Categories
NASIONAL

Teresa Kok: Bukan DAP saja bangkitkan, Mahathir juga persoal 1MDB

SHAH ALAM, 23 NOV: Ahli Parlimen Seputeh (DAP), Teresa Kok mempersoalkan tindakan Ketua Umno bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Al Habshee yang menggesanya tidak mempolitikkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kok berkata, Syed Ali sepatutnya menganggap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempolitikkan isu 1MDB kerana turut mengkritik syarikat pelaburan negara itu.

“Adakah beliau (Syed Ali) akan menuduh Mahathir mempolitikkan isu 1MDB untuk memburukkan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak?,” katanya yang dipetik dari Malaysia Kini.

Beliau berkata, Mahathir membangkitkan beberapa persoalan berkenaan lambakan hutang dan penggunaan dana 1MDB, pada September lalu.

“Isu berkenaan 1MDB dan dibangkitkan oleh DAP dan Mahathir adalah isu yang sangat serius dan memerlukan delegasi Umno untuk berani mengangkatnya dalam perbahasan mereka,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Syed Ali yang mempersoalkan tindakan DAP yang menggesa Umno membincangkan isu 1MDB ketika perhimpunan agung parti itu, pada 21 November lalu.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Forum 1MDB tiada wakil kerajaan, satu forum lagi dianjurkan

Oleh: Akmal Nasir
Sukacita dimaklumkan National Oversight & Whitsleblowers (NOW) bersama Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) akan menganjurkan satu lagi forum berkenaan 1MDB bertajuk ‘1MDB: Kemanakah Wang Rakyat?’

Ini adalah rentatan daripada sambutan hebat terhadap forum yang kami anjurkan pada 19 Nov 2014 yang lepas. Terdapat ramai hadirin yang terpaksa berdiri dari awal sehingga akhir forum dan ada yang tidak masuk ke dalam dewan akibat terlalu penuh.

1MDBRakyat amat peka dan berminat untuk mendapat maklumat yang sahih berkenaan 1MDB maka satu lagi forum akan dianjurkan untuk membincangkan fakta dan isu berkenaan 1MDB. Forum akan dikendalikan dalam bahasa Melayu dan terbuka kepada orang ramai (masuk adalah percuma).

Butirannya adalah seperti berikut:-

Tarikh : Khamis, 27 November 2014
Masa : 830 malam – 1100 malam
Tempat : Menara MPAJ, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah, Selangor 55100 Kuala Lumpur

Namun, kegagalan beberapa ahli panel yang dijemput untuk hadir pada forum yang lepas termasuk Y.B Timbalan Menteri Kewangan dan Ketua Pengarah Eksekutif 1MDB menyebabkan tiada penjelasan balas yang diberikan oleh pihak 1MDB.

Maka untuk forum kedua ini kami menjemput ahli-ahli parlimen, pimpinan muda daripada parti kerajaan untuk membentangkan hujah-hujah mereka. Senarai penuh ahli-ahli panel adalah seperti berikut:-

1. Yang Berhormat Datuk Wira Haji Ahmad bin Haji Hamzah
Ahli Parlimen Jasin

2. Yang Berhormat Tuan Mohamed Hanipa Bin Maidin
Ahli Parlimen Sepang

3. Yang Berhormat Tuan Tony Pua
Ahli Parlimen PJU

4. Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Rafizi bin Ramli
Ahli Parlimen Pandan

5. Saudara Tan Keng Liang
Ketua Pemuda GERAKAN

6. Saudara Shahril Hamdan
EXCO Pemuda UMNO

Surat jemputan rasmi kepada ahli-ahli panel telah dihantar semalam (rujuk lampiran). Saya percaya forum sebegini adalah pentas yang terbaik untuk menjelaskan fakta-fakta berkaitan 1MDB kepada rakyat agar rakyat sentiasa mendapat penjelasan secara telus dan terbuka.

*Akmal Nasir adalah Pengarah National Oversight & Whistleblowers

Categories
KENYATAAN MEDIA

Ketua Audit Negara & Gabenor Bank Negara patut siasat 1MDB

Oleh: Rafizi Ramli

Saya telah mengajukan 4 soalan rasmi bagi siding Dewan Rakyat kali ini untuk mendapat maklumat lanjut mengenai pelaburan 1MDB dari Dato’ Seri Najib Tun Razak. Hari ini, saya mendapat jawapan dari Dato’ Seri Najib Tun Razak bagi soalan no. 38 yang saya ajukan.

