Categories
NASIONAL

Surat permohonan tular bukan surat sokongan menteri – JPN

PUTRAJAYA, 22 JUN: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini menafikan surat permohonan kewarganegaraan yang tular di laman sosial sebagai sokongan atau kelulusan daripada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi tujuan berkenaan.

JPN dalam satu kenyataan memaklumkan surat berkenaan adalah prosedur biasa di jabatan itu dan pejabat Menteri Dalam Negeri sebelum dokumen terbabit dipanjangkan kepada agensi dan bahagian berkaitan untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, Pejabat Menteri Dalam Negeri dan JPN menerima banyak surat permohonan kewarganegaraan serta pelbagai pertanyaan mengenai status terkini permohonan kewarganegaraan.

“Surat ditularkan itu bukan sebagai sokongan ataupun kelulusan oleh Menteri Dalam Negeri terhadap sesuatu permohonan kewarganegaraan

“Pertimbangan pemberian taraf kewarganegaraan Malaysia adalah tertakluk kepada peruntukan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan tidak semua permohonan akan diluluskan,” katanya.

JPN turut menegaskan permohonan kewarganegaraan yang diterima jabatan itu dan pejabat Menteri Dalam Negeri bukan hanya tertumpu kepada satu kaum tertentu sahaja, malah daripada pelbagai kaum di negara ini.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan rekod JPN, bagi tempoh 10 Mei 2018 sehingga 30 Mei lepas, sebanyak 8,322 permohonan kewarganegaraan diterima dari pelbagai latar belakang kaum dan daripada jumlah tersebut, hanya lima pemohon sahaja dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia.

Untuk rekod, bagi tempoh yang sama juga, sejumlah 3,126 pemohon juga diberikan kewarganegaraan, dengan permohonan itu adalah dari tahun sebelumnya, katanya.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Kenalpasti punca, jangan mudah kaut untung

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 OKT: Kerajaan digesa menyiasat terlebih dahulu punca berlakunya kelewatan pendaftaran kelahiran di negara ini dan bukannya sekadar mengumumkan kenaikkan kadar denda serta-merta daripada RM50 kepada RM1,000 bagi mengekang perkara berkenaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail yang mempersoalkan rasional tindakan berkenaan berkata, situasi itu pastinya menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat yang sedia maklum terbeban dengan kos sara hidup.

“Tindakan kerajaan Umno BN dilihat lebih kepada hanya untuk menambah hasil dengan menaikkan denda pendaftaran lewat kelahiran yang hanya perlu membayar RM50 sebelum ini dinaikkan sehingga ke RM1,000.

“Kerajaan sepatutnya mengenalpasti punca dan masalah mengapa kes-kes kelewatan ini banyak berlaku dan bukannya bertindak rakus dan mencekik darah rakyat yang sedia susah dengan bebanan pelbagai jenis cukai termasuk GST.

“Perkara seumpama ini hanya akan menimbulkan rasa ketidakpuashatian rakyat memandangkan kenaikan tersebut agak tidak munasabah,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai pihak yang bertanggungjawab sekurang-kurangnya mempunyai risalah mahupun kaunter khas mengenai perkara ini untuk meminta mereka yang gagal mendaftar supaya tampil bagi menyelesaikan masalah dengan cara mudah.

Katanya, penerangan ringkas dan langkah segera perlu diambil kerana masalah gagal mendaftarkan ini akhirnya akan menjejaskan masa depan keluarga dan pendidikan anak mereka sekiranya gagal mendaftar.

“Berkemungkinan antara punca lewat didaftarkan adalah sikap ibu bapa yang malu mendaftar kelahiran anak kerana masalah anak tidak sah taraf dan menganggap sijil kelahiran tidak penting malah berkahwin pula dengan warganegara asing.

“Punca seperti ini perlu diteliti bagi memastikan anak-anak mereka memperoleh sijil lahir kerana ketiadaan dokumen terbabit akan menyukarkan pelbagai urusan kelak,” katanya.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor sokong operasi pemutihan Pati terbesar – MB

exco

SHAH ALAM 28 OGOS : Kerajaan Negeri menyokong langkah pihak berkuasa memburu kira-kira 500,000 pendatang asing tanpa izin (Pati) di seluruh negara, bermula 1 September.

Operasi itu merupakan operasi pemutihan terbesar yang pernah digerakkan oleh Jabatan Imigresen.

Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur menjadi negeri tumpuan operasi ini yang akan berlangsung selama tiga bulan.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Selangor dilaporkan mempunyai jumlah pendatang asing yang sangat tinggi.

