuntungan,” katanya.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan manakala Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, sementara Arul Kanda, 43, diwakili peguam Datuk N. Sivananthan.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 23(1) dan Seksyen 28(1) (c) dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Saksi: Najib minta tidak masukkan dua versi penyata 1MDB

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Datuk Seri Najib Razak meminta beliau untuk tidak memasukkan dua versi penyata kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam laporan audit akhir syarikat itu.

Ambrin berkata, bekas perdana menteri itu membuat permintaan berkenaan selepas berjanji bahawa pihak berkuasa yang berkaitan akan membuat siasatan menyeluruh ‘and to get to the bottom of this’ secepat mungkin.

Saksi pendakwaan keenam dalam perbicaraan kes Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, berhubung dakwaan meminda laporan akhir audit 1MDB itu berkata, Najib membuat permintaan itu pada pertemuan yang diadakan di pejabatnya (Najib) pada 22 Februari 2016.

Menurut Ambrin, pada pertemuan yang turut dihadiri bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh, bekas perdana menteri itu meminta beliau memberitahu apa isu yang ketara dan serius dalam laporan audit akhir 1MDB.

Saksi itu berkata, beliau kemudian membangkitkan isu mengenai dua versi penyata kewangan 1MDB yang berbeza bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014.

“Dua versi penyata kewangan yang berbeza itu adalah satu versi yang dihantar kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang menyatakan 1MDB sudah menggunakan dana yang diperoleh daripada pelaburan SPC (Segregated Portfolio Company) untuk membayar hutang syarikat 1MDB dan digunakan untuk modal kerja 1MDB.

“Satu lagi versi penyata kewangan yang dihantar kepada Kementerian Kewangan, Deutsche Band dan Ambank yang menyatakan dana yang diperoleh daripada pelaburan SPC masih lagi ada dalam simpanan 1MDB,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Rozaliana Zakaria pada perbicaraan yang masuk hari kelima.

Ambrin, 70, ketika membacakan penyataan saksinya berkata isu dua penyata kewangan 1MDB yang berbeza itu turut dibangkitkan ketika menghadiri satu mesyuarat di pejabat Ali pada 24 Februari 2016 yang diadakan bagi membincangkan mengenai laporan audit akhir 1MDB serta isu berbangkit.

Menurut beliau, mesyuarat itu yang dipengerusikan oleh Ali turut dihadiri wakil Jabatan Peguam Negara Tan Sri Dzulkifli Ahmad, bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Datuk Seri Dr Mohd Isa Hussain dan wakil dari MOF iaitu Asri Hamidon, Arul Kanda, Setiausaha Sulit Kanan Ali, Datuk Norazman Ayob dan Shukry.

“(Ketika mesyuarat itu) Jabatan Audit Negara berpandangan bahawa sebuah syarikat tidak boleh mempunyai dua penyata kewangan bagi satu tahun yang sama kerana ia akan mengelirukan pelbagai pihak contohnya pemegang syer, bank dan lain-lain pihak.

“Pada ketika itu, Arul Kanda banyak mengemukakan pandangan beliau mengenai isu itu dan mendesak supaya isu berkenaan dua versi penyata kewangan 1MDB itu tidak dimasukkan di dalam Laporan Pengauditan 1MDB.

“Encik Arul Kanda juga bersetuju supaya isu tersebut dilapor kepada pihak berkuasa. Di pihak JAN, tujuan isu dua versi penyata kewangan 1MDB berakhir Mac 2014 dimasukkan di dalam Laporan Pengauditan 1MDB itu adalah bagi membolehkan perkara ini diserahkan kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab seperti PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) membuat siasatan lanjut,” katanya.

Ambrin, yang kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan di Jabatan Perdana Menteri, berkata Ali kemudian mengarahkan Mohd Isa untuk membuat laporan polis berhubung isu dua versi penyata kewangan itu dan ketika itu, katanya, beliau yakin serta tidak meragui komitmen mereka untuk membuat laporan polis.

Mengulas lanjut mengenai permintaan Najib untuk tidak memasukkan isu dua versi penyata kewangan itu ke dalam laporan pengauditan 1MDB, katanya sebagai Ketua Audit Negara dan penjawat awam beliau melihat permintaan Najib selaku perdana menteri sebagai sesuatu yang perlu dilaksanakan tanpa sebarang prasangka.

“Implikasi pengguguran fakta dari Laporan Pengauditan 1MDB adalah sangat serius tetapi ia digugurkan bagi melaksanakan permintaan Datuk Seri Najib dengan jaminan yang beliau akan menyiasat ‘to the bottom of this’.

