Categories
NASIONAL

Bayaran royalti dan balak isu berbeza

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengingatkan kerajaan PAS Kelantan bahawa isu pembayaran royalti minyak dan aktiviti pembalakan adalah dua perkara berbeza.

Katanya, perkara itu tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk merosakkan alam sekitar dengan meneruskan aktiviti pembalakan.

“Isu pembayaran royalti sudah kita nyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan akan akur kepada peruntukan undang-undang, tetapi ini soal persekitaran yang kita mahu semua negeri (jaga) bukan sahaja Kelantan.

“Sementara kita mahu negeri itu dibangunkan tetapi persekitaran mesti dijaga. Itu sahaja. Tidak boleh jika ada kelewatan atau kegagalan pembayaran royalti, maka negeri akan dirosakkan, ini kita tidak akan benarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran 3R On Wheels dan Kad Mesra di sini, lapor BERNAMA.

Terdahulu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Kerajaan Negeri itu bersedia menghentikan semua aktiviti pembalakan jika Kerajaan Persekutuan dapat menyelesaikan pembayaran royalti minyak seperti dijanjikan sebelum ini.

Katanya, pembayaran royalti minyak dianggarkan RM700 juta setahun itu jauh lebih mencukupi untuk pembangunan Kelantan berbanding RM100 juta setahun hasil daripada aktiviti pembalakan.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Persekutuan sudah bersetuju membayar semula royalti petroleum kepada kerajaan Kelantan secara tunai, namun tidak menyatakan bila dan jumlah bayaran itu akan dikemukakan.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Khalid Samad : Masa Terbaik Kuasai Putrajaya

Kediaman Rasmi MB Majlis Ramah Mesra dengan Dun Ijok dan Bandar Tun Razak 07

SHAH ALAM 26 JAN : Pakatan Rakyat (PR) memiliki peluang keemasan untuk menguasai dan mengambilalih Putrajaya daripada Umno-BN dalam Pilhan Raya Umum Ke-13 (PRU13) berdasarkan sokongan rakyat kuat ketika ini.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, PR seharusnya menggunakan kesempatan yang ada kerana Umno-BN ternyata tidak dalam kedudukan selesa berikutan pilhan raya perlu diadakan dalam tempoh terdekat.

“Ini adalah peluang terbaik bagi PR untuk mengambilalih pentadbiran di Putrajaya. Kalau kita melepaskannya, lima tahun kita akan menyesal dan kita tak tahu sama ada suasana seperti ini, boleh kita wujudkan kembali.

“Sekarang ini masyarakat bersama kita. Kita yakin himpunan kebangkitan rakyat di Kuala Lumpur. Kata seorang profesor matematik yang kita yakin dia lebih bijak dari Rais Yatim. Anggaran dia 700,000. Kita yakin inilah jumlah yang sebenarnya.

“Maksudnya di sini sekarang adalah waktu terbaik untuk satu perubahan,” katanya dalam ucapan meraikan jentera pilihan raya Ijok dan Bandar Tun Razak di sini malam tadi.

Turut hadir, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tegasnya, apa yang perlu dilakukan PR ketika ini adalah memaklumkan kepada rakyat bahawa segala masalah berlaku seperti isu air di Selangor adalah dirancang demi memastikan kemenangan Umno-BN.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Zulkifli Ahmad berkata, PRU13 kali ini adalah medan di mana Umno-BN terpaksa melawan kebangkitan seluruh rakyat.

“Inilah pilihan raya yang menjanjikan satu perubahan besar untuk sebuah kerajaan yang paling lama memerintah di muka bumi ini.

“Dia sudah terlalu banyak melakukan kesilapan lalu bukan saja PR tetapi seluruh rakyat bangkit untuk menumbangkan kerajaan Umno-BN bersama dengan beberapa NGO seperti Anti-Lynas, Royalti, GMI dan yang lain,” ujarnya.