Jelasnya Kerajaan Negeri berharap operasi ini mampu membantu pihaknya mengenal pasti jumlah sebenar Pati di Selangor.

“Kita amat memerlukan kerjasama supaya darinya kita boleh menguruskan soal keselamatan dan segala sumber berkaitan dengan pendatang asing,” katanya dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Exco.

Dilaporkan Jabatan Imigresen akan mengetuai operasi ini, dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Pendaftaran Negara dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Dianggarkan sekurang-kurangnya 135,000 anggota akan terlibat dalam proses pemutihan yang digerakkan di seluruh negara.

Categories
NASIONAL

Surendran: Kerajaan Pusat Mesti Selesai Kes IC Masyarakat India

Samseng MIC 04

SHAH ALAM 18 DIS : Kerajaan Umno-BN diminta segera menyelesaikan masalah ketiadaan dokumen pengenalan diri melibatkan masyarakat India di negara ini dan tidak berdolak dalik berhubung isu berkenaan.

In kerana menurutnya Naib Presiden PKR, N Surendran, umum mengetahui perkara itu memang berlaku dengan beratus ribu masyarakat India terutamanya di Semenanjung dinafikan hak memiliki dokumen pengenalan diri biarpun mereka adalah rakyat yang lahir dan menetap di negara ini.

Beliau berkata, cabaran supaya dibuktikan terdapat kira-kira 300,000 masyarakat India tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, hanya akan dibuat seandainya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menunjukkan komitmen bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

surendran pc 01“Saya nak Najib dan kerajaan terangkan dulu kepada rakyat mengapa selepas 55 tahun merdeka masih ada begitu ramai rakyat negara kita yang dinafikan kad pengenalan biru walaupun mereka rakyat. Jikalau mereka (kerajaan Umno-BN) dapat memberikan jawapan yang munasabah, saya akan menunjukkan bukti mengenai kes 300,000 ini.

“Kita menuntut supaya kerajaan menyelesaikan masalah ini secepat mungkin dan jangan keluarkan cabaran-cabaran yang kosong dan tidak bermakna ini,” katanya kepada TVSelangor di sini hari ini.

Surendran mengulas kenyataan dibuat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk SK Devamany yang sedia meletakkan jawatan jika pakatan pembangkang dapat membuktikan dakwaan 300,000 masyarakat India di negara ini tiada dokumen pengenalan diri seperti dilaporkan Bernama.

Kenyataan tersebut disifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab daripada seorang Timbalan Menteri kerana sepatutnya tiada seorangpun rakyat yang lahir dan hidup di negara ini dinafikan hak memiliki dokumen itu.

“Saya lihat tiada apa-apa komitmen oleh kerajaan temasuk Perdana Menteri dan MIC untuk menyelesaikan masalah yang amat kritikal ini. Kita tahu beratus ribu rakyat menghadapi masalah ini,” katanya lagi.

Pada 12 Disember lalu, Surendran dan beberapa pemimpin PKR mengetuai Himpunan Duduk Bantah di Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya yang dihadiri lebih 300 orang bagi menuntut Kerajaan Pusat menyelesaikan masalah masyarakat India yang dinafi hak sebagai warganegara.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pemegang MyKad Merah Berhimpun 27 Mei

SHAH ALAM, 14 MEI : Berlarutan sejak sekian lama tanpa pemegang MyKad merah dari seluruh Selangor dan negara akan mengadakan satu perjumpaan di Dewan Hamzah, Klang pada 27 Mei depan.

Perjumpaan yang dianjurkan kerajaan negeri bertujuan menyelesaikan isu membelenggu masyarakat India yang tinggal di ladang-ladang yang menghadapi masalah bagi mendapatkan MyKad biru dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata, Selangor sendiri sebagai negeri maju dianggarkan terdapat beribu orang di kalangan masyarakat India yang menghadapi masalah berkenaan serta orang Cina, Melayu dan Orang Asal.

Kerajaan negeri mengambil inisiatif menganjurkan perhimpunan ini kerana Kerajaan Pusat menjelaskan akan mengambil tindakan segera bagi meenyelesaikannya sekiranya segala maklumat diberikan.

“Menteri Dalam Negeri atau kerajaan BN kata kalau kita boleh serahkan nama pemegang MyKad merah ini, mereka akan ambil tindakan secepat mungkin. Sebab itu kita ambil cabaran ini.