Malangnya, Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak memberi sebarang jawapan malah menyalin bulat-bulat (“copy and paste”) perenggan yang sama dalam soalan-soalan lain berhubung 1MDB setakat ini. Jawapan Dato’ Seri Najib Tun Razak mengenai perkara ini adalah seperti di bawah yang diulang dalam soalan-soalan lain:

“1MDB memastikan fi dan perbelanjaan adalah dinyatakan dengan betul di dalam penyata kewangan yang telah diaudit. Apa-apa maklumat lain yang telah dinyatakan di dalam penyata kewangan adalah milik persendirian (proprietry) syarikat”

Keengganan Dato’ Seri Najib Tun Razak memberi maklumat mengenai pelaburan 1MDB adalah satu penghinaan kepada Dewan Rakyat. Namun, perkara yang lebih membimbangkan saya ialah keengganan itu memberi gambaran ada sesuatu yang perlu disembunyikan.

Oleh kerana skandal 1MDB ini membawa risiko besar kepada kedudukan kewangan negara dan Dato’ Seri Najib Tun Razak menyembunyikan maklumat dari rakyat, saya percaya masanya telah tiba supaya institusi-institusi utama negara mengambil tindakan untuk campur tangan dalam menentukan di mana dan ke mana dana rakyat yang diambil 1MDB ini.

Maka, pada hari ini saya akan menulis secara rasmi kepada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang untuk memulakan siasatan ke atas 1MDB bagi menentukan apakah risiko yang dibawa oleh 1MDB kepada tanggungan hutang Kerajaan Persekutuan setakat ini, mengambil kira prestasi kewangan 1MDB setakat ini.

Saya juga akan menulis secara rasmi pada hari ini kepada Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz supaya memulakan siasatan terhadap aliran dana dan pemindahan dana keluar masuk negara yang melibatkan 1MDB mengikut peruntukan di bawah Akta Penggubahan Wang Haram (Anti Money Laundering Act).

Mengikut peraturan anti-penggubahan wang haram (anti money laundering) yang diterima pakai secara bersama di seluruh negara, sebarang aliran dan pemindahan wang keluar masuk sesebuah negara perlu diisytiharkan dengan maklumat terperinci mengenai latar belakang pemindahan itu seperti dari mana wang itu datang, siapa yang menguruskan wang itu, syarikat mana terbabit, untuk apa wang itu digunakan dan lain-lain.

Saya yakin Tan Sri Zeti Akhtar Aziz akan membuat tindakan yang betul dengan menyiasat dan mengumumkan butiran dana 1MDB yang sebelum ini sering kali dipindahkan ke seluruh dunia.

Jika saya tidak mendapat sebarang maklumat dari Bank Negara Malaysia, saya akan membuat permohonan rasmi kepada badan-badan serupa di Hong Kong, Singapura dan Switzerland agar siasatan rasmi di bawah peraturan anti-penggubahan wang haram (anti money laundering) juga dimulakan di negara-negara ini terhadap 1MDB.

Saya akan mengedarkan surat-surat yang dihantar kepada Ketua Audit Negara dan Gabenor Bank Negara Malaysia menjelang akhir hari ini.

* RAFIZI RAMLI adalah Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN dan Ahli Parlimen Pandan

Categories
NASIONAL

Audit & Bank Negara patut siasat skandal dana 1MDB

SHAH ALAM 21 NOV: Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang diminta untuk melakukan audit terhadap skandal dana yang melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata beliau akan menulis surat kepada Tan Sri Ambrin bagi tujuan itu.

1MDBKatanya, surat juga turut dihantar kepada Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Aziz untuk siasatan di bawah akta Anti Pengubahan Wang Haram.

Rafizi berkata, ia bagi menyiasat dana berjumlah RM7 bilion yang disimpan secara sulit di bank luar pesisir Kepulauan Cayman.

Katanya, sekiranya Bank Negara tidak mahu menyiasat perkara ini, beliau akan meminta bantuan kerajaan dari luar untuk menyiasat skandal berkenaan.

“Saya akan tunggu jawapan rasmi dengan Bank Negara Malaysia dahulu. Kalau kita dapat jawapan “copy paste” begini, kita akan bekerjasama dengan Singapura, Hong Kong dan Switzerland,”

“Sekiranya Bank Negara betul-betul tegas mengenai akta anti-penggubahan wang haram ini, bank negara sepatutnya mempunyai pernyataan maklumat mengenai aliran wang ini. Ini bukan jumlah sedikit tetapi RM7 bilion,” katanya dipetik Keadilan Daily.

