Categories
ADN SELANGOR

Banjir kilat: Ketua kampung buat bancian permudah bantuan

SHAH ALAM, 28 SEPT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga meminta ketua kampung Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga membuat bancian mangsa terlibat dengan banjir kilat.

Wakil rakyat Rodziah Ismail berkata bancian itu membolehkan supaya bantuan dapat disalurkan kepada mangsa terlibat.

“Buat masa ini sebuah dewan MBSA dibuka untuk mangsa ditempatkan sementara waktu selain sukarelawan dihantar bagi membersihkan rumah.

“Saya bersimpati dengan penduduk kerana setiap kali hujan mereka menjadi mangsa banjir kerana peringkat Kerajaan Negeri kita telah menaik taraf longkang di kampung tersebut,” katanya.

Rodziah juga memaklumkan pihak berwajib terutama berkaitan saliran perlu bertanggungjawab menaik taraf bahu-bahu jalan sepanjang Persiaran Selangor.

“Sepanjang menjadi wakil rakyat saya tidak pernah nampak perkara ini dilakukan dan sudah tiba masa tindakan perlu dilakukan seperti zon penampan supaya menghalang air terus masuk,” katanya.

Terdahulu lebih 1,000 penduduk di Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga disini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat kelmarin.

Kejadian itu menyebabkan banyak peralatan 300 rumah yang didiami penduduk rosak.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tiada lagi tol Batu Tiga, Sungai Rasau

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 JAN : Selepas 24 tahun beroperasi, Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau akhirnya menamatkan operasinya bermula 12.00 malam tadi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata, ia sekali gus memberikan kegembiraan buat warga Selangor.

Beliau berkata, pemansuhan itu juga dianggap sebagai kejayaan terbesar rakyat dalam menuntut pemansuhan tol terus dilaksanakan, seiring hasrat berkebajikan Kerajaan Pakatan.

“Ini sebagai satu kejayaan dan aspirasi tahun baru buat rakyat yang sejak dari awal menuntut tol ini dihapuskan.

“Kejayaan terbesar kita juga apabila berjaya menghalang konsesi tol ini disambung untuk tempoh sehingga 2038,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan masyarakat tempatan turun padang pada program ‘Tamat Tol, Bebas Rakyat’ di Tol Sungai Rasau meraikan pemansuhan kedua-dua tol berkenaan, lewat tengah malam tadi.

Untuk rekod, Sebanyak 155,000 kenderaan menggunakan laluan bertol (Batu Tiga dan Sungai Rasau) setiap hari.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pengumuman Belanjawan 2018 lalu mengumumkan pemansuhan tol berkenaan dilaksanakan berkuatkuasa 1 Januari 2018.

Pemansuhan berkenaan menyaksikan Kerajaan Persekutuan terpaksa membayar pampasan sebanyak RM102 juta setahun, selepas lanjutan kontrak sehingga 2038 dimansuhkan susulan wujudnya tekanan daripada rakyat agar pemansuhan dibuat.

Meraikan kejayaan itu, penduduk tempatan Mohamad Hakim Zulkafri, 26 berharap pemansuhan tol boleh dilaksanakan di seluruh negara.

Katanya, ia perlu dilaksanakan seiring tangunggjawab Kerajaan Persekutuan memastikan rakyat tidak terbeban dengan kadar kenaikan tol berterusan oleh syarikat konsesi.

“Ada negara-negara maju di luar negara yang tidak mengenakan tol yang banyak kepada rakyat negara mereka.

“Berbeza dengan Malaysia, banyak tol dibina dan memberi pulangan keuntungan untuk tempoh yang panjang kepada syarikat konsesi.

“Ini tentunya akan memberi kesan jangka panjang kepada rakyat yang terpaksa membayar tol secara berterusan,” katanya.

Sementara itu, Aliff Danial, 27 berharap pemansuhan kedua-dua tol berkenaan akan menjadi lembaran baru kepada rakyat tempatan sebelum ini yang terpaksa berdepan dengan kos kenaikan hidup kini.