“Malahan, terdapat juga mesyuarat susulan yang mengesahkan bahawa satu tindakan untuk menyiasat perkara ditimbulkan oleh Laporan Pengauditan 1MDB akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Najib, 66, didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya bagi mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau didakwa atas kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 22 hingga 26 Februari 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan itu, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

1MDB: Arul Kanda bantah permohonan Najib tangguh perbicaraan

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Bekas ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy yang didakwa bersubahat dengan Datuk Seri Najib Razak dalam membuat pindaan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, membantah permohonan bekas perdana menteri itu untuk menangguhkan perbicaraan yang dijadual bermula Isnin ini.

Peguam Datuk N. Sivananthan yang mewakili Arul Kanda memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan bahawa anak guamnya mahu perbicaraan diteruskan dan diberi peluang untuk menyangkal pertuduhan.

“Saya fikir adalah tidak adil bahawa semua orang bercakap tentang kepentingan semua orang dan dia hanya mengikut orang lain.

Mahkamah harus melihat kepentingan semua tertuduh dan bukan hanya seorang tertuduh.

“Justeru, berdasarkan itu, saya membantah dan meminta mahkamah menolak permohonan ini dan perbicaraan bermula pada Isnin,” kata beliau dalam penghujahannya.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib yang turut membantah permohonan itu berhujah bahawa Hakim Mohamed Zaini sebelum ini memutuskan bahawa perbicaraan akan bermula Isnin ini seperti dijadualkan.

Beliau berkata sekiranya mahkamah memberi keputusan yang berbeza hari ini, ia akan menimbulkan persepsi negatif terhadap badan kehakiman.

Peguam Harvinderjit Singh yang membela Najib berhujah bahawa jika perbicaraan tersebut bermula Isnin ini, mereka hanya mempunyai masa yang singkat untuk menyiapkan pembelaan dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd yang Najib menghadapi tujuh pertuduhan menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 11 November, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan Najib, 66, untuk membela diri terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menggunaan kedudukannya berhubung dana selepas mendapati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Hakim Mohamed Zaini berkata beliau terkejut apabila Najib membuat permohonan itu kerana peguam utamanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebelum ini mengambil sikap berkecuali.

“Saya akan menyampaikan keputusan pada Isnin ini, bagaimanapun tolong bersiap sedia jika saya menolak permohonan ini. Saya akan cuba seboleh-bolehnya untuk berlaku adil, “katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu memfailkan usul pada Rabu, memohon perbicaraan, yang ditetapkan pada hari Isnin hingga 29 November di hadapan Hakim Mohamed Zaini ditangguh kepada 13 Januari 2020.

Menurut Najib, jika perbicaraan (pinda laporan audit) diteruskan seperti dijadualkan, dia akan mengalami prasangka kerana dia dan peguamnya memerlukan masa yang munasabah dan mencukupi untuk menyiapkan pembelaan dalam kes SRC yang pertuduhan yang dihadapinya adalah serius.

Beliau juga berkata, pada masa yang sama, barisan peguambelanya, juga terlibat dalam penyediaan kes 1MDB yang bermula pada 28 Ogos dan masih berlangsung sehingga kini. Pembelaannya dalam perbicaraan kes SRC dijangka bermula pada 3 Disember.

Pada 12 Disember 2018, Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Najib dituduh, atas kapasitinya sebagai seorang pegawai awam iaitu perdana menteri, menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langhsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda, 43, didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan tersebut, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

1MDB: Kerajaan bayar RM14 bilion langsai faedah hutang

JAKARTA, 12 NOV: Kerajaan terpaksa membayar hampir RM14 bilion untuk faedah bagi hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga tahun depan, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah.

Beliau berkata jumlah pembayaran faedah 1MDB itu sepatutnya dapat digunakan untuk pelbagai program bagi manfaat rakyat.

“Kita berharap tidak lagi berlaku (tindakan menyeleweng) kepada mereka yang diberi amanah untuk mentadbir negara,” katanya pada sesi ramah mesra bersama rakyat Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, malam tadi.

“Setakat ini, kita hanya membayar faedah hutang 1MDB, (hutang) pokoknya yang berjumlah RM36 bilion, masih belum dibayar,” katanya.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini berkata kerajaan mungkin perlu membayar sehingga RM43.9 bilion lagi bagi menyelesaikan hutang 1MDB itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Jho Low dikesan cuba beli harta di Cyprus

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dikesan cuba membeli harta di Cyprus dengan menggunakan nama individu yang tidak dikenali, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, maklumat berkenaan diperoleh selepas pihaknya menahan beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan Jho Low dalam tempoh beberapa minggu lalu.

