Categories
SELANGOR

Polis enggan siasat semula kes Altantuya untuk tutup jenayah

altantuyaSHAH ALAM, 9 SEPT: Keengganan polis membuat siasatan baru kes pembunuhan Altantuya Shariibuu, menunjukkan sikap  lepas tangan pihak berkuasa itu dalam memberi keadilan kepada mangsa.

“Mereka tidak minat untuk cari siapa yang bunuh Altantuya. Nampaknya, Ketua Polis Negara (KPN) tidak endah ada pembunuhan walaupun jelas beberapa orang terlibat.

“Mereka tidak nampak keperluan untuk melihat siapa yang membunuh dan mendapatkan satu keadilan terhadap mangsa pembunuhan.

“Nampak sangat mereka lepas tangan, tak ingin tahu apa yang sebenarnya berlaku, ini merupakan cara menutup jenayah,” kata Ketua Biro Guaman PKR, Latheefa Koya kepada TV Selangor.

KPN, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini menyatakan siasatan baru tidak perlu dan mahu semua orang perlu menghormati keputusan mahkamah.

Latheefa menyifatkan, siasatan tidak profesional polis boleh memberi kesan terhadap sesuatu kes di mahkamah.

“Kerja polis tak mantap, tak complete (selesai) dan memberi satu penyiasatan yang tidak sempurna ke mahkamah.

“Sudah tentu mahkamah perlu melepaskan sesoerang itu kalau tak cukup bukti. Yang salahnya polis kerana siasatan tidak profesional,” katanya.

– FZL

Categories
SELANGOR

Campur tangan politik punca polis gagal selesaikan banyak kes profail tinggi

n-surendran copy

SHAH ALAM 25 OGOS: Naib Presiden, N Surendran kesal berikutan polis sejak dulu gagal menyelesaikan banyak kes profail tinggi termasuk kes pembunuhan Altantuya Shariibuu akibat campur tangan politik.

Beliau percaya kegagalan polis menyelesaikan kes sedemikian disebabkan pihak berkuasa itu tidak memberi perhatian khusus untuk mempertingkat kecekapan dalam aspek penyiasatan dan pendakwaan.

Sebaliknya, beliau berkata, polis diperalat kerajaan Persekutuan sebagai alat politik untuk mmebuat risikan terhadap aktiviti parti pembangkang dan aktivis sosial.

“Kerajaan perlu berhenti segera daripada menggunakan cawangan khas (SB) untuk merisik aktiviti pembangkang dan gunakan perisikan untuk tangkap penjenayah,” katanya kepada TV Selangor.

Beberapa kes berprofail tinggi seperti pembunuhan Altantuya, Norita Shamsuddin dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim menyaksikan siasatan tidak selesai untuk tempoh panjang.

Ia berikutan tiada individu didakwa sebagai pelaku atau dibebas begitu sahaja ataupun motif kejadian tidak diketahui.

Terbaru, Mohd Akhtar Shaharuddin, anak kepada Shaharuddin menyatakan pembunuhan bapanya ada kaitan dengan sindiket penyeludupan kereta di Langkawi tetapi tiada perkembangan lanjut.

Mengulas lanjut, Surendran berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula lebih mementingkan usaha mengembalikan Ordinan Darurat tetapi mengabai penyelesaian kes jenayah.

Surendran berkata, campur tangan politik menyebabkan polis hilang amalan profesional dan ‘tiada kemahuan yang kuat’ untuk mencari kebenaran dalam sesuatu kes.

“Jangan ada campur tangan politik dalam urusan dan siasatan polis khususnya dalam kes berprofil tinggi agar mereka dapat menjalankan tugas dengan profesional,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu, berkata Kementerian Dalam Negeri pula lebih mementingkan usaha mengembalikan Ordinan Darurat tetapi mengabai penyelesaian kes jenayah.

“Ini menyebabkan kegagalan dalam pendakwaan kes berprofil tinggi kerana Datuk Seri Zahid Hamidi lebih mementing Ordinan Darurat,” katanya merujuk menteri yang menerajui KDN itu.

Selain itu, Surendran juga mencadangkan skema gaji polis disemak supaya mereka yang benar-benar berkebolehan berminat menyertai polis.

– FZL

Categories
NASIONAL

Kes Altantuya: Akhirnya, … semua bebas dari dikenakan Hukuman

gambar hiasan
gambar hiasan

SHAH ALAM 24 OGOS : Keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan kedua-dua tertuduh dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu bukan sahaja menimbulkan persoalan mengenai siapa gerangan pembunuh sebenar wanita itu tetapi turut memberi ruang akan timbulnya persepsi bahawa kes berkemungkinan membabitkan pimpinan tertinggi negara.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, persepsi itu turut disokong dengan fakta-fakta perjalanan kes perbicaraan sejak awal lagi di mana saksi-saksi penting tidak dipanggil, dokumen yang dipadamkan daripada rekod serta terdapat bukti pertukaran SMS antara peguam dengan pemimpin negara.

