Categories
SELANGOR

Netizen gesa segera roboh Tol Batu 3 elak kemalangan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 19 FEB: Plaza tol Batu Tiga perlu dirobohkan serta-merta susulan kemalangan maut kali kedua yang berlaku selepas operasinya tamat, pada 1 Januari lalu.

Pengguna media sosial, Rajimie Kamaridha berkata, kegagalan perobohan dibuat bakal mengundang lebih banyak kemalangan jiwa.

“Pondok tol itu kena robohkan cepat kerana sudah berapa kes membabitkan nyawa, biasa situ kenderaan perlahan. Sekarang dah laju bila tiada kutipan tol,” tulisnya di Facebook.

“Kesian mangsa. Simpan tol untuk apa lagi? Selepas pilihan raya sambung buat kutipan tol semula ke?” soal Jagan Rao.

“Banyak kes membabitkan anak muda dan kelajuan. Kenapa lambat sangat robohkan tol?” soal pengguna media sosial, Hasnul Abdul Hamid.

Dalam kejadian awal pagi tadi, mangsa, Fathurezza Khoirul Huda Halimsuyto, 31, dan rakannya, Noor Hidayah Mohamed Rezmi, 27, maut ditempat kejadian ekoran kecederaan parah di kepala dan seluruh badan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Myvi dinaiki kedua mangsa dipandu laju.

“Mangsa datang dari arah Kuala Lumpur dan apabila sampai di Plaza Tol Batu Tiga, mangsa gagal mengawal kereta lalu melanggar tembok batu tol berkenaan.

“Pemandu iaitu Fathurezza Khoirul Huda dan penumpang, Noor Hidayah maut di tempat kejadian serta mayat keduanya dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.

Kemalangan pertama dilaporkan berlaku membabitkan tiga remaja yang menaiki Perodua Kancil dari arah Kuala Lumpur menghala ke Klang, pafa 15 Januari lalu.

Kejadian itu turut mengorbankan dua daripadanya, sementara seorang lagi cederah parah dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk rawatan lanjut.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tiada lagi tol Batu Tiga, Sungai Rasau

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 JAN : Selepas 24 tahun beroperasi, Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau akhirnya menamatkan operasinya bermula 12.00 malam tadi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata, ia sekali gus memberikan kegembiraan buat warga Selangor.

Beliau berkata, pemansuhan itu juga dianggap sebagai kejayaan terbesar rakyat dalam menuntut pemansuhan tol terus dilaksanakan, seiring hasrat berkebajikan Kerajaan Pakatan.

“Ini sebagai satu kejayaan dan aspirasi tahun baru buat rakyat yang sejak dari awal menuntut tol ini dihapuskan.

“Kejayaan terbesar kita juga apabila berjaya menghalang konsesi tol ini disambung untuk tempoh sehingga 2038,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan masyarakat tempatan turun padang pada program ‘Tamat Tol, Bebas Rakyat’ di Tol Sungai Rasau meraikan pemansuhan kedua-dua tol berkenaan, lewat tengah malam tadi.

Untuk rekod, Sebanyak 155,000 kenderaan menggunakan laluan bertol (Batu Tiga dan Sungai Rasau) setiap hari.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pengumuman Belanjawan 2018 lalu mengumumkan pemansuhan tol berkenaan dilaksanakan berkuatkuasa 1 Januari 2018.

Pemansuhan berkenaan menyaksikan Kerajaan Persekutuan terpaksa membayar pampasan sebanyak RM102 juta setahun, selepas lanjutan kontrak sehingga 2038 dimansuhkan susulan wujudnya tekanan daripada rakyat agar pemansuhan dibuat.

Meraikan kejayaan itu, penduduk tempatan Mohamad Hakim Zulkafri, 26 berharap pemansuhan tol boleh dilaksanakan di seluruh negara.

Katanya, ia perlu dilaksanakan seiring tangunggjawab Kerajaan Persekutuan memastikan rakyat tidak terbeban dengan kadar kenaikan tol berterusan oleh syarikat konsesi.

“Ada negara-negara maju di luar negara yang tidak mengenakan tol yang banyak kepada rakyat negara mereka.

“Berbeza dengan Malaysia, banyak tol dibina dan memberi pulangan keuntungan untuk tempoh yang panjang kepada syarikat konsesi.

“Ini tentunya akan memberi kesan jangka panjang kepada rakyat yang terpaksa membayar tol secara berterusan,” katanya.

Sementara itu, Aliff Danial, 27 berharap pemansuhan kedua-dua tol berkenaan akan menjadi lembaran baru kepada rakyat tempatan sebelum ini yang terpaksa berdepan dengan kos kenaikan hidup kini.

“Terima kasih kepada semua pihak yang sebelum ini turun padang mendesak supaya tol ini dimansuhkan.