“Hasil tangkapan, kami berjaya merungkai dan mendapatkan maklumat Jho Low sedang berusaha membeli harta di negara berkenaan.

“Kami ada membuat tangkapan secara diam-diam (beberapa minggu lepas),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Buku Manual Siasatan Jenayah Komersial dan Buku Arahan Penyiasatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Maktab Polis Diraja Malaysia di Cheras, di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya mendakwa pihak berkuasa menganggarkan RM18.9 bilion aset milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih belum dikenal pasti setakat ini hingga melibatkan lima negara.

Berdasarkan perkara itu, Abdul Hamid berkata, Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman giat berusaha mengkaji petunjuk baharu berkaitan Jho Low.

“Pasukan AMLA giat bekerja siang dan malam mengkaji petunjuk-petunjuk yang ada (termasuk isu Cyprus ini),” katanya.

Ditanya, sama ada pihak polis berhubung dengan dengan pihak Cyprus berhubung kes Jho Low yang dilucutkan hak kerakyatannya di Cyprus, Abdul Hamid menjelaskan polis tidak berhubung dengan negara berkenaan setakat ini.

“Saya tidak berkomunikasi dengan pihak Cyprus. Tidak pernah ada, namun mungkin itu adalah tindakan yang sepatutnya dilakukan oleh sesebuah negara berdaulat,” katanya.

“Sudah tahu individu itu (Jho Low) dikehendaki oleh InterpoI (Polis Antarabangsa) dan notis merah, sepatutnya negara itu akur,” katanya.

Abdul Hamid berkata beliau tidak ada komunikasi terus dengan polis negara luar, sebaliknya hanya mengetahui melalui laporan akhbar sahaja.

“Saya sudah katakan, mustahil Jho Low boleh keluar daripada persembunyiannya dari negara itu. Dia masih di situ bersembunyi,” katanya.

Abdul Hamid berkata beliau juga tidak bermaksud menyamakan Jho Low dengan beruang, sebaliknya alasan yang diberikan Jho Low melakukan pembedahan plastik adalah alasan yang tidak boleh diterima.

“Saya tidak bermaksud sedemikian, alasan-alasan yang diberitahu susah untuk menjejak Jho Low antaranya kemungkinan dia melakukan pembedahan plastik. Itu yang saya bangkitkan di Tawau, Sabah (baru-baru ini).

“Sekiranya alasan dia menjalani pembedahan sehingga boleh berubah, alasan sebegini saya tidak boleh terima,” tegasnya.

Dalam pada itu, ditanya jika polis gagal membawa pulang Jho Low sehingga penghujung tahun ini, Abdul Hamid berkata tahap kesabarannya masih ada dan pihaknya sudah melakukan pelbagai usaha untuk bekerjasama dengan negara berkenaan.

“Tetapi saya amat kecewa apabila permintaan saya tidak dilayan dengan memberikan pelbagai alasan, sedangkan kami sudah beri kerjasama yang baik kepada negara berkenaan,” katanya.

Pada 4 Nov lepas, Abdul Hamid menyifatkan tindakan negara tertentu yang melindungi Jho Low disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

Negara berkenaan juga mengambil pendekatan enggan memberi kerjasama kepada Malaysia sekali gus menyukarkan tugas pihak berkuasa.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lembaga Pengarah 1MDB tidak dimaklumkan hutang AS$700 juta

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Bekas ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Berhad berkata beliau tidak memaklumkan kepada Lembaga Pengarah entiti usahasama syarikat 1MDB-PetroSaudi Ltd berhutang US$700 juta dengan PetroSaudi International Ltd (PSI) kerana beliau berada dalam tekanan hebat.

Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata beliau tidak merujuk perkara itu kepada sesiapa kerana beliau diberi tekanan oleh Jho Low dan Casey Tang (pengarah eksekutif 1MDB) supaya penubuhan syarikat usahasama itu dimuktamadkan pada 28 September 2009.

Beliau berkata hutang AS$700 juta itu menjadi efektif selepas beliau menandatangani usahasama 1MDB-PetroSaudi Ltd pada 28 September 2009.

Katanya hutang itu disebabkan tiga aset disuntik oleh PSI dikatakan bernilai lebih tinggi daripada apa yang dipersetujui PSI bagi menyumbang kepada usahasama itu.

Saksi berumur 49 tahun itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari ke-26 perbicaraan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkaitan 1MDB.