“Kita menghormati keputusan dibuat mahkamah rayuan tetapi dalam masa kita juga tidak dapat menolak wujudnya persepsi bahawa kes ini melibatkan pemimpin tertinggi sehingga akhirnya tiada siapapun yang disabitkan bersalah setelah tujuh tahun perbicaraan kes ini berjalan, malah satu demi satu orang yang terlibat dibebaskan.

“Ianya seolah-olah sengaja direka dan dibiarkan (perbicaraan) berjalan dan berlanjutan sehingga segala bukti dikeluarkan namun akhirnya semua yang tertuduh dan disebut bebas daripada pertuduhan membunuh,” kata Shamsul yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil.

Beliau dihubungi TVSelangor bagi mengulas keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang membebaskan anggota Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar daripada pertuduhan membunuh Altantuya.

Altantuya yang bekerja sebagai penterjemah dan model sambilan ditembak mati sebelum bahan letupan C-4 dikatakan digunakan untuk meletupkan mayatnya hingga berkecai di Hutan Simpan Puncak Alam di sini pada malam 18 Oktober 2006.

Sebelum ini, bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, yang juga rakan baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008 selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

Walaupun dilihat mempunyai motif membunuh Altantuya yang didakwa sebagai bekas kekasihnya, Abdul Razak beruntung apabila pihak pendakwa tidak pernah memfailkan rayuan terhadap pembebasannya ketika itu.

Menyifatkan hari ini sebagai antara hari yang malang buat Malaysia, Shamsul berkata keputusan membebaskan kedua-dua tertuduh bukan sahaja memberi impak kepada keluarga mangsa tetapi turut memberi tanggapan buruk mata dunia terhadap sistem perundangan, kepolisian dan keadilan di negara ini.

Sementara itu, mengulas mengenai peluang siasatan semula kes ini, beliau berkata tidak yakin ianya akan dapat dijalankan memandangkan siasatan semula memerlukan bukti-bukti baru sedangkan segala bukti yang ada dikemukakan di mahkamah sepanjang perbicaraan berlangsung.

“Ianya bukan sesuatu yang mudah kerana melibatkan banyak perkara untuk membuka siasatan baru, namun kita berharap akan terus ada desakan bagi mencari keadilan dalam kes ini,” tegas Shamsul.

Dalam pada itu, beliau turut mendesak agar kepimpinan tertinggi negara dapat menjelaskan kepada rakyat mengenai keputusan mahkamah pagi tadi kerana terlalu banyak perkara yang masih terungkai tanpa penjelasan yang memuaskan.- mza

 

Categories
NASIONAL

Perbincangan DBKL- Penganjur Himpunan ‘Black 505’ Temui Jalan Buntu – BULETIN 13


 

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 13062013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 Tengahari, 3.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Perbincangan di antara Pakatan Rakyat dan DBKL pagi tadi menemui jalan buntu apabila
DBKL tetap tidak membenarkan himpunan Black 505 diadakan di Padang Merbok, 22 Jun ini.

2. Keluarga penyiasat persendirian, mendiang P Balasubramaniam, mendapat pembelaan Kerajaan Negeri dengan sumbangan RM10,000 bagi meringankan beban ditanggung mereka.

3. Kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Rohani Karim, baru-baru ini yang mengatakan kes kematian Altantuya Shaariibuu, sudah “diselesaikan”, tidak boleh diterima kerana masyarakat umum tahu keadilan belum ditegakkan.

Categories
NASIONAL

Kes Scorpene: Zahid ‘Cakap Tak Serupa Bikin’

SHAH ALAM, 25 APR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi hari ini disaran agar mengotakan kata-kata beliau yang sebelum ini mendakwa bersedia berkerjasama untuk menegakkan keadilan berhubung isu yang membabitkan isu komisen kapal selam scorpene.

Menurut Badrul Hisham Shahrin atau dikenali sebagai Chegu Bard yang merupakan Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata, Zahid telah mengeluarkan kenyataan tersebut apabila isu ini dibangkitkan pada tahun lalu.

Sebaliknya semalam Zahid telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak akan hadir ke mahkamah di Perancis samada dibiayai kerajaan mahupun dengan menggunakan wang dari poket sendiri.

“Dalam pertengahan tahun lepas bila isu scorpene ini dibangkitkan, dia seolah-olah bongkak di dalam negara.

