Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

1MDB: Jho Low beri isi kandungan surat ‘lindungi’ Najib

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low memberi isi kandungan surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi tujuan ‘ melindungi’ Datuk Seri Najib Razak daripada berdepan risiko politik bekas perdana menteri itu.

Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata antara 2009 dan 2010, beliau menandatangani beberapa surat termasuk surat kepada Najib bagi mengelak daripada memberikan maklumat sulit mengenai 1MDB kepada Jabatan Audit Negara.

Maklumat itu bagi tujuan penelitian terperinci syarikat terbabit dalam proses pengambilalihan Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) oleh 1MDB, demikian keterangan oleh Shahrol Azral pada hari ke-21 perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1MDB oleh Najib.

Beberapa daripada surat itu yang dialamatkan kepada Najib dalam kapasiti ketika itu sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan pemegang saham tunggal 1MDB selaku ketua Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF) Inc., dikemukakan di mahkamah oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Shahrol Azral, 49, memberitahu beliau menulis surat itu kepada Najib berdasarkan nota maklumat yang diberikan oleh Jho Low dan percaya arahan untuk menyekat pemberian maklumat sulit itu datang daripada Najib.

Saksi pendakwaan kesembilan itu juga mengakui beliau tidak pernah semak dengan Najib sama ada arahan Jho Low itu sebenarnya daripada bekas perdana menteri itu walaupun menyedari ia menghalang usaha Jabatan Audit Negara melakukan penelitian terperinci syarikat itu.

Muhammad Shafee: Apabila dia (Jho Low) mengarahkan anda untuk berbuat demikian, tidakkah anda fikir dia menghalang apa yang sedang dilakukan oleh Jabatan Audit Negara?

Shahrol Azral: Pada masa itu, apabila saya menyalin surat ini, saya merasakan bahawa saya perlu mematuhi apa juga dikehendaki oleh jabatan itu tetapi Jho Low sedang berkomunikasi dengan saya dengan mengatakan bahawa ia adalah bahaya kepada Najib dari segi politik jika Jabatan Audit Negara melakukan penelitian perinci syarikat dan seterusnya menyerahkan kandungan ini kepada saya. Dia tidak menulis deraf surat itu tetapi hanya memberi isi kandungan kepada saya.

Muhammad Shafee: Tetapi, seperti anda katakan, dia menjadi penghalang kepada kerja jabatan itu. Kenapa kamu mematuhi dia?

Shahrol Azral: Kerana saya anggap arahan itu daripada Najib.

Saksi itu juga mengatakan beliau dimaklumkan oleh Jho Low supaya amat berhati-hati dengan kebocoran maklumat dari 1MDB termasuk tiada salinan dibuat daripada dokumen 1MDB.

Muhammad Shafee kemudian bertanya jika kedudukannya sebagai CEO 1MDB membuat dirinya berasa bertanggungjawab untuk bertanya dengan Najib jika memangnya arahannya (Najib) (untuk menghalang Jabatan Audit Negara daripada melakukan penelitian terperinci syarikat).

Shahrol Azral sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai alasan untuk menyemak semula dengan Najib sendiri kerana beliau percaya bekas perdana menteri itu dan ahli perniagaan (Jho Low) sentiasa berhubung.

Didesak oleh peguam itu, saksi itu menafikan bahawa beliau bersekongkol dengan Jho Low untuk menghalang proses pengauditan 1MDB untuk menyembunyikan kewangan yang tidak teratur yang wujud hasil terbitan bon bernilai RM5 bilion yang mana 1MDB hanya menerima hasil berjumlah RM4.3 bilion.

Muhammad Shafee: Sikap anda dalam semua surat ini menunjukkan anda bersekongkol dengan Jho Low…anda sembunyikan keadaan sebenar dalam 1MDB yang akan dibongkar dalam audit. Ini termasuk RM700 juta yang disalur kepada Good Star Ltd., yang didakwa dikawal oleh Low. Saya mengatakan anda tidak boleh mengikut arahan Jho Low secara membuta tuli…anda bersekongkol dengan dia.

Shahrol Azral: Saya tidak setuju.

Muhammad Shafee: Satu-satunya adakah Jho Low bertindak seiring dengan beberapa kakitangan dalam 1MDB….orang yang berkepentingan bagi memastikan Ketua Audit Negara tidak terbabit dalam pengauditan atau melakukan penelitian terperinci syarikat menjangkaui tempoh Julai 2009.

Shahrol Azral: Saya tiada komen.

Saksi itu juga enggan mengulas cadangan peguam bahawa beliau tidak terlalu naif untuk sentiasa mempercayai Jho Low walaupun sedar tindakannya menjurus kepada situasi berbahaya.