Beliau berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyalin bulat-bulat jawapan (copy paste) kepada soalan mengenai butiran lanjut tentang Syarikat yang berkait dengan 1MDB (Bridge Partner).

Najib katanya, memberi jawapan bahawa 1MDB memastikan fi dan perbelanjaan dinyatakan dengan betul di dalam penyata kewangan yang telah diaudit. Manakala maklumat lain yang dinyatakan dalam penyata kewangan adalah milik persendirian (proprietry) syarikat.

“Ini satu penghinaan yang besar kepada dewan apabila PM langsung tidak mahu menjawab dan “copy paste” jawapan,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

1MDB: Rakyat bakal bayar tarif elektrik lebih mahal

PETALING JAYA, 20 NOV: Rakyat berdepan dengan bayaran bekalan elektrik lebih tinggi beberapa tahun akan datang jika Kerajaan Pusat memberikan kontrak kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membina dan mengendalikan loji kuasa serta menjual tenaga elektrik untuk membayar hutangnya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara (DAP), Tony Pua menjelaskan, hal itu ekoran 1MDB terpaksa melangsaikan pinjaman RM42 bilion dan mengalihkannya bebanan hutang itu kepada rakyat.

“Risiko kepada ekonomi besar kerana ia akan mempunyai kesan domino jika 1MDB mungkir.

1MDB“Sebab itu kerajaan dengan cepat cuba mencari wang membantu 1MDB membayar hutangnya,” kata ketika Forum 1MDB: Negara Berhutang di sini, malam tadi.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, jika 1MDB tidak boleh membayar hutang mereka dan jika jatuh, ia boleh menarik ekonomi turun bersamanya kerana hutangnya berjumlah hampir RM20 bilion dijamin Putrajaya.

Katanya, perkara itu bermakna Kerajaan Pusat perlu campur tangan dan membayar hutang 1MDB jika syarikat terbabit memungkirinya.

Rafizi berkata, sebahagian daripada kontrak itu mempunyai tarif elektrik yang lebih tinggi daripada biasa yang akhirnya akan diturunkan kepada pengguna.

Menurut laporan terdahulu, 1MDB dianugerahkan projek loji kuasa arang batu bernilai RM11 bilion pada awal tahun ini dalam satu tender terbuka yang menjadi kontroversi.

-NFN-

Categories
NASIONAL

1MDB: Rafizi, Mahathir berkongsi pentas sama

KUALA LUMPUR 15 NOV: Isu 1Malaysia Development Berhad(1MDB) bakal menyaksikan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bakal berkongsi pentas dengan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

Forum anjuran National Oversight and Whistleblowers (NOW) itu akan diadakan, pada 19 November ini.

RafiziPengarah NOW, Akmal Nasir berkata, satu surat jemputan rasmi yang dihantar kepada kesemua ahli panel untuk mendapatkan maklum balas segera.

Katanya, forum itu terbuka kepada orang ramai yang akan diadakan di The Club@Bukit Utama, Petaling Jaya, pada jam 8.30 malam.

Hal itu rentetan pendedahan dokumen berkaitan dan percanggahan kenyataan daripada pihak Pakatan Rakyat (PR) dan kerajaan membabitkan isu 1MDB.

“NOW mengambil inisiatif untuk menganjurkan satu forum untuk mendapatkan penjelasan secara terbuka bagi rakyat memahami isu sebenar yang membelenggu 1MDB.

“Forum yang bertajuk ’1MDB: Negara Berhutang?’ ini akan dihadiri panel yang banyak mempersoalkan atau membincangkan isu 1MDB secara terbuka sebelum ini,” katanya yang dipetik dari Keadilan Daily.

Dr.-Mahathir-MohamedSebelum ini, satu rencana yang diterbitkan akhbar kewangan The Edge melaporkan bahawa hutang 1MDB berjumlah RM36 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2013 bakal meningkat kepada RM40 bilion bagi tahun ini.

Antara ahli panel yang dijemput adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Rahman dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

“Jika boleh saya mengharapkan ahli panel dapat hadir atau paling tidak menghantar wakil ke forum ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

Parlimen: Tony Pua gelar 1MDB ‘bodoh’

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua menggelarkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebagai firma ‘bodoh’ kerana membayar komisyen berlebihan kepada firma pelaburan Goldman Sachs.

Katanya, bayaran komisyen berkenaan adalah untuk penganjuran majlis kutipan derma pada 2012 dan 2013.

