Categories
AGENDA NASIONAL

KPN baharu garis tiga fokus utama pimpin pasukan polis

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani menggariskan tiga fokus utama untuk memimpin Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke arah pasukan polis yang menjaga keamanan, berintegriti dan berkhidmat untuk masyarakat.

Beliau berkata tiga fokus berkenaan adalah untuk memperkasakan integriti dalam kalangan warga PDRM, memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan PDRM dan meneruskan usaha kerajaan mengekalkan kesejahteraan masyarakat.

“Untuk memastikan perkara itu dicapai (memperkasakan integriti), PDRM perlu membuat majlis ilmu seperti memberi penerangan dan meminta semua Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, Ibu Pejabat Polis Daerah dan balai-balai polis untuk mengadakan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP),” katanya kepada Bernama dalam wawancara khas di Bukit Aman baru-baru ini, sempena pelantikan beliau sebagai KPN ke-13 berkuat kuasa Selasa (4 Mei) lepas.

Acryl Sani berkata LDP berkenaan perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk menerangkan topik-topik semasa yang sentiasa menjadi isu.

“Sebagai contoh, kita selalu melihat seseorang anggota polis itu teragak-agak dengan apa tindakan yang perlu dibuat apabila berhadapan dengan sesuatu situasi.

“Zaman sekarang adalah zaman telefon pintar dengan masyarakat merakamkan (tindakan PDRM berhadapan sesuatu situasi) dalam bentuk video dan ini sekali gus menghakis keyakinan masyarakat terhadap kemahiran dan kecekapan PDRM yang sedang menjalankan tugas,” katanya.

Beliau berkata perkara ini perlu diatasi dengan membuat perubahan dalam budaya kerja untuk menjadikan PDRM lebih berintegriti dan mempunyai jati diri.

“PDRM tidak akan sesekali menyembunyikan sebarang bentuk kesalahan jenayah, salah laku, rasuah atau pelanggaran disiplin dalam kalangan warga PDRM,” katanya.

Mengenai fokus kedua iaitu memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan PDRM, Acryl Sani berkata pelaksanaan perkhidmatan (service delivery) ini bukan sahaja di kaunter pertanyaan balai polis atau di sekatan jalan raya (SJR) malah, ia diaplikasikan di mana-mana sahaja, tatkala berlakunya interaksi anggota PDRM dengan masyarakat.

“Maka, disitulah berlaku proses perkhidmatan yang bermula kerana PDRM merupakan satu organisasi dengan cogan kata ‘Sedia Berkhidmat’.

“Cogan kata berkenaan bukan sahaja untuk masyarakat bahkan sesama anggota polis sendiri turut bersedia berkhidmat. Sebagai contoh, anggota polis yang bertugas dalam unit sokongan seperti mekanik dan juruteknik yang memerlukan bantuan antara satu sama lain dalam perkhidmatan,” katanya.

Beliau juga meminta semua pegawai dan anggota polis agar bersikap lebih mesra ketika berurusan dengan masyarakat yang memerlukan bantuan PDRM.

“Saya sering dengar orang ramai dikasari di pejabat pertanyaan dalam bahasa kasar dengan sindiran yang tidak sepatutnya dikeluarkan. Ia satu perkara yang perlu dihentikan di setiap genap aspek di mana perkhidmatan diberikan sama ada di kaunter pertanyaan atau di lokasi SJR.

Selain itu, Acryl Sani berkata beliau dan barisan kepimpinan PDRM memberi jaminan tidak akan sesekali mengabaikan kebajikan pesara polis.

“Saya akan mengarahkan semua ketua polis daerah di seluruh negara untuk membuat semakan mengenai bekas-bekas anggota dan pegawai agar maklumat terkini mereka dikemaskini ke Bahagian Hal Ehwal Pesara Polis, Bukit Aman.

“Kadang-kala terdapat isu apabila kita ingin menghubungi bekas anggota atau pegawai, mereka didapati telah bertukar alamat, berpindah ke kampung atau sebagainya. Keadaan ini menyukarkan kami untuk berurusan dengan mereka khususnya melibatkan aspek kebajikan,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai fokus ketiga iaitu meneruskan usaha kerajaan dalam mengekalkan kesejahteraan masyarakat, beliau berkata PDRM akan sentiasa membantu kerajaan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 serta memastikan tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi rakyat.

“Jika sebelum ini, dilihat fokus utama PDRM adalah ancaman jenayah yang memberi cabaran kepada PDRM namun, sejak tahun lepas cabaran itu telah berubah apabila negara dilanda wabak Covid-19,” katanya.

Acryl Sani berkata PDRM akan terus membantu kerajaan memutuskan rantaian wabak berkenaan kerana kes Covid-19 yang dilihat membimbangkan dan meningkat sejak kebelakangan ini.