“Saya berharap, langkah ini akan diteruskan di tol-tol dan (Kerajaan Persekutuan) jangan lagi dibina terlalu banyak tol dan memaksa rakyat untuk terus membayar,” katanya.

Categories
NASIONAL

Merdekakan rakyat, hapus tol Batu Tiga

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 SEPT: Kerajaan Persekutuan digesa memerdekakan rakyat daripada bebanan tol Batu Tiga seterusnya mendedahkan maklumat perjanjian konsesi yang sekian lama dirahsiakan.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Rodziah Ismail berkata, rakyat berhak tahu mengapa ia diteruskan sedangkan tol terbabit sepatutnya dihapuskan ketika perjanjian tamat, pada 2018 dan tidak perlu diperbaharui.

“Amat pelik kerajaan terpaksa membayar pampasan kepada syarikat konsesi untuk mengawal harga tol.

“Kerajaan Persekutuan membayar berbilion ringgit pampasan kepada konsesi lebuh raya tanpa diketahui apakah tujuan pampasan itu sebenarnya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Batu Tiga berkata, perjanjian tol itu juga berat sebelah dan sekadar memberi kelebihan kepada syarikat konsesi.

RodziahKatanya, jumlah pampasan kepada syarikat konsesi juga lebih tinggi daripada kos pembinaan lebuh raya berkenaan.

“Perubahan pentadbiran di Putrajaya akan menyaksikan penghapusan semua tol secara berperingkat termasuk Tol Lebuhraya Persekutuan II, Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau.

“Pakatan Harapan adalah penghapus kutipan tol tidak munasabah,” katanya.

Sebelum ini, Plus Malaysia Berhad (PLUS) berkata, perjanjian konsesi asal kutipan tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau sepatutnya berakhir, pada 2018 tetapi dilanjutkan sehingga 2038.

Categories
SELANGOR

Mansuh tol, pastikan BN tewas PRU-14

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 21 APR:   Majoriti tol di bawah Kerajaan Persekutuan boleh dimansuhkan jika BN tidak lagi berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa berkata, rakyat perlu memastikan BN tewas supaya isu tol  dapat diselesaikan segera.

tol auotmatik 1“Isu tol sering menjadi topik perbualan umum. Perjanjian baharu bagi menyambung kontrak syarikat konsesi di tol Batu Tiga sehingga 2035 bersifat melindungi kroni.

“Kita lihat langkah ini menzalimi rakyat kerana terpaksa membayar tol dalam tempoh yang lama,” katanya kepada Selangor Kini.

Fariz berkata, Jingga 13 bersetuju dengan usaha digerakkan PR bagi pemansuhan tol berkenaan.

“Keputusan membabitkan konsesi ditentukan Kerajaan Persekutuan, maka BN perlu dijatuhkan.

“PR pula harus memastikan dalam manifestonya ada menyentuh soal ini supaya semua tol dihentikan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Tukar Kerajaan Persekutuan, mansuh tol Batu Tiga

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 16 APR: Isu tol Batu Tiga berlarutan tanpa jalan penyelesaian apabila Kerajaan Persekutuan ‘endah tak endah’ berkenaan bantahan masyarakat yang mahu ia dimansuhkan.

ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata, lebih mengecewakan apabila kontrak syarikat konsesi yang tamat tahun ini disambung tanpa  alasan kukuh sehingga 2035.

“Kerajaan Persekutuan harus memberi jawapan dan kena terbuka berhubung kenaikan atau sambungan itu atas dasar apa serta ke mana wang  disalurkan?

plaza tol“Isu ini sering saya bincangkan bersama Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, sehingga dibawa ke sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) tetapi tiada jalan penyelesaiaan selain menukar Kerajaan Persekutuan,” katanya kepada Selangor Kini.

Rodziah berkata, perkembangan semasa turut mendukacitakan apabila tol itu tidak lagi mempraktikkan sistem bayaran tunai yang menyusahkan pengguna.

“Saya nampak yang tidak rasional kalau konsesi itu tamat pada 2015 seperti janji pada permulaan pembinaan. Kenapa kontrak mesti disambung?

“Kalau bercakap soal banjir, apakah wang dikutip itu membantu menyelesaikan masalah berkenaan kerana bukan sahaja tol Batu Tiga tetapi Sungai Rasau turut menghadapi masalah sama,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Xavier Bayar Tol Bagi Pihak 35 Kereta

SHAH ALAM, 15 MEI : Exco Selangor Dr Xavier Jayakumar hari ini menjelaskan bayaran tol bagi 35 buah kereta yang melalui tol Batu Tiga pada demonstrasi mansuh Tol Sungai Rasau dan Batu Tiga Sabtu lalu.

Beliau yang juga Adu Sri Andalas berkata, gantirugi sebanyak RM 38.50 kepada pihak Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS) dan  mengharapkan pihak PLUS tidak mengambil tindakan kepada kenderaan-kenderaan yang tidak membayar tol pada hari itu.

