Categories
AGENDA GLOBAL

Varian Omicron: Indonesia sekat pengembara dari lapan negara Afrika

JAKARTA, 28 NOV: Indonesia mengenakan sekatan ke atas semua pengembara dari lapan negara Afrika, berkuat kuasa Isnin berikutan varian baharu Covid-19, B.1.1.529 atau dikenali Omicron.

Sekatan itu juga terpakai kepada pengembara yang pernah mengunjungi negara seperti Afrika Selatan, Botswana, Namibia, Zimbabwe, Lesotho, Mozambique, Eswatini dan Nigeria dalam tempoh 14 hari lalu, menurut Direktorat Jenderal Imigresen Indonesia.

Dalam satu kenyataan hari ini, ketua perhubungan awam dan hal ehwal umum, Arya Pradhana Anggakara berkata susulan sekatan itu visa lawatan dan visa perjalanan terhad untuk rakyat negara itu akan dihentikan kecuali bagi perwakilan ke mesyuarat G20 di Bali.

Indonesia bakal menjadi tuan rumah dan pengerusi G20 dari 1 Dis 2021 hingga 30 Nov 2022.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Malaysia sumbang AS$20,000 bantu pemulihan banjir benua Afrika

PUTRAJAYA, 6 NOV: Malaysia akan menyumbang US$20,000 kepada Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan khusus buat menjayakan usaha-usaha pemulihan banjir yang melanda negara-negara Afrika.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memantau keadaan banjir yang melanda beberapa negara Afrika ketika ini termasuk Algeris, Mesir, Ethiopia, Ghana, Kenya, Maghribi, Nigeria, Senegal, Somalia, Sudan, Selatan Sudan serta Tanzania.

Banjir yang berpunca daripada hujan lebat pada Oktober mengorbankan banyak nyawa di samping mengakibatkan ramai kehilangan tempat tinggal di negara-negara ini.

“Malaysia menyampaikan ucapan simpati dan takziah kepada kerajaan dan orang ramai di negara-negara yang terjejas itu, dan berdiri teguh dalam perpaduan di samping mereka dalam mengharungi saat-saat yang sukar ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wisma Putra berkata, Malaysia bersama lain-lain negara menyeru agar anggota komuniti antarabangsa untuk turut sama menghulurkan bantuan kemanisiaan kepada mangsa kejadian bencana alam ini.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Operasi besar-besaran terhadap pendatang asing – KP Selangor

KUALA LUMPUR, 27: Polis akan melaksanakan operasi besar-besaran terhadap kebanjiran warga Afrika terutama Nigeria di negeri Selangor yang dilihat mengundang kebimbangan orang awam.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata operasi secara berterusan itu akan dijalankan di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti diduduki warga asing itu.

“Kami percaya ada antara warga Afrika ini yang memiliki dokumen lengkap. Jika ada, kami lepaskan tapi mana-mana yang langgar syarat-syarat pas lawatan atau pas pelajar atau telah tamat tempoh, akan diambil tindakan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas antara bekas Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias dan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya yang baharu Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff, di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, dekat sini.

Ditanya sama ada terdapat warga asing itu yang terlibat dengan aktiviti jenayah seperti Afican Scam atau Macau Scam, Noor Azam berkata: “Ada itu ada. Itu memang tidak dinafikan. Tapi kami anggap semua sama sahaja… yang mana buat salah, kami akan ambil tindakan sewajarnya”. -BERNAMA

Categories
GLOBAL

Afrika rugi RM1 bilion kerana tutup Internet

JOHANNESBURG 30 SEPT: Kerajaan di sub-Sahara Afrika menanggung kerugian kira-kira AS$237 juta (RM1 bilion) sejak 2015, susulan tindakan mereka menutup perkhidmatan Internet.

Menurut laporan kajian, sekurang-kurangnya 12 negara menutup operasi Internet, terutama sebelum pilihan raya atau ketika berlakunya bantahan, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Antaranya, langkah Togo menggantung khidmat rangkaian Internet mudah alih sewaktu demonstrasi yang dijalankan oleh pihak pembangkang.

“Gangguan Internet, walaupun hanya bagi tempoh jangka pendek tetap menjejaskan ekonomi, mengganggu perkhidmatan kritikal, merosakkan keyakinan pelanggan dan mendedahkan negara kepada risiko,” menurut laporan itu.

Laporan itu dikeluarkan oleh Kerjasama Antarabangsa Dasar Teknologi, Komunikasi dan Maklumat bagi Timur dan Selatan Afrika (CIPESA).

Laporan oleh CIPESA itu dikeluarkan dalam persidangan kebebasan Internet di Johannesburg.

“Kerajaan Afrika harus berhenti daripada mengeluarkan arahan untuk menutup kemudahan Internet kerana ia memberi kesan jangka panjang kepada kebajikan dan kehidupan rakyat,” kata laporan itu.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Elak melawat negara Afrika ekoran 1,000 mati wabak Ebola

KUALA LUMPUR 14 OGOS: Rakyat Malaysia dinasihat supaya mengelak daripada melakukan lawatan ke negara Afrika yang dilanda wabak Ebola, khususnya Sierra Leone, Republik Guinea dan Liberia.

Wisma Putra menerusi satu kenyataan juga meminta rakyat Malaysia berhati-hati apabila membuat perjalanan ke wilayah lain di Afrika.

“Kepada mereka yang terpaksa melakukan perjalanan ke negara dilanda Ebola, adalah dinasihatkan supaya mengikut nasihat serta panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga dan mengurangkan risiko jangkitan,” menurut kenyataan itu.

ebola-hand1Rakyat negara ini yang menghadapi sebarang kecemasan ketika berada di negara terjejas dengan Ebola boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Republik Guinea menerusi talian 00224622354050 dan 00224622667879 atau emel [email protected].

Penyakit Ebola adalah penyakit demam berdarah yang mencatat kadar kematian tinggi dan boleh menjangkiti manusia serta haiwan primat seperti monyet.

Sejak mula dikesan di tiga negara Afrika Barat iaitu Sierra Leone, Liberia dan Guinea pada Mac lalu, Ebola telahpun mengakibatkan lebih 1,000 kematian.

-BERNAMA