Muhammad Shafee: Sekiranya ia tidak berada dalam deraf, sebagaimana yang anda katakan, semasa anda hendak menandatanganinya, tidakkah anda terfikir, anda perlu berhenti sebentar dan merujuk kepada lembaga? Kerana ini perkara serius, AS$700 juta perkara yang serius.

Shahrol Azral: Saya berada dalam keadaan tekanan hebat untuk memastikan usahasama itu ditandatangani. Kedua-dua Jho Low dan Casey memberi jaminan kepada saya, ia ‘OK’, dan Jho Low mengulangi bahawa bos benar-benar mahukan supaya perkara ini dilaksanakan. Jadi saya mengambil keputusan untuk meneruskan, dengan apa yang saya anggap sebagai arahan daripada Najib, dan saya percaya bahawa semuanya akan berjalan lancar kerana Jho Low dan Casey bertugas di bawah arahan Najib.

Muhammad Shafee: Adakah anda bermaksud yang perkara ini perlu ditandatangani segera pada 28 September jadi dengan terma utama ini sekalipun, anda rasakan tidak perlu untuk melibatkan lembaga?

Shahrol Azral: Anggapan saya adalah ini bukan sesuatu yang luar biasa.. Saya tanya Casey “Adakah ‘OK’ untuk tandatangan, Casey kata “’OK’. Saya percayakan nasihat Casey.

Muhammad Shafee: Itu sebabnya anda tidak berfikir untuk merujuk kepada BOD?

Shahrol Azral: Ya, betul.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dari dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung, dengan Timbalan Pendakwa Raya Kanan dan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pendakwaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jho Low bertanggungjawab sedia pelan tindakan 1MDB

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Ahli perniagaan dalam buruan Low Teak Jho atau Jho Low diamanahkan untuk menyediakan pelan tindakan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta maklumat yang akan disampaikan Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa sepanjang tempoh berkhidmat di 1MDB, beliau tidak digalakkan bercakap lebih daripada apa yang terdapat nota maklumat dan rancangan tindakan yang diberikan kepadanya.

“Sebenarnya, saya tidak digalakkan untuk mengetahui dengan lebih lanjut. Sukar untuk mengatakan jika terdapat halangan tetapi sepanjang tempoh saya sebagai CEO mulai 2009 hingga 2013, saya selalu merasakan saya tidak digalakkan untuk menjadi penyibuk,” kata saksi itu.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pada hari ke-25 perbicaraan bekas perdana menteri itu.

Muhammad Shafee: Sebagai CEO, kamu tidak boleh bertanya mengenai perkara berkaitan 1MDB.

Shahrol Azral: Saya tidak digalakkan melangkaui apa yang terdapat dalam nota maklumat dan pelan tindakan yang diberikan kepada saya.

Saya teringat acara tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada 2011 atau 2012, ketika saya berdiri di sebelah Najib, dan saya bertanya sama ada PM ketika itu boleh bercakap dengan PSI (PetroSaudi International Limited) tentang mendapatkan kembali wang 1MDB, Najib berkata” “cakap pada Jho Low “.

Muhammad Shafee: Adakah ketika itu kamu masih percaya pada Jho Low?

Saksi itu menjawab “ya”.

Muhammad Shafee: Tetapi tiada siapa yang menghalang kamu untuk mendapatkan maklumat?

Shahrol Azral: Tiada siapa yang menghalang saya.

Semasa menjelaskan secara terperinci tentang bekerja dalam “Pasukan Najib”, saksi berusia 49 tahun itu berkata ia bermakna bahawa semua orang bekerja secara ‘silo’ (sendiri) tanpa mendapat gambaran lengkap tentang apa yang berlaku.

“Bekerja dalam “Pasukan Najib ‘melibatkan kerja secara sendiri’ di mana kami mungkin tidak tahu mengenai apa yang berlaku dengan yang lain.

“Jadi apabila Jho Low mengemukakan kepada saya tentang sesuatu yang perlu dilakukan pada hari tertentu, dan memastikan orang-orang Arab gembira adalah penting, saya menerimanya dengan ikhlas bahawa ia adalah peranan yang sepatutnya diambil oleh saya dan 1MDB,” katanya.

Ketika ditanya siapa yang menganjurkan program “silo” ini, Shahrol Azral berkata ia antara beliau dengan Jho Low.

Muhammad Shafee: Jadi, Jho Low menganjurkan program “silo” ini?

Shahrol Azral: Pada masa itu saya percaya bahawa tanggungjawab menguruskan butiran diberikan kepada Jho Low oleh Najib jadi Najib tidak perlu risau tentang butiran tersebut.

Jho Low menentukannya dan memberi kami pelan tindakan dan nota maklumat untuk bercakap bagi menyelesaikan tugas itu. Dia sangat baik mengaturkannya.

Muhammad Shafee: Oleh itu kamu mengesahkan bahawa Najib sendiri tidak akan mengetahui butir-butirnya?

Shahrol Azral: Saya tidak boleh memberi keterangan mengenai apa yang dia tahu atau tidak. Saya tidak bertanya di luar silo saya.

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Khamis.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerana 1MDB, Malaysia hampir bangkrap

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Hampir suatu keajaiban Malaysia tidak bankrap akibat kerosakan yang dilakukan rejim kleptokratik terdahulu, yang menjadikan tabung negara sebagai milik peribadi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerosakan itu bukan sahaja berkaitan kewangan tetapi keinstitusian.

“Salah satu daripada cabaran terbesar selepas menumbangkan rejim kleptokratik itu ialah membersihkan kerosakan yang ditinggalkan dan membina semula negara,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan ISIS Praxis, ‘Malaysia Beyond 2020’, di sini.

Katanya, ia akan mengambil banyak usaha, masa dan kewangan, sambil menambah “apa yang kami temui adalah jauh lebih teruk daripada apa yang kami percaya”.

“Tidak dinafikan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) satu monstrositi, kita tidak akan dapat menilai sepenuhnya, kerosakan yang disebabkannya kepada negara,” katanya.

Melebihi rasuah dan tipu helah kewangan, perdana menteri berkata, seluruh jentera kerajaan telah disubversif dan dilemahkan.

Dr Mahathir berkata sejumlah besar pendapatan kerajaan kini perlu digunakan untuk membayar hutang dan jumlah yang tinggal tidak mencukupi untuk operasi dan pembangunan.

“Ia hampir suatu keajaiban yang negara ini tidak bankrap,” katanya.

Katanya, bagi memulih dan membangunkan negara, jentera kerajaan perlu dipulihkan dan efisien.

“Ini bermakna sifar rasuah, jika boleh. Semua usaha telah dilakukan untuk mencapainya. Mungkin kami telah mencapai beberapa kejayaan kerana pertumbuhan telah dikekalkan,” katanya.

Beliau menyatakan beberapa sasaran dalam Wawasan 2020 yang dibuat pada 1991 oleh kerajaan diketuainya sebelum ini, dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada 2020 tidak akan tercapai tahun hadapan selepas tergelincir disebabkan pemimpin yang mementingkan diri sendiri.

Sebahagian daripada sasaran itu tidak ditinggalkan dan ia digabungkan ke dalam pelan tindakan Wawasan Kemakmuran Bersama dan apa yang tidak dicapai tahun hadapan, diharapkan dapat dicapai pada 2030 dan seterusnya, katanya.

Dr Mahathir berkata ketika negara menetapkan untuk meningkatkan pendapatan kesemua kumpulan, etnik, penduduk bandar, luar bandar atau negeri, ia juga perlu meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia dalam pelbagai sektor.

“Faktor yang paling penting ialah untuk menyediakan taraf hidup yang baik kepada seluruh rakyat Malaysia dan berharap untuk mengembalikan status kita sebagai Harimau Asia,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perjanjian usahasama 1MDB-PSI `kawan tolong kawan’

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu projek usahasama antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi International Ltd (PSI) dianggap sebagai “kawan tolong kawan”.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Saksi kesembilan pendakwaan itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, pada hari ke-23 perbicaraan bekas perdana menteri itu membabitkan dana 1MDB.

Muhammad Shafee: Jho Low beritahu kamu usahasama ini adalah sebagai “kawan tolong kawan?”

Shahrol Azral: Dia beritahu saya usahasama ini dibuat atas dasar kawan tolong kawan.

Muhammad Shafee: Dia membuat kesimpulan begitu? Saksi itu menjawab “ya”.

Sementara itu, Shahrol Azral memberitahu mahkamah urusan kewajaran berkaitan PSI hanya dibuat secara lisan sebelum usahasama diwujudkan dengan 1MDB.

Saksi itu berkata urusan kewajaran berkaitan PSI tidak dinyatakan di atas kertas atau dibentangkan kepada ahli lembaga dana berkenaan.

“Pada masa itu, kami faham bahawa kami perlu melaksanakan perjanjian G2G. Pada masa itu juga, saya percaya PSI adalah rakan yang boleh dipercayai, ” katanya.

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, dengan Timbalan Pendakwa Raya Kanan dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pendakwaan.

-BERNAMA