Merujuk kepada satu lagi surat yang ditandatangani oleh Shahrol Azral, yang menyebut untuk mendapatkan lebih banyak dokumen 1MDB untuk diberikan kepada Jabatan Audit Negara, persetujuan mesti diperoleh bukan hanya daripada lembaga pengarah dan lembaga penasihat dana tetapi juga daripada rakan pelaburannya iaitu Mubadala Co dan PetroSaudi Investment Ltd (PSI).

Muhammad Shafee kemudian bertanya kepada saksi kenapa perlu mendapatkan persetujuan daripada pihak-pihak tersebut.

“Ini kerana maklumat yang diminta adalah mengenai butiran pelaburan dalam perancangan dan pelaburan tersebut adalah dengan rakan-rakan tersebut serta mereka mungkin tidak mahu dokumen tersebut diberikan kepada pihak lain selain 1MDB,” kata Shahrol Azral.

Muhammad Shafee: Jadi anda kini katakan bahawa 1MDB harus diuruskan seperti sebuah entiti sulit ?

Shahrol Azral: Tidak. Saya tidak kata begitu.

Najib, 66, didakwa atas empat pertuduhan salah guna kedudukan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Penasihat 1MDB untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion.

Pada 28 September 2018, Ahli Parlimen Pekan itu mengaku tidak bersalah atas 21 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Saksi: Jho Low lindungi “Bos” mahu e-mel, perbualan BBM dipadam

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Bekas ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini beliau menerima arahan daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low untuk memadamkan perbualan antara mereka untuk melindungi “Bos”.

Ketika memberi keterangan pada perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menghadapi pertuduhan berhubung dana 1MDB, Shahrol Azral, 49, berkata Jho Low meminta beliau memadamkan semua perbualan secara elektronik dan fizikal akibat serangan politik untuk melindungi “Bos” yang dirujuknya sebagai Perdana Menteri ketika itu.

Apabila ditanya oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah selaku peguam utama Najib, saksi kesembilan pendakwaan itu bersetuju bahawa Blackberry Messenger (BBM) adalah bentuk komunikasi teks yang paling selamat pada masa itu.

“Jho Low sebelum ini memberi saya dua peranti BlackBerry, kerana dia tahu saya suka teknologi. Juga keperluan untuk komunikasi antara kami semakin meningkat pada selepas 2014 apabila dia hanya menggunakan BBM untuk mesej teks dan Skype untuk voice calls.

“Jho Low terus mengingatkan saya” kita tidak tahu siapa yang boleh kita percayai, kita perlu memastikan ia selamat untuk melindungi bos iaitu Perdana Menteri, ” kata Shahrol Azral sambil menambah Jho Low berhasrat untuk menggunakan hanya BBM kerana ia tidak boleh diintip.

Bagaimanapun, saksi itu berkata dia tidak berasa curiga terhadap keperluan Jho Low untuk memusnahkan semua bukti kerana Jho Low asyik bercakap mengenai “melindungi bos”

Terdahulu, ketika ditanya oleh Muhammad Shafee, Shahrol Azral berkata tiada satupun telefon bimbitnya diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis apabila dia dipanggil untuk disoal siasat.

Ditanya lagi sama ada dia diancam dengan tindakan sivil kerana tindakannya mengabaikan pengurusan 1MDB, Shahrol Azral menjawab “Tidak”

Bagaimanapun, pada akhir 2018, Ashwin J. Valiram, yang juga Ahli Lembaga 1MDB, menghubungi saya dan memberitahu saya bahawa dia mendapat tahu Kementerian Kewangan sedang merancang untuk mengambil tindakan terhadap pengurusan dan Lembaga Pengarah 1MDB .. Tetapi saya tidak semak dengan kementerian, ” katanya.

Muhammad Shafee: Adakah tindakan diambil terhadap 1MDB?
Shahrol Azral: Belum lagi.
Muhammad Shafee: Mengapa belum?
Shahrol Azral: Kami tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya.
Muhammad Shafee: Adakah anda bimbang tentang cara anda menjawab soalan di mahkamah, bahawa pihak berkuasa akan mengambil tindakan terhadap anda?
Shahrol Azral: Saya tidak bimbang kerana saya tahu saya bercakap benar.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah wang yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Najib arah percepat surat sokongan 1MDB-Aabar

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: “Boss (Datuk Seri Najib Razak) will bulldoze, don’t worry”, kata ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low berhubung surat sokongan usahasama 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Aabar Investment PJS (Aabar).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, ketika membacakan penyataan saksinya di Mahkamah Tinggi hari ini berkata beliau ada mempersoalkan kepada Jho Low sama ada pihak Kementerian Kewangan boleh mengeluarkan surat sokongan itu dalam masa yang amat singkat.

