Categories
AGENDA NASIONAL

Hujan lebat berserta ribut, 20 kenderaan rosak dihempap pokok

DENGKIL, 21 FEB: Kira-Kira 20 buah kenderaan di kawasan parkir di Cyber Valley di sini rosak selepas dihempap pokok tumbang ketika kejadian hujan lebat dan angin kuat hari ini.

Insiden pada kira-kira 5.30 petang itu menyaksikan beberapa batang pokok besar di kawasan parkir tumbang namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Muhammad Harith Che Jusoh, 36, berkata ketika kejadian, beliau sedang membaiki kereta pelanggan apabila pokok besar di hadapan bengkelnya tumbang secara tiba-tiba.

“Memang masa itu hujan lebat dan angin pun kuat… dalam sekelip mata sahaja, pokok besar hempap kereta-kereta yang diletakkan di kawasan parkir ini.

“Kira-Kira lima buah kereta pelanggan saya rosak akibat kejadian ini… kali pertama kejadian teruk macam ini berlaku sejak tujuh tahun saya berniaga di tempat ini,” katanya kepada Bernama.

Justeru, beliau berharap Majlis Perbandaran Sepang (MPS) dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak kejadian sama berlaku seperti memotong pokok besar di sekitar kawasan parkir itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis pula berkata tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dikerah ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat daripada orang awam pada 5.36 petang.

“Tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian ini,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Tinjauan Bernama mendapati setakat 8.30 malam, kerja-kerja memotong pokok yang tumbang masih dilakukan oleh pihak bomba dan MPS.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

13 rumah terjejas akibat hujan lebat, ribut di Shah Alam

SHAH ALAM, 27 JAN:  Sebanyak 13  buah rumah penduduk di Lorong Bunga Raya 3, Jalan Kampung Bunga, Seksyen 22 di sini adalah antara yang terjejas susulan hujan lebat dan ribut di beberapa kawasan di Shah Alam petang tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata pihaknya menerima laporan berhubung  kejadian ribut pada 5.15 petang yang mengakibatkan bumbung rumah penduduk tercabut dan diterbangkan angin.

Beliau berkata lapan kenderaan dan enam lot parkir sebuah pasar raya di Seksyen 13 turut dilaporkan rosak.

“Satu lagi laporan diterima daripada orang awam sekitar 6.50 petang membabitkan kepingan bumbung di tingkat dua sebuah universiti swasta di Seksyen 13 di sini terjatuh akibat angin kencang.

“Namun tiada kecederaan dan kemalangan jiwa bagi ketiga-tiga laporan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Keadaan angin tidak memihak skuad pelayaran di Tokyo

TOKYO, 26 JULAI: Keadaan angin yang tidak memihak kepada skuad negara di Enoshima Yacht Harbour, menjejaskan rentak atlet pelayaran Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Mohamad Latif yang bergelut untuk mendapatkan kedudukan terbaik dalam acara masing-masing hari ini.

Khairulnizam yang sebelum ini menghuni kedudukan ke-26 dalam Race 1 acara Laser Standard semalam, kembali memperbaiki kedudukan kepada 14 dalam Race 2 hari ini, selepas perlumbaan itu ditangguhkan semalam, susulan cuaca buruk.

Bagaimanapun, tiga kali Olimpian yang juga pemenang pingat perak Sukan Asia itu sekadar menduduki tempat ke-28 pada Race 3.

Selepas tiga siri perlumbaan, Khairulnizam menghuni tangga ke-27 daripada 35 peserta dengan 40 mata bersih.

Karle Tapper dari Finland mengungguli ranking ketika ini dengan lima mata bersih, diikuti pemenang pingat perak edisi lepas Tonci Stipanovic dari Croatia dan pemenang pingat perak Olimpik London 2012 Pavlos Kontides dari Cyprus, yang juga pemenang pertama pingat Olimpik untuk negara itu.

Jurulatih kebangsaan Mohd Afendy Abdullah berkata walaupun kesilapan kecil dilakukan oleh Khairulnizam menjejaskan kedudukan dalam Race 3, namun beliau yakin atlet negara berpeluang memperbaiki kedudukan keseluruhannya.

“Ketika Race 2 keputusan agak baik, tapi ketika penghujung Race 3, arah angin berubah dan Khairulnizam melakukan kesilapan kecil. Dia sepatutnya mengekalkan kedudukan.

“Kita masih mempunyai tujuh perlumbaan. Dia masih lagi berpeluang untuk memperbaiki kedudukan. Dia masih boleh menamatkan saingan dalam kelompok 15 ataupun mungkin 10 terbaik,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, dalam acara Laser Radial wanita, atlet muda sensasi negara Nur Shazrin, yang memulakan cabaran hari pertama dengan kedudukan ketiga semalam, gagal mengulangi prestasinya hari ini dalam Race 3 dan menamatkan saingan di kedudukan ke-33.

Bagaimanapun, atlet berusia 23 tahun itu kembali memperbaiki kedudukan kepada 14 dalam Race 4, kedudukan keseluruhan di tangga ke-17 daripada 44 peserta dengan 42 mata bersih.

Line Flem Hoest dari Norway mengetuai perlumbaan dengan tujuh mata bersih, diikuti Vasileia Karachaliou dari Greek (sembilan mata bersih) dan pemenang pingat gangsa edisi lepas Anne-Marie Rindom (14 mata bersih).

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Ribut petir menyeluruh di 4 negeri hari ini

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 JAN: Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang, laut bergelora dan ribut petir menyeluruh di beberapa negeri, bermula hari ini.

Dalam laman sesawangnya, MetMalaysia melaporkan ribut petir menyeluruh yang berlaku di perairan Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Sarawak dijangka berterusan sehingga hari ini.

Sementara itu, angin kencang timur laut dengan 40 hingga 50 km/sj serta ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter akan berlaku di kawasan perairan Pahang, Johor Timur, Kelantan, Terengganu, Sarawak, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat) dan Labuan dijangka berterusan sehingga 8 Januari ini.

banjir“Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 km/sj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter dan berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” katanya.

Sementara itu, ramalan cuaca bagi tujuh hari bermula 5 Januari hingga 11 Januari ini mendapati hujan serta ribut petir akan berterusan melanda pantai timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Semalam, kawasan perairan Pahang, Johor Timur, Sarawak, Sabah dan Labuan terdedah kepada angin kencang selaju 60 km/sj dan ombak tinggi setinggi 4.5 meter.

BanjirMetMalaysia menjangkakan satu episod hujan monsun akan berlaku di mulai 7 atau 8 Januari ini.

Sehubungan itu, MetMalaysia menasihatkan penduduk yang terdedah kepada risiko banjir musim tengkujuh untuk sentiasa mengikuti perkembangan terkini cuaca.

Sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1-300-22-1MET<tel:1-300-22-1638> atau lawati laman sesawang MetMalaysia iaitu www.met.gov.my<http://www.met.gov.my/> dan laman sosial MetMalaysia di facebook <https://www.facebook.com/malaysiamet> serta twitter <https://twitter.com/malaysiamet>.

-NFN-