Categories
AGENSI SELANGOR

Projek ‘Help-U’ ringankan beban pelajar terkandas akibat PKPB

SHAH ALAM, 22 NOV: Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) menganjur projek ‘Help-U’ bagi meringankan perbelanjaan makanan pelajar yang terkandas di kampus akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Yayasan berkata fasa pertama projek bersama Selangor Youth Community (SAY) dilaksanakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) membabitkan 1,900 pelajar.

Bantuan sumbangan DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah kepada pelajar universiti yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat. Foto ihsan Selangor Youth Community

“Bantuan ‘Help-U’ terus disalurkan kepada Wakaf dan Zakat UPM (Wazan) serta Bank Makanan Siswa UiTM yang bertanggungjawab untuk menerima dan mengagihkan bantuan kepada pelajar buat masa kini.

“Sebanyak 1,500 barangan makanan pelbagai seperti mi segera, kopi dan aneka biskut diserahkan kepada dua pihak tersebut,” katanya dalam kenyataan.

YRMS berharap projek itu dapat mengurangkan beban pelajar selain meningkatkan kesedaran masyarakat agar menghulur bantuan antara satu sama lain.

“Ada sebilangan pelajar yang tidak dapat pulang ke kampung halaman terutama di kawasan zon merah dan ada segelintir mereka terpaksa menetap di kampus untuk menggunakan perkhidmatan internet bagi menjalankan tugasan serta mengikuti kelas dalam talian.

“Tidak dinafikan pelajar yang tinggal di kampus memerlukan wang perbelanjaan tambahan untuk menampung makanan harian mereka,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD: Unit Bencana Selangor selaras bantuan makanan staf penjara

SHAH ALAM, 28 OKT: Unit Pengurusan Bencana Negeri akan menyelaras bantuan makanan di semua penjara Selangor yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Dato’ Menteri Besar berkata usaha berkenaan bagi memastikan warga kerja di situ mendapat bekalan makanan sehingga arahan tersebut tamat pada 4 November.

“Langkah ini sedikit sebanyak meringankan beban tugas warga kerja Jabatan Penjara yang berada di kawasan PKPD untuk mendapat bekalan makanan mencukupi sepanjang tempoh berkenaan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas menyerahkan bantuan alat penjagaan kesihatan kepada Jabatan Penjara di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini.

PKPD dikuat kuasa di Penjara Kajang, Penjara Reman Sungai Buloh, Penjara Wanita Kajang dan Pusat Koreksional di Puncak Alam bermula 23 Oktober bagi mengawal penularan Covid-19.

Sementara itu, Pengarah Penjara Selangor dan Kuala Lumpur Datuk Mohd Sakeri Dollah berkata keadaan ketika ini terkawal dengan hanya satu kes Covid-19 dilaporkan.

“Kita ikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan dengan setiap pegawai wajib memakai pelitup muka dan membuat saringan sebelum masuk kerja.

“Kita juga tidak benarkan pergerakan keluar masuk sehingga PKPD tamat kecuali perkhidmatan perlu seperti bekalan makanan dan pembersihan,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Penyelaras DUN Gombak Setia berazam bantu rakyat miskin, atasi isu setempat

SHAH ALAM, 22 SEPT: Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia boleh mendapatkan pelbagai bantuan mahupun menyampaikan aduan melalui pusat khidmat rakyat DUN berkenaan.

Bertempat di Dewan Beringin, Jalan SG1/1, Taman Sri Gombak, Batu Caves, penyelarasnya Abdul Rahim Kasdi sedia memberi perkhidmatan kepada segenap lapisan rakyat.

Beliau yang dilantik pada minggu lalu turut menubuhkan kumpulan khas bagi menjejak golongan berpendapatan rendah untuk mengagihkan bantuan termasuk makanan, minyak dan gula.

“Sebagai penyelaras, saya akan memastikan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama terjamin manakala segala bentuk bantuan sampai ke tangan mereka yang layak,” katanya.

Abdul Rahim juga berusaha untuk mengatasi masalah banjir kilat akibat hujan lebat di beberapa kawasan yang sudah dikenal pasti.

“Masalah ini akan cuba diatasi sebaik mungkin demi kebaikan semua pihak,” katanya lagi.

Ada tujuh kampung tradisi dalam DUN berkenaan.

Pusat khidmat itu boleh dihubungi melalui talian 03-61783170.

Categories
AGENSI SELANGOR

1,700 mahasiswa dapat manfaat Khidmat Bantuan Belia Siswa

SHAH ALAM, 8 APRIL: Seramai 1,700 mahasiswa dijangka menerima manfaat daripada Khidmat Bantuan Belia Siswa yang digerakkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor.

Timbalan Presiden GPMS Syed Mohsen Syed Bakar Alkaff berkata jumlah itu membabitkan lapan institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Selangor yang memerlukan bekalan makanan kering susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebanyak 350 rumah sewa pelajar dengan purata setiap isi rumah seramai lima orang
dikenal pasti layak menerima bantuan bekalan makanan melalui program ini.

Timbalan Presiden GPMS, Syed Mohsen Syed Bakar Alkaff

“Pelajar boleh membuat permohonan bantuan menerusi borang google dengan mengemukakan alamat, nama universiti atau kolej dan bilangan isi rumah,” katanya ketika ditemui pada pelepasan Konvoi Khidmat Bantuan Belia Siswa GPMS Selangor di lobi Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini hari ini.

Konvoi bermula kira-kira jam 1.30 petang itu menuju ke empat daerah di Selangor antaranya Sepang, Cyberjaya, Shah Alam dan Subang.

Sementara itu Setiausaha GPMS Selangor Muhamad Tassim Zainal berkata aktiviti sukarelawan seperti itu pendekatan untuk berbakti kepada masyarakat khususnya pelajar yang terkesan dengan arahan PKP ketika ini.

”Saya terlibat secara langsung dengan program sukarelawan sejak sekolah menengah lagi bermula di peringkat komuniti taman kemudian daerah, negeri dan kebangsaan,” katanya yang juga penuntut tahun pertama Sarjana Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).