“Dia kata tak ada masalah kalau diperlukan di mana juga mahkamah, dia akan berikan kenyataan, sanggup beri kerjasama, kononnya tiada benda yang nak diselindungkan dan berikan mahkamah tegakan keadilan.

“Tetapi yang terbaru sekali, bila kes ini betul-betul disebut di mahkamah Perancis ternyata dia pulak takut dengan alasan tak ada sebab nak gunakan duit sendiri untuk pergi ke mahkamah Perancis.

“Kata mahu mahkamah tegakkan keadilan tetapi tak mahu beri kerjasama,” beritahu Chegu ketika dihubungi hari ini.

Menurut Chegu Bard keengganan Menteri Pertahanan itu untuk hadir dalam inkues di mahkamah Perancis akan memalukan rakyat dan menjejaskan imej negara.

“Kita difahamkan bahawa mahkamah Perancis telah menerima Najib dan Zahid selaku saksi dalam kes tersebut.

“Oleh kerana itu, jika Najib dan Zahid mengelak untuk hadir ketika dipanggil, menurut sumber perundangan, mahkamah Perancis boleh memanggil surat panggil atau waran tangkap kepada Najib yang suatu ketika dahulu adalah Menteri Pertahanan dan juga Menteri Pertahanan sekarang.

“Lebih penting lagi sekiranya ianya berlaku ia bukan sahaja menjejaskan soal imej negara tetapi juga soal keselamatan negara.

“Apakah rasanya sebagai rakyat Malaysia apabila PM kita menjadi buruan di peringkat antarabangsa? Tentu memalukan kita.

“Ia tak mustahil, jika tak hadir sudah tentu waran tangkap boleh dikeluarkan melalui rangkaian Interpol dan sebagainya dan ini pernah berlaku terhadap diktaktor Augusto Pinochet,” yang ditangkap oleh rangkaian interpol di hospital,” ujar beliau yang juga merupakan Ketua PKR Cabang Rembau.

Terdahulu pada 29 Mei, 2011, ketika menjawab soalan wartawan dalam isu yang sama, di samping mahukan ketelusan dalam siasatan beliau juga mahukan mahkamah menentukan kebenaran.

Zahid turut memberitahu bahawa beliau bersedia untuk ke mahkamah sekiranya diminta berbuat demikian oleh mahkamah.

?Mereka boleh cabar kita di mahkamah. Kita mahu lebih telus. Berhubung dakwaan mereka, biar mahkamah tentukan kebenaran,?

“Saya sedia ke mahkamah jika diminta berbuat demikian tetapi, syaratnya mesti diluluskan oleh kabinet.

“Jika kabinet tidak benarkan, maka saya tidak perlu pergi,? menurut Zahid ketika itu yang jelas bertentangan dengan kenyataan terbaru beliau yang enggan berkerjasama untuk mahkamah membuktikan kebenaran.” ujar beliau.

Skandal pembelian scorpene oleh kerajaan Malaysia menimbulkan pelbagai kontraversi termasuk dikaitkan dengan pembunuhan warga monggolia, Altantuya Shaariibu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Saifuddin: Misi Shafee Luar Negara Kaitan Kes Scorpene?

SHAH ALAM, 24 APR: Reaksi Datuk Mohamad Shafee Abdullah dalam isu memohon penangguhan kes yang dikendalikannya bagi membolehkan beliau menjalankan suatu misi sulit di luar negara tidak menjelaskan apa-apa.

Sebaliknya reaksi beliau lebih banyak menimbulkan persoalan adakah misi sulit beliau di luar negara itu melibatkan inkues kes komisen pembelian kapal selam Scorpene yang sedang berlangsung di mahkamah Perancis yang melibatkan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak sebagai saksi.

Demikian persoalan yang diajukan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution dalam sidang akhbar di ibu pejabat parti itu hari ini.

“Malangnya penjelasan beliau bahawa berita tersebut adalah mengarut dan langsung tidak menjawab isu pokok, malahan mengundang lebih banyak persoalan.

“Shafee hanya perlu menjawab jika benar beliau ada berkunjung ke Paris sepertimana beliau nyatakan dalam surat itu adakah ianya punya kaitan dengan perbicaraan kes pembelian kapal selam scorpene yang turut membabitkan PM yang dinamakan sebagai saksi,” kata saifuddin.

Menurut Saifuddin, Shafee hanya perlu menjawab beberapa persoalan yang dikemukan berhubung pemergian beliau ke luar negara dari 1 April hingga 25 April.

“Shafee hanya perlu menjawab samada beliau ada menghantar surat bertarikh 23 Mac 2012 kepada ketua hakim negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya memohon penangguhan kes mulai 1 April hingga 25 April dan memberikan salinan kepada PM dan isterinya, Datin Paduka Rosmah Mansor.

