Categories
NASIONAL SELANGOR

Seminar Bagi Memupuk Penyertaan Wanita Dalam Program, Pimpinan Masjid

Seminar Wanita Masjid Negeri Selangor 01

SHAH ALAM 2 MAC : Kerajaan Negeri hari ini melancarkan Seminar Wanita Masjid bagi meningkatkan penyertaan golongan itu dalam program masjid dan bagi memupuk kepimpinan di dalam institusi masjid di Selangor.

Bertempat di Masjid Negeri pagi tadi, seminar yang julung-julung kali dianjurkan itu dirasmikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga merupakan Exco Hal Ehwal Islam.

“Ini antara usaha perintis kita untuk memupuk semangat cintakan masjid di kalangan wanita seterusnya menjadikan mereka lebih berminat dan yakin untuk beribadat di masjid.

“Di samping itu, kita juga berharap agar usaha ini dapat menyemai budaya cintakan ilmu dan maklumat di kalangan mereka, seterusnya membina asas kepimpinan wanita yang proaktif di masjid,” ujar Abdul Khalid di hadapan hampir 2, 000 peserta.

Seminar Wanita Masjid Negeri Selangor 02Bagi mencapai segala objektif itu, tambahnya, Kerajaan Negeri juga akan memperlengkapkan setiap masjid di negeri ini dengan perkhidmatan internet ‘wifi’.

“Dengan ini, komunikasi yang lebih interaktif dapat diadakan dengan meluas secara online, yang pastinya memberi banyak manfaat kepada semua,” jelas beliau.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Marzuki Hussin ternyata gembira dengan sambutan yang diterima hari ini.

“Kita jangkakan hanya sekitar seribu penyertaan tapi ternyata kita terima lebih ramai lagi (peserta).

“Ini adalah satu petanda positif untuk program sebegini,” jelas beliau.

Hadir sama ialah isteri Menteri Besar, Puan Sri Salbiah Tunut serta Timbalan Exco Hal Ehwal Islam, Dr. Abdul Rani Othman.