Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Jais: Akad nikah dibenar di masjid tiga daerah bebas PKPB

SHAH ALAM, 11 DIS: Upacara akad nikah di masjid dalam daerah yang bebas Perintah Kawasan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibenarkan berkuat kuasa serta-merta.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata kebenaran itu membabitkan Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor kecuali di mukim Kuala Selangor.

“Hanya lima pasangan boleh dinikahkan dalam sehari, upacara dibenar dari Isnin hingga Ahad bermula jam 9 pagi hingga 5 petang sahaja.

“Jumlah kehadiran yang dibenar bagi setiap upacara akad nikah adalah 20 individu tidak termasuk penolong pendaftar perkahwinan dan dua saksi,” kata jabatan menerusi Facebook hari ini.

Tambah Jais, kehadiran individu dari zon merah ke majlis tersebut juga tidak dibenarkan.

“Selain itu, orang ramai tidak boleh meminda lokasi majlis akad nikah ke tiga daerah berkenaan sekiranya mereka berada dalam zon merah Selangor atau luar Selangor.

“Tetapi pasangan boleh meminda untuk bernikah di Pejabat Agama Islam Daerah dengan kehadiran maksimum tiga individu sahaja iaitu pengantin lelaki dan wanita serta wali,” katanya.

Pada 5 Disember lalu, kerajaan mengumumkan PKPB di Selangor disambung sehingga 20 Disember ini kecuali tiga daerah iaitu Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jais benar 20 akad nikah sehari di pejabat agama sejak tengah November

SHAH ALAM, 29 NOV: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membenarkan 20 majlis akad nikah sehari di seluruh Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) sejak pertengahan November.

Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad berkata upacara tersebut perlu mendapat kebenaran ketua pendaftar nikah, cerai dan rujuk orang Islam Selangor.

“Upacara akad nikah diadakan dalam dua sesi iaitu 10 pada waktu pagi dan 10 pada waktu petang dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

“Bagaimanapun pihak pengantin tidak boleh memilih tarikh sebaliknya ditentukan oleh pejabat agama di daerah terlibat,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Pada 2 November, jabatan itu membenarkan hanya lima akad nikah dalam sehari pada Isnin hingga Jumaat bermula 9 pagi hingga 4 petang dengan tiga orang dibenarkan hadir iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan serta wali.

Kebenaran itu tertakluk kepada pasangan dalam Selangor dan pihak lelaki atau perempuan dari luar Selangor yang mendapat kebenaran rentas daerah atau negeri.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jais benarkan akad nikah di pejabat agama bermula Isnin

SHAH ALAM, 30 OKT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membenarkan upacara akad nikah di Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) seluruh negeri bermula 2 November.

Pengarahnya berkata kelonggaran itu berikutan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor sehingga 9 November.

Mohd Shahzihan Ahmad menjelaskan upacara itu boleh dilaksana dengan kehadiran dan jumlah janji temu terhad bermula 9 pagi hingga 4 petang.

“Kebenaran tertakluk kepada syarat pemohon lelaki dan perempuan telah mendapat kebenaran berkahwin mengikut Seksyen 17 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dari Paid.

Mohd Shahzihan Ahmad bercakap kepada media selepas Majlis Mesra Media Jais di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 21 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Hanya tiga orang dibenarkan hadir iaitu pengantin lelaki dan perempuan serta wali, manakala hanya lima upacara dibenar dalam satu hari dari Isnin sehingga Jumaat (hari bekerja),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan menjelaskan kebenaran tertakluk kepada pasangan dalam Selangor dan pihak lelaki atau perempuan dari luar Selangor yang mendapat kebenaran rentas daerah atau negeri.

Beliau berkata cadangan upacara akad nikah yang mendapat kebenaran dari ketua pendaftar nikah, cerai dan rujuk sahaja akan diterima untuk dilaksana di pejabat agama.

“Janji temu bagi upacara akad nikah boleh dibuat dengan menghubungi Paid untuk pertimbangan dan tindakan selanjutnya,” kata beliau lagi.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKPB: Jais tetapkan akad nikah hanya di pejabat agama

SHAH ALAM, 10 OKT: Jabatan Agama Islam (Jais) menetapkan beberapa syarat pelaksanaan akad nikah di daerah Klang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Syarat itu antaranya mewajibkan pasangan yang mendapat kebenaran nikah untuk melaksanakan upacara tersebut di Pejabat Agama Islam Daerah Klang.