“Namun, Jho Low memberitahu saya bahawa “boss will bulldoze, don’t worry”, bermaksud yang Datuk Seri Najib akan memastikan yang surat sokongan ini akan dikeluarkan dalam masa tercepat.

“Jadi saya yakin dan percaya dengan apa yang Jho Low beritahu sebab ia sejajar dengan apa yang berlaku. Semuanya diatur dan sememangnya berlaku bahawa Datuk Seri Najib mahu ia disegerakan,” katanya.

Shahrol Azral berkata surat sokongan itu berhubung sokongan kewangan daripada pihak Kementerian Kewangan bagi suntikan sebanyak USD3 bilion ke dalam usahasama antara 1MDB dan Aabar.

“Disebabkan itulah, Datuk Seri Najib membuat catatan minit untuk tindakan Kementerian Kewangan sekaligus mengeluarkan surat sokongan bagi menjamin terbitan Bon USD3 bilion.

Nilai USD6 bilion ini ditetapkan oleh Jho Low secara usahasama 50:50 iaitu 1MDB perlu menyuntik separuh daripada nilai usahasama iaitu USD3 bilion.

“Pada hari yang sama saya tandatangani surat bertajuk ‘1MDB – Abu Dhabi and Malaysia USD6 Billion Strategic Acquisition Fund Between 1MDB and Aabar”, Datuk Seri Najib terus minit kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) ketika itu supaya mengambil tindakan segera.

Ia jelas menunjukkan Datuk Seri Najib mahu hal ini diuruskan dengan segera memandangkan selepas sahaja saya tandatangan, beliau terus meminitkan kepada KSP,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Usahasama 1MDB-Aabar biayai PRU13 – Saksi

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa usahasama antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan Aabar Investment PJS Ltd (Aabar) adalah untuk pembiayaan dana bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, usahasama itu juga adalah cadangan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian ketika dirujuk kepada Director’s Circular Resolution (DCR) 1MDB bertarikh 25 Februari 2013 yang bertujuan untuk membuat satu usahasama di mana 1MDB dan Aabar akan melakukan usahasama untuk melabur secara global.

“Usahasama ini akan dipegang sebanyak 50:50 di antara Aabar dan 1MDB. Melalui proses DCR ini, sebenarnya Jho Low telah menyusun atur tindakan penyediaan DCR ini melalui arahan-arahan sulit secara ‘need to know basis’.

“Ini kerana, Jho Low akan ‘feed’ semua maklumat dan data kepada Jasmine Loo (peguam 1MDB) untuk penyediaan DCR-DCR ini. Jasmine Loo akan membuat kertas kerja Director’s Circular Resolution, Special Rights Redeemable dan Minutes Representative (SRRP) berdasarkan kehendak dan pelan perancangan yang digariskan oleh Jho Low.

“Saya tahu berdasarkan tindakan secara umum oleh Jho Low yang mengarahkan dokumen pelan-pelan perancangan bahawa semua tindakan penyediaan DCR akan dibuat oleh Jasmine Loo terutamanya pada masa JV dengan Aabar dan juga terbitan bon USD3 bilion,” katanya pada perbicaraan hari ke-15 kes Najib membabitkan dana 1MDB.

Saksi penting pendakwaan itu berkata ia adalah perancangan sulit Jho Low yang mengikut “pattern” sejak awal lagi dan saksi itu tidak boleh mempersoalkan isi kandungan DCR itu kerana ia merupakan arahan Jho Low yang diberi mandat oleh Najib.

“Jho Low juga ada memaklumkan kepada saya pada masa itu bahawa daripada Joint Venture dengan Aabar ini akan membawa kesan besar untuk PRU13. Saya tidak bertanya lanjut berhubung perkara tersebut.

“Saya hanya membuat kesimpulan bahawa fund raising ini sememangnya mempunyai kaitan dengan PRU13,” katanya.

Shahrol Azral berkata, sebelum “Director’s Circular Resolution, Special Rights Redeemable dan Minutes Representative” ditandatangani, secara kehendaknya Najib memang telah bersetuju dengan cadangan-cadangan dan syor yang dikemukakan di dalam DCR itu.

Katanya, pengeluaran dokumen “Special Rights Redeemable dan Minutes of Representatives” itu hanyalah bagi tujuan formal dan legalize cara sahaja.

“Sebagai bukti, Letter of Support yang dikeluarkan, telah ditandatangani Datuk Seri Najib sendiri. Tambahan pula, joint venture di antara Aabar dan 1MDB adalah merupakan cadangan daripada Datuk Seri Najib sendiri. Saya sendiri dimaklumkan oleh Jho Low bahawa rancangan usahasama di antara pihak Aabar dan 1MDB adalah merupakan cadangan daripada Datuk Seri Najib.