“Saya perhatikan masyarakat seolah-olah sudah mula lesu dengan pematuhan SOP tetapi kita tidak boleh leka dan mereka harus faham bahawa Covid-19 ini berada di mana-mana sahaja.

“Saya faham apa yang dialami oleh mereka (lesu dengan pematuhan SOP) bahkan ramai petugas kesihatan dan warga PDRM mengalami kelesuan tetapi mereka terus tekun. Jangan jadikan kebosanan untuk mematuhi SOP ini sebagai perkara yang diambil ringan jika tidak patuh SOP, dibimbangi penularan wabak itu tidak terkawal,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rentas negeri tujuan kerja, perubatan dan pendidikan dibenar Isnin hingga Khamis

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Pergerakan rentas negeri bagi tujuan pekerjaan, perubatan dan pendidikan hanya dibenarkan pada hari Isnin hingga Khamis, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata pergerakan rentas negeri melibatkan ketiga-tiga kategori tidak dibenarkan pada hari Jumaat hingga Ahad.

“Polis mengambil serius peningkatan kes baharu Covid-19 sejak empat hari lepas. Usaha untuk mengekang penularan wabak itu telah diperketatkan polis.

“Ini tidak termasuk bagi urusan melibatkan kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Acryl Sani berkata untuk rentas negeri bagi tujuan kecemasan dan kematian yang dibenarkan hanya melibatkan ahli keluarga terdekat iaitu ibu bapa, anak serta adik-beradik.

Beliau berkata pergerakan rentas negeri bagi tujuan sosial seperti menghadiri kenduri perkahwinan dan apa-apa jenis majlis dan jamuan lain adalah dilarang.

“Aturan ini akan berterusan sehingga selepas Aidilfitri dan mana-mana pihak yang ingkar akan diambil tindakan tegas,” katanya.

Mengulas ketidakpatuhan tatacara operasi piawai (SOP) oleh pengunjung bazar Ramadan dan pasar malam, Acryl Sani berkata semua Ketua Polis Daerah dan pasukan pemantau SOP akan digerakkan ke semua lokasi untuk membuat pemantauan.

“Sekiranya SOP tidak dipatuhi, polis akan mengemukakan saranan kepada Pihak Berkuasa Tempatan agar aktiviti perniagaan di kawasan terlibat dihentikan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA JENAYAH NASIONAL

Polis: Waspada jenayah siber, 28,508 kes tipu rugi RM2.4 bilion

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Polis sekali lagi mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dengan taktik digunakan penjenayah siber, dan menegaskan pihak berkuasa itu tidak sekali-kali akan membuat panggilan telefon kepada individu untuk menyelesaikan kes jenayah.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani ketika menjelaskan perkara itu, berkata polis hanya akan membuat panggilan untuk membuat janji temu hadir ke balai polis bagi sebarang urusan rasmi.

“Sebarang urusan yang berkaitan dengan akaun, tangkapan, laporan polis dan kes jenayah hanya diselesaikan di pejabat, balai polis, atau mahkamah. Pihak polis tidak pernah menelefon mana-mana individu untuk selesaikan kes malah untuk sebarang urusan rasmi mereka (individu terlibat panggilan) perlu ke balai polis.

Oleh demikian, saya ingin mengingatkan masyarakat untuk sentiasa berhati-hati dengan modus operandi yang digunakan penjenayah siber,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Seminar Pengukuhan Siasatan Jenayah dan Pelancaran Portal dan Aplikasi Semak Mule dan Maktab PDRM Cheras, di sini, semalam.

Ditanya mengenai kes penipuan pembelian dalam talian, Acryl Sani berkata individu yang tertipu semasa pembelian dalam talian dinasihat untuk ke balai polis bagi membuat laporan kerana polis memerlukan maklumat mengenai nombor akaun yang digunakan penjenayah siber.

“Ada mangsa yang kena tipu pembelian dalam talian iaitu nilai tidak besar tetapi mereka tidak melaporkannya kepada polis dan menganggap perkara yang menimpa mereka tidak besar serta serius,” katanya.

Beliau berkata pada tahun lepas sahaja sejumlah 28,508 pelbagai kes penipuan dalam talian melibatkan 18,130 akaun keldai dilaporkan dengan jumlah kerugian mencecah RM2.4 bilion.

“Pada awal tahun ini sehingga September lepas pula, polis menerima 14,000 pelbagai kes penipuan dengan kerugian lebih RM400 juta,” katanya.

Sehubungan itu, Acryl Sani berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman mengambil inisiatif membangunkan aplikasi mudah alih Semak Mule untuk membolehkan masyarakat menyemak akaun bank dan nombor telefon yang mempunyai rekod jenayah secara sahih.

“Masyarakat boleh akses aplikasi ini di mana jua mereka berada untuk membuat semakan awal sebelum mereka menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Beliau berkata orang ramai yang ingin menggunakan aplikasi itu boleh memuat turun Semak Mule di platform Google Playstore.

-BERNAMA