1MDBPua merujuk kepada satu laporan akhbar The Edge, berhubung wang komisyen bernilai 10 peratus dari RM15.2 bilion yang berjaya dikumpul dalam majlis amal itu.

Pua turut mempersoalkan mengapa 1MDB membayar komisyen amat tinggi kerana kadar untuk acara sebegini biasanya hanya antara 0.2 hingga dua peratus daripada dana yang terkumpul.

“Dalam keadaan biasa, pengumpulan RM15.2 bilion oleh satu entiti tidak akan membabitkan kos lebih RM152 juta.

“Bagaimanapun 1MDB membayar RM1.54 bilion. Pengurusan tertinggi 1MDB adalah sekumpulan orang bodoh yang tidak cekap,” katanya yang dipetik daripada Malaysia Kini dalam sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Hutang 1MDB melebihi RM30 bilion?

SHAH ALAM 11 SEPT: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendakwa 1MDB menanggung hutang melebihi RM30 bilion.

Katanya beliau mempunyai bukti bahawa hutang RM5 bilion yang didakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah tidak benar.

Berikut adalah kenyataan media Rafizi Ramli berhubung perkara itu:

1MDBSaya mengambil maklum kritikan Tun Mahathir Mohamad mengenai dana1MDB yang dikumpul dari hutang dan bukannya dari keuntungan yang dijana.

Tun Mahathir Mohamad juga mempersoalkan kenapa sejumlah besar dana 1MDB disimpan di pusat kewangan luar pesisir pantai (offshore financial centre) iaitu Pulau Cayman yang sudah pasti tidak telus dan menyembunyikan maklumat pengurusan dana.

Saya selalunya berbeza pendapat dengan Tun Mahathir Mohamad dalam banyak perkara. Namun saya menyokong penuh pendirian dan pendapat Tun Mahathir Mohamad mengenai 1MDB.

Malah, saya berpendapatan kedudukan kewangan 1MDB dan pengurusannya yang tidak telus merupakan satu ancaman kepada kestabilan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Laporan-laporan kewangan yang diperolehi dari akhbar kewangan meletakkan jumlah hutang yang ditanggung oleh 1MDB adalah melebihi RM30 bilion.

Ini berdasarkan beberapa siri penerbitan bon untuk mengumpul dana secara berhutang yang dijalankan oleh 1MDB sejak beberapa tahun yang lalu.

Dalam beberapa sidang parlimen yang lepas, ahli-ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat sering mengajukan soalan berapakah jumlah hutang yang dijamin oleh Kerajaan Malaysia dari jumlah keseluruhan RM30 bilion ini.

Setiap kali soalan ini ditanyakan, jawapan Dato’ Seri Najib Tun Razak adalah konsisten iaitu hanyalah RM5 bilion sahaja iaitu jumlah bon pertama yang diterbitkan oleh 1MDB. Beliau menjawab secara rasmi di dalam Parlimen bahawa jumlah hutang yang lain tidak dijamin oleh Kerajaan Malaysia.

Saya mempunyai dokumen yang boleh mengesahkan bahawa jawapan Dato’ Seri Najib Tun Razak itu adalah tidak tepat dan memberi gambaran yang salah kepada Parlimen.

Hasil siasatan saya setakat ini menunjukkan bahawa keseluruhan hutang 1MDB berjumlah RM30 bilion itu adalah tanggungjawab sepenuhnya Kerajaan Malaysia.

Ini bermakna bahawa sekiranya 1MDB gagal melunaskan hutang-hutang tersebut, Kerajaan Malaysialah yang bertanggungjawab melangsaikan hutang itu – sudah tentu menggunakan wang rakyat.

Oleh sebab itu, saya berpendirian bahawa hutang 1MDB yag begitu besar itu adalah satu ancaman besar kepada kestabilan ekonomi negara terutamanya kerana tidak ada tanda-tanda prestasi yang memberangsangkan yang ditunjukkan 1MDB setakat ini.

Saya percaya Tun Mahathir Mohamad mempunyai maklumat yang sama. Sebab itulah beliau tidak dapat menyembunyikan lagi kebimbangan beliau.

Kali terakhir saya menimbulkan isu dana 1MDB disimpan di Pulau Cayman yang tidak telus, 1MDB telah menghantar satu surat saman yang menyatakan ia akan mengambil tindakan mahkamah untuk menghentikan saya dari terus menimbulkan isu itu.