“Ini merupakan dokumen DCR yang disediakan oleh Jasmine Loo sepertimana arahan Jho Low. Saya sahkan saya tandatangan sebagai salah seorang Director.

“Ini kerana sejak awal lagi segala cadangan dalam DCR ini adalah arahan Datuk Seri Najib melalui mandat kepada Jho Low berdasarkan pelan perancangan sulit yang telah dihantar kepada saya awal lagi.

“Saya sahkan semasa saya menandatangani DCR ini, saya telah ditunjukkan dengan SRRP dan Minutes By Representative yang tidak bertarikh dan yang telah ditandatangani oleh Datuk Seri Najib,” katanya.

Shahrol Azral berkata beliau membuat kesimpulan bahawa Najib telah mengetahui hal itu terlebih dahulu dan telah memberikan kelulusannya.

“Saya terus tandatangan sebab tiada alasan untuk saya bertanya banyak memandangkan Datuk Seri Najib dah setuju dan tandatangan kedua-dua dokumen tersebut,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan keempat-empat kesalahan itu di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014, manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jho Low proksi Najib isu pembelian IPP dan jaminan IPIC

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low adalah proksi kepada Datuk Seri Najib Razak dalam menguruskan isu berkaitan pembelian pengeluar tenaga bebas (IPP) serta bon yang dijamin International Petroleum Investment Co (IPIC).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, sepanjang proses pengumpulan dana bagi pembelian Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd (TEHSB), perbualan antaranya dan Jho Low serta nota maklumat daripada ahli perniagaan itu melalui e-mel kepadanya, membuatkan beliau yakin Najib mengetahui dan menyokong penuh usaha itu.

“Saya percaya walaupun idea asal untuk membeli syarikat TEHSB ini datangnya dari saya berdasarkan perbualan saya dengan Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala Infrastructure Partners, Phillip K Haddad; Jho Low dan Datuk Seri Najib telah mengambil peluang untuk ‘scale-up’ (memperbesarkan) idea ini dengan membeli IPP lain di Malaysia seperti Genting dan YTL.

“Pembelian IPP lain ini akan mewujudkan alasan untuk nilai ‘fund-raising’ (pengumpulan dana) yang lebih tinggi.

“Saya ada terlibat dalam perbincangan awal dengan Genting dan YTL. Ini adalah salah satu justifikasi yang diberi oleh Jho Low apabila saya bertanya mengenai terbitan bon yang amat besar berbanding keperluan untuk membeli IPP TEHSB dan Genting Sanyen,” katanya.

Saksi kesembilan yang juga saksi penting pendakwaan itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ke-14 perbicaraan kes Najib yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Saksi itu berkata, Jho Low juga menyarankan 1MDB menerbitkan bon-bon US$1.75 bilion itu secara sekali gus dan dinamakan ‘Project Magnolia’.

“Jho Low berkata kepada saya, ‘do it quickly before IPIC changes their mind on the guarantee because of politics in Abu Dhabi’ (buatlah dengan segera sebelum IPIC menukar fikiran berkenaan jaminan itu disebabkan keadaan politik di Abu Dhabi) dan dia memberitahu saya secara peribadi sekitar Mei 2012.

“Saya juga percaya yang idea ‘funding’ (pembiayaan) melalui terbitan bon yang dijamin oleh IPIC dicetuskan oleh Jho Low dan Pengarah Goldman Sachs (Malaysia) Sdn Bhd, Tim Leissner dengan sokongan Datuk Seri Najib kerana tanpa sokongan beliau, amat mustahil untuk 1MDB mendapatkan jaminan dari pihak IPIC,” katanya.

Terdahulu, Goldman Sachs selaku perunding kewangan bagi 1MDB mencadangkan bagi pembiayaan pembelian TEHSB ditanggung melalui pinjaman penyambung bersindiket daripada Maybank dan RHB berjumlah RM6.17 bilion serta selebihnya hasil daripada terbitan bon yang dijamin oleh IPIC sejumlah US$1.75 bilion yang diterbitkan oleh 1MDB Energy Limited (1MEL) iaitu syarikat yang terletak di pesisir Labuan milik 1MDB.

“Tim Leissner menjelaskan justifikasi harga RM10.6 bilion secara terperinci kepada ahli lembaga pengarah, namun ia terlalu teknikal dan rumit tetapi kami tidak mempersoalkan harga tersebut kerana percaya mereka telah mendapatkan pandangan Perdana Menteri melalui Jho Low kerana perolehan IPP ini melibatkan kos yang tinggi dan melibatkan dasar tenaga negara.