“Terima kasih kepada semua pihak yang sebelum ini turun padang mendesak supaya tol ini dimansuhkan.

“Saya berharap, langkah ini akan diteruskan di tol-tol dan (Kerajaan Persekutuan) jangan lagi dibina terlalu banyak tol dan memaksa rakyat untuk terus membayar,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kenalpasti punca, jangan mudah kaut untung

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 OKT: Kerajaan digesa menyiasat terlebih dahulu punca berlakunya kelewatan pendaftaran kelahiran di negara ini dan bukannya sekadar mengumumkan kenaikkan kadar denda serta-merta daripada RM50 kepada RM1,000 bagi mengekang perkara berkenaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail yang mempersoalkan rasional tindakan berkenaan berkata, situasi itu pastinya menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat yang sedia maklum terbeban dengan kos sara hidup.

“Tindakan kerajaan Umno BN dilihat lebih kepada hanya untuk menambah hasil dengan menaikkan denda pendaftaran lewat kelahiran yang hanya perlu membayar RM50 sebelum ini dinaikkan sehingga ke RM1,000.

“Kerajaan sepatutnya mengenalpasti punca dan masalah mengapa kes-kes kelewatan ini banyak berlaku dan bukannya bertindak rakus dan mencekik darah rakyat yang sedia susah dengan bebanan pelbagai jenis cukai termasuk GST.

“Perkara seumpama ini hanya akan menimbulkan rasa ketidakpuashatian rakyat memandangkan kenaikan tersebut agak tidak munasabah,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai pihak yang bertanggungjawab sekurang-kurangnya mempunyai risalah mahupun kaunter khas mengenai perkara ini untuk meminta mereka yang gagal mendaftar supaya tampil bagi menyelesaikan masalah dengan cara mudah.

Katanya, penerangan ringkas dan langkah segera perlu diambil kerana masalah gagal mendaftarkan ini akhirnya akan menjejaskan masa depan keluarga dan pendidikan anak mereka sekiranya gagal mendaftar.

“Berkemungkinan antara punca lewat didaftarkan adalah sikap ibu bapa yang malu mendaftar kelahiran anak kerana masalah anak tidak sah taraf dan menganggap sijil kelahiran tidak penting malah berkahwin pula dengan warganegara asing.

“Punca seperti ini perlu diteliti bagi memastikan anak-anak mereka memperoleh sijil lahir kerana ketiadaan dokumen terbabit akan menyukarkan pelbagai urusan kelak,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Bina Masjid Riadhussolihin, rebut saham akhirat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 22 JUN : Pengurusan Masjid Riadhussolihin Seksyen 17, di sini merancang menaiktaraf bangunan infrastruktur serta kemudahan masjid sedia ada dengan pembaikan lebih moden demi keselesaan jemaahnya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata, peruntukan sebanyak RM1.5 juta diperlukan bagi tujuan pembaikan masjid berkenaan yang melibatkan tiga fasa utama.

“Masyarakat berminat dipelawa bersama-sama mengimarahkan masjid ini dengan menyumbang kepada Dana Pembangunan Masjid Riadhussolihin.

“Setiap usaha anda mampu mendapat ganjaran pahala serta diharap menjadi saham akhirat kita bersama,” katanya.

Masjid Riadhussolihin (1)Difahamkan, cadangan pembaikan merupakan inisiatif dijalankan pihak pengurusan masjid bersama penduduk setempat sekitar Seksyen 17, Shah Alam.

Sementara itu, cadangan pembinaan melibatkan pembangunan semula ruang solat dan bilik kuliah serta pembinaan KAFA Riadhussolihin.

Orang awam berminat boleh menyumbang kepada pihak pengerusan masjid atau menghubungi talian 013-3858484 untuk maklumat lanjut.

Sumbangan juga boleh dibuat menerusi akaun Maybank, 5621 0662 8019 atas nama, Dana Pembangunan Masjid Riadhussolihin.

Terdahulu, Rodziah hadir melancarkan tabung dana kutipan pembangunan masjid, di sini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.