Sekiranya apa yang ditimbulkan oleh Tun Mahathir Mohamad itu tidak betul, makan sewajarnya 1MDB turut menghantar surat saman kepada Tun Mahathir Mohamad dalam masa terdekat ini.

Saya akan mendedahkan dokumen bukti mengenai hutang 1MDB dalam masa terdekat yang menunjukkan Kerajaan Malaysia bertanggungjawa kepada hutang-hutang yang dikumpul 1MDB.

* RAFIZI RAMLI adalah Naib Presiden KEADILAN dan Ahli Parlimen Pandan

 

Categories
NASIONAL

Fungsi Bertindih Dengan Khazanah, 1MDB Akan Dimansuh

KUALA LUMPUR 26 SEPT: Fungsinya bertindih dengan Khazanah Nasional Bhd menyebabkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bakal dimansuhkan.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memberi taklimat Belanjawan 2013 Pakatan Rakyat hari ini, kewujudan 1MDB bukan sahaja menyebabkan perbelanjaan pengurusan meningkat, malah ia turut dijadikan platform pemimpin Umno-BN mengawal harta kerajaan.

“1IMDB ini adalah suatu helah untuk menetapkan supaya Perdana Menteri mempunyai kuasa langsung dalam syarikat mega ini.

“Perdana Menteri di bawah Pakatan Rakyat tidak harus berbuat begitu, tetapi menyerahkan hanya kepada Khazanah.

“Tak perlu satu syarikat untuk dipantau oleh Perdana Menteri atau keluarganya,” ujar beliau.

Selain itu, Anwar dalam taklimat belanjawan yang diadakan di bilik taklimat Dewan Rakyat di sini berkata Khazanah juga akan dikenakan dividen sebanyak RM2 bilion

“Polisi dividen minimum sebanyak RM2 bilion setahun dikenakan kepada Khazanah untuk meningkatkan akauntabiliti dan peranannya dalam pembangunan negara, sama dengan peranan yang dimainkan oleh Petronas selama ini,” kata Anwar lagi.

Sebelum itu Belanjawan 2013 Pakatan Rakyat itu diluluskan oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

Belanjawan tersebut bertema ‘Ekonomi Rakyat, Negara Berkat’.

Categories
NASIONAL

Kerajaan Pusat Beli IPP Mencurigakan dan Tidak Munasabah

SHAH ALAM, 20 SEPT: Keputusan Kerajaan Pusat membeli penjana kuasa bebas (IPP) tertentu menerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disifatkan tidak munasabah dan menimbulkan pelbagai persoalan.

Ini berlaku meskipun Suruhanjaya Tenaga Malaysia telah memberi jaminan yang segala perjanjian konsensi baru dengan mana-mana IPP akan lebih kompetitif dan tidak berat sebelah.

Dalam kes pertama, 1MDB membeli Mastika Lagenda Sdn Bhd yang memiliki 75 peratus saham Genting Sanyen pada Ogos lalu dengan nilai 2.55 bilion.

Harga itu enam kali lebih tinggi daripada nisbah harga-buku purata saham penjana kuasa lain di rantau ini.

Manakala dalam kes kedua, 1MDB membeli Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd daripada jutawan Tan Sri Ananda Krishnan dengan kos pembelian saham berjumlah 8.5 bilion pada Mac lalu.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata tindakan membeli Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd itu memberikan keuntungan berlipat ganda kepada Ananda.

Beliau mendakwa Ananda telah meraih keuntungan berjumlah RM1.9 bilion daripada penjualan itu.

?Sebarang nilai lumayan kepada IPP adalah tidak munasabah, namun disebalik jaminan daripada Suruhanjaya Tenaga.

?Masih wujud lagi perjanjian IPP yang berat sebelah seperti dahulu yang merugikan Petronas, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pembayar cukai,? kata Nik Nazmi.

Di dalam kes Mastika Lagenda Sdn Bhd, adalah lebih murah untuk membina penjana kuasa baru bersaiz sama daripada membeli penjana kuasa milik Genting ini yang sudah berusia 17 tahun.

Nik Nazmi turut mempersoalkan mengapa 1MDB tidak membeli sahaja saham Genting Sanyen yang dimiliki Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“PKNS juga memiliki 25 peratus saham Genting, mengapa 1MDB tidak membeli saham yang dimiliki PKNS?” soalnya lagi.

Maka 1MDB mestilah memberikan jawapan sama ada pembelian IPP-IPP ini dibuat untuk kepentingan rakyat atau untuk menguntungkan kelompok kecil kroni-kroni mereka.