“Saya ingin menjaga hubungan baik dengan PLUS tetapi saya tetap mendesak agar tol ini segera dimansuhkan,” katanya ketika ditemui di Pejabat Plaza Tol Batu Tiga hari ini.

Pada Sabtu lalu, hampir 300 rakyat berkumpul di Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di sini bagi menyertai demonstrasi mendesak Kerajaan Pusat menghapuskan kedua-dua tol terbabit.

Demonstrasi aman anjuran Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor itu mencuri tumpuan pengguna lebuh raya hari itu apabila mereka membunyikan hon sebagai tanda sokongan dan mengambil pelekat kereta dengan slogan ?Hapuskan Tol Demi Rakyat?.

Namun, seorang individu tidak dikenali mengangkat palang di satu lorong plaza tol Batu Tiga menyebabkan beberapa kenderaan melepasinya tanpa membuat bayaran.

Sementara itu, Dr Xavier mengandaikan jika lima minit direkodkan untuk 35 buah kenderaan melalui satu laluan tol, maka sebanyak 420 buah kenderaan dalam masa sejam serta hampir 10,000 buah kenderaan sepanjang hari dan mencatatkan kutipan tol mencecah RM400,000 sehari.

“Tidak mungkin PLUS mengalami kerugian serta tidak mampu menanggung kos membaikpulih lebuhraya itu kerana Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau sudah beroperasi melebihi 25 tahun,” katanya yang juga Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor.

Malah, semua pihak termasuk Umno-BN sendiri menyokong pemansuhan tol Sungai Rasau dan Batu Tiga ini kerana ia jelas membebankan penggunanya selain kesesakan teruk setiap hari.

Bagaimanapun, pihak PLUS hanya bertindak menambah laluan tol tetap ia tidak mengurangkan kesesakan selain hanya mengaut keuntungan setiap hari.

Categories
NASIONAL

300 Orang Desak Tol Batu Tiga-Sungai Rasau Dihapuskan

SHAH ALAM 13 MEI : Hampir 300 rakyat berkumpul di Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di sini bagi menyertai demonstrasi mendesak Kerajaan Pusat menghapuskan kedua-dua tol terbabit.

Demonstrasi aman anjuran Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor itu mencuri tumpuan pengguna lebuh raya itu apabila mereka membunyikan hon sebagai tanda sokongan dan mengambil pelekat kereta dengan slogan ‘Hapuskan Tol Demi Rakyat’.

Peserta demonstrasi juga membawa kain rentang bertulis ‘Hapuskan Tol Baru Betul’, ‘Hapuskan Tol Demi Rakyat’ selain laungan ‘Hidup Rakyat’, ‘Hapuskan tol’, ‘Undi Pakatan Rakyat Tak Bayar Tol’, dan ‘Undi BN Bayar Tol’. 

“Kami dapat simpulkan kehadiran rakyat berbilang kaum pada hari ini sebagai gerakan rakyat secara bersepadu untuk bersama-sama mendesak Kerajaan Pusat berhenti dari terus membebankan rakyat.

?Sedangkan pulangan modal yang sepatutunya mereka perolehi sudahpun mereka dapatkan lama dulu,” jelas Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Atkin.

Turut hadir Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei dan Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri dan MP Shah Alam Khalid Samad di Tol Batu Tiga di sini.

Sementara di plaza tol Sg Rasau, pemimpin Pakatan Selangor dan kira-kira 100 individu turut mengadakan sebuah lagi demonstrasi bagi tujuan yang sama.

Kumpulan itu turut dipimpin Exco Selangor Ronnie Liu dan Dr. Yaakob Sapari, Kapar MP S. Manikavasagam dan ADUN Kota Alam Shah M. Manoharan.

Khalid berkata kedua-dua tol tersebut sepatutnya sudah lama dihapuskan.

 “Laluan ini memang sudah lama wujud dan mereka (syarikat konsesi) sekadar melebarkannya daripada dua ke enam lorong.

?Pengguna pula terus dikenakan bayaran sehingga ke hari ini selepas kira-kira dua puluh tahun kutipan tol dimulakan.

“Mengambil kira kenderaan yang semakin banyak, sehari sahaja PLUS (Projek Lebuhraya Usahasama Berhad) mampu mengutip ratusan ribu. Bayangkanlah untuk beberapa tahun ini, memang inilah paling mengarut sekali,” jelasnya sewaktu ditemubual TVSelangor.

Salah seorang peserta demonstrasi mencuri tumpuan apabila beliau mengangkat palang di satu lorong plaza tol Batu Tiga menyebabkan beberapa kenderaan melepasinya tanpa perlu membuat bayaran.

Bagaimanapun, Dr Xavier yang berada di situ segera mengarahkan palang tersebut diturunkan dan beliau berjanji untuk membayar ganti rugi yang ditanggung pihak PLUS.