“Kedua-dua pinjaman dan terbitan bon ini menjadikan keseluruhan dana untuk proses pengambilalihan ini adalah lebih kurang RM11.4 bilion,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin depan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

BNM benarkan 1MDB beri pinjaman AS$330 juta kepada Petrosaudi BVI

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) memberikan kebenaran kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk memberi pinjaman mata wang asing tambahan berjumlah US$330 juta kepada PetroSaudi BVI, pada Mei 2011.

Perkara itu didedahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, pada hari ke-14 perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak membabitkan dana 1MDB semasa pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Terdahulu, saksi pendakwaan kesembilan itu mengesahkan surat bertajuk ‘Kebenaran BNM berkenaan pemberian pinjaman mata wang asing kepada bukan pemastautin bertarikh 20 Mei 2011″.

“Pihak BNM merujuk kepada permohonan yang dibuat Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Radhi Mohamad bertarikh 18 Mei 2011 serta mesyuarat antara pihak 1MDB dengan BNM pada keesokan hari iaitu pada 19 Mei 2011, yang memberikan kebenaran kepada 1MDB untuk memberi pinjaman mata wang asing tambahan berjumlah US$330 juta kepada PetroSaudi BVI,” katanya.

Saksi juga dirujuk surat daripada AmBank Berhad kepada 1MDB bertajuk “Confirmation of a foreign exchange transaction” bertarikh 20 Mei 2011.

“Surat ini adalah pemberitahuan kepada AmIslamic Bank Berhad berkaitan arahan pemindahan wang sejumlah US$30,000,000 ke akaun bernombor 11116073.2000, di mana beneficiary bagi akaun ini adalah atas nama PetroSaudi International Limited (PSI),” katanya.

Katanya, arahan untuk memindahkan wang ke akaun bernombor 11116073.2000 adalah daripada CEO PSI, Tarek Obaid berdasarkan surat dari Tarek Obaid bertarikh 12 Mei 2011 yang menyatakan nombor akaun itu.

Ketika dirujuk kepada surat ‘remittance instruction daripada 1MDB kepada AmIslamic berkenaan ‘FX confirmation’ bertarikh 23 Mei 2011, saksi berkata surat itu adalah pemberitahuan kepada bank itu berkaitan arahan pemindahan wang ke akaun PetroSaudi International Limited berjumlah US$65,000,000.

Shahrol Azral juga dirujuk kepada ‘Letter of Instruction (FX Deal) daripada 1MDB kepada Deutsche Bank berkenaan ‘remittance of US$110 million” bertarikh 27 Mei, 2011.

Katanya, surat itu adalah pemberitahuan kepada AmIslamic Bank Berhad berkaitan arahan pemindahan wang ke akaun bernombor 11116073.2000 berjumlah US$110,000,000 dan beneficiary bagi akaun itu adalah akaun nombor 11116073.2000.

“Saya mendapat arahan daripada Tarek Obaid untuk memindahkan wang ke akaun bernombor 11116073.2000 berdasarkan surat dari Tarek Obaid bertarikh 12 Mei 2011 yang menyatakan nombor akaun itu.

“Arahan untuk menggunakan benificiary name account number 11116073.2000 adalah berdasarkan surat daripada Tarek Obaid bertarikh 25 Mei 2011,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Najib setuju 1MDB pinjam PERKESO RM3 bilion untuk beri PSI pinjaman

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju supaya 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memohon pinjaman RM3 bilion daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi memberi pinjaman kepada PetroSaudi International Limited (PSI).

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, ketika membacakan penyataan saksinya berkata bagaimanapun beliau tidak pernah berbincang perkara itu dengan Najib pada masa itu.

Beliau berkata, Najib bersetuju untuk 1MDB memberi pinjaman US$750 juta kepada PSI, tertakluk kepada 1MDB mendapatkan pinjaman RM3 bilion daripada PERKESO.

Shahrol Azral berkata demikian ketika dirujuk kepada ‘Minit Meeting with the Chairman of Board of Advisors (BOA)’ bertarikh 30 Mac, 2011 semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada perbicaraan hari ke-14 kes bekas Perdana Menteri itu membabitkan 1MDB.

Shahrol Azral berkata, dalam minit berkenaan menyatakan Najib juga bersetuju untuk memberi tumpuan kepada projek-projek Maybourne Hotel Group (projek ambilalih hotel di London yang diterajui oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, yang dikenali sebagai Jho Low), SRC International Sdn Bhd dan Kuala Lumpur International Financial District (KLIFD), kini dikenali sebagai TRX.

“Saya sahkan yang saya tidak pernah berbincang dengan Datuk Seri Najib pada masa itu (berhubung perkara terbabit). Minit mesyuarat berkenaan telah disediakan oleh Jho Low dan telah ditandatangani oleh Datuk Seri Najib.