“Individu yang dibenarkan hadir ialah pengantin lelaki, pengantin perempuan dan seorang wali sahaja. Jurugambar tidak dibenarkan,” menurut jabatan itu di Facebook semalam.

Kelmarin, seramai 118 pasangan pengantin dari kawasan dikenakan PKPB dinikahkan di pejabat agama oleh lima jurunikah.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata majlis perkahwinan di kawasan PKPB masih dibenarkan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) tertentu.

Beliau berkata tetamu dari luar kawasan wajib membawa kad jemputan sebagai bukti ketika melalui sekatan jalan raya.

Sebanyak 36 kawasan perumahan di mukim Klang dikenakan PKPB bermula semalam hingga 23 Oktober susulan peningkatan kes Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Majlis akad nikah dibenarkan tidak lebih 250 tetamu

SHAH ALAM, 29 JUN: Kebenaran majlis dengan jumlah tetamu tidak lebih 250 orang pada satu-satu masa turut terpakai untuk akad nikah, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata terdapat kekeliruan berhubung perkara itu dan ada menganggap majlis pernikahan masih kekal dengan tatacara operasi piawai (SOP) lama iaitu jumlah had tetamu 20 orang.

“Pengumuman kebenaran untuk majlis perkahwinan dan bertunang sebenarnya turut terpakai untuk akad nikah dan turut terpakai di majlis jamuan perkahwinan di rumah ibadat dan persatuan agama bukan Islam,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Khamis lalu, Ismail Sabri mengumumkan kebenaran untuk semua majlis sosial seperti perkahwinan, pertunangan, akikah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun perkahwinan dan hari jadi bermula Rabu ini dengan had masa antara tiga hingga lima jam.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Jais benarkan akad nikah fizikal mulai 22 Jun

SHAH ALAM, 18 JUN: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membenarkan semula pelaksanaan majlis akad nikah dengan kehadiran fizikal berkuat kuasa 22 Jun ini.

Bagaimanapun, upacara hanya boleh dilaksanakan di masjid yang ditentukan atau di Pejabat Agama Islam Daerah dengan kebenaran pendaftar kanan.

“Sehubungan itu, pelaksanaan akad nikah menerusi sidang video dihentikan,” kata Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kehadiran fizikal tidak boleh melebihi 15 orang, iaitu tujuh dari pihak lelaki dan lapan dari pihak perempuan selain pengantin lelaki, perempuan, wali serta dua saksi.

“Semua individu yang hadir dalam majlis akad nikah di bawah ketetapan ini hendaklah mengikuti garis panduan ditetapkan Jais,” katanya lagi.

Mohd Shahzihan turut mengingatkan penolong pendaftar perkahwinan membantu dan memudah cara semua urusan anak kariah membabitkan permohonan kebenaran berkahwin serta akad nikah.

Jais sebelum ini menetapkan majlis akad nikah di negeri ini dilaksanakan melalui sidang video susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat bagi mengekang penularan Covid-19.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKPB: Boleh rentas negeri untuk bernikah – menteri kanan

SHAH ALAM, 2 JUN: Bakal pengantin dibenar merentas negeri untuk menghadiri majlis akad nikah dengan memohon kebenaran polis, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan memberi kebenaran tersebut untuk memudahkan urusan perkahwinan pasangan pengantin sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Rupanya ramai yang mahu bernikah sewaktu PKPB yang memerlukan bakal pengantin merentas negeri kerana pasangan di negeri lain.

“Jadi mesyuarat hari ini menyedari keperluan bakal pengantin dan kerajaan bersetuju membenarkan rentas negeri bagi urusan akad nikah dan mereka boleh memohon kebenaran polis,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata majlis akad nikah perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan tidak melebihi 20 orang.

Selain itu, beliau berkata mesyuarat juga memutuskan untuk membenarkan jurufoto perkahwinan melakukan penggambaran praperkahwinan di tempat terbuka mengikut SOP.