“Shafee hanya perlu jawab samada beliau ada menyatakan dalam surat tersebut bahawa beliau telah dilantik oleh Kerajaan Malaysia untuk menguruskan suatu tugasan perundangan sensitif di luar negara yang mesti diselesaikan sebelum pilihan raya akan datang,” katanya lagi.

Dalam sidang akhbar itu, PKR turut mencabar agar Shafee berani menyatakan kebenaran berhubung isu ini.

“Memetik kata-kata beliau, “if only they know the truth” kita mencabar Shafee tanpa perlu berbelit-belit, nyatakan apakah ‘kebenaran’ yang beliau sembunyikan itu,” kata Saifuddin.

Dalam sidang media yang sama, PKR turut menuntut Najib turut memberikan penjelasan adakah benar kerajaan telah melantik Shafee sedangkan sepatutnya tugasan ini dijalankan oleh Peguam Negara atau lebih wajar Najib dan Rosmah melantik peguam peribadi.

Saifuddin menjelaskan PKR akan memohon agar Majlis Peguam merujuk Shafee sebagai kes pelanggaran disiplin sekiranya Shafee dan Najib gagal memberikan jawapan berhubung isu terbabit.

“Kiranya Shafee tidak dilantik Kerajaan Malaysia, tidak juga sebagai peguam peribadi PM dan isteri dan langsung tidak berada di New York, London, Dubai, Paris dan Basel sepertimana dalam alasan penangguhan kes beliau, kita mendesak PM membuat aduan kepada Majlis Peguam supaya tindakan dapat diambil ke atas Shafee.

“Kiranya PM terus berdiam, maka PKR memohon kepada Majlis Peguam untuk merujuk Shafee sebagai suatu kes pelanggaran displin,” ujar Saifuddin lagi.

Categories
NASIONAL

Pendedahan Terkini Skandal Scorpene, PM Dicabar Saman Asia Sentinel

SHAH ALAM, 12 APR : Perdana Menteri dicabar menyaman portal berita Asia Sentinel berhubung pendedahan skandal pembelian kapal selam Scorpene yang membabitkan peranan mendiang Altantuya Shariibuu dan sekutu rapatnya Abdul Razak Baginda.

Ketua Angkatan Muda Keadilan(AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin mendesak Datuk Seri Najib Abdul Razak menjawab artikel nukilan John Berthesen, “Gun Begins Smoke in Malaysian Sub Scandal” seperti yang disiarkan di 5 April lalu.

Artikel tersebut menyiarkan secara terperinci peranan mendiang Altantuya Shariibuu di dalam transaksi pembelian kapal selam Scorpene dengan beberapa fakta kontroversi.

Selain itu, artikel tersebut turut mendedahkan beberapa fakta melibatkan salah laku dan penyelewengan yang ketara di sebalik pembelian kapal selam Scorpene tersebut.

“Dalam transaksi yang bernilai US$1.2 bilion tersebut, fakta didedahkan melalui proses penyiasatan percaya bahawa sekurang-kurangnya sejumlah ?36 juta (RM144 juta) yang disalurkan melalui sebuah syarikat yang berpusat di Hong Kong, Terasasi (HK) Ltd yang dikendalikan oleh orang kanan Najib iaitu Abdul Razak Baginda, berakhir di ‘poket Najib’.

“Syarikat Terasasi ini yang bertempat di daerah Wan Chai, Hong Kong turut dikendalikan oleh bapa kepada Razak Baginda iaitu Abdul Malim Baginda,”katanya dalam satu kenyataan.

Malah, fakta-fakta seumpama ini digelapkan di dalam media Malaysia dan hanya diperoleh melalui siasatan media antarabangsa yang mempunyai akses siasatan yang lebih terperinci.

Justeru, AMK mencabar Najib untuk mebuat penafian terbuka secara spesifik dan menyaman John Berthesen serta Asia Sentinel sekiranya ia merupakan fitnah semata-mata.

“Fakta-fakta yang diperincikan oleh Asia Sentinel ini mempunyai kredibiliti dan harus dinafikan oleh Najib secara berfakta untuk membersihkan nama beliau selaku Perdana Menteri Malaysia,” jelas beliau dalam kenyataan medianya semalam.

Ditambah dengan pengakuan bapa kepada mendiang Altantuya, Dr Shaaribuu Setev bahawa beliau pernah melihat gambar di antara  mendiang Altantuya, Razak Baginda dan Najib yang seolah-olah menggambarkan penglibatan Najib di dalam skandal ini.

Terdahulu, Najib telah bersumpah pada Ogos 2008 menafikan isu yang mengaitkan beliau dengan mendiang Altantuya yang dibunuh kejam pada Oktober 2006 lalu.