“Orang-orang ini dianggap sebagai warganegara Malaysia kerana lahir dan bekerja di negara ini tetapi akhirnya lebih dari 55 tahun, tiada sebarang bantuan diberi Kerajaan Pusat kerana mereka pemegang MyKad merah. Mereka ini juga tidak boleh mendapatkan bantuan dari kerajaan negeri melalui agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES),” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Turut hadir, Adun Taman Medan, Haniza Talha dan Adun Kampung Tunku, Lau Weng San.

Bagi mencari jalan penyelesaian, Dr Xavier berkata, kerajaan negeri berusaha menghimpunkan golongan itu dalam majlis itu yang akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 2 petang.

Katanya, kerjasama dari pelbagai pihak termasuk Adun, pertubuhan bukan kerajaan(NGO), Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK), Ketua Komuniti dan selainnya diperlukan bagi menghimpunkan kesemua mereka termasuk membantu kalangan yang uzur dan tua serta kanak-kanak yang dikesan turut tidak memiliki sijil kelahiran.

Menurutnya, mereka diminta membawa dokumen seperti MyKad merah, dokumen perkahwinan dan yang berkaitan bagi memudahkan segala bukti dikumpulkan.

“Semua data-data ini kita akan hantar kepada Menteri Dalam Negeri untuk diambil tindakan selanjutnya. Dalam majlis ini, saya harap dan jangkakan lebih 1,500 orang akan hadir. Kita juga akan menjemput pihak Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) untuk hadir,” katanya yang mempersoalkan isu pendatang asing yang didakwa memiliki MyKad biru tetapi golongan berhak dinafikan haknya.

Categories
NASIONAL

Pemuda PAS Mahu Suruhanjaya Diraja Siasat ‘Pengkhianat Jual Negara’

SHAH ALAM, 5 APRIL : Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menggesa agar Suruhanjaya Siasatan Diraja diwujudkan berhubung dakwaan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar bahawa wujudnya “task force” yang bertanggungjawab memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya akan datang.

Sebelum ini, Mahfuz mendedahkan “task force” tersebut diketuai oleh Penasihat Khas Perdana Menteri Osman Razak, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tajuddin Wahab, dan Timbalan Pengerusi SPR Wan Ahmad Wan Omar.

Malah beberapa pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dikatakan terlibat sama antaranya, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Jariah, Nik Norashikin Nik Mansur, Rashid Basiron, dan Shahrul Anwar Ahmad Zahidi.

“Pendedahan Mahfuz Omar merupakan sesuatu yang amat serius kerana ia melibatkan integriti serta kedaulatan negara. Sekiranya rakyat asing sudah diberikan taraf kerakyatan negara ini dan seterusnya dibenarkan untuk mengundi dalam PRU ke-13, ini menandakan tahap keselamatan negara sudah berada dalam keadaan bahaya.

Ini memberi gambaran bahawa bila-bila masa sahaja negara boleh dijual kepada warga asing oleh mereka yang mengkhianati amanah rakyat sebagai pemimpin kanan kerajaan,” kata Ketua Penerangan Pemuda PAS, Riduan Mohd Nor dalam kenyataan medianya.

Menurut Riduan,pendedahan ini membenarkan lagi telahan banyak pihak bahawa BN sedang merancang untuk melakukan penipuan secara besar-besaran bagi menghadapi PRU 13.

“BN tidak bersikap “gentleman” dan tidak bersedia menghadapi kenyataan dengan menerima apa juga keputusan rakyat dalam pilihanraya. BN terlalu terdesak mengekalkan kuasa meskipun ditolak oleh rakyat sehingga sanggup mengambil warga asing sebagai warga negara dan sebagai pengundi,” ujarnya.

Tambah Riduan, BN tergamak memperkudakan agensi kerajaan bagi meraih kepentingan diri mereka dan tidak kisah sekiranya integriti agensi kerajaan seperti SPR dan JPM jatuh menjunam serta menjadi cemuhan rakyat tempatan mahupun masyarakat antarabangsa.

“Sekiranya benar dakwaan ini, kesemua nama yang disebut perlu diseret ke muka pengadilan meskipun ia akan menjerat sama pemimpin negara.Mereka ini adalah pengkhianat negara dan tidak mungkin ada kemaafan bagi mereka.

“DPPM turut mendesak Perdana Menteri menangguhkan pilihanraya sehingga Suruhanjaya Diraja selesai melakukan siasatan terhadap dakwaan ini. PRU ke-13 adalah hak rakyat Malaysia yang sah, bukan hak warga asing yang diberikan taraf kerakyatandan seterusnya diberikan peluang untuk mengundi,” tegas Riduan.