“Minit mesyuarat itu juga telah diserahkan kepada saya oleh Jho Low, namun saya tidak ingat bila minit itu diserahkan,” katanya yang turut memaklumkan bahawa beliau menandatangani minit berkenaan dan menyimpannya.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata, beliau juga memaklumkan kepada Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB semasa mesyuarat pada 4 April, 2011 bahawa Najib bersetuju untuk 1MDB menambah pelaburan dengan PSI.

“Ingin saya nyatakan bahawa cadangan projek Maybourne Hotel Group ini tidak pernah dirancang atau dibincangkan oleh BOD 1MDB dan saya percaya yang Jho Low cuma mahu menggunakan nama 1MDB untuk bidaan hotel itu,” jelasnya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pesanan Jho Low, Najib konsisten berkaitan operasi 1MDB

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Bekas ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa pesanan yang disampaikan oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, yang dikenali sebagai Jho Low kepadanya berhubung operasi 1MDB adalah konsisten dengan maklum balas yang diberikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Shahrol Azral, 49, berkata, semasa pengoperasian 1MDB, Jho Low ada beberapa kali menyampaikan kehendak Najib namun memandangkan ia keputusan yang besar, saya merujuk semula secara bertulis kepada bekas perdana menteri itu untuk mengesahkan kehendak berkenaan.

“Saya dapati bahawa pesanan dan kehendak yang disampaikan oleh Jho Low kepada saya adalah konsisten dengan maklum balas Najib melalui minit dan juga secara lisan,” katanya ketika membacakan penyataan saksi pada hari ke-11 perbicaraan kes Najib membabitkan dana 1MDB.

Mengenai peranan Jho Low sebagai Penasihat Terengganu Investment Authority Berhad (TIA), Shahrol Azral berkata, sebelum beliau menyertai TIA, Jho Low telahpun menjalankan tanggunggjawabnya sebagai Penasihat TIA sejak awal penubuhan TIA lagi.

“Walau bagaimanapun, Jho Low tidak pernah menyatakan kepada saya siapa yang melantiknya sehinggalah pada 8 April 2009, terdapat satu resolusi formal dikeluarkan oleh TIA untuk melantik beliau. Jho Low sendiri yang menyatakan kepada saya bahawa perlunya ada hitam putih (lantikan rasmi) daripada TIA untuk memastikan peranan beliau adalah telus.

“Namun begitu, sebelum lantikan rasmi tersebut dibuat, semua tindakan dan peranan Jho Low adalah konsisten sebagai Penasihat TIA bagi kedua-dua belah pihak iaitu Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan.

“Ini bermakna surat lantikan rasmi tersebut hanyalah formaliti sahaja kerana peranannya telah dilaksanakan sejak dari awal lagi sebelum saya menyertai TIA,” katanya.

Menurut Shahrol Azral, beliau melihat Jho Low sejak dari awal lagi bertindak sebagai penasihat dalam menjaga kepentingan Negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan terutamanya dari sudut pelaburan dan ‘fund raising’.

“Beliau tiada kuasa formal dalam tadbir urus TIA namun beliau boleh mempengaruhi keputusan di peringkat eksekutif kerana beliau mewakili kedua-dua belah pihak atasan iaitu DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin (Kerajaan Negeri Terengganu) dan Najib (Kerajaan Persekutuan),” katanya yang turut memaklumkan beliau nampak Jho Low memainkan peranan besar sebagai penasihat di peringkat TIA.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Najib sakit mata, perbicaraan 1MDB ditangguh

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menangguhkan perbicaraan Datuk Seri Najib Razak yang menghadapi pertuduhan berkaitan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangguh kerana bekas perdana menteri itu mendapat jangkitan konjunktivitis pada matanya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk menangguhkan perbicaraan atas alasan perubatan dan juga kerana ia tidak dibantah oleh pasukan pendakwaan.

“Yang Arif sekitar pukul 7.15 pagi ini , saya menerima panggilan daripada pelanggan saya dan juga daripada isterinya, memaklumkan saya bahawa beliau disyaki mempunyai konjunktivitis di matanya akibat jerebu …beliau keluar malam semalam.

“Pada masa ini, beliau masih berada di rumah. Pelanggan saya telah memaklumkan kepada saya bahawa beliau hanya dapat berjumpa pakar di Garden Mall pada jam 10.30 pagi. Jadi, kemudian saya akan menyerahkan salinan chit perubatan, saya menjangka sekurang-kurangnya hari ini atau esok beliau akan bercuti sakit, “katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram tidak membantah permohonan itu dan berkata mereka akan menunggu laporan perubatan tersebut.

Hakim Sequerah menetapkan jika tertuduh mendapatkan cuti sakit hanya satu hari, prosiding itu akan disambung semula esok.

“Jika cuti sakit diberikan selama dua hari, pendengaran kes akan disambung semula Selasa depan,” katanya.

Ini adalah kali kedua perbicaraan Najib ditangguhkan kerana bekas perdana menteri mendapat jangkitan konjunktivitis pada matanya.

Kali pertama pada 14 Ogos lalu sewaktu pendengaran kes SRC International yang ditangguhkan selepas Najib diberi cuti sakit selama tiga hari kerana jangkitan virus itu.

Hari ini pasukan pembelaan dijangka meneruskan pemeriksaan balas bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, yang merupakan saksi pendakwaan kelapan.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan empat kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014, dan untuk 21 lagi pertuduhan antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat yang sama.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pendakwaan bakal buktikan Najib cuba lindungi perlakuan jenayah

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Pihak pendakwaan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan membuktikan Datuk Seri Najib Razak dan Low Taek Jho atau Jho Low mengambil langkah untuk menutup jejaknya selepas skandal 1MDB terbongkar, pada awal Julai 2015.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kenyataan pembukaan perbicaraan kes 1MDB Najib berkata, dokumen palsu dihasilkan kononnya sumbangan daripada Putera Arab Saudi.

“Antaranya adalah surat dan empat cek, setiap satu berjumlah US$25 juta yang ditulis oleh seseorang yang dikatakan penderma Arab. Tetapi cek berkenaan bukan bermaksud untuk ditunaikan dan tidak pernah ditunaikan.

“Pihak pendakwaan juga akan mengemukakan bukti yang menunjukkan tertuduh mengambi langkah aktif untuk mengelakkan keadilan. Beliau juga mengganggu perjalanan penyiasatan kes ini yang dikenali sebagai Skandal 1MDB.

“Beliau juga mengambil langkah aktif untuk menutup perlakuan jenayahnya. Pihak pendakwaan akan mengemukakan semua bukti ini untuk menunjukkan bahawa tertuduh mempunyai mens rea (niat untuk jenayah),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kenyataan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah pada hari pertama perbicaraan kes 1MDB Najib.

Menjelaskan berhubung kes itu, Sri Ram berkata, wang dalam kes itu adalah daripada sebuah syarikat, 1Malaysia Development Berhad, lebih dikenali sebagai 1MDB yang dahulunya dikenali sebagai Terengganu Investment Authority or TIA.

Beliau berkata, tertuduh memainkan peranan penting dalam pertukaran nama kepada 1MDB dan menyebabkan pindaan dibuat dalam artikel syarikat untuk meletakkan beliau sebagai kawalan tunggal berhubung perkara penting berkaitan perniagaan dan hal ehwal syarikat.

“Maksudnya, beliau adalah plenipotensiari (berkuasa mutlak). Tambahan lagi, beliau adalah pengerusi lembaga penasihat syarikat.

“Beliau menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan untuk melakukan tindakan tertentu dan mempengaruhi ahli lembaga pengarah 1MDB untuk melakukan transaksi tertentu yang tidak wajar dengan tergesa-gesa.

“Tujuan utama tertuduh adalah untuk kepuasan diri. Beliau berjaya mencapai matlamat itu,” katanya.

Sri Ram juga berkata ‘lakonan terperinci’ dilakukan dalam beberapa fasa membabitkan beberapa watak.

Katanya, tertuduh memainkan peranan penting yang bermatlamat untuk memperkayakan dirinya.

Beliau berkata, walaupun kes itu mempunyai empat fasa, kejadian berkenaan dengannya, dianggap sebagai sebahagian daripada cerita berturut-turut kerana rancangan yang dirancang oleh tertuduh untuk memperkayakan dirinya.

“Watak penting dalam ‘lakonan’ ini adalah seorang lelaki bernama Low Taek Jho atau Jho Low. Dia adalah pelarian keadilan. Dia terlibat dalam TIA dan kemudian 1MDB,” katanya.

Sri Ram berkata, pihak pendakwaan akan membuktikan tertuduh melalui kata-kata dan kelakuannya jelas kepada pegawai 1MDB, lembaga syarikat itu dan lain-lain bahawa Jho Low adalah individu yang dipercayainya.

“Pada hakikatnya, Jho Low adalah imej yang mencerminkan tertuduh. Pihak pendakwaan akan mengemukakan fakta yang menunjukkan Jho Low dan tertuduh bertindak sebagai ‘satu’ pada setiap masa,” kata Sri Ram.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perbicaraan kes 1MDB Najib ditangguh 26 Ogos

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Perbicaraan berprofil tinggi yang dinanti-nantikan membabitkan Datuk Seri Najib Razak yang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ia termasuk 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama, ditangguhkan sehingga Isnin depan (26 Ogos).

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan kes 1MDB Najib, juga dikenali sebagai perbicaraan ‘1MDB-Tanore’ yang dijadual bermula hari ini, selepas membenarkan permohonan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram kerana pihak pendakwaan baru menyerahkan 15 berkas dokumen dan pernyataan saksi kepada pihak pembelaan.

Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, berkata ia juga untuk memberi laluan kepada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd diselesaikan terlebih dahulu.

Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes SRC hampir menamatkan kes itu dengan saksi terakhir pendakwaan masih belum selesai memberi keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Sebelum ini, Hakim Sequerah menetapkan 19 hingga 29 Ogos; bulan September dan Oktober kecuali pada Jumaat; dan dua minggu pertama November bagi perbicaraan kes 1MDB bekas perdana menteri itu.

Pihak pendakwaan telah memohon supaya perbicaraan itu ditangguhkan bagi kali keempat untuk memberi laluan kepada perbicaraan kes SRC Najib.

Pada  18 Julai, Hakim Justice Sequerah menolak notis usul pendakwa raya untuk menangguhkan perbicaraan itu.

Pada 8 Julai, Hakim Sequerah menolak permohonan lisan Peguam Negara  Tommy Thomas untuk menangguhkan kes  1MDB yang dijadualkan pada 19 Ogos sehingga kes  SRC diselesaikan.

Pada 30 April, pihak pendakwaan memfailkan usul pertama untuk menangguhkan perbicaraan kes 1MDB yang telah ditetapkan selama  14 hari dari 15 April hingga  3 Mei. Hakim membenarkan permohonan itu dan menjadualkan semula kes berkenaan dari  14 Mei hingga 21 Jun.

Pada 2 Mei, pihak pendakwaan memohon satu lagi penangguhan menerusi permohonan lisan. Mahkamah membenarkan penangguhan itu dan menjadualkan semula perbicaraan kepada 19 Ogos.

Pada 20 September  2018,  Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah  RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan  21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama.

Najib, yang diwakili sepasukan peguam diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua  25 pertuduhan itu dan kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Mengenai empat pertuduhan rasuah,  Najib didakwa melakukan kesalahan itu di cawangan AmIslamic Bank Berhad, No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan  19 Dis 2014 mengikut Seksyen  23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia  (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Beliau berdepan hukuman penjara sehingga  20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara  22 Mac 2013 dan  30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

1MDB: Mahkamah Rayuan sahkan perbicaraan Najib bermula 19 Ogos

PUTRAJAYA, 5 OGOS: Mahkamah Rayuan hari ini mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan bermula pada 19 Ogos.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim, dalam keputusan sebulat suara, menolak kedua-dua rayuan yang difailkan pihak pendakwaan serta pembelaan.

“Ini bukanlah kes yang patut dan sesuai untuk campur tangan mahkamah rayuan,” kata Hakim Abdul Rahman, yang mengetuai panel hakim itu.

Beliau berkata mahkamah tidak diyakinkan bahawa hakim yang berkenaan telah melaksanakan budi bicaranya atas prinsip yang salah dalam menolak permohonan untuk penangguhan.

“Yang arif hakim telah pun mengemukakan alasan beliau, dan kami berpendapat bahawa alasan yang beliau beri adalah sah,” katanya ketika mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Hakim Abdul Rahman berkata hakim Mahkamah Tinggi turut menjelaskan kepada pihak berkenaan bahawa beliau bersedia untuk memenuhi jadual kedua-dua pihak apabila perlu.

“Selain itu, yang arif hakim sudah memberi kebebasan kepada pihak-pihak untuk memohon tarikh dikosongkan untuk perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd diteruskan,” katanya.

Hakim Abdul Rahman berkata pendakwaan tidak boleh memilih untuk mengenakan pertuduhan berganda dan kemudian memilih untuk menangguhkannya; satu kes mesti diselesaikan terlebih dahulu sebelum kes yang satu lagi, dan menambah, mahkamah tidak boleh digunakan semata-mata sebagai repositori.

Pada 18 Julai, Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan itu, yang juga dikenali sebagai ‘perbicaraan Tanore’.

Pendakwaan mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan ditangguhkan buat kali keempat sehingga selesai kes Najib berkaitan dana SRC International Sdn Bhd.

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB, berjumlah RM2.28 bilion.

Anggota Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd, No 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 2011 dan 2014.

Mengenai perbicaraan kes SRC yang sedang berjalan, Najib berdepan tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta iaitu tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, memaklumkan mahkamah bahawa beliau mendapat arahan untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan berkata pendakwaan akan turut merayu terhadap keputusan hari